Kontemporari

Kebangkitan Rakyat: Haluan dan Cabaran Gerakan Islam

Oleh: Hariz Zulkapli

Kebangkitan gerakan Islam era kebangkitan
Sejak tercetus kebangkitan yang membawa kepada kejatuhan pemerintah republik Tunisia, dunia Islam, terutama rantau Afrika Utara dan Asia Barat menjadi perhatian masyarakat dunia. Bersama perkembangan ini, kemunculan dan kemenangan parti-parti berideologi Islam dalam arena politik dan pilihan raya juga mencetuskan satu minat baharu terhadap gerakan Islam dan parti berasas Islam.

Satu konsensus kelihatan dicapai di media Barat dan dalam kalangan pemerhati, melibatkan haluan baharu kumpulan politik Islam. Satu pendekatan yang disifatkan moderat dan lebih liberal dikemukakan sebagai haluan yang tidak dapat dielakkan daripada diambil oleh parti-parti berasas Islam. Wacana agak dominan kebelakangan ini – yang boleh disifatkan sebagai era “pasca-911” atau “zaman teror” meletakkan beban kepada gerakan Islam untuk bersikap “moderat.”


Kebangkitan pasca-Islamisme
Satu pendekatan, wacana dan fasa yang dinamakan pasca-Islamisme dicetuskan oleh pengkaji gerakan Islam Asef Bayat semakin mendapat perhatian baharu dan menerima penilaian yang lebih mendalam. Asef mentakrifkan pasca-Islamisme dengan penjelasan berikut: “By ‘post-Islamism’ I mean a condition where,  following a phase of experimentation, the appeal, energy, symbols and sources of legitimacy of Islamism get exhausted, even among its once-ardent supporters.” Asef dalam satu rencana pada awal tercetus kebangkitan di seluruh dunia Arab-Afrika menegaskan bagaimana tesis pasca-Islamisme yang dicetuskan kini kelihatan terlaksana, dan bakal menjadi satu ciri penting perkembangan politik di wilayah tersebut.

Wacana pasca-Islamisme ini mengiringi tesis “kegagalan Islam politik” yang dibawa oleh Olivier Roy, pengkaji Islam politik dari Perancis dalam bukunya, The Failure of Political Islam. Beberapa parti yang dilihat mencapai kejayaan dalam sistem politik demokrasi seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia, Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi dan Parti Wasat, pecahan daripada gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir disifatkan sebagai parti pasca-Islamis. Kebanyakan parti selain AKP – yang dikemukakan sebagai model pasca-Islamisme paling berjaya – mengambil pendekatan terpilih pasca-Islamisme dan/atau hanya sebahagian ahli parti yang memilih pendekatan tersebut.

Di Malaysia, PAS sebagai contoh menunjukkan beberapa pendekatan pasca-Islamisme, walaupun wacana dalaman berkaitan hal ini masih berjalan dan belum wujud satu konsensus. Fokus terhadap “negara Islam” dan isu seperti pelaksanaan syariah kelihatan diambil tempatnya oleh isu pentadbiran yang bersih, politik dalam masyarakat plural dan isu kehidupan harian lain. Satu perkembangan terkini ialah keputusan PAS mengemukakan gagasan “negara berkebajikan” yang merupakan penyampaian ide berasaskan Islam PAS dalam bahasa mudah difahami orang ramai.

Dalam sistem politik demokrasi, parti-parti Islam tidak dapat mengelak daripada terkesan dan memberi kesan kepada perkembangan politik global hari ini yang menyaksikan populisme yang semakin meningkat dan berleluasa. Dari Maghribi hingga ke Malaysia, trend semasa kebangkitan rakyat menyajikan peluang dan cabaran yang besar. Sentimen rakyat terbanyak yang semakin sedar hak menolak parti-parti politik termasuk gerakan Islam ke kedudukan kepimpinan, dan pada masa sama tertakluk kepada sentimen ramai. Sifir untung-rugi politik dan pelbagai cabaran lain muncul di hadapan dan tengah-tengah jalan yang dilalui gerakan Islam.

Pada masa sama, wacana menyorot  gerakan Islam cenderung mengambil pendekatan yang sangat bersifat dan berkaitan dengan keselamatan (security-centric), sehingga gerakan Islam sentiasa dibayangi oleh al-Qaeda dan gerakan-gerakan yang bukan dalam arus perdana wacana Islam. Bertolak dari sinilah, wacana yang sering berbau apologetik muncul dari dalam gerakan Islam sendiri, walaupun wacana seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu. Istilah-istilah seperti “hadhari,” “wasatiyyah” dan “PAS baharu” merupakan antara variasi wacana untuk mengemukakan wajah Islam yang lebih mudah diterima para skeptik. Tekanan memunculkan wajah dilihat sebagai moderat ini malah mendorong pemerintah yang tidak beridentiti gerakan Islam mengemukakan wacana balas terhadap wacana negatif berhubung Islam dengan membawa ide wasatiyyah seperti dilakukan pemerintah Malaysia.

 

Tekanan mengubah haluan

Penilaian rapat dan kritikal banyak pihak terhadap gerakan Islam menjadi satu tekanan untuk memilih haluan atau tindakan tertentu, termasuk pendekatan yang lebih “moderat” atau juga disifatkan sebagai pasca-Islamisme. Menurut pencetus ide ini, sesebuah gerakan Islam boleh sahaja memilih pendekatan pasca-Islamisme tetapi bukan secara keseluruhan. Tetapi, tegasnya, haluan ini semakin menjadi satu realiti dalam dunia gerakan Islam seluruh dunia. Era kebangkitan rakyat membawa bersama populisme yang mencabar. Tindakan, kenyataan dan dasar yang berasaskan perkiraan populariti membuka risiko mendesak gerakan Islam memilih haluan yang berpotensi mencetus masalah, terutama pada masa depan. Apa yang dibawa oleh ide pasca-Islamisme bukanlah semata-mata negatif dan bertentangan dengan pegangan gerakan Islam, sebagai contoh ide “negara berkebajikan” dan nilai-nilai Islam yang disebut dalam bahasa difahami orang ramai sebagai tujuan menyampaikan dakwah. Walau bagaimanapun, tekanan hasil pemerhatian dan penilaian banyak pihak, ditambah tuntutan politik populis dalam era kebangkitan rakyat pada masa kini boleh mendorong gerakan Islam mengambil tindakan bukan berdasarkan pemikiran mendalam dan dengan asas yang jelas. Hal ini juga membuka risiko gerakan Islam dilihat oportunis dan tidak mempunyai pandangan yang tetap, sebahagiannya disebabkan oleh perbezaan pandangan dalaman antara pelbagai kumpulan dalam sebuah gerakan Islam.

 

Kesimpulan

Era kebangkitan rakyat pada masa ini menyediakan pelbagai peluang tetapi tidak kurang juga cabaran yang menyentuh asas fundamental gerakan Islam. Perkembangan politik semasa perlu ditangani dengan cermat dan dengan pemikiran yang jelas dan mendalam oleh gerakan Islam supaya tidak terdorong memilih haluan yang bermasalah. Tanpa pemikiran yang mendalam, pendekatan yang dikemukakan sebagai moderat berkecenderungan untuk kelihatan dan muncul dalam penilaian sejarah pada masa depan sebagai tindakan oportunis semata-mata. Populisme semata-mata tidak sepatutnya menjadi sandaran dan modal utama gerakan Islam, yang identiti utama dan misi utamanya bukan matlamat politik dan kuasa semata-mata. Sebagai salah satu pemimpin dan ikutan umat, setiap tindakan perlu didasari asas intelektual dan moral yang jelas.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.