Jejak Ulamak

Peranan Pemikiran Mohd Natsir Dalam Konteks Memodenkan Pemikiran Umat

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Pak Natsir, atau al marhum Mohammad Natsir (lahir di Alahanpanjang, Sumatera Barat, 17 -7-1908 - meninggal 6 Faebruari 1993) adalah seorang negarawan Muslim, ulama dan intelektuil, pembaharu dan ahlis siasah Muslim Nusantara yang disegani. Hidupnya yang penuh dengan kegiatan yang berfaedah dan membina umat itu, apa lagi di Nusantara, jelas dalam banyak bidang keagamaan, intelektuil dakwah, budaya dan siasah. Pemergiannya sukar diganti. Ia bukan sahaja berjasa kepada rantau ini dengan kegiatan sosial dan siasah sampai pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia, serta dakwahnya, dengan terasasnya Majlis Dakwah Indonesia, bahkan ia juga berjasa dalam bidang Islam peringkat antarabangsa sampai ia mendapat kurnia Kurnia Raja Faisal.
 
Dalam nota ini insya’Allah akan diberikan perhatian kepada beberapa aspek pemikirannya dan bagaimana ianya memainkan peranan dalam meletakkan pemikiran umat dalam konteks zaman moden antaranya sebagaimana yang boleh dilihat dari bukunya “Kapita Selekta” dan juga “Fiqhu’d-Da’wah” dalam hubungan dengan persoalan ini.

Dalam bukunya yang pertama (diselenggarakan oleh Sati Alimin, penerbitan Sumur, Bandung, 1961) jld 1 daftar isinya menunjukkan jangkauan ilmunya yang meliputi kebudayaan-falsafah, pendidikan, dan agama, demikian pula buknu itu jld ke 2 nya (terbitan Pustaka Pendis, Jakarta) yang terdiri daripada ceramah-ceramah dan wawancara-wawancaranya, dan tulisan-tulisannya di akhbar mencakupi bidang-bidang politik agama, dan budaya serta falsafah. 


Faktor-Faktor Mendasar Dalam Pembentukan Kebudayaan: 

Berbicara tentang “Islam dan Kebudayaan” (“Kapita Selekta,” jld 1 hlm 3 dst) beliau menyatakan antaranya beliau menulis tentang akal, pengetahuan dan agama (yang beliau tulis tahun 1936) seperti berikut: 

1.Agama Islam menghormati akal manusia dan mendudukkan akal itu pada tempat yang terhormat serta menyuruh agar manusia mempergunakan akal itu untuk menyelidiki keadaan alam. 

2.Agama Islam mewajibkan pemeluknya , baik laki-laki maupun perempuan menuntut ilmu.”Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad” kata Nabi Muhammad s.a.w. 

3.Agama Islam melarang bertaklid-buta , menerima sesuatu sebelum diperiksa , walaupun datang darinya dari kalangan sebangsa dan seagama, atau dari ibu-bapa dan nenek-moyang sekalipun.” Dan jangan engkau turut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan atasnya, kerana sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu 
semuanya akan ditanya tentang itu.”(Q.s.Bani Isra’il:36). 

4.Agama Islam menyuruh memereksa kebenaran , walaupun datang nya dari kaum yang berlainan bangsa dan kepercayaan. 

5. Agama Islam menggemarkan dan mengerahkan pemeluknya pergi meninggalkan kampung halaman berjalan ke negeri lain, memperhu bungkan silaturrahim dengan bangsa dan golongan lain, saling ber tukar rasa dan pemandangan .Wajib atas tiap-tiap Muslimin yang kuasa , pergi sekurangnya sekali seumur hidupnya mengerjakan haji.Pada saat itu terdapatlah pertemuan yang karib antara segenap bangsa dan golongan di atas dunia ini.Keadaan itu menimbulkan perhubungan persaudaraan dan perhubungan kebudayaan (akkultu rasi) yang sangat penting ertinya untuk kemajuan tiap-tiap bangsa. Sekian sebagai kutipan ringkas dari ajaran Agama Islam , yang menjadi sumber kekuatan , yang mendorong terbitnya satu kebudayaan , yang akan kita perbincangkan dengan ringkas di bawah ini.” 

