Kerohanian

Tingkatkan Kualiti Ramadhan Kita! : Ustaz Hasri Harun

Setiap kali menjelang bulan yang mulia ini, kita biasanya akan memulakan dengan proses muhasabah dan saling menyiapkan diri untuk melangkah ke bulan yang sangat mulia dana barakah , iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sesungguhnya bulan yang mulia ini sudah menjadi satu ketetapan kepada semua umat islam yang beriman untuk sentiasa bersedia bagi melangkah ke madrasah Ramadan yang sangat barakah ini. Saya mulakan ucapan dengan mengajak semua hadirin agar mensyukuri nikmat Allah kerana masih diberi kesempatan untuk menanti ketibaan Ramadan beberapa hari sahaja lagi. 

 

 Jadilah umat rabbani bulan hamba Ramadan Kesempatan Ramadan yang bakal tiba ini haruslah diraih dengan kefahaman dan keyakinan yang tinggi khusus semua umat Islam termasuk mereka yang mengucap kalimah syahadah bahawa kehadiran Ramadan ini boleh dikategorikan sebagai hadiah  yang cukup besar kepada umat islam. Cuma sejauhmana kita menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan pahala dan ganjarannya sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah kepada kita. Seperti tahun-tahun lalu pastinya “aura’ Ramadan ini bakal memperlihatkan kita betapa manusia akan sentiasa berlumba-lumba untuk melaksanakan amal ibadah serta melakukan  amal soleh sebanyak-banyaknya semata-mata untuk meraih ganjaran yang sangat besar ini.

Program-program tadarus, kuliah, majlis-majlis ilmu akan berkembang meluas dan yang paling menariknya di bulan inilah Allah menjanjikan pahala amat besar kepada mereka yang membantu golongan yang berkeperluan (al-mustadafin). Budaya bersedekah dan menghulur bantuan akan menjadi lebih hebat tatkala bulan yang mulia bagai satu usaha yang sangat hebat di mana tangan-tangan mereka yang menghulur amat murah terutama golongan mustadafin (memerlukan).

Pengalaman penulis melaksanakan program sumbangan beras kepada golongan fakir miskin dibulan Ramadan menyaksikan bahawa mereka yang hendak menyumbang amat memberangsangkan. Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429).

Lakukan amal ibadat dengan ilmu Namun disebalik kehebatan melakukan amal soleh di bulan Ramadan biarlah dilakukan dengan kesedaran dan ilmu yang benar. Bahawa Ramadan yang Allah hantar ini bukan semata-mata pesta amal soleh bermusim. Ia bukan satu tempat di mana kita melepaskan ‘geram’ ibadah kita maka setelah penat kita tinggalkan ianya berseorangan nanti.


Ramadhan  adalah proses tarbiyyah dan latihan kepada kita agar  sentiasa menghulur bantuan kepada yang memerlukan hasil daripada kesedaran yang diajar oleh baginda Nabi Muhamad sAW. Ini sejajar dengan keyakinan bahawa jangan jadikan Ramadan kita kali ini sekadar budaya mengimarah Ramadan tanpa memahami makna ketuhanan dalam diri (rabbaniy). Berapa ramai orang yang melakukan amal ibadat di bulan Ramadan namun ia tinggal dibulan ini sahaja tanpa dilaksanakan dibulan-bulan yang lain. Apalah ertinya suatu amal soleh tanpa istiqamah dalam setiap tindakan. Ini sejajar peringatakan nabi saw yang bermaksud Daripada Aisyah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Solat tarawih di malam-malam Ramadhan Selain dari itu budaya dan tradisi kita melakukan solat tarawih dibulan Ramadan amat bermakna sekali bilamana kesungguhan kalangan kita melakukannya terutama solat tarawih . Namun apalah ertinya solat tarawih pada kita? Tarawih secara umum ertinya istirehat. Amalan solat dan hubungannya dengan rehat ini mengandung makna yang cukup mendalam. Apabila kita bersolat ertinya kita tunduk dan berserah kepada allah swt.

Justeru malam-malam di bulan Ramadan kita disunatkan bersolat tarawih dalam keadaan yang tenang dan penuh kerehatan. Tidak tergesa-gesa dan keterlaluan. Lakukan solat anda dimalam-malam Ramadan dengan tenang dan melaksanakannya dengan penuh khusyuk dan merasai akan nikmat solat tersebut.

Rasulullah mengingatkan kita bahawa melakukan solat-solat sunat dimalam Ramadan mempunyai fadhilat yang sangat besar sepertimana hadisnya :
“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)  Lakukan solat tarawih dimalam-malam Ramadan dengan ikhlas kerana allah bukan kerana manusia. Kerana janji Allah kepada kita adalah laksanakannya dengan penuh keikhlasan maka kita akan diampunkan dosa yang telah lalu.

Persediaan menjelang Ramadhan Ketibaan Ramadan kali ini marilah disambut dengan kesedaran yang tinggi dan kegembiraan yang abadi. Jangan dibiarkan diri kita ini sentiasa keluh kesah dan gundah gulana apabila merasai akan masalah bila tiba sahaja Ramadan. Ingatkanlah peringatan Nabi SAW agar kita sentiasa bersyukur dengan ketibaannya dan sentiasa bersedia untuk berada dibulan mulia ini.

 1.    Muhasabah Ramadan yang lalu
Mari kita renung apakah kekurangan yang dilakukan sepanjang Ramadan yang lalu dan apakah sesuatu usaha yang hendak dilakukan dikesempatan Ramadan mendatang. Hitunglah amalan kita sebelum ini. Apabila perhitungan ini dibentangkan dalam jiwa kita maka disitulah akan datang azam untuk memperbaiki diri agar melakukan sesuatu yang akan lebih baik kali ini. Muhasabah ini sangat penting kerana jika kita tidak melakukannya dikhuatiri diri kita akan terpesong dari jalan-jalan islam . Sebagaimana firman Allah “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 8)

 2.    Tanamkan dalam diri kita untuk melatih diri mendekati Quran (TILAWAH).

Satu amalan yang sangat dituntut islam adalah tilawah Al-Qur'an. Jadikan quran teman sejati. Jadikan ia tempat untuk kita merenung kelemahan dan mencari kekuatan. Di bulan Ramadan pastinya banyak kelas-kelas tadarus dan kelas al-quran. Gabungkan diri anda dengan kelas-kelas ini. Moga diri kita sentiasa lembut bila lidah sentiasa dibasahi dengan kalam suci. Lihat dan renung bagaimanakah amalan dan hubungan kita dengan quran sepanjang hidup kita ini, apakah kedudukan al-quran rendah atau sebaliknya dalam diri. Allah hadirkan Ramadan supaya kita mendekatkan diri dengan Nya. Firman Allah...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang batil).” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

3.    Membina Taqwa dibulan Ramadan (TAQWA)

Bagaimana yang dimaksudkan membian taqwa dalam diri di bulan yang mulia ini?Taqwa adalah nilai ilahiyyah yang sangat besar maknanya. Di bulan ini kita dilatih untuk membesarkan Allah dan mengecilkan dunia. Dibulan yang mulia inilah kita dilatih Allah agar mengingatkan akan kematian yang pasti dan bersedia untuk menghadapinya. Merungkai ikatan kasihkan dunia lebih daripada allah itulah matlamat yang besar bagi kita selain melakukan amal ibadat. Firman Allah s.w.t dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Kesimpulan, marilah kita kembali membuat perhitungan diri kita sebelum datangnya bulan mulia ini. Semua orang akan berbicara tentang Ramadan dan kelebihannya. Namun apa yang sepatutnya kita rasai bila kita tahu bahawa Ramadan telah hampir dengan kita. Sebagai orang beriman sudah tentulahkita gembira dan bersyukur kepada Nya kerana masih diberi kesempatan untuk bersama, tatkala ada orang lain yang tiada kesempatan seperti kita. Marilah didik jiwa agar gembira dan bersyukur dengan kehadiran Ramadan. Jangan biarkan diri kita sentiasa gundah gulana kerana Ramadan membawa beribu pahala kepada kita.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.