Risalah Usrah

Ulasan Usrah ABIM Johor

Perbincangan Surah Az-Zumar (Ayat :17 hingga 21)

Muqadimah

Surah Az-Zumar telah diturunkan di Mekah dan mengandungi 75 ayat. Az-Zumar bermaksud kumpulan manusia yang berpasuk-pasuk merujuk kepada ayat yang ke-71 hingga ke-73 yang memerihalkan berkenaan orang-orang beriman dan kafir yang dibawa untuk menerima balasan masing-masing.

Intipati Ayat 17 hingga 21

Allah menegaskan orang-orang yang kembali kepadanya akan menerima berita yang menggembirakan sekiranya sewaktu di atas muka bumi Allah ini mereka tidak menyembah dan
memuja Taghut dan hanya sentiasa taat sepenuhnya kepada Allah.

Golongan orang-orang ini yang dijelaskan oleh Allah ialah golongan yang diberikan Hidayah oleh Allah apabila sentiasa berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu hanya memilih dan menurut yang sebaik-baiknya sahaja (Hukum-hukum Allah). 


Allah juga turut memberikan perumpamaan kejadian langit dan bumi serta segala khazanah yang hidup segar dan akhirnya akan kembali kepadanya. Hal ini Allah umpamakan kepada setiap insan agar mereka berfikir bahawasanya tiada sesuatu yang kekal abadi dan sebagai hambanya kita seharusnya berfikir jauhmana hubungan kita dengan Pencipta kita yang Maha Agung ini kita jaga.


Perbincangan Usrah

Istilah ‘Taghut’ menjadi intipati huraian dan perbincangan usrah dibuat berdasarkan kepada rujukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Tafsir Azhar (HAMKA).

Menurut Abdullah Ibnu Abbas: ”Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munzirin (pemberi peringatan).

Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah Nabi Nuh A.S”. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237].Punca kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang yang soleh dikalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini.

Kerana itu jugalah Rasulullah SAW bersabda memberi amaran kepada umatnya, sebagimana riwayat Sayyidina Umar Al-Khattab R.A, maksudnya:

 

Janganlah kamu terlalu memujaku (sehingga melampaui had sebagai seorang nabi dan rasul kepada darjat ketuhanan dengan mengetahui perkara ghaib dan sebagainya), sebagaimana kaum Nasrani memuja Nabi Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.

HR Bukhari dan Muslim.

Demikanlah amaran dan tegahan Rasulullah SAW akan perbuatan memuja dan memuji manusia lebih daripada sepatutnya dengan membuat pelbagai gelaran dan anggapan. Ini akhirnya boleh merosakkan diri orang yang dipuji itu sendiri.

Marilah kita sama-sama merenung kembali kepada perjalanan dan landasan yang kita lalui di dalam urusan agama kita (i’tikad). Semoga semua amalan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah SWT.

Akhirnya sama-samalah kita renungkan firman Allah SWT yang menggariskan apakah bentuk ajaran atau dakwah yang dibawa oleh semua nabi-nabi dan rasul-rasul A.S, melalui firman-Nya yang bermaksud:

Dan sungguhnya kami telah mengutuskan Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu.
[An-Nahl: 36].

Perkataan thaghut membawa banyak erti dan maksudnya sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama’ Islam; ialah umum untuk semua benda (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) yang disembah dan dipuja selain daripada Allah SWT. Di antara asas atau tonggak kepada taghut ialah:

1.    Syaitan yang menyeru untuk beribadat kepada tuhan selain daripada Allah SWT.

2.    Pemerintah yang zalim yang telah merubah hukuman yang diturunkan oleh Allah.

3.    Golongan yang menjalankan hukuman perundangan selain daripada hukum
       yang diturunkan oleh Allah SWT.

4.    Orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan tersembunyi selain daripada Allah SWT.

5.    Golongan yang disembah selain daripada Allah SWT (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya)dan ia suka serta redha dengan perbuatan yang dilakukan terhadapnya itu. Inilah di antara tafsir atau makna ’taghut’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut.

Demikianlah betapa pentingnya peranan rasul untuk mengembalikan manusia supaya taat dan tunduk kepada Allah sahaja. Kita juga mestilah menolak semua jenis taghut kerana inilah syarat untuk menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul serta berada di atas landasan agama Islam yang diredhai Allah SWT.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesiapa yang mengkufurkan (menentang dan menghancurkan) Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan tali Allah yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.}

[Al-Baqarah: 256].


Dipetik Daripada Blog ABIM Johor.
http://abimjohor.blogspot.com

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.