Ini disusuli dengan kenyataan-kenyataan tentang khaifah-khalifah Islam memberi perlindungan dan galakan kepada ahli-ahli ilmu pengetahuan dan seni tanpa memandang bangsa dan agama.Disebutkan bagaimana khalifah Abbasiyyah yang kedua al-Mansur yang taat beragama yang alim dalam ilmu fiqh, menggemari ilmu bintang dan perubatan.

Disebutkan bagaimana an-Naubakht ahli ilmu bintang yang dulunya beragama majusi memeluk Islam dengan penyaksian baginda sendiri, dan hidup di istana meneruskan kegiatan-kegiatannya dala,m ilmu bintang itu.Disebutkan bagaimana minat khalifah terhadap falsafah Yunani Purba sampai dikirimkan oleh raja Rumawi waktu itu supaya dikirimkan kitab fisika dan kitab ilmu mathematik ke Baghdad.Kitab-kitab itu dikaji dan diterjemahkan serta disebarkan isinya dalam tamadun Islam.Beliau menyebut bagaimana Georgy Bakhtisyu’ ahli perubatan bangsa Siria yang mendapat kurnia dari Khalifah al-mansur kerana ilmunya yang mendalam.Demikian pula halifah-khalifah kemudiannya seperti harun al-Rasyid dan al-Ma’mun mementingkan agama, pengetahuan, dan falsafah.Disebutkan bagaimana kitab-kitab kenegaraan karangan Plato dan kitab ilmu hitung dari Euclides dan kitab-kitab ilmu bintang Ptolemy diterjemahkan dan dikaji. 

Kemudian Pak Natsir menyebut bagaimana pengarang-pengarang Islam berjasa dalam bidang-bidang ilmu pengetahuan mereka masing-masing seperti al-Kindi yang mahir dalam falsafah , ilmu hisab dan muzik, al-Farabi ahli mantik, falsafah, serta politik.Disebut oleh beliau jasa Ibn Sina dalam falsafah dan perubatan, dan Ibn Rusyd , Ibn Majah, serta Ibn Miskawaih dalam bidang mereka masing-masing. 

Selepas menyebut banyak perkara tentang perkembangan budaya ilmu pengetahuan dalam Islam Pak Natsir bertanya di hujungnya: ”Bilakah kembalinya masa yang demikian wahai Pemuda Islam?” kerana beliau mengharapkan keagungan budaya ilmu pengetahuan dan kemajuan agama bergabung dalam umat ini yang memberi kegemilangan kepadanya. 

Falsafah dan Akhlak 

Dalam karangannya tentang Ibn Miskawaih (hlm 10 dst) (yang ditulisnya tahun 1937) beliau mengakhiri karangan itu dengan menyebutkan : 
“Kalau ada pemuda-pemuda kita yang sedang menelaah kitab-kitab Sigmund Freud , psychoanalist yang termasyhur di Weenen (Vienna-Sixteen) itu, silakanlah pula menyelidiki umpamanya” Tahdhibul Akhlak (karangan Ibn Miskawaih-p) mudah-mudahan akan menambahkan penghargaan dari kalangan kita Muslimin kepada pujangga kita dari zaman itu, yang sampai sekarang hanya dapat penghargaan rupanya 
dari pihak “orang lain” saja.”(hlm 11-12). 

“Mudah-mudahan akan menjadi sedikit ubat untuk penyembuhkan penyakit “perasaan kecil” yang melemahkan ruhani .yang umum ada di kalangan kita kaum Muslimin di zaman sekarang”. 

Ahli Falsafah, Perubatan dan Metafisika: 

Dalam tulisannya tentang “Ibn Sina” (hlm 13 dst) (yang ditulisnya pada tahun 1937) selepas daripada berbicara dengan ringkas tentang kedudukan ibn Sina sebagai failasuf dan ahli perubatan dalam sejarah perkembangan pengetahuan dunia, beliau menyatakan bahawa falsafah tidak menggoncangkan keimanan Ibn Sina.Bahkan beliau menulis bