Kerohanian

Berhati-hati Dengan Hati Kita

(Nukilan ini disediakan oleh Allahyarham Ustaz Awang Pon Awang Sebon)

Berhati-hati di jalan raya. Bagaimana pula sikap anda dgn hati anda

Hati yang dimaksudkan di sini bukanlah hati sanubari iaitu seketul daging yang berbentuk jantung yang terletak di sebelah kiri dada yang mengepam darah ke seluruh tubuh untuk membekalkan oksigen dan zat makanan kepada sel-sel. Ianya satu latifah (tenaga seni) yang bersifat rohaniah. Ia merupakan hakikat manusia yang bertanggungjawab menerima perintah Allah, menerima hukuman dan sebagainya.

Akhlak samada ianya baik atau sebaliknya adalah cermin dalaman, keadaan atau suasana yang terdapat dalam jiwa seseorang. Kalau perbuatan atau perlakuan yang muncul tersebut itu elok dan terpuji dari sudut pandangan akal dan syarak, maka keadaan atau suasana itu diistilahkan sebagai akhlak yang baik dan kalau sebaliknya yang terjadi maka ia dinamakan akhlak yang buruk. Demikian juga pegangan akidah seseorang itu samada ianya sahih atau sebaliknya bergantung kepada sifat kalbu. Dengan kata lain akidah dan akhlak tertumpu secara khusus kepada perihal kerohanian atau perihal dalaman diri manusia.

Ahli ahli Sufi amat mengambil berat persoalan hati. Hal ini dapat difahami dari difinasi tasawuf yang sekian banyak diberikan oleh ahli tasauf. Di antara definasi tersebut ialah definasi yang diberikan oleh Syeikh Abu Bakar al-Kattani iaitu “at-Tasawuf Safaa’ wa musyaahadah”. Maksudnya: Tasawuf ialah kejernihan dan musyahaadah. Yang dimaksudkan dengan kejernihan, kebersihan, keheningan, kecahayaan itu ialah kejernihan jwa dan hati.

Keadaan Hati

Sabda Rasulullah saw “ Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati”
(H.R. Bukhari dan Muslim)

2. Saiyidatuna ‘Aisyah r.a. telah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Manusia itu kedua matanya adalah sebagai penunjuk, kedua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lidahnya sebagai juru bahasa, kedua tangannya sebagai sayap, kedua kakinya sebagai posmen dan hatinya sebagai Raja. Jika Raja itu baik maka baiklah bala tenteranya”

3. Iman Ghazali dalam huraiannya mengenai erti mendirikan solat mengatakan di antaranya ialah “Engkau menjaga jiwa solat iaitu ikhlas dan kehadiran hati dalam segala bahagiannya.Maka janganlah engkau sujud dan ruku’ melainkan apabil hati engkau sudah bersedia melakukan khusuk, dengan apa yang dikerjakan oleh anggota zahir engkau kerana yang dikehendaki di dalam solat ialah kepatuhan hati, bukan kepatuhan anggota badan” Dari keterangan tersebut nyata kepada kita bahawa yang utama bagi orang yang mendirikan solat ialah jiwa atau hakikat solat, bukan rangkanya atau rupa zahirnya sahaja.

Anggotanya yang zahir dan yang batin iaitu hatinya, jiwanya, perasaannya, fikirannya mestilah sama sama mendirikannya baharulah sempurna pengertian solat yang sebenarnya.

4. Hati sentiasa menjadi rebutan di antara syaitan dan malaikat. Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya “ Di hati itu ada dua kumpulan; kumpulan Malaikat menjanjikan kebaikan dan membenarkan yang hak, siapa yang menemuinya maka ketahuilah ianya dari Allah dan bertahmidlah kepadanya; dan kumpulan musuh menjanjikan keburukan, mendustakan kebenaran dan melarang perbuatan yang baik, siapa yang menemuinya mintalah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam”.

5. Kesibukan hati itu paling banyak. Sesungguhnya ‘akal dan hawa nafsu, kedua-duanya berada di hati. Makanya hati merupakan medan peperangan diantara dua pasukan askar iaitu hawa nafsu dengan tentera-tenteranya dan ‘akal serta tentera-tenteranya. Maka hati selama-lamanya menjadi medan peperangan, pembunuhan dan pertentangan oleh kedua-dua pasukan tadi. Oleh itu wajiblah medan dan kota pertahanan di kawal,dijaga dan tidak dialpakan daripada pengawasan.

6. Perkara yang datang kepada hati itu terlalu banyak. Lintasan lintasan hati datang bertalu-talu kepadanya seperti anak-anak panah yang sentiasa jatuh padanya dan seperti air hujan yang sentiasa menghujaninya malam dan siang, tidak putus-putus dan kita tidak mampu menghalang lintasan lintasan hati itu lalu ianya terhalang daripada mendatangi kita dan tidaklah hati itu menempati dan sama dengan mata yang berada di antara dua kelopak mata,apabila dipejamkan kita dapat beristirehat atau kita berada di tempat sunyi daripada manusia atau di malam yang gelap maka penglihatan keduanya akan terpelihara daripada ternampak yang dilarang atau seperti lidah yang ianya terletak di belakang dua dinding iaitu gigi dan dua bibir dan kita dapat menghalangnya dan mendiamkannya, sebaliknya hati adalah sasaran bagi lintasan-lintasan hati yang kita tidak berdaya menghalanginya dan memeliharanya daripada lintasan hati. Ia adalah suatu perkara yang sukar dan ujian yang amat besar yang kita terpaksa berada dalam kepayahan belaka.

Memandangkan hebatnya pengaruh kalbu atau hati itu dan supaya ianya sentiasa dalam keadaan bersih dari sifat sifat yang tercela maka disinilah peranannya Ilmu Tasawuf.

Menurut Imam al-Ghazali Tasawuf adalah ilmu yang dapat menimbulkan perasaan takut/khawuf kepada Allah swt,melihat kelemahan dan keaifan diri sendiri, meningkatkan makrifat/pengenalan dan ibadat kita kepada Allah swt, mengurangkankan kegemaran terhadap dunia dan menyemarakkan kecintaan terhadap akhirat, membukakan mata hati tentang amal amal yang boleh membinasakannya dan ilmu yang dapat mengenal pasti tipu daya syaitan dan perdayaannya. Tanpa ilmu tasawuf dibimbangi kematiannya berakhir dengan suul-khatimah.

Sementara Abul Hasan as-Syazali melahirkan pula kebimbangannya kepada mereka yang tidak mempelajari ilmu tasawuf mati dalam keadaan berdosa besar tanpa pengetahuan mereka. Makanya Ibn ‘Atta’illah al-Iskandari menyarankan kepada mereka yang hendak mencapai kemenangan di dunia dan di akhirat jangan jemu-jemu mempelajari ilmu tasawuf sepanjang hayatnya sekalipun dia telah mengetahuinya dan menguasainya, apatah lagi bagi mereka yang sebaliknya yang hanya mengetahui sedikit sahaja daripadanya

Kritikan terhadap tasawuf dan sejarah perkembangannya

Menyuruti perkembangan tasawuf berbagai-bagai sikap yang kita temui. Ada yang mencelanya dan menganggap ajarannya tidak benar, bida’ah ,bukan dari ajaran Islam kerana perkataan tasawuf tidak terdapat dalam al-Quran Ia disadur dari ajaran Kristian, Budha,Hindu, Yahudi. Malah ia boleh melemahkan semangat orang Islam dalam mencapai kemajuan. Makanya terdapatlah kitab-kitab yang dihasilkan khusus untuk menyenggahnya.

Ustaz Mustafa Muhammd al-Jayasy al-ahmady menyimpulkan ada tiga kumpulan manusia dengan masing-masing pendirian mereka terhadap ilmu tasawuf itu. Kumpulan

Pertama: Memandang ilmu tasawuf itu dengan hati yang kosong yakni tidak menaruh apa-apa perasaan terhadap ilmu tasawuf samada berupa ingin atau berupa bencinya terhadap ilmu tasawuf malah dari mencelanya adalah jauh sekali.

Kedua: Ada keinginan untuk mengetahui ilmu tasawuf tetapi ianya tidak diteruskan.

Ketiga: Memandang ilmu tasawuf itu dengan sikap “alhikdu ‘alattasawuf” iaitu penyakit dendam, memandang curang dan sakit hati terhadap ilmu tasawuf.

Pendapat yang Pro terhadap ilmu tasawuf

Ketiadaan istilah tasawuf pada zaman Rasulullah saw tidak bererti amalan tasawuf itu tidak wujud. Tidak adanya istilah tersebut kerana telah ada istilah atau gelaran yang paling tinggi pada zaman tersebut seperti gelaran Sahabah dan gelaran Tabii’n. Demikian juga pada era zaman sahabat, kaum muslimin serta pengikut-pengikutnya mereka belajar dan mengajar Islam secara menyeluruh. Tiada satu pun dari ajaran Islam yang tidak di pelajari dan dipraktikkan, baik yang lahir maupun yang batin, urusan dunia maupun urusan akhirat; seperti yang diungkapkan oleh para fugahak “Kemaslahatan(kepentingan) manusia dalam kehidupan dunia dan akhirat. Mereka juga mengambil berat masalah peribadi maupun masalah kemasyarakatan, bahkan masalah yang ada hubungannya dengan penggunaan akal, perkembangan jiwa dan jasmani. Pendek kata roh, makna dan kandungan ajaran tasawuf telah lahir seiring dengan kelahiran agama Islam .Hal ini pernah ditegaskan oleh Syeikh Abu Hussain al-Busanji(348) dengan katanya yang bermaksud “ Tasawuf pada hari ini( zaman kehidupan Syeikh Abu Hausain al-Busanji) ada namanya, tidak ada pada hakikatnya, pada hal zaman sebelumnya Nabi, para sahabat, tabie’n dan tabi’e al-tabi’en), ada hakikatnya tidak ada namanya. Demikian juga tidak wujudnya istilah tasawuf di zaman
Rasulullah saw lalu dengan mudah menghukumkannya bid’ah, adalah satu fenomena yang sangat malang bagi umat Islam menurut pendapat Dr. Othman bin Nafiah.

Oleh yang demikian, ada baiknya jika kita imbas semula beberapa perkembangan yang melibatkan persoalan ini. Antaranya Ilmu Tauhid sebagai satu ilmu pengetahuan yang teratur di samping mempunyai kaedah yang tertentu seperti yang terdapat sekarang ini, sebenarnya tidak wujud pada zaman Rasulullah saw. Disiplin ilmu ini hanya tersebar luas kepada pengetahuan umum dalam bentuk yang tersusun pada kurun yang ketiga dan keempat hijrah dengan kemunculan Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari (260-330) . Begitu juga tentang ilmu fekah, walaupun Rasulullah saw tidak terlibat dalam hal ini tetapi isi daripadanya telah pun diajar oleh Rasulullah saw kepada masyarakat pada zaman tersebut.

Sedangkan disiplin ilmu ini mula disusun pada abad pertama Hijrah oleh Imam-imam mujtahid seperti Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (93-179H), Imam Syafi’e ( 150-204H) dan Imam Ahmad bin Hambal (164-241 H).
Perubahan dan perkembangan umat manusia menyebabkan semua hal di atas terjadi. Maka ianya memerlukan pengawasan yang rapi daripada berbagai-bagai aspek ilmu agar amalan tersebut tidak terkeluar daripada lingkungan yang telah ditetapkan oleh syari’ah itu sendiri. Keharusan untuk berbuat demikian telah dinyatakan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud “ Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu” Ajaran ajaran tasawuf yang terdapat dalam al-Quran akan dihuraikan kemudian.

Amalan tasawwuf dalam kehidupan Rasulullah saw.

Kemudian kalau ditinjau dari segi realiti kehidupan Rasulullah saw ajaran tasawuf itu telah menjadi budaya hidup baginda. Sebagai contohnya, sifat:

a- Zudud.

Bagi Rasulullah saw kekayaan yang sebenarnya bukanlah kekayaan pada harta benda melainkan kekayaan kerohanian pada hal baginda berhak memilikinya sebagai Ketua Negara dan sahabat-sahabat baginda tidak mempertikainya kerana ianya adalah hak baginda yang sah tetapi baginda tetap dengan sifat zuhud baginda.

b- Hidup sederhana

Dalam kehidupan seharian baginda, tercermin sifat kesederhanaan baginda samada dari segi perumahan, pakaian, makan minum baginda. Baginda tidur di atas tikar kasar sehingga berbekas pada bahagian pinggang dan belakang. Pernah seorang sahabat terharu melihat kesederhanaan baginda bila baginda memakai kasut diperbuat dari kulit berisi sabut dengan menawarkan kepada baginda kasut yang empuk tetapi ditolak oleh baginda dengan berkata “ Apalah ertinya bagiku kehidupan dunia ini.Bagiku kehidupan di dunia ini ibarat seorang penunggang yang berteduh sejenak di bawah puhon, kemudian pergi meninggalkannya”.

Bagitu juga pakaian baginda begitu sederhana sekali dimana ‘Aisyah r.a. pernah memperlihatkan sehelai pakaian baginda yang kasar yang dipakai oleh baginda pada detik-detik hayat baginda yang terakhir. Dari segi makan minum, baginda banyak berpuasa dan tidak makan kecuali apabila lapar dan kalaupun makan, makannya tidaklah sampai kenyang

c-Bekerja kuat

Hidup sederhana yang ditunjukkan oleh baginda bukan kerana sifat malas. Baginda menyuruh bekerja kuat untuk memenuhi keperluan hidup dan kelebihan rezeki yang diperolehi dari titik peluh sendiri untuk kepentingan infak di jalan Allah. Baginda pernah menegaskan “ Bekerjalah untuk duniamu, seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah untuk akhiratmu seakan-akan engkau mati esok hari.”

Dalam bidang kemasyarakatan dan amal sosial, baginda terkenal dengan sifat baginda yang amat pemurah dan mengambil berat nasib anak-anak yatim piatu, golongan yang lemah dan sebagainya.

Amalan tasawwuf dalam kehidupan para sahabat.

Demikian juga pada pribadi para sahabat terserlah hakikat ajaran tasawwuf saperti prihal kehidupan saidina Abu Bakar ra. Sekalipun beliau menduduki tempat yang paling terhormat dalam pemerintahan namun sifat-sfat rohani yang mulia itu tidak berubah bahkan beliau selalu mengharapkan teguran dari orang banyak. Di antara kezuhudan Saidina Abu Bakar ra ialah dari segi infak fisabillah dimana beliau menyerahkan sgala harta bendanya untuk sabilillah. Lalu beliau ditegur oleh Rasulullah saw tetapi beliau menjawab “ Cukuplah bagiku Allah dan Rasulnya”. Demikian juga sifat tawadhuk beliau cukup jelas ketika beliau menghantar panglima perangnya Usamah ke perbatasan kota. Usamah berkenderaan,manakala Khalifah Saidina Abu Bakar berjalan kaki. Ketika dipelawa oleh Usamah supaya naik bersama-sama diatas kenderaan, lalu jawap Saidina Abu Bakar “ Biarkanlah telapak kakiku berdebu sejenak di jalan Allah”.

Demikian juga Khalifah Umar ibnu Khattab, sebagai ketua negara tentulah mudah baginya untuk menjadi orang yang kaya raya jika beliau mahu mengambil kesempatan dari kedudukannya itu. Namun demikian pengaruh dunia itu disingkirkannya dengan menempatkan takwa diatas segala-galanya. Menurut satu riwayat seorang Raja Eropah menghantar petugasnya untuk melihat lebih dekat lagi kehidupan Khalifah Umar Ibnul Khattab. Petugas itu coba mencari-cari Astana Khalifah Umar Ibul Khattab dengan sangkaan tentulah Astananya hebat dan mewah seperti Astana Raja Raja Eropah. Sangkaan itu meleset bahkan dia terharu bertemu dengan Khalifah di luar kota, tidur dibawah puhon berbantalkan tangan tanpa pengawal yang mendampinginya. Khalifah tidak tidur lena kerana hatinya amat empati dengan kesusahan rakyatnya. Khalifah selalu mendekati rakyatnya untuk meninjau dan mengetahui lebih dekat lagi nasib rakyat dengan menyamar seperti orang biasa.Dari segi berpakaian dan makan minumnya amat sederhana. Selalu bermuraqabah dan mengisab diri kalau-kalau terdapat tanda-tanda nifak dan kealpaan pada diri Khalifah makanya Khalifah selalu menemui sahabat-sahabatnya yang lain di antaranya ialah Salman al-Farisi minta ditunjukkan kealfaan dan kesalahannya. Jika sahabat-sahabat merasa keberatan untuk menunjukinya, dia mendesak juga agar diberitahu dimana kealpaan dan kelemahannya jika ada.

Sepeninggalan Umar Ibnul Khattab, Uthman bin Affan dilantik sebagai Khalifah. Sifat dermawannya Khalifah Uthman r.a terserlah ketika mana Nabi Muhammad saw hendak memerangi Rumawidi Tabuk, keadaan ekonomi umat Islam amatlah lemah disebabkan musim panas yang panjang. Pada sa’at susah itulah, Saidina Uthman memperlihatkan kemurahan hatinya dengan menginfakkan 1000 ekor unta, 70 ekor kuda dan wang 10.0000 dirham Di Madinah ada sebuah perigi yang namanya Telaga Roman, milik seorang Yahudi dimana ayernya baik untuk diminum. Yahudi menjual ayernya dengan harga yang cukup mahal. Ianya menyusahkan kaum muslimin dimana mereka tidak mampu membelinya. Kerana empatinya Kahlifah terhadap nasib rakyatnya,lalu perigi itu dibelinya dan diwakafkannya kepada kaum muslimin. Maka kesulitan kaum muslimin dalam mendapatkan ayer dapat diatasi.

Khalifah Saidina Ali bin Abi Thalib tidak kurang kezuhudannya kalau dibandinga dengan sahabat-sahabatnya yang lain. Beliau terkenal dengan sifat berani,pengasih, pema’af dan pemurah. Musuh politiknya mudah dima’afkannya . Akhlak dan budi pekertinya yang tinggi itu kerana terpengaruh dengan akhlak Rasulullah saw selain daripada hubongan darah dan perjuangan.

Gelaran Sufi

Gelaran Sufi atau al-sufiah timbul pada kurun yang kedua Hijrah bila mana orang Islam sudah ada yang lupa daratan, hidup bermewah-mewah dan berfoya-foya, bongkak dan takabur samada yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka maupun rakyat biasa. Lebih terserlah lagi kehidupan keduniaan dan kebendaan bilamana kekuasaan sudah pindah ke tangan Yazid bin Mua’wiyah dan tersebar luas nya Kerajaan Islam pada zaman Khalifah Bani Ummaiyah dan di zaman Bani ‘Abas di Baghdad pada tahun 132H yang berturut-turut dipegang oleh Khalifah-Khalifah Abu Abas as-sifah, Abu Ja’afar al-Mansur, al-Mahdi,al-Hadi, Harun ar-rasyhid, al-amin dan almakmun. Akibat dari kemewahan tersebut ramai umat Islam yang meninggalkan solat, tidak lagi membaca al-Quran , sudah kurang yang beristighfar, .

Sebagai reaksi dari keadaan tersebut, lahirlah segolongan umat Islam yang salih yang tidak mengejar dunia dan keduniaan kembali kepada kehidupan yang diwarisi dari zaman Nabi dan zaman para sahabat. Mereka kembali ke Masjid tekun

beribadat,memperbanyakkan solat, zikir, tasbih dan doa. Pakaian mereka sederhana,makanan mereka pun sederhana . Makanya timbullah gelaran gelaran al-‘Ubbad, al-Nussak, al-Zuhhad, al-Qurra, albaka’in dan akhirnya lahirlah gelaran al-Sufi atau al-Sufiah. Gelaran terakhir ini menjadi popular dan diterima oleh umum sehinggalah menjadi satu istilah.yang menggambarkan perjalanan hidup mereka yang berusaha untuk meneruskan perjalanan hidup Rasulullah saw, dan para Sahabat.

Ajaran ajaran tasawuf yang terdapat dalam al-Quran

a-Mujahadah an-Nafs

Dalam istilah tasawuf mujahadah bererti: berjuang bersungguh-sungguh untuk melawan hawa nafsu yang ada dalam diri masing-masing , mengekang dan membawanya ke jalan yang benar. Nafsu ada tiga jenis iaitu:

1. Nafsu ammarah iaitu nafsu yang menarik kepada perbuatan maksiat sekalipun dia telah bertaubat tetapi mengualanginya semula. Orang yang dikuasai oleh nafsu ammarah dikhuwatiri mati dalam suulkhaatimah.

