Kontemporari

Talak Taklik: Pandangan Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang: Dato' Dr Wan Salim Wan Mohd Noor Featured

MAHKAMAH TIDAK WAJAR MENERIMA TAKLIK YANG MEMUDARATKAN

Adalah sedia diketahui bahawa agama Islam amat menitikberatkan kerukunan hidup berkeluarga dan amat mementingkan hubungan yang irat antara pasangan suami isteri.

Justru apa jua perbuatan yang boleh membawa kepada keruntuhan sebuah keluarga dan kekeruhan hubungan di antara para anggotanya adalah sangat dibenci oleh Islam dan perlu dielakkan dengan apa jua cara yang boleh diusahakan.

Ini meliputi juga tindakan berbai'ah yang mengandung lafaz taklik dengan jatuh talak terhadap isteri semata-mata bertujuan memaksa kesetiaan seseorang kepada parti politik tertentu.

 

Taklik sebegini dianggap tidak islamik kerana bertentangan dengan "maslahah" yang ingin dipelihara oleh syarak termasuk maslahah keluarga. Ini berbeza dengan taklik yang diucapkan oleh suami ketika akad nikah dilangsungkan kerana ia bertujuan menghindarkan penganiayaan terhadap isteri oleh suami yang mengabaikan tanggungjawabnya, manakala taklik yang diucapkan oleh seorang angota parti politik boleh memudaratkan isteri dan anak-anak apabila pasangan terbabit "dipaksa" berpisah untuk mencegahnya darpada keluar parti atau bertukar wadah politik.

Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam di beberapa buah negeri di Malaysia menyebut bahawa dalam mengeluarkan fatwa hendaklad diikut pandangan muktamat di dalam Mazhab Syafi'i. Jika pandangan ini didapati tidak boleh membawa kepada tercapainya kepentingan umum (Maslahah 'Ammah) maka hendaklah dipakai pandangan muktamad dalam mana-mana mazhab Sunni yang empat. Jika ini juga tidak membawa kepada tercapainya maslahah maka bolehlah diijtihad (dengan menggunakan kaedah-kaedah Fiqah tertentu) supaya terhasilnya maslahah.

Maka dari sini kita berpendapat bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri yang sedia ada memang memberi ruang kepada Mahkamah untuk membuat keputusan yang boleh mengelak daripada jatuhnya talak terhadap isteri seseorang yang telah mengungkapkan lafaz taklik yang boleh meruntuhkan institusi keluarga serta mendedahkan anak-anak kepada masa depan yang tidak terjamin.

 

Sekian.

DATO' DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR.
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

More in this category: « Masyarakat Sivil Menurut Hegel

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.