Risalah Usrah

Hadis Ahad & Azab Kubur : Suatu Ulasan

Oleh: Saudara Nor Mohamed

Bismillah al-Rahman al-Rahim, Assalamualaikum waRahmatullah waBarakatuh, Sejak sebulan dua yang lepas muncul beberapa artikel dalam akhbar dan majalah daripada seorang penulis berkaitan subjek azab kubur. Kandungan artikel-artikel tersebut dapat diringkaskan sebagai: Azab kubur tidak wujud kerana al-Qur'an tidak membicarakannya manakala hadis-hadis yang menyebut tentangnya berstatus Ahad (Hadis Ahad).

Insya-Allah dalam posting ini saya akan cuba mengulas dan menerangkan penyelewengan penulis tersebut dalam subjek di atas. Memandangkan ruang agak terbatas, saya akan mengulas secara ringkas sahaja. Hal yang terpenting ialah kedudukan Hadis Ahad dalam syari'at Islam. Alasan seseorang meragui atau menolak Hadis Ahad adalah langkah awal menjadi seorang anti hadis. Bahkan mungkin juga seorang anti hadis yang berselindung di sebalik solekan "Hadis Ahad" kerana hampir 90% atau lebih daripada sunnah Rasulullah sawam terdiri daripada Hadis-hadis Ahad.

Posting ini saya bahagikan kepada dua bahagian, pertama berkenaan Hadis Ahad, bahagian kedua merujuk kepada Iktikad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah (Singkatan ASWJ) berkenaan azab kubur.
HADIS AHAD

[A] Yang dimaksudkan sebagai Hadis Ahad.

Ringkasnya, sumber-sumber ilmu Mustholah Hadis mendefinisikan Hadis Ahad sebagai sebuah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja, khasnya di tingkatan pertama, yakni tingkatan para sahabat.

Ini berbeza dengan hadis mutawatir di mana ia adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah para perawi (melebihi 4) sehingga tidak mungkin mereka berbuat silap dalam meriwayatkannya.

[B] Kedudukan Hadis Ahad sebagai sumber syari'at.

Terdapat perbicaraan tentang kedudukan Hadis Ahad sama ada ia dapat dijadikan dalil yang jitu (qath'iy) dalam syari'at Islam. Ini kerana apabila sesebuah hadis itu diriwayatkan oleh seorang atau dua sahaja, akan wujud kemungkinan berlaku kesilapan. Kemungkinan ini menyebabkan Hadis Ahad - di sisi sebahagian tokoh - tidak dapat dijadikan dalil qath'iy melainkan dzann (samar-samar) sahaja.

Sebahagian tokoh yang lain pula membahagikan Hadis Ahad kepada subjek yang dibawanya. Hadis Ahad diterima sebagai dalil qath'iy jika ia membahas subjek fiqh, mualamat, kehidupan dan sebagainya. Akan tetapi jika ia membahas subjek akidah, ia hanya diterima sebagai dalil dzann. Lebih lanjut, tokoh-tokoh yang membicarakan hal ini secara umumnya terbahagi 
kepada dua kelompok:


Kelompok Pertama:


Mereka yang terdiri daripada kalangan Ahl al-Hadis, mereka menerima Hadis Ahad sebagai dalil qath'iy. Hujah Ahl al-Hadis dalam hal ini adalah seperti berikut:

(1) Faktor kemungkinan berlakunya kesilapan dalam periwayatan seorang atau dua perawi disifarkan berdasarkan kaedah semakan sanad dan status para perawi hadis (al-Jarh wa al-Ta'dil). Apabila seorang perawi bebas daripada sebarang kekurangan atau kecacatan, maka sekaligus dia juga bebas daripada kemungkinan berbuat silap.

