Kontemporari

Masyarakat Sivil Menurut Hegel

Oleh : Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir [21/11/2013]

 

Pendahuluan

Perkara pertama yang kami mahu tinjau sebelum masuk membincangkan tajuk diatas adalah kegagalan/keberjayaan Aturcara PengIslaman Sains Sosial, semenjak mungkin diasaskan pada 1977 di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam di Mekah. Bukunya yang berkaitan diterbitkan oleh Al-Faruqi dan Naseef bertajuk Sosial and Natural Sciences (1981) dan diterjemahkan oleh Mohamad Rafie bertajuk Sains Sosial dan Sains Tulen (1989).

 

Selain beberapa pernyataan teori berkenaan apakah yang dimaksudkan Sains Sosial Islam ataupun Sains Sosial Menurut Pandangan Islam, lima bidang utama Sains Sosial juga dibincangkan, iaitu Sejarah, Ekonomi, Psikologi, Tamadun dan Antropologi. Kami tidak akan membincangkan kandungan buku ini, cukup sekadar ringkasan itu sahaja. Kalau diperhatikan pencapaian gerakan intelektual yang diasaskan semenjak lebih 35 tahun yang lepas ini, iaitu jika diperhatikan menerusi pembentukan silabus-silabus ijazah pertama di universiti-universiti Islam, judul-judul kajian saintis Muslim, makalah-makalah jurnal, buku-buku, amalan-amalan masyarakat Muslim dll, makanya bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kejayaannya tidaklah memuaskan. Malah, dalam kes-kes tertentu, pencapaian negara-negara Bukan-Islam mangatasi pencapaian di negara-negara Islam, contohnya penggubalan silabus Ekonomi Kewangan Islam di Eropah.

 

Kini, selepas persidangan pertama di Mekah pada 1977, kedua di Islamabad pada 1980, ketiga di Dhaka pada 1981, keempat di Jakarta pada 1982, kelima di Kaherah pada 1985 dan keenam di Cape Town pada 1996, semuanya menjadi kelam dan kabur. Seolah-olahnya tiada pernah dibincangkan PengIslaman Sains Sosial. Pencapaian terbaik daripada gerakan ini adalah wujudnya dualisme dalam pendidikan Sains Sosial di universiti-universiti di negara-negara Islam. Walaupun kami bekerja dalam bidang Sains Tulen, dan hanyalah mentelaah bidang Sains Sosial menerusi bukiu-buku Epistemologi, Metafizik, Mantik dan Falsafah Sains Sosial, namun, kami dapat merasakan bahawa kegagalan utama gerakan intelektual yang diasaskan semenjak 1977 ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara, iaitu :

  1. Tidak cukupnya ilmuwan Muslim yang bekerja mengembangkan konsep PengIslaman Sains Sosial ini,
  2. Ilmuwan-ilmuwan yang sudi bekerja dalam bidang ini pula hanyalah memilih judul-judul kajian yang rendah kualitinya, aspek-aspek luaran seperti mengumpul, mendokumentasi, menyusun, transliterasi dan menerjemah,
  3. Ilmuwan-ilmuwan Muslim terperangkap membincangkan hanyalah Sains Sosial Islam Klasik,
  4. Penguasaan yang lemah dikalangan ilmuwan-ilmuwan Muslim terhadap Falsafah Sains Sosial di Barat. Lalu ini menggagalkan tahap kedua program, iaitu menggantikan Falsafah/Teori/Sistem Sains Sosial Barat dengan Falsafah/Teori/Sistem Sains Sosial Islam.
  5. Sistem keperluan, iaitu keperluan dan kepuasan perseorangan dan lain-lain,
  6. Pengurusan keadilan, iaitu pernyataan-pernyataan hak yang mempertahankan harta seseorang dan masyarakat,
  7. Pengawasan yang menampung lompang pada (i) dan (ii).

Namun, pada kami, kegagalan yang paling utama dikalangan ilmuwan Muslim yang mendokong gerakan ini adalah kegagalan mereka memahami Sains Sosial Barat sehingga ke akar tunjangnya ilmu berkenaan. Keadaan ini boleh dengan mudah dikesan pada mana-mana penerbitan ilmiah ilmuwan-ilmuwan berkenaan. Selalunya memang tidak langsung sampai ketahap Falsafah Sains Sosial Barat yang dikaji. Malah, kerapkali pula falsafah ilmu yang menunjangi Sains Sosial Barat berkenaan dikatakan sebagai selari dengan Falsafah Sains Sosial Islam, semudahnya. Ini patut dielakkan. Kegagalan ini mengakibatkan proses seterusnya tidak langsung boleh berlaku, walaupun ilmuwan berkenaan maklum tentang Falsafah Sains Sosial Islam. Ini adalah kerana seseorang ilmuwan itu tidak akan tahu pada aspek manakah Sains Sosial Barat berkenaan beliau mahu gantikan dengan aspek Islamnya. Umpamanya tidak tahu dimanakah Psikologi bawaan Ibn Sina mampu menggantikan beberapa aspek Psikologi bawaan Freud. Lalu, paling baiknya, Psikologi Freud dikuliahkan selari dengan psikologi Ibn Sina. Paling-paling berjayanya adalah, beliau tersebut meletakkan kedua-dua bentuk Sains Sosial berdampingan, tidak dipersilangkan, tidak dipadukan, tidak harmoni. Inilah dualisme yang kami maksudkan. Ini patut dielakkan. Lalu, semestinya latihan yang secukupnya patut ditimba oleh seseorang ilmuwan Muslim agar beliau memahami dengan jitu sesuatu bidang Sains Sosial Barat sehingga keakar tunjang falsafahnya, disamping mentelaah dengan baik pula Falsafah Sains Sosial Islam. Inilah pernyataan utama dalam perbincangan kami disini.

 

Hegel dan Islam

Suatu perkara yang agak lama juga kami berusaha mendapatkan maklumat berkenaannya adalah keterkaitan diantara Ibn Khaldun dengan Hegel. Umum mengetahui bahawa Ibn Khaldun didakwa sebagai Saintis Sosial pertama dunia dan Hegel adalah Saintis Sosial pertama di Eropah. Dakwaan ini datangnya sendiri dari mulut saintis-saintis Sains Sosial Barat. Kedua-duanya memanfaatkan kajian empirik tatkala mengkaji masyarakat, menggantikan kaedah deduksi sebelumnya, seperti yang diamalkan oleh Herodotus, Ibn Hasyim, dll. Pertanyaannya adalah, apakah Hegel merujuk Ibn Khaldun? Tidak ada sesiapa berupaya menjawab hal ini. Tidak ada pula yang berusaha membandingkan Muqadimah (1337) dengan Vorlesungen uber die Philosophie der Geschichte (1830) bagi meleraikan persoalan ini? Dua karya yang sebanding kandungannya. Tatkala Hegel membincangkan berkenaan Islam (tajuk babnya adalah Mahometanism dan dibincangkan dibawah Seksyen 4 : The German World), beliau tidak langsung menyebut tentang Ibn Khaldun. Kami berpandangan bahawa isu ini sengaja diperbesar-besarkan bagi menunjukkan Hegel dipengaruhi oleh Ibn Khaldun, salah satu bentuk retorik ilmuwan Muslim, namun bukti-bukti tidak pernah diusahakan, sedangkan sebenarnya yang diketahui adalah Muqadimah berada sebagai koleksi di perpustakaan peribadi Hegel. Tidak pernah ditunjukkan bahawa Hegel memanfaatkan maklumat-maklumat daripada Muqadimah. Selalunya, jika tiada bukti didapat didalam karya-karya resmi, hanya ada satu cara menunjukkannya, iaitu menerusi penyelidikan terhadap komunikasi-komunikasi peribadi Hegel seperti diari dan surat-surat beliau kepada rakan-rakan falsafahnya.

 

Seperti yang kami maklumkan di atas, bahawasanya untuk sesuatu perbincangan Sains Sosial Barat, seseorang penyelidik itu haruslah sampai kepada merujuk dasar-dasar falsafahnya. Dalam hal ini, dua buah buku Hegel yang paling bermanfaat ditelaah adalah Vorlesungen uber die Philosophie der Geschichte (1830) dan Grundlinien der Philosophie des Rechts (1820). Kedua-duanya boleh dikelaskan sebagai terangkum dalam bidang Falsafah Politik. Buku yang pertama itu sebenarnya adalah buku yang membahas Sejarah Dunia, kerana terangkum didalamnya semua tamadun-tamadun manusia yang dikelaskan kepada 4 Seksyen, iaitu Oriental, Greek, Roman dan German. Buku ini seumpama karya at-Tabari dalam Tamadun Islam dan karya al-Raniri, Bustanus Salatin, dalam Tamadun Melayu. Namun, Tamadun Melayu tidak dibincangkan oleh Hegel. Apakah sebenarnya sumber rujukan Hegel tatkala mengarang buku ini? Mengikut penyusunan Hegel dalam 4 Seksyen tersebut, kelihatannya beliau mahu memadankan apa-apa dalam Sejarah German dengan apa-apa dalam Sejarah Oriental/Greek/Roman. Tentunya untuk manfaat pembangunan masyarakat German dalam masa-masa mendatang. Namun, peremehan beliau terhadap Oriental sepatutnya mendatangkan kritik yang keras daripada ilmuwan-ilmuwan Oriental, terutamanya Cina, Melayu dan Jepun. Ini suatu aspek yang belum dijengah. Peliknya, Islam/Mahometanism dibincangkan didalam Seksyen German. Entah apa muslihatnya? Mungkinkah disebabkan ramainya Bangsa Turki dalam German?


 

 

 

Masyarakat Sivil Hegel

Kami tidak langsung berkesempatan untuk mendapatkan rujukan-rujukan yang dimanfaatkan oleh Hegel tatkala beliau membahas isu masyarakat sivil ini. Tentunya, jika itu mampu dilakukan, terutamanya rujukan-rujukan beliau terhadap ilmuwan-ilmuwan Barat sebelumnya, kami akan mampu menunjukkan bahawa idea-idea teras beliau hanyalah mungkin pengubahsuaian idea daripada ilmuwan sebelumnya. Kami memaksudkan karya-karya seumpama Gibbons, The Falls of Roman Civilization (1770), dll. Berdasarkan pentelaahan kami terhadap beberapa sumber rujukan kemudian, Hegel sebenarnya hanyalah mahu menjawab persoalan ini, iaitu apakah yang membuatkan susunan/tatanan masyarakat itu rasional, yang semulajadinya rasional dan jelas? Padanya, yang menjadikan tatanan masyarakat itu semulajadinya rasional adalah kebebasan atau ketentuan-sendiri. Namun, konsep kebebasan Hegel adalah bersifat sekunder, iaitu  bukannya ditentukan oleh diri sendiri, tetapi ditentukan oleh “orang lain”. Contoh yang beliau berikan adalah kasih-sayang. Menerusi konsep ini Hegel menganalisis kebebasan perseorangan, kebebasan moral dan kebebasan masyarakat. Ada satu perkara yang agak masih belum dijawab dengan baik oleh Hegel. Adakah kebebasan-sendiri itu yang menjadikan tatanan masyarakat itu semulajadinya rasional dan jelas? Kalau boleh dianggapkan tatanan masyarakat itu budaya=budi+daya, bagaimanakah kebebasan-sendiri anggota-anggota masyakat itu  boleh menentukan tatanan masyarakatnya? Apakah budaya? Bukankah, kita lahir-lahir sahaja sudah berada dalam budaya? Mana mungkin kebebasan-sendiri kanak-kanak menentukan budaya atau tatanan masyarakatnya? Apakah kebebasan-sendiri boleh mengubah budaya? Pernahkah budaya berubah?

 

 

Akhirnya, kami mahu memberikan ungkapan Hegel terhadap masyarakat sivil mengikut kefahamannya, iaitu :

 

  1. Sistem keperluan, iaitu keperluan dan kepuasan perseorangan dan lain-lain,
  2. Pengurusan keadilan, iaitu pernyataan-pernyataan hak yang mempertahankan harta seseorang dan masyarakat,
  3. Pengawasan yang menampung lompang pada (i) dan (ii).

 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.