Resensi

Resensi: The Autobiography of Malcolm X (22 Mei 2008)

Kepada sesiapa yang ingin mengetahui sejarah hidup, perjuangan dan idealisme almarhum Al Malik Shabaz al hajj, atau lebih dikenali sebagai Malcolm X, buku inilah yang perlu dimiliki. Buku ini adalah antara garapan autobiografi tentang beliau yang paling autoritatif,memandangkan beliau sendiri menceritakan sejarah hidup beliau kepada Alex Haley, beberapa bulan sebelum beliau ditembak mati. Buku ini mengandungi pemerian tentang sejarah hidup beliau bermula daripada zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman beliau mula terjebak dalam jenayah, periode dipenjarakan, mengganggotai Nation of Islam, menjadi aktivis yang sangat berpengaruh, krisis dengan Elijah Muhammad, ketika beliau menunaikan haji dan pelbagai lagi peristiwa yang cukup signifikan di dalam sejarah kehidupan beliau.

Pada pandangan peribadi saya, buku ini sangat penting untuk dibaca bagi mengikuti bibit-bibit transformasi dalaman yang berlaku kepada Malcolm X, khususnya apabila beliau dipenjarakan . Di dalam tempoh itu, beliau berjaya mengasah daya pemikiran dan artikulasi yang cukup tajam, kesan daripada pembacaan pelbagai buku di dalam penjara. Buku-bukulah yang menjadi teman dan senjata utama kepada Malcolm sehingga mengubah watak beliau kepada seorang tokoh kulit hitam di Amerika yang cukup disegani kawan dan lawan.


Selain itu, buku ini turut memerikan perjalanan rohani yang dialami oleh Malcolm ketika beliau menunaikan ibadah haji setelah digantung daripada Nation of Islam. Dalam tempoh ini, beliau menyifatkan bahawa pengalaman menunaikan haji ini telah memberikan beliau tentang pandangan hidup Islam yang sebenar, lantas merobohkan pandangan hiudp Islam yang didokong oleh Nation of Islam yang begitu sempit, sarat dengan rasialisme dan menyimpang.

Secara keseluruhannya, rakaman perjuangan Malcolm x ini adalah sesuatu yang saya ingin sifatkan sebagai “A MUST READ” kepada sesiapa yang ingin menjadi seorang yang berani, mencintai ilmu dan tabah mengharungi dugaan hidup. Malah, saya sangat bersetuju dengan majalah Time yang telah menobatkan buku ini sebagai 10 buku bukan fiksyen terpenting dalam abad ini.
 
 
Oleh : Mohd Yusni Khusaini Dato' Mohd Yussof ( Media ABIM)

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.