Kontemporari

Dar Al-Hadith Al-Asrafiyah Di Damsyiq : Pelopor Dan Pemelihara Sunnah Sepanjang Zaman

Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali;

Damsyiq  merupakan bandar yang banyak mempunyai sejarah Islam dan tempat tumpuan ilmuan dulu dan kini. Antara tempat pengajian yang masyhur adalah Dar al-Hadith al-Asrafiyyah yang dibina pada tahun 630H/1233M oleh Raja  al-Asraf Musa dan Abu Umar bin Salah atau terkenal dengan nama Ibn Salah yang merupakan syeikh pertama bagi Dar al-Hadith. Dar al-Hadith ini melahirkan ramai ulamak yang menjadi penjaga dan benteng dalam mempertahankan hadith-hadith nabi sepanjang zaman sehingga buku-buku mereka menjadi rujukan sehingga kini. Namun Dar al-Hadith ini telah mengalami kemerosotan dalam kurun 16 dan 17M yang lalu sepertimana yang berlaku di institusi-institusi pendidikan yang lain di Damsyiq. Namun takdir Allah telah mengutuskan seorang ulamak yang bernama Yusuf Abdul Rahman al-Hasani yang datang dari Maghribi untuk membantu menghidupkan institusi ini bersama-sama dengan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf Abdul Rahman ini mempunyai anak  yang bernama Muhammad Badaruddin al-Hasani yang bertanggungjawab memajukan Dar al-Hadith pada zamannya.

Raja al-Asraf Musa  merupakan raja dari pemerintahan Ayyubi yang terkenal dengan pemerintahan yang adil dan amat menyayangi golongan miskin dan sentiasa menziarahi dan menolong mereka. Nama penuhnya ialah Muzafaruddin Abu Fatah Musa bin Abu Bakar Muhammad bin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 576H di Kaherah dan meninggal dunia pada 4 Muharram tahun 635H/1237M. Antara kesan peninggalannya yang kekal hingga kini ialah Masjid al-Taubat, Masjid al-Jarah, Masjid Abi Darda’ dan Dar al-Hadith. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini melahirkan ramai ulamak yang terkemuka sejak Ibn Salah sehingga Muhammad Badaruddin al-Hasani. Antaranya Imam al-Nawawi, Abi Shamah, al-Mazzi, al-Subki, Ibn Hajar, Ibn Kathir, Ibn Jamaah serta lain-lain lagi. Antara yang menyebabkan kemasyhurannya ialah mereka yang mengajar di sini disyaratkan seorang yang pakar dalam bidang hadith di kota Damsyiq atau dunia Islam ketika itu. Oleh itu, jika kita melihat nama-nama syeikh di sini didapati mereka adalah terdiri daripada ulamak yang masyhur pada zaman itu, bukan sahaja di Damsyik tetapi juga dunia Islam. 

Di sini juga, penulisan buku-buku hadith ditulis oleh ulamak –ulamak tersebut yang menjadi teks utama pengajian hadith sehingga kini seperti Ulum al-Hadith Ibn Salah, Tahdhib al-Kamal oleh al-Mazzi, Talkhis al-Mutashabah oleh Ibn Nasruddin. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini menjadi kebanggaan kerana ia merupakan tempat halaqah ilmu bagi semua golongan masyarakat yang ingin belajar hadith nabi. Namun kemudian, kedudukan institusi ini semakin merosot pada kurun 11H/16M. Malah kini sebahagian dari sekolah ini dibeli oleh saudagar  bukan Islam untuk dijadikan kedai. Penulis yang pernah melawat tempat ini pada tahun 2006 dan 2007 mendapati disekelilingnya kini dipenuhi dengan bazar-bazar kerana ia berhampitran dengan Soq al-Hamidiah (Pasar Hamidiah) di Damsyiq. 


Namun Allah mengurniakan dua orang yang alim yang membina semula dan membuat halaqah tersebut pada tahun 1272H/1856. Mereka ialah Abdul Qadir al-Jaza’iri dan Yusuf al-Maghribi. Kemudian institusi ini disambung oleh anaknya  Muhammad Badaruddin al-Hasani, seorang ahli hadith yang masyhur.

Dar al-hadith asalnya sebuah rumah kepunyaan Sarim Syamsuddin Qaymaz (m.596H). Kemudian ia dibeli oleh Raja al-Asraf Musa dan diubah suai untuk dijadikan Dar al-Hadith yang lengkap dengan tempat tinggal syeikh. Raja al-Asraf telah membuka Dar al-Hadith ini pada 15 Syaaban tahun 630H/1233M dan beliau mewakafkan untuk kegunaan golongan syafiyyah dan hendaklah orang yang menjadi syeikh di situ seorang yang pakar dalam bidang hadith. Di institusi ini, Ibn Salah (m. 643H) telah mengarang buku Ulum al-Hadith dan juga mengajar Sunan al-Kubra karangan Baihaqi sebanyak 757 kali halaqah.  Imam al-Nawawi (m.676H) juga pernah mengajar shahih al-Bukhari dan  Shahih Muslim di sini. Imam al-Nawawi menjadi syeikh yang keempat setelah Ibn Salah, Imadduddin Abu Muhammad Abdul Karim (m.662), Shahabuddin Abu Qasim (m.650. Imam al-nawawi menjadi syeikh di sini selama 11 tahun (665-667H) dan beliau tidak mengambil sedikit pun daripada gajinya. Ibn Kathir juga pernah menjadi ketua Syeikh Dar al-Hadith iaitu pada tahun 773H.

Antara syeikh Dar al-Hadith seperti berikut :

1. Al-Hafiz Abu Amru bin Salah (Ibn Salah)

Taqiuddin bin Salah dikenali sebagai Ibn Salah. Beliau dilahirkan pada 577H. Sebelum menjadi syeikh di Dar al-Hadith, beliau pernah mengajar di Madrasah al-Nasariyyah di Quds dan Madrasah al-Rawahiah di Damsyiq. Beliau meninggal dunia pada 643H di Damsyiq.

2. Imaduddin Abdul Karim bin Abdul Samad bin al-Kharastani. Beliau dilahirkan pada tahun 577H. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith selepas Ibn Salah pada tahun 643H dan meninggal dunia pada 662H.

3. Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi. Beliau dikenali sebagai Abu Shamah dan dilahirkan pada tahun 599H .Beliau menjadi Syeikh Dar al-hadith pada 662H sehinggalah ia meniinggal dunia pada 665H.

4. Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Sharaf al-Nawawi (Imam al-Nawawi).Dilahirkan di Nawa, Damsyiq pada tahun 631H dan belajar di Madrasah al-Rawahiah. Beliau meninggal dunia pada 676H dalam usia 45 tahun dan meninggalkan khazanah ilmu yang banyak seperti Raudah al-Talibin 8 jilid, Syarah al-Muslim 12 jilid dan Hadith 40.

5. Abdullah bin Marwan al-Faraqi (m.702)Beliau dilahirkan pada tahun 633H dan meninggal dunia pada 703 dan menjadi syeikh Dar al-hadith pada tahun 677H selama 27 tahun selepas Imam al-Nawawi.

6. Sadaruddin Muhammad bin Umar bin Wakil. (Ibn Wakil). Beliau dilahirkan pada tahun 665H dan meninggal 716H di Kaherah.

7. Kamaluddin Muhammasd bin Ali bin Abdul Qahid al-Zamlakani. (Ibn Zamlakani). Beliau dilahirkan pada 667H .Pernah dilantik menjadi kadi di Halab pada tahun 734H. Beliau pernah mengarang buku dalam menolak pandangan Ibn Taimiyah mengenai ziarah kubur dan talak. Beliau meninggal dunia pada 737H dan dimakamkan berdekatan dengan perkuburan Imam al-Syafi’i di Kaherah. Beliau memegang jawatan syeikh Dar al-Hadith selama 15 hari sahaja.

8. Kamaluddin Ahmad bin Muhammad al-Sharisi. Beliau dilahirkan pada 653H dan menjadi syeikh Dar al-Hadith pada 8 Ramadan tahun 716H  dan meninggal pada 718H.