2. Nafsu lauwaamah iaitu nafsu yang terselamat dari dosa besar tetapi sebagai manusia biasa dia masih berhadapan dengan dosa-dosa kecil yang tidak dapat dielakkan,namun demikian dia segera merasa kesal serta mencelanya dan berazam tidak terlibat lagi. Allah menjanjikan orang yang yang kebaikannya lebih banyak dari kejahatannya dengan janji yang baik. Firman Allah “ Mereka yang telah menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan yang keji kecuali kesalahan-kesalahan kecil, sesungguhnya Tuhan mu amat laus pengampunannya”(An-Najm:32)

3. Nafsu mutmainnah (nafsu yang tenteram) iaitu nafsu yang berada dalam keadaan tenang dan tenteram,terselamat dari godaan nafsu. Nafsu mutmainnah tidak loba, rakus atau tamak,merasa cukup apa yang ada. Berlawananan dengan nafsu ammarah, yang tamak, loba danrakus,mahu melakukan perkara yang keji, tenggelam dalam dosa. Ketiga -tiga jenis nafsu tersebut ada diterangkan dalam al-Quran seperti berikut:

1. Dalil Nafsu Ammaarah. Firman Allah “Dan aku tidak membebaskan diriku(dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan,kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (S:Yusuf:12:53 )

2. Dalil nafsu Lauwaamah. Firman Allah “Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)” (S:al- Qiyaamah:75:2)

3. Dalil nafsu mutmainnah. Firman Allah “ Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai- Nya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhainya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba ku dan masuklah ke dalam Syurgaku” (S:al-Fajr:89:27-30)

Sifat nafsu ammarah.

Sifat nafsu ammarah yang membawa kepada dosa hati dan menjadi penyakit hati yang ada dalam diri manusia itu erat sekali hubungannya dengan sifat sifat hati. Sifat sifat hati seperti berikut:

1. Sifat rububiah iaitu sifat ketuhanan yang hanya layak dimiliki oleh Allah swt sahaja seperti sifat takabur,cinta kepada pujian dan sanjungan, cinta kepada kekuasaan dan minta ditinggikan dari segala yang lain, sehingga seolah-olah dia mengatakan: Akulah Tuhan yang Maha Tinggi.

2 Sifat syaithaniah atau sifat kesyaithanan yamg daripadanya muncul sifat dengki,inaya, tipu helah, mendorong membuat kerosakan, mengelirukan,nifak,mengajak orang membuat perkara-perkara yang bid’ah, sesat dan sebagainya.

3. Sifat Bahimiah iaitu sifat kebinatangan seperti tamak haloba,bersangatan dalam makan minum, berzina,mencuri,memakan harta anak yatim dan sebagainya.

4. Sifat Subi’yah iaitu sifat kebuasan yang daripadanya timbul sifat marah,iri hati,memaki hamun, membunuh,memusnahkan harta benda dan sebagainya.

5. Sifat ‘Abid iaitu sifat kehambaan seperti sifat penakut, menghina diri dan sebagainya.

Nafsu sukar dihadapi

Perjuangan melawan nafsu amat sukar dan payah sekali. Ia dianggap perjuangan yang paling berat.Lebih berat daripada peperangan menghadapi musuh di medan peperangan. Hal ini terbukti sekali dalam sabda Rasulullah saw ketika mengalu-galu sekumpulan kaum Muslimin yang pulang dari berjihad dengan sabda baginda yang bermaksud “Aku ucapkan selamat kepada kamu. Kamu kembali dari jihad yang kecil untuk menghadapi jihad yang lebih besar”. Kemudian apabila ditanya tentang jihad yang lebih besar baginda menjawab “ Jihadun nafs” Maksudnya “ Jihad menentang nafsu”. Sabda Rasulullah saw lagi “ Musuh mu yang paling ketat terletak diantara dua rusuk mu( nafsu yang terletak dalam badan kita).

Kata kata ulamak yang berikut turut membuktikan betapa hebat dan payahnya menghadapi musuh yang di namakan Nafsu itu:

1. Imam al-Ghazali “ Hati-hati kamu dari hawa nafsu. Ia adalah musuh yang paling jahat dan paling sukar mengalahkannya. Rawatannya paling payah menyembuh,penyakitnya penyakit yang paling sukar dirawat dan ubatnya paling rumit. Oleh sebab itu kita wajib berwaspada daripadanya. Betapa tidak, sebab ia berada dalam diri kita, dalam tubuh kita. Musuh dari dalam, bukan seperti Syaitan, dia adalah musuh dari luar. Dan ingatlah si pencuri apabila telah berada di dalam rumah sukar untuk menghalaunya dan besar bahayanya.
 
