Karya Kreatif

Cerpen : Tatkala Bangsanya Kembali Buta(14 Mei '08)

Dua lelaki yang sudah berumur itu duduk agak lama di kedai kopi mewah di dalam bangunan kedua tertinggi di dunia yang tersergam indah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Orang ramai lalu lalang dengan urusan masing-masing. Salah seorang daripada mereka bernama Azhar. Dia berambut pendek,berkumis dan berjanggut.Dia melepaskan berat tubuhnya untuk ditampung oleh kerusi yang sedang disandarinya sambil kedua-dua tangannya memegang tempat meletak tangan yang dibuat selari antara satu sama lain.  Kedutan pada wajahnya menggambarkan dia sudah banyak menghadapi dugaan dalam hidup. Dia masih gagah dan bersedia untuk menghadapi apa lagi yang akan datang menguji.

Temannya pula seorang penulis sepenuh masa yang berambut, berkumis dan berjanggut panjang. Warna putih ubannya juga membayangkan pengalaman hidupnya menempuhi seribu ranjau untuk hidup dengan perjuangannnya sendiri. Bicaranya lembut dan kata-kata yang keluar dari mulutnya sering tersusun dan bagaikan dipilih dengan teliti.

 Hari itu bertarikh 23 April. Azhar dan teman penulisnya itu berada di KLCC pada hari  itu. Mereka berdua hadir ke sebuah gedung buku yang besar di KLCC itu untuk membeli beberapa buah buku. Selain daripada itu, mereka juga berada di sana untuk meraikan sebuah hari yang istimewa, tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang hari tersebut, apatah lagi untuk bersusah-payah meraikannya.

Azhar membelek-belek buku yang baru dibeli.Dibacanya catatan yang tertera pada kulit belakang buku itu. Ada komentar dan pandangan oleh mereka yang telah membaca buku itu. Semuanya baik- Buku ini  mampu memberi provokasi pada minda pembaca- Renungan yang mendalam. Itulah ulasan-ulasan yang tertera di belakang buku itu. Teman lamanya pula menghirup kopi mewah dan kaya aroma itu dengan begitu asyik.
“Orang kata jangan menilai buku dari kulitnya...tetapi itu sudah ketinggalan zaman. Masyarakat kapitalis hari ini semuanya mahu gambaran awal yang baik pada buku sebelum terdetik untuk membelinya......itu baru perihal membeli buku, membacanya pula cerita lain..” temannya  memecah kebuntuan bicara antara mereka berdua sambil  ketawa kecil.


Azhar tidak menyambut tawa temannya itu tetapi ekor matanya menjeling pada temannya. Memang betul apa yang dikatakan. Zaman kapitalis. Buku juga tidak terlepas daripada hukum perniagaan. Mesti mematuhi adat pemasaran. Kalau berdegil, tersadailah buku-buku di rak tanpa pembeli.


Azhar bertanya,“Bagaimana dengan buku-buku lama engkau, penjualan bagus?”


“ Dengan syarikatku sendiri....bolehlah. Ada juga ongkos yang masuk,”


Ruang sembang antara mereka berdua itu seakan terhenti seketika apabila Azhar berfikir sesuatu tentang temannya. Barangkali memang benar masalah sebenar pada masyarakat adalah mereka tidak ghairah membaca dan menuntut ilmu. Penulis-penulis berjiwa besar seperti temannya itu susah untuk bergantung sepenuhnya pada wang royalti hasil penjualan buku. Tidak seperti penulis-penulis Barat yang kaya raya dengan buku-buku fiksyen bestseller mereka. John Grisham, Sidney Sheldon, Tom Clancy, Michael Crichton.Kekayaan hasil tulisan mereka menjanjikan kesenangan yang lama. Makan tak habis untuk berapa keturunan agaknya? Kalau masyarakat suka membaca, pasti para penulis boleh hidup dengan lebih selesa. Buku-buku mudah terjual dan para penulis ini akan memiliki motivasi untuk terus menulis lagi.


“ Walau bagai mana sukarnya kehidupanku..aku tetap akan berjuang dengan caraku sendiri.Biarlah aku tidak berkereta mewah, berumah besar dan memiliki harta benda yang banyak untuk simpanan keluargaku tujuh keturunan, tetapi ini jalan yang telah aku pilih....”


Azhar menghadam kata-kata teman penulisnya itu. Itu luahan nurani yang tahan berjuang dengan hidup dengan hanya menjadi penulis.