9. Jamaluddin Yusuf bin al-Zaki al-Mazzi . Beliau dilahirkan pada 654H di Halab dan pernah belajar di Mesir. Antara orang yang pernah belajar dengannya beliau ialah Ibn Taimiyah, al-Zahabi, al-Taqi al-Subki. Beliau mengajar di Dar al-Hadith pada tahun 718H selama 24 tahun dan pengarang kepada buku “ Tahdhib al-Kamal” dan al-Atraf. Beliau meninggal dunia pada 742H

10.Taqiuddin Abu Hassan Ali bin Abdul Kafi al-Subki. Dilahirkan 672 di Manufiah, Mesir. Beliau pernah menjadi kadi di Damsyik sebelum dilantik menjadi Syeikh Dar al-hadith pada tahun 742H. Di akhir hayat, beliau pulang ke Mesir dan tidak sampai 20 hari tinggal di sana beliau meninggal dunia pada 756H..  

11.Tajuddin Abu Nasr Abdul Wahab bin Ali al-Subki. Beliau dilahirkan pada 729H dan pergi ke Damsyiq bersama bapanya dan belajar dengan ulamak di sana seperti al-Mazzi. Beliau juga pernah mengajar di Madrasah Adaliah dan tempat-tempat lain Beliau meninggal dunia pada 771H

12. Sirajuddin bin Amru al-Balqini. Beliau dilahirkan pada 724H di Balqiniah, Mesir dan belajar di Kaherah.. Beliau pergi ke Damsyiq pada 769H dan pernah dilantik menjadi Ketua Hakim Mesir. Beliau meninggal dunia pada tahun 805H.

13.Ismail bin Umar bin Kathir (Ibn Kathir) Beliau dilahirkan pada tahun 701H dan  belajar dengan Burhanuddin al-Fazari, al-Mazzi dan Ibn Taimiyah. Beliau banyak mengarang antaranya Tafsir Ibn kathur dan Tabaqat al-Syafi’iyyah dan Ringkasan Tahdhib al-Kamal. Beliau dilantik menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Muharram 772H dan meninggal dunia pada Syaaban 774H dan dikebumikan disebelahan gurunya Ibn Taimiyah di Damsyiq.

14.Umar bin Uthman bin Habbatullah al-Mu’ri. Beliau dilahirkan pada tahun 712H dan dilantik menjadi hakim di Tripoli dan Halab pada tahun 752H. Beliau pernah mengajar di Madrasah Nasariyah dan Adaliah dan menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Rabiawwal tahun 772H bagi mengantikan Ibn Kathir. Beliau meninggal 783H ketika berumur 71 tahun.

15.Bahauddin Muhammad bin Abdul Bar al-Subki. Beliau dilahirkan pada tahun 707H dan pergi ke Damsyiq bersama Taqiuddin al-Subki. Beliau pernah menjadi hakim di Mesir pada tahun 766H dan menjadi hakim di Syam pada tahun 774H. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith selepas Umar al-Mu’ri dan meninggal dunia pada 777H dan dikebumikan di Sufah Qasiyyun, Damsyiq bersama dengan perkuburan Tajuddin al-Subki.

16. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Bar al-Subki. Beliau merupakan anak kepada Bahauddin Muhammad al-Subki dan dilahirkan pada 735H di Kaherah. Beliau menjadi kadi Syam pada 777H. Beliau mengantikan ayahnya mengajar di Ghazaliah, Adaliah dan juga menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Jamadil Awwal tahun 777H setelah kematian ayahnya. Beliau meninggal pada tahun 785H

17.Burhanuddin Ibrahim bin Abdul Rahim bin Jamaah. Beliau dilahirkan pada 725H di Kaherah. Beliau dibesarkan di Quds dan pergi ke Damsyiq pada tahun 786H dan menjadi hakim dan khatib di sana. Beliau juga menjadi ketua Hakim di Mesir.

18. Sariuddin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahim al-Salmi. Beliau dilahirkan pada 751H. Beliau dilantik menjadi Syeikh Dar al-Hadith selepas kematian Ibn Jamaah pada tahun 790H. Beliau juga pernah menjadi khatib di Quds dan meninggal dunia pada tahun 799H.

19. Shahabuddin Abu Abbas Ahmad bin Umar. Beliau menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Rejab tahun 791H. Beliau meninggal dunia pada Rejab tahun 793H.

20. Zainuddin Abu Hafs Umar bin Muslim al-Quraishi. Beliau dilahirkan pada 724H. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith pada tahun Rabiawwal 792H. Beliau meninggal dunia pada Zulhijjah tahun 793H dalam penjara.

21. Shahabuddin Ahmad bin Ismail al-Hasbani. Beliau dilahirkan pada 749H dan menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada pada Rabiakhir 792H dan meninggal dunia 815H.

22. Muhammad bin Abi Bakr al-Qaisi bin Nasruddin. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith pada 837H. Beliau meninggal dunia pada 842H.

23 Kemudian Syeikh Dar al-Hadith dipegang oleh Muhamamd Abi Bakr bin Nasruddin (m. 842) dan Alauddin Ali bin Uthman al-Sirafi (Ibn al-Sirafi, 778-844H) dan Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani  dan dikenali sebagai Ibn Hajar. Beliau dilahirkan Kaherah dan menjadi syeikh Dar al-Hadith pada 836h dan meninggal dunia pada 853H di Kaherah dan mengarang 150 buah buku.

24. Kemudian Syeikh Dar al-Hadith di pegang oleh Muhammad al-Khaidari (m.894H). Ada berpendapat beliau memegang selepas Ibn Sirafi. Pada masa ini, syeikh Dar al-Hadith tidak lagi dipegang secara berurutan malahan terdapat dalam masa-masa tertentu ia tidak ada syeikh kecuali orang yang mengajar hadith di situ..

Kemudian Syeikh Dar al-Hadith dipegang oleh syeikh-syeikh berikut :

25. Muhammad bin Ismail al-Wana’i (788-849H), Najmuddin Ahmad bin Muhamad al-Khaidari, Abdullah bin Ibrahim al-Ba’li (m.820H), Husain bin Abdullah al-Samiri (m. 831H), Ahmad bin Muhammad bin Muhammad al-Uthmani (840H), Mahmud al-Tamimi, Ali bin Ismail yang dikenali sebagai Ibn Imaduddin (917-971H), Abu Fatah Muhammad bin Muhamad al-Rabi’i al-Maliki ( 901-975H, beliau memegang sekejap memandangkan syeikh Dar al-Hadith bermazhab Syafi’i ), Shabuddin bin Ahmad bin Ahmad al-Tabbi al-Maqri (910-979H), Ismail bin Ahmad al-Nabilisi (937H-993H), Muhamad al-Hijazi (930-1020H), Abdul Haq bin Muhammad Hijazi (962-1020H), Muhamamad bin Muhamad al-Midani (m1033H), Abdul Hayyi bin Abdul Baqi al-Mahyi (m.1073H), Abdul Qadir bin Mustafa al-Safuri (1010-1081H), Abdul Qadir bin Bahauddin (m.1100H), Muhammad bin Ali al-Kamali al-Syafi’I (m.1131H), Sa’idi bin Abdul Qadir al-Umri (m.1080-1147H), Muhammad bin Ali al-Amadi (1095-1167H).

26. Kemudian Dar al-Hadith ini yang mengalami kemerosotan dalam abad 11 dan 12 hijrah telah dibangunkan semula oleh Yusuf al-Maghribi al-Hasani dan Abdul Qadir al-Jaza’iri.  Yusuf al-Maghribi dilahirkan di Maghribi dan berketurunan Saidina Hasan bin Ali r.a. Beliau dibesarkan di Mesir dan mendapat didikan dari ulamak yang terkemuka seperti Hasan al-Atar, al-Sawi, Sayyid Muhammad Husaini. Pada tahun 1272H/1856M, Abdul Qadir telah membeli  bangunan dan mengelokkan semula masjid dan bangunan tersebut. Ini memandangkan tempat Dar al-Hadith  yang lama menjadi tempat pasar dan minum arak yang menyebabkan mereka berdua mencari satu tempat yang baru. Semasa penulis menziarahi tempat Dar al-Hadith yang lama yang berdekatan dengan suq al-Hamidiah, didapati disekelilingnya adalah kedai-kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam. Pada 1 Rejab 1273H/1857M, Dar al-Hadith yang baru telah dibuka dan Abdul Qadir mengajar Shahih al-Bukhari di situ. Syeikh Yusuf banyak mengembara  dan pernah tinggal di Madinah al-Munawwarah sekian lama. Beliau meninggal di Damsyiq pada 19 JamadilAkhir1279H/1862M.
 
27. Abdul Qadir bin Mahyuddin bin Mustafa al-Hasani. Dilahirkan 1222H/1807M di Magribi. Beliau menghafaz al-Quran dan belajar feqah dari bapanya dan   dan kemudian belajar di Wahran sehingga menjadi seorang yang pakar terutama dalam bidang kesusasteraan arab dan menghafaz kebanyakan daripada hadis-hadis dalam shahih Bukhari. Beliau pergi menunaikan haji bersama bapanya pada tahun 1241H/1826M dan kemudian singgah di Damsyiq. Beliau juga mengambil tarikat Nasyabandi Khalidi. Beliau juga pernah mengembara ke Baghdad dan menunaikan haji kali kedua pada tahun 1243H. Pada tahun 1246H, beliau bersama bapanya yang menjadi ketua pasukan Algeria melawan Perancis.Beliau juga perrnah dilantik menjadi ketua dalam melawan penjajahan Perancis. Pada 1271H, beliau telah tiba di Beirut untuk tinggal di Damsyiq dan diberi sambutan hangat oleh penduduk Damsyiq. Beliau pernah melawat Istanbul untuk melawat Sultan Abdul Aziz, Paris dan London dan juga menghadiri pembukaan Terusan Suez. Beliau meninggal dunia pada 1300H/1882M dan dikebumikan di sebelahan Mahyuddin bin Arabi. Pada tahun 1388/1968M, kuburnya dipindah ke Algeria atas permintaan kerajaan Algeria.

30. Kemudian Syeikh Dar al-Hadith dipegang oleh Abdul Hakim bin Muhammad Nur al-Afghani (1326H) dan kemudian disambung oleh Ahmad Bahauddin bin Yusuf al-Hasani (1277-1330H) dan kemudian oleh Muhammad Badaruddin bin Yusuf al-Hasani.

31. Muhamamd Badaruddin al-Hasani dilahirkan 1267H/1850M dan meninggal dunia pada 1354H/1935M) Beliau bermazhab Maliki  dan belajar di Mekkah, al-Al-Azhar dan Damsyiq. Beliau juga mendapat mendapat didikan daripaad ayahnya syeikh Yusuf al-Maqribi dan ketika ayahnya meninggal dunia, beliau berusia dua belas tahun. Ketika berusia tiga belas tahun, beliau mengasingkan diri untuk beribadat dan menghafaz Shahih Bukhari dan shahih Muslim dan lain-lain kitab hadith. Pada masa ini, beliau mendapat asuhan daripada Syeikh Abu Khair, seorang Imam di Masjid Umawi. Beliau mula mengajar ketika berusia 25 tahun di samping terus belajar dengan ulamak terkemuka seperti al0-Asmuni  dan Ibrahim al-Saqa, Syeikh al-Azhar .pada tahun 1295H/1878M, beliau telah berkahwin dan dikurniakan 8 orang anak, dua lelaki dan enam perempuan. Dua lelaki iaitu Ibrahim Isamuddin (m.1335H/1915M) dan Muhammad Tajuddin (m1362H/1942M). Beliau merupakan seorang yang kuat beribadat dan sentiasa menunaikan solat Dhuha dan tahajud. Beliau menghabiskan masa dengan mengajar ilmu, berjihad dan prihatin terhadap isu-isu umat. Tidak ada orang yang alim di Damsyik sekarang kecuali mereka itu merupakan anak muridnya. Kemudian Dar al-Hadith ini diteruskan oleh anak-anak muridnya Yahya al-Maktabi (m.1956) dan Mahmud al-Rankusi (1985M) dan cucunya Muhammad Fakharuddin al-Hasani (1987M). Sekarang Dar al-Hadith ini dikendalikan oleh Syeikh Husain Hasan al-Su’ainah. Beliau adalah anak murid kepada Mahmud bin Qasim al-Rankusi (1331H/1910M-1405H/1985M). Kini ia ditadbir oleh beberapa ahli lembaga pengarah dan semoga Dar al-Hadith yang baru ini dapat melahirkan ulamak yang terkemuka dalam berkhidmat kepada sunnah nabi.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.