Benarlah kata orang “ Nafsu mengajak kepada perkara yang mencederakan daku,ia memperbanyakkan penyakit dan kesakitanku. Bagaimanakah helahku untuk melepaskan diri daripada seorang seteru apabila seteruku telah berkubu di antara celah-celah tulang rusukku membuat huru hara. Selain daripada itu, nafsu itu adalah musuh yang dicintai, sedangkan manusia buta daripada ke’aipan kekasihnya, hampir dia tidak nampak ke’aipannya sebagaimana yang telah dikatakan oleh hukamak “Dan anda tidak akan nampak ke’aipan orang yang anda cintai dan pada orang yang menjadi saudara anda, dan anda tidak nampak sedikitpun beberapa kea’aipan yang berada pada dirinya apabila anda telah menjadi seorang yang redha.

Dan mata yang redha, rabun untuk melihat semua ke’aipan tetapi mata yang benci menampakkan segala keburukan…………….Sesungguhnya nafsu sangat bahaya. Andainya di sana tiada dunia, tiada makhluk dan tiada syaitan sekalipun, sememangnya hawa nafsu dengan keangkuhan takburnya dan hasad dengkinya tetap melakukan dengan apa yang telah dilakukan terhadap Iblis hingga menjadi kafir lantaran enggan ta’at perintah Allah disebabkan durongan nafsu takabur dan hasad. Lihatlah dosa Nabi Adam dan isterinya Hawa’. Hawa nafsu telah mencampakkan kedua-duanya ke dalam perbuatan yang dilarangkan dengan memakan buah larangan Allah………….Begitu juga cerita pembunuhan di antara Qabil dan Habil,berlaku adalah kerana nafsu hasad dengki. Begitu juga cerita Harut dan Marut , berlakunya noda kerana dorongan nafsu syahwat.

2. Kata Sufian ath-Thauri “ Tiada sesuatu yang aku rawati lebih sukar daripada nafsuku sendiri; satu ketika aku mengalahkannya dan ketika yang lain ia mengalahkan aku.”

3. Kata al-Hasan al-Basri “ Tiada binatang tunggangan yang lebih memerlukan kepada tali kekang selain daripada nafsumu”

4. Yahya bin Mu’az ar-Razi pula berkata “ Berjihadlah menentang nafsumu dengan bersenjatakan riadhah empat perkara: Makanan yang sedikit, tidur yang sedikit, bercakap ketika perlu dan bersabar menanggung derita. Makanan yang sedikit mematikan syahwat,

tidur yang sedikit menyelamatkan diri dari bencana dan sabar menanggung derita menyampaikan tujuan”.

5. Yahya bin Mu’az berkata lagi “ Musuh manusia ada tiga: Dunianya, Syaitannya dan nafsunya. Berjaga-jagalah dari dunia dengan mengamalkan zuhud dan dari Syaitan dengan menentang godaannya dan dari nafsu dengan meninggalkan syahwat”

Cara melawan hawa nafsu:

1.Mujahadah nafs seperti menyedikitkkan makan,minum sebagaimana sabda Rasul “Jangan kamu tumpaskan kepekaan hati dengan banyak makan dan minum. Sebab hati itu laksana tanaman. Ia boleh mati kalau digenangi air secara berlebihan”Kenyang berlebihan akal menjadi malap,banyak mengantuk, syahwat berkubar,perangai bongkak dan malas beribadah. Rasul menggariskan kaedah pemakanan dengan sabdanya “.Sepertiga untuk makanan,sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk nafas”. Kurangkan tidur,bercakap sekadar perlu dan sabar menanggung gangguan orang lain.

Mujahadah ialah melawan godaan hawa nafsu iaitu belajar mengasuh diri sendiri dengan cara berangsur angsur supaya kita dapat menguasainya. Dan hendaklah kita ketahui dan faham bahawa nafsu adalah tali barut syaitan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan kita belajar mengenal dan mengecamnya bahawa nafsu kita sekarang adakah dia sedang dihasut oleh syaitan atau tidak. Dan inilah yang penting dan perlu sekali kita mengenalinya, kemudian hendaklah kita mujahadahkan ia dan kita lawan ia sebagaimana firman Allah “ Mereka yang bermujahadah pada jalan Kami nescaya kami beri petunjuk kepada mereka jalan jalan kami” ( al-Angkabut:29:69)

Contoh contoh mujahadah:

Misalnya, menurut kebiasaannya nafsu kita suka kepada makanan yang sedap dan lazat makanya kita makan sekenyang-kenyangnya hingga menyebabkan malas hendak beribadat. Cara mengatasinya ialah kita mujahadahkan ia dan kita lawan ia dengan kita makan jangan sampai melampaui batas yang menyebabkan keberatan hendak beribadah. Dan satu contuh mujahadah lagi, menurut kebiasaannya nafsu kita malas hendak bangun beribadat di tengah-tengah malam tetapi kalau hadir di majlis majlis perbualan maka sepuluh jam tidak memberi apa apa kesan malah dirasa sekejap jua. Jika berlaku demikian maka hendaklah kita ajarkan nafsu kita dan kita coba paksakan ia supaya bangun di tengah-tengah malam mengikut jadualnya untuk menunaikan ibadat. Dengan kata lain kita kena tahan nafsu syahwat kerana binatang yang degil akan menjadi lembut dan lemah apabila dikurangkan makanannya.

2. Bebankan nafsu itu dengan banyak melakukan ibadat kerana bahawasanya binatang Himar apabila ditambah pada muatan pikulannya serta dikurangkan makanannya nescaya ia akan tunduk dan menurut perintah tuannya. Dengan kata lain perbanyakkan ibadah solat sehinggalah keakhir hayat. Firman Allah “ Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini(ajal)” (S:al-Hijr:15:99). Firman Allah lagi “Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan perbuatan keji dan mungkar”.(S: al-Angkabut:29:45)

3. Dengan berzikir. Menurut ahli sufi amalan zikrullah jalan yang paling dekat untuk sampai kepada Allah swt. Sebab itulah apabila Saidina ‘Ali bin Abi Talib memuhun kepada Nabi Muhammad saw supaya baginda mengajarkan amalan khusus yang cepat sampai kepada Allah swt, maka Nabi Muhammad saw menjawab dengan sabdanya yang bermaksud “ Wajiblah ke atas kamu sentiasa berzikrullah di tempat-tempat yang sunyi”. Malahan ada diantara tokoh sufi meletakkannya sebagai salah satu rukun dalam amalan tasawuf sebagaiman ditegaskan oleh Syeikh Abu ‘Aliu al-Daqaq yang antara lain katanya “ Zikrullah adalah merupakan satu rukun yang penting pada jalan Allah, bahkan ia merupakan asas yang sangat kuat dipegang di jalan Allah itu, seseorang tidak akan sampai kepada Allah dan keredhaannya kecuali dengan sentiasa berzikrullah”.

Zikrullah yang mampu mengikis hati yang berkarat menjadi suci dan bersih secara automatik laksana air api dapat meleburkan sisa-sia tembaga yang bercampur aduk dalam cecair emas hingga menjadikan ia emas bermutu, ialah dari zikir ghaflah (hati lalai mengigati Allah swt ketika berzikir) kepada zikir yaaqazah(ketika berzikir hati telah sedar,bangun terhadap Allah swt) kepada zikir hudhur(hati sentiasa hadir dengan Allah swt semasa berzikir dan akhirnya akan meningkat kepada zikir al-ghaybah( yang lain daripada Allah akan lenyap dari hati dan yang ada hanya Allah swt di dalam hati)

4. Taubikh atau mu’aatabah iaitu berdailog mutmainnah dengan diri sendiri yang memiliki nafsu ammarah. Maksudnya ialah diri mengajari diri. Sebagai contuhnya ialah seandainya nafsu kita ingin mencari pangkat dan kedudukan, mengumpul harta duniawi sebanyak-banyaknya, kepadanya hendaklah kita katakan “ Hai nafsuku! Tidak kah engkau tahu bahawa Firaun yang gagah dan sampai mendakwakan dirinya menjadi Tuhan, ditenggelamkan Allah. Tidakkah engkau tahu bahawa Qarun yang kaya raya sampai ditelan oleh bumi. Tidak kah engkau tahu Hitlar seorang diktator dalam perang yang kedua yang sangat berkuasa akhirnya mati juga. Apalah gunanya pujian, apalah gunanya sanjungan. Tidak ada faedahnya dan gunanya di alam akhirat nanti. Oleh kerana itu kembalilah kamu hai nafsu ammarah, ke jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah, supaya kamu selamat di akhirat nanti.

5. Memohon pertolongan daripada Allah swt dan merendah diri (berdoa’) kepadanya agar terselamat dan dapat melepaskan diri daripada godaan nafsu durjana sebagaimana ucapan Nabi Yusuf yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud “ Sesungguhnya nafsu itu amat menyuruh dengan kejahatan melainkan orang yang diberi rahmat olehTuhanku(maka terselamatlah dia dari runtunan nafsu jahat).

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.