“ Rasanya orang lebih ghairah menyambut Valentine’s Day daripada menyambut hari ini. ..yalah, buat apa buang masa seperti kita meraikan dunia perbukuan. Tak nampak pun pulangannya kecuali kepada mereka yang tahu,”


Hari yang mereka raikan itu rupanya Hari Buku Sedunia. Tarikh itu dipilih untuk mengenang sumbangan para ilmuwan dan sarjana yang telah menghasilkan buku untuk kelansungan pembinaan tamadun manusia. Meraikan hari istimewa itu pula bukan memerlukan pesta, cukup sekadar ( kalau mampu) pergi membeli beberapa buku untuk dibaca. Itu pun terlalu ideal, sekadar menjadi impian dan idaman. Mencapainya jauh sekali.


“ Hahahaha, kau tahu?..... ada macam macam kegilaan yang bersabit dengan buku.Ada yang gila membeli buku. Ada juga yang gila membeli dan membaca buku.Tapi yang lebih jahanam adalah mereka yang suka merosakkan buku,” temannya itu ghairah tertawa sendiri sambil menambah, “ Manusia, manusia........hahahahaha!”


Yang gila membeli buku itu dipanggil bibliomania. Yang gila membeli, membaca dan memahami isinya itu digelar bibliofil. Yang jahanam itu pula digelar bibliocast.Suara ilmunya berbisik kepada Azhar tentang perlakuan manusia yang bersangkut dengan buku dalam kotak fikirannya sambil perhatiaanya tertumpu pada temannya yang masih berceloteh.


“Yang minta dikuburkan bersama buku pun ada....,”Azhar mencelah.
“Aaaaa, John Steward namanya. Aku tahu kisah dia, aku tahu...”


Mereka terus berbual selama beberapa jam sehingga tidak tahu apa yang hendak dibualkan lagi. Kalau tidak kerana khuatir terlepas solat Asar, pasti mereka tidak teringat untuk pulang.
Ketika berjalan dan beredar dari tempat pertemuan mereka, Azhar menoleh apabila namanya dipanggil beberapa kali dari belakang oleh temannya itu. Keningnya diangkat sedikit, isyarat pertanyaan buat temannya itu yang sekadar bersuara tinggi dari jarak yang jauh. Dia tidak mahu berjalan mendekati Azhar, sebaliknya berjalan dengan langkah ke belakang.


“ Oh ya, ada budak-budak dari universiti ....universiti mana ya?....universiti mana aku tak pasti...lupa....tapi itu tak penting. Yang penting adalah mereka nak telefon kau untuk minta jadi penasihat kelab pencinta buku....”
Azhar mengerutkan dahi, “ Kelab pencinta buku?”
“ Ya, mungkin malam nanti mereka telefon. Aku beri nombor telefon “gudang” buku engkau. Tunggu ya, jangan tidur pula malam ni...”
Azhar melihat sahaja tubuh kawannya hilang ditelan kesesakan orang yang datang ke pusat membeli-belah itu dengan seribu tujuan. Hakikatnya, dia sudah malas untuk menjadi penasihat atau penaung untuk apa-apa jua persatuan.


Pada hari yang sama tetapi di bahagian malam, Azhar sudahpun pulang ke rumah .Malam itu Azhar masih duduk di atas kerusi malas di dalam bilik bacaannya sambil membaca beberapa buah akhbar. Hujan lebat sedang membasahi bumi di luar. Kilat sabung menyabung, guruh terus berdentum. Dia sendirian di dalam rumah kayu di atas sebuah kawasan hutan yang terletak tidak berapa jauh dari ibu kota. Rumah kayu yang dimilikinya itu adalah tempat Azhar sering melarikan diri untuk mencari ilham dan mendapatkan ketenangan jiwa. Di situ dia sering menghabiskan masa untuk membaca, menulis dan berfikir tentang pelbagai perkara.  Rumah itu tidak banyak perkakas, tetapi lebih sarat dengan buku-buku yang dibeli.


Dia duduk di atas sebuah kerusi kusyen yang empuk. Azhar dikelilingi oleh rak-rak buku yang menjadi tempat terhimpunnya pelbagai buku yang dikumpulkan sepanjang kehidupannya. Tak cukup dengan rak-rak buku, ada juga buku-buku yang dibiarkan bertimbun dan disusun berdiri, menjadi lautan dan menara . Terlampau banyak dan tidak lagi terhitung oleh Azhar sendiri akan jumlah sebenar bukunya itu. 


Pernah dia memasang angan-angan untuk mewasiatkan semua bukunya itu untuk diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia apabila dia mati nanti. Mudah-mudahan boleh menjadi sedekah amal jariah yang memberikan pahala yang tidak berputusan walaupun jasadnya sudah kaku di liang lahad. Tetapi apabila difikirkan tentang masalah masyarakat yang tidak membaca, mewakafkan buku-buku itu pun belum ada jaminan lagi. Kalau tiada siapa yang membacanya, bagaimana hendak mengutip pahala?


Azhar menatap dada akhbar yang sedang tekun dibacanya. Dia berfikir sambil membaca ruangan akhbar yang menghimbau peristiwa yang telah menimpa dunia sepanjang 2004. Memang terlalu banyak peristiwa besar. Pembunuhan, peperangan, penindasan dan perampasan jiwa manusia. Daripada rejim Israel kepada bapa terorisme dunia, Amerika Syarikat.


Jauh di sudut hati, Azhar semakin resah. Dia gelisah memikirkan satu lagi bencana kemanusiaan yang sedang menimpa bangsanya. Bencana budaya dan etos. Tahun 2004 mengukir sejarah lagi dengan peristiwa dua buah majalah berita terpaksa gulung tikar dan menghentikan penerbitan. Majalah tersebut adalah DEMI MASSA dan MINDA MASYARAKAT. DEMI MASSA adalah majalah berita mingguan yang cuba untuk mengikut jejak langkah TIMES, ECONOMIST dan NEWSWEEK, malangnya akhirnya para jurnalis dan penerbit terpaksa akur dengan sambutan lesu pembaca.


Azhar sedih kerana sudah tidak ada lagi majalah tempatan yang dapat memberikan ulasan dan berita nasional dan antarabangsa. Tidak ada lagi liputan daripada penulis yang akan melihat isu-isu dunia daripada perspektif Malaysia. Siapa kata tidak penting? Hanya wartawan-wartawan kita di dalam majalah tersebut  yang mengganggap Yasser Arafat sebagai pejuang pembebasan Palestin. Majalah-majalah Barat tetap memanggil Arafat sebagai pengganas, walaupun pada hari Tuhan menjemputnya pulang.         Masyarakat Malaysia tidak akan berpeluang lagi membaca tulisan-tulisan wartawan Malaysia yang cuba membetulkan perspektif para pembaca tentang kebenaran.  Diterbitkan oleh syarikat berita yang terkemuka di negara, tetapi hanya mampu bertahan selama 6 tahun. Masyarakat tidak menyokong penerbitan DEMI MASSA, apatah lagi untuk membeli dan membacanya. Akhirnya , DEMI MASSA terpaksa akur kepada kehendak masyarakat dan menurut sahaja selera akademia pembaca yang rendah.


MINDA MASYARAKAT juga mengalami nasib yang sama. Majalah bulanan ini turut cuba menjadi majalah ilmu dan maklumat kepada khalayak pembaca Malaysia. Azhar masih ingat kali pertama ia melihat majalah itu dijual ketika ia sedang membeli kelapa parut di kedai mamak. Daripada segi kulit dan isinya, malajah ini agar baik  dengan kemampuannya mengupas isu-isu terkini dan berlainan daripada majalah yang lain. Majalah ini  memberi ruang kepada semua penulis daripada segenap latar belakang, sama ada yang berdarah nasionalis, berfikiran pembangkang mahupun yang berdiri atas pagar untuk menulis dan menyumbang pemikiran mereka. Buat seketika, majalah ini juga mendapat sambutan. Anak-anak muda yang sedang bertarung dengan hidup di menara gading antara khalayak yang banyak membeli, membaca dan menyumbang kepada majalah ini.
Ketika pihak penerbit DEMI MASSA mengumumkan bahawa majalah ini akan dihentikan penerbitannya, Azhar terus menelefon seorang teman yang menjadi wartawan di MINDA MASYARAKAT.


“ Din, apa cerita ni? Macam mana  DEMI MASSA boleh bungkus?”
Dengan sinis Din menjawab , “ Haha, jangan tanya aku. Tanyalah pada jiran, saudara mara, ketua kampung, kariah masjid, para eksekutif, penjual ikan.......”


 Azhar terus memintas,“ Cukup,cukup....aku dapat tangkap maksud kau...”


“ Orang putih kata....look on the bright side...sekurang-kurangnya persaingan dah kurang...semenjak  pengumuman tu dibuat, majalah aku dah semakin laris. Orang dah mula beralih kepada MINDA MASYARAKAT,”
 

 Hahahaha! Optimis benar Din ketika itu. Azhar ketawa sendiri memikirkan andaian serong temannya itu. Din menjangka dengan penutupan DEMI MASSA, pembaca akan beralih membaca MINDA MASYARAKAT. Malangnya itu adalah indikasi awal bahawa majalah itu juga kini sedang berada pada hari-hari terakhirnya sebelum ditamatkan penerbitan. Azhar cuba mencari jawapan sama ada Din masih terus optimis seperti dulu. Memang tidak lagi. Dengan khabarnya Din sudah diberhentikan kerana syarikatnya juga sudah gulung tikar.
 

 Sebagai seorang pemikir masalah negara yang tidak dibayar gaji, Azhar takut dengan apa yang sedang berlaku pada rakyat Malaysia. Majalah-majalah seperti itu dipinggirkan. Tetapi masalahnya bukan kerana mereka buta huruf ataupun tidak membaca. Pembaca lebih gemar membaca kisah pontianak yang mengilai di atas pokok dan kisah penunggu yang menunggu di jalan sunyi untuk menyakat orang di waktu malam. Apa lagi yang boleh dilakukan. Memang manusia suka ditakut-takutkan dengan kisah-kisah begini. Suka terus menjadi bangsa yang hidup dalam tahyul dan kekarutan.    Berbeza dengan orang Barat, mereka lebih suka menjadi bangsa yang mampu menggunakan ilmu dan sains untuk mencipta bom nuklear untuk menguasai dunia, mencipta pesawat supersonik dan menghasilkan senjata-senjata berteknologi tinggi untuk mencuri minyak di bumi orang lain pada siang-siang hari!  Tetapi dalam kejahatan itu, majalah-majalah ilmiah dan bermaklumat mereka terus hidup subur. Sejahat-jahat mereka, mereka tetap membaca.
   

Azhar terhimbau kata-kata teman penulisnya petang tadi  yang terus menyambung sesuatu   sambil bergelak ketawa dan melurut janggutnya yang panjang ,“ Aku nak cadangkan tafsiran baru kepada peribahasa buta huruf. Zaman sekarang ni...buta huruf bukan lagi patut dirujuk kepada mereka yang tak tahu membaca, tetapi lebih wajar kita rujuk pada yang tahu membaca, tetapi tak membaca. Kalau membaca pun, entah apa yang dibaca mereka.....hahaha,”
 

 Dahinya berkerut memikirkan apa yang akan  berlaku selepas ini, 10 tahun nanti, 20 tahun nanti dan seterusnya. Dosa siapa jika masyarakat tidak mahu membaca? Pastinya bukan dosa mereka yang tekun menjadi penulis buku mahupun penerbit buku. Pastinya dosa ini merupakan dosa petualang yang lebih hebat mencipta program-program televisyen sehinggakan manusia mampu jadi mabuk menonton siaran sehingga berjam-jam lamanya. Dahulu pernah para cerdik pandai memanggil peti televisyen itu sebagai kotak bodoh, idiot box.Tetapi yang lebih bodoh ialah orang yang menontonnya sehingga tak berminat membuat perkara-perkara lain.


Pasti juga ini semua adalah dosa mereka yang mencipta permainan video sehingga anak-anak lebih suka bermain Playsatation2, X Box, Game Boy dan macam-macam lagi. Mereka dibawa berkhayal berjam-jam lamanya tanpa faedah yang jelas. Barangkali anak-anak hari ini lebih hebat memburu menggunakan senapang canggih dan membedil seteru dengan kereta kebal seperti yang diberikan oleh permainan video berimej 3 dimensi daripada seronok membaca kisah manusia yang mengelilingi dunia dalam masa 80 hari. Atau mereka lebih senang menjadi samurai dan memenggal leher lawan tanpa belas kasihan daripada mengetahui kisah perjuangan manusia menentang penindasan  dalam El Filibusterimo dan Noli Ne Tanggere karangan Jose Rizal. Itupun kalau mereka kenal siapa itu Jose Rizal.


Apa lagi yang boleh dibuat? Memang itulah realitinya.Dahulu pernah seorang tokoh politik muda yang mencadangkan  kepada sekelian ahli politik dan pemimpin kerajaan yang lazimnya menerima cenderamata bagi merasmikan sesuatu majlis agar diberikan  buku untuk menggantikan cenderamata yang bukan-bukan.   Itu cadangan yang cukup baik. Sekurang-kurangnya mereka diingatkan agar sentiasa membaca untuk menjadi pemimpin yang baik.  Tetapi kini hanya sekadar menjadi cadangan dan memenuhi peribahasa hangat-hangat tahi ayam. Siapa yang nak menyambut cadangan-cadangan sebegitu? Ahli poltik lebih berminat membeli undi dan jiwa dengan hadiah wang ringgit!