(2) Antara perkara yang diperhatikan dalam menilai seorang perawi ialah

(a) bertaqwa dengan ketaqwaan yang teguh lagi tinggi,
(b) memelihara maruah dan
(c) tidak melakukan kesalahan seperti maksiat dan bid'ah ('Adl); kemudiannya
(d) berkemampuan untuk memelihara dan menyampaikan hadis yang mereka terima secara benar pada bila-bila sahaja diminta untuk berbuat demikian (Dhabith). Sifat-sifat ini menjamin seseorang perawi itu tidak akan menyampaikan sesuatu hadis melainkan dia benar-benar yakin bahawa ia berasal daripada Rasulullah secara lengkap lagi sempurna.


(3) Setiap hadis Rasulullah menjadi hujah ke atas umat Islam tanpa mengira sama ada baginda meyampaikannya kepada seorang, dua orang atau ramai orang. Seandainya baginda shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa sabdanya tidak mampu diriwayatkan secara benar oleh seorang sahaja, baginda tidak akan menyampaikan apa-apa ajaran Islam melainkan dalam suasana orang ramai seperti khutbah. Demikian hujah-hujah Ahl al-Hadis.

Perlu digariskan bahawa pembahagian hadis kepada Ahad, Mutawatir dan sebagainya sebagai dalil syari'at tidak berasal daripada para tokoh Ahl al-Hadis generasi Salaf. Di sisi mereka, pembahagian hadis hanya dari sudut sanad dan matan, di mana ia dibahagikan kepada sahih, hasan, dha'if dan sebagainya. Setiap hadis yang sahih menjadi dalil syari'at tanpa membezakannya kepada Ahad atau Mutawatir, akidah atau bukan akidah.


Kelompok Kedua:


Mereka terdiri daripada Ahl al-Ushul, Kalam, Fiqh dan sebagainya daripada selain Ahl al-Hadis. Mereka berpendapat Hadis Ahad hanya merupakan dalil dzann dalam syari'at Islam MELAINKAN DALAM KES-KES BERIKUT:

(1) Apabila Hadis Ahad tersebut berperanan sebagai penjelas kepada satu subjek yang asas atau pokoknya telah ditetapkan dalam al-Qur'an dan/atau al-Sunnah yang Mutawatir. Maka dalam kes seperti ini Hadis Ahad diterima sebagai dalil qath'iy.

Sebagai contoh, azab kubur ialah subjek yang asasnya telah ditetapkan oleh al-Qur'an. Hadis-hadis Ahad yang ada hanya menjelaskan bagaimana rupa azab kubur tersebut. (Ayat-ayat al-Qur'an yang dimaksudkan akan saya kemukakan dalam bhg kedua nanti, insya-Allah).

(2) Apabila Hadis Ahad tersebut membahas satu subjek yang bersamanya terdapat beberapa hadis lain yang membahasnya juga. Maka sekalipun semua hadis-hadis yang membahas subjek tersebut merupakan Hadis Ahad, menghimpun kesemuanya akan menghasilkan satu dalil yang menduduki taraf Mutawatir.

Sebagai contoh ialah hadis-hadis berkenaan azab kubur juga. Terdapat sangat banyak hadis yang membahasnya sehingga sekalipun ia semua merupakan hadis Ahad, himpunan semua ini mengarahkan kepada kedudukan Mutawatir.

(3) Apabila Hadis Ahad tersebut menjadi sumber iktikad dan/atau amalan oleh orang ramai dari kalangan generasi Salaf. Maka ia menjadi dalil syari'at juga kerana tindakan sejumlah generasi Salaf yang beriktikad dan/atau beramal dengannya menjadi bukti hadis tersebut sebenarnya Mutawatir, hanya periwayatan yang tercatit dalam kitab hadis bersifat Ahad. Contohnya ialah
waktu solat, cara solat, tatacara haji dan sebagainya.

(4) Apabila Hadis Ahad tersebut memiliki beberapa petunjuk lain (qarinah) daripada al-Qur'an dan al-Sunnah yang mendukungi atau membenarkannya. Contohnya ialah hadis sahih daripada Ibn 'Abbas radhiallahu 'anh yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjamakkan solat di Madinah kerana hujan. Hadis ini (menjamakkan solat tanpa musafir) diriwayatkan oleh Ibn 'Abbas seorang sahaja. Akan tetapi ia didukungi dan dibenarkan oleh beberapa petunjuk lain daripada al-Qur'an dan al-Sunnah yang menetapkan kemudahan
kepada umat Islam apabila menghadapi kesukaran.

Berdasarkan 4 kes ini, para Ahl al-Ushul, Kalam, Fiqh dan sebagainya daripada selain Ahl al-Hadis menetapkan Hadis Ahad sebagai dalil yang qath'iy di dalam syari'at Islam. Sekalipun pada asalnya mereka meletakkan Hadis Ahad dalam kategori dzann, 4 kes di atas menyebabkan mereka mengangkatnya ke kategori qath'iy.

Malah berdasarkan 4 kes ini juga, boleh dikatakan tidak ada Hadis Ahad yang dianggap sebagai dzanni dalam syari'at Islam di sisi mereka. Apabila ada orang masa kini yang menafikan Hadis Ahad sebagai dalil qath'iy, dia sebenarnya baru membaca bab pertama dalam subjek Hadis Ahad ini.

==========

BAHAGIAN KEDUA:

IKTIKAD AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH BERKENAAN AZAB KUBUR.

Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) menyakini kebenaran azab kubur dan berusaha segala mampu untuk menghindarinya. Berkata Imam Ibn Abi al-'Izz (792H):

“Dan sungguh khabar-khabar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkenaan azab kubur dan nikmat bagi ahlinya (orang mati) adalah mutawatir, demikian juga soalan dua malaikat. Maka wajib beriktikad dan beriman kepadanya tanpa berbicara tentang tatacaranya. Tidak ada ruang bagi akal untuk memikirkan tatacaranya kerana akal tidak ada hubungan dengannya dari dunia ini. Syari'at sememangnya tidak membawa sesuatu yang dianggap
mustahil oleh akal, akan tetapi syari'at adakalanya membawa sesuatu yang diperselisihkan oleh akal.

(Maka) ketahuilah bahawasanya azab kubur adalah azab di alam barzakh..maka wajib menerima maksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (hadis-hadis azab kubur) tanpa menambahi atau menguranginya. [Nukilan berpisah daripada Syarh al-'Aqidah al-Thahawiyyah (Maktab al-Islami, Beirut 1988), ms. 399-400 (Bab beriman kepada azab kubur dan nikmatnya)].”


Azab kubur adalah satu perkara yang benar berdasarkan dalil-dalil al-Qur'an dan al-Sunnah berikut:

[A] al-Qur'an.

Al-Qur'an ialah sebuah kitab rujukan yang sempurna lagi lengkap bagi umat Islam. Tidak ada apa-apa yang tertinggal daripadanya. Akan tetapi kesempurnaan al-Qur'an ialah dalam menggariskan segala asas-asas agama dan bukanlah memperincikannya. [Lebih lanjut lihat
http://www.al-firdaus.com/20hujah/hujah1.htm#h1]


Terdapat beberapa ayat yang menerangkan azab kubur, tiga di antaranya:

AYAT PERTAMA:

Firman Allah, maksudnya:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan".

Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang DI HADAPAN MEREKA ada Alam Barzakh HINGGA HARI mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat). [al-Mukminun 23:99-100]


Ayat ini menerangkan wujudnya satu alam selepas berakhirnya kehidupan di dunia (selepas ajal maut) dan kebangkitan pada Hari Kiamat. Ia adalah Alam Barzakh, juga dikenali sebagai alam kubur. Ayat ini juga menerangkan kewujudan azab kubur kerana disebabkan azab inilah orang-orang kafir meminta dikembalikan ke dunia. Jika kehidupan DI HADAPAN MEREKA adalah
tiada apa-apa, maka tiada sebab bagi orang-orang kafir meminta dikembalikan ke dunia. [Lebih lanjut rujuk: http://www.al-firdaus.com/20hujah/percanggahan4.htm]


AYAT KEDUA:

Firman Allah, maksudnya:

(Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui HARI YANG PADANYA MEREKA AKAN BINASA - (Iaitu) hari segala rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.

Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. [al-Thur 52:45-47]


Ayat di atas menyebut dua jenis azab, pertama adalah azab: "Hari yang padanya mereka akan binasa", ini merujuk kepada azab pada Hari Kiamat. Kedua adalah azab: "Akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut..", ini merujuk kepada azab selain azab pada Hari Kiamat.
[al-Qurtubi (671H): al-Tazkirah fi Ahwal al-Maut (tahqiq: al-Dani bin Munir; Maktabah al-'Asriyyah, Beirut 2001), jld. 1, ms. 155 (Bab berkenaan Azab Kubur dan bahawasanya ia adalah Haq ..)]

Perkataan Arab "Azaban Duwn zalik" yang bermaksud "selain dari azab tersebut" menunjukkan satu azab yang tahapnya kurang daripada azab Hari Kiamat. Walaubagaimana azab yang dimaksudkan ini masih umum, merujuk kepada azab di kehidupan dunia dan di kehidupan Alam Barzakh (alam kubur).

Keumuman ini kemudiannya dikhususkan dalam ayat ketiga berikut:


AYAT KETIGA:

Firman Allah, maksudnya:

Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang "A'raab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka dua kali, KEMUDIAN mereka dikembalikan kepada azab yang besar. [al-Taubah 9:101]
Ayat di atas menunjukkan satu azab yang wujud sebelum azab yang besar. Azab yang besar ialah pada Hari Kiamat, dua azab sebelum itu, yang pertama merujuk kepada azab di kehidupan dunia dan kedua merujuk azab di kehidupan Alam Barzakh (Alam Kubur). [Ibn Hajar al-'Asqalani (852H) - Fath al-Bari (tahqiq Bin Baz, Dar al-Fikr, Beirut 2000), jld. 3, ms. 601 (Kitab
al-Jana'iz, Bab Berkenaan Azab Kubur,

Firman Allah Ta'ala.)]. Demikian 3 buah ayat yang menjadi dalil dalam menetapkan azab kubur. 3 ayat ini membentuk asas dalam subjek azab kubur manakala hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berperanan menjelas dan memperincikan bentuk azab tersebut. Orang yang berkata subjek azab kubur tidak terdapat di dalam al-Qur'an tidak terlepas daripada dua kemungkinan: Pertama dia jahil tentang al-Qur'an, Kedua dia mendustakan al-Qur'an.

[B] al-Sunnah

Sumber al-Sunnah memiliki rujukan yang sangat banyak dalam subjek azab kubur sehingga tidak mungkin saya menyenaraikannya di sini. Para netters boleh merujuk kepada mana-mana kitab hadis. Sekalipun didakwa ia adalah hadis-hadis Ahad, himpunan kesemuanya mengarah kepada taraf Mutawatir.

Setakat ini saya mengetahui 2 buah buku yang khas dalam subjek ini yang sudah diterjemahkan:


(1) "Kehidupan Alam kubur" oleh Imam Ibn Rejab al-Hanbali (795H), terbitan Pustaka Azam, Jakarta 2000 (tajuk asal: Ahwal al-Qubur wa Ahwal Ahli ha ila al-Nusyur). Ini adalah rujukan yang baik kerana hadis-hadis yang dikemukakan disertakan perbincangan status sanadnya.


(2) "Ziarah ke Alam Barzakh" oleh Imam al-Suyuthi (911H), terbitan Pustaka Hidayah, Bandung 2000. (Tajuk asal: Syarh al-Shudur bi Syarh Hal al-Mawtawa al-Qubur).

(Boleh didapati di Pustaka Indonesia, Wisma Yakin di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur)

=======

Sekian sedikit ulasan saya dalam persoalan Hadis Ahad dan Azab Kubur. Sama-sama kita berdoa agar Allah 'Azza wa Jalla memelihara kita daripada penyimpangan dan penyelewengan agama daripada orang-orang yang tidak bertanggung jawab. Pada waktu yang sama, hendaklah kita berusaha sekuat mampu menuntut ilmu agar iktikad dan amalan kita adalah benar lagi sahih berdasarkan kehendak Allah dan Rasul-Nya.
More in this category: Panduan Perlaksanaan Usrah »

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.