Resensi

MAY 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969: Mencari Kebenaran ?

Sejarah adalah salah satu displin ilmu yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Selain memainkan peranan didalam mendedahkan jatuh bangun serta kejayaan mahupun kegagalan yang dicapai oleh generasi-generasi lalu, sejarah juga telah digunakan sebagai salah satu instrumen politik yang sangat berkesan sepertimana yang pernah digunakan dengan jayanya oleh pelbagai pihak sebelum ini.Ini kerana sejarah mempunyai kekuatan emosi yang tersendiri, terutama sekali jika ia menyentuh ataupun merujuk kepada sesebuah peristiwa yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap sesebuah bangsa ataupun tamadun.

Justeru, fenomena penceritaan atau kajian semula sesuatu peristiwa sejarah yang semakin berkembang biak semenjak kebelakangan ini, tidak seharusnya dianggap sebagai fenomena picisan yang untuk mengisi wacana-wacana teori konspirasi semata-mata. Fenomena ini seharusnya dihadapi serta ditangani secara akademik serta saintifik, agar ia tidak sekadar menjadi satu lagi slogan retorik yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu.


13 MEI DARI KACAMATA KUA KIA SOONG

Dari kaca mata masyarakat umum di negara ini, detik 13 Mei 1969 telah mengalunkan impak dalam pelbagai bentuk konotasi berbeza yang mempengaruhi lanskap politik negara ini sepanjang 39 tahun kebelakangan ini. Paling ketara, tragedi 13 Mei ini merupakan kunci yang membuka kesedaran akan perlunya mewujudkan interaksi di antara kaum yang harmoni melalui perlaksanaan beberapa dasar, seperti pengenalan rukun negara, perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan beberapa dasar lain.

Akan tetapi, buku MAY 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 telah mengalunkan sentimen yang jelas sekali berlawanan apabila ia memaparkan tragedi 13 Mei sebagai satu titik permulaan hitam kepada perjalanan politik negara sehingga ke hari ini. Ketika buku ini dipasarkan pada pertengahan tahun lalu (sekitar Mei 2007), hampir tidak kedengaran sebarang pandangan ataupun suara yang mengkritik setiap isi kandungan yang ada di dalam buku ini. Walaupun buku ini telah dipasarkan secara terbuka serta meluas, tarikan terhadap buku ini hanya hidup sejurus gelombang PRU 12 yang lalu bersama dengan deretan isu ataupun polemik yang menyusul menurutinya.

Secara ringkas, Dr Kua Kia Soong menerusi buku ini telah membentangkan beberapa premis yang tampak seperti kebenaran yang sengaja disembunyikan serta dihapuskan oleh pihak-pihak tertentu. Antaranya, beliau mendakwa bahawa tragedi 13 Mei tersebut merupakan satu konspirasi politik yang digerakkan oleh pihak tertentu untuk memenuhi keinginan serta kehendak politik mereka. Buku ini juga cuba menzahirkan bahawa tragedi ini merupakan konflik perkauman yang didorong oleh kegagalan sistem politik yang diamalkan, untuk menaungi kepentingan setiap kaum di negara ini.

Premis-premis ini didukung berdasarkan kepada beberapa dokumen serta kenyataan rasmi, yang dibuat oleh para pegawai diplomat serta perisikan daripada negara asing mengenai tragedi tersebut. Sekali imbas, dokumen-dokumen serta kenyataan-kenyataan yang dipetik serta dikupas dalam buku ini tampak menyakinkan serta tidak boleh diragui akan keabsahannya. Akan tetapi, ketelusan fakta-fakta yang dikemukakan perlu dinilai dari beberapa perspektif yang berbeza.

SINAR DI SEBALIK KABUS

Ketika membentangkan analisisnya terhadap buku tersebut dalam wacana yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA)pada 30 Ogos 2008 di rumah Gapena, Prof. Muhamad Abu Bakar mengatakan bahawa seseorang itu akan menilai sesuatu fakta sejarah itu berdasarkan kepada perspektif ataupun sudut pandangan falsafah seseorang individu. Akibatnya, sudut pandangan falsafah itu akan mempengaruhi pandangan peribadi ataupun cultural conditioning yang akan mencorakkan kecenderungan untuk memilih fakta-fakta sejarah yang dingini, yang diakhiri dengan proses pentafsiran terhadap fakta-fakta sejarah yang sedia ada.

Menurut beliau, situasi itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi perjalanan hujah yang dikemukakan di dalam buku MAY 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969. Ia tidak sahaja terhad kepada peranan pengarang buku itu sendiri (Dr Kua Kia Soong) bahkan juga membabitkan individu-individu yang menyumbangkan kenyataan sertadokumen yang dijadikan sumber rujukan dalam buku ini.

Sebagai contoh, pegangan falsafah serta pandangan peribadi pegawai-pegawai kedutaan serta perisikan mungkin banyak mempengaruhi proses pentafsiran setiap maklumat yang diperolehi serta ingin disampaikan. Dalam konteks tragedi 13 Mei, tafsiran serta penyampaian fakta yang dibuat oleh pegawai-pegawai asing tidak disandarkan oleh keadaan sosio politik di negara ini. Ataupun menerusi erti kata lain, penafsiran serta penyampaian fakta itu dibuat berdasarkan kepada kerangka pemikiran asing serta peribadi yang tidak mungkin bertepatan dengan jalur pemikiran yang telah berakar umbi di negara ini.

Akan tetapi, di sebalik keghairahan membahaskan keabsahan fakta yang menjadi kerangka utama di sebalik tragedi 13 Mei, wacana anjuran GAPENA itu turut menyerlahkan kenyataan yang seakan-akan sengaja tidak diendahkan oleh pihak yang sengaja membangkitkan isu terbabit, iaitu hubungan muhibah di antara kaum tetap wujud walaupun dibayangi oleh rusuhan terbabit sepertimana yang dinyatakan oleh rata-rata peserta yang menyertai wacana tersebut. Kenyataan-kenyataan ini perlu diambil kira serta diselidiki oleh pihak terbabit agar ia dapat menjadi rujukan kepada generasi-generasi akan datang.

Kestabilan politik di negara ini telah dicetuskan oleh deretan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa yang lalu. Oleh itu, sebarang usaha mengkaji semula ataupun menulis semula sejarah perlu dilakukan berdasarkan kepada premis akademia yang rasional serta luas dan tidak disandarkan pada kecenderungan politik pihak-pihak tertentu. Ini memandangkan proses tersebut tidak sahaja akan merubah catatan rasmi yang ada dalam buku-buku teks sejarah di sekolah serta menimbulkan pelbagai polemik ataupun persoalan yang tidak mengenal penghujungnya serta garis kebenarannya.

 
Disediakan Oleh : Mohd Firdaus Md. Hamsin 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.