Lamunan Azhar diganggu apabila dia mendengar bunyi berkeriuk. Dari mana datangnya? Azhar bangun daripada kerusinya itu sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, cuba mengenal pasti bunyi apakah sebenarnya. Dia menolak kaca mata berbingkai tebal itu ke atas batang hidungnya sambil cuba mengamati lagi bunyi  itu. Akhirnya dia dapat menangkap dari mana bunyi itu datang. Azhar berjalan berhati-hati ke arah rak buku yang terletak di sebelah kiri bilik bacaannya itu. Memang dia pasti bunyi itu datang dari pada rak itu.
Azhar mendongak memandang tingkat rak buku yang paling atas. Rasa-rasanya tinggi rak itu lebih kurang tiga kali ganda tingginya sendiri. Sudah hampir dua puluh tahun  rak buku itu berperanan sebagai tempat Azhar menyusun buku-bukunya. Ada yang tersusun secara melintang. Ada yang tersusun secara menegak. Ruang-ruang kecil dan celahan di antara buku-buku itu juga disumbat dengan buku-buku. Asal ada ruang dan asal boleh sumbat! Terdapat ribuan buku yang tersusun  di setiap para rak buku tersebut. Dari jauh, Azhar dapat melihat beberapa para rak buku tersebut sudah mula melengkung, menandakan beban berat buku yang ditanggung setelah sekian lama.


“ Alamak, kacau ni.....nak roboh ke?” Azhar bertanya pada dirinya sendiri. Persoalan itu terjawab apabila dengan tidak disangka-sangka, kedengaran bunyi yang amat kuat seperti papan kayu dipecahkan. Azhar tersentak dan terloncat sedikit kerana  terkejut. Dia semacam tidak mahu percaya bahawa rak itu sudah  tidak mampu menampung berat buku-bukunya dan roboh. Buku-buku yang mulanya tersusun di atas rak itu akhirnya jatuh menimpa Azhar satu demi satu. Kemudiannya keadaan menjadi seperti hujan buku. Azhar tidak sempat untuk melarikan diri apabila koleksi ensaiklopedia Britannica yang sudah berusia hampir tiga dekad itu jatuh menghempapnya. Selepas itu dia dihukum pula oleh kamus-kamus tebal yang lebih berat.


Pantas dan bagaikan kilat. Itulah gambaran kejadian runtuhan itu. Setelah episod runtuhan buku itu berakhir, Azhar cuba untuk bangkit. Memang berat dan sakit dihempap buku-buku itu, tetapi Azhar merasakan kudratnya masih mampu untuk bangkit. Cuma buat beberapa ketika dia bercadang untuk baring dan ditimbuni buku-buku itu. Sekonyong-konyong dia teringat kepada seorang ilmuan yang pernah diceritakan mati akibat dihempap buku-bukunya yang banyak. Al Jahiz namanya. Tokoh itu lumpuh dan bekerja sebagai penjual ikan dan roti. Tetapi ia minat akan membaca dan menuntut ilmu dengan cendiakawan yang cukup ramai di Mirdad, sebuah kawasan di pinggir kota Basra.


    Dalam pada itu juga, Azhar terkenangkan pula kisah Nabi Yunus AS yang ditelan ikan paus ketika ia  cuba membawa diri kerana seruan dakwah yang disambut dingin oleh umatnya. Allah mengajar nabi pilihannya agar tidak berputus asa dengan perjuangan.


    Sedang ia berfikir tentang Nabi Yunus AS dan al Jahiz itu, telefon antik di rumahnya itu berdering. Azhar menduga bahawa pasti itu panggilan daripada anak-anak muda dari sebuah universiti tempatan yang memintanya untuk menjadi penasihat kepada sebuah kelab pembaca. Dahulu  ia menolak kerana rasa kecewanya pada masyarakat Malaysia yang tidak suka membaca. Tetapi, timbunan buku, al Jahiz dan kisah Nabi Yunus AS segera pula memberikan ia sedikit harapan untuk mencuba dan berjuang, walaupun hasilnya tidak seberapa. Yang penting perjuangan itu, bukan natijahnya.
    Azhar segera cuba bangkit daripada timbunan buku-buku itu dan telefon itu terus berdering, menjerit-jerit minta disambut.

Penulis : Luqman Husaini ( Cerpen ini belum pernah disiarkan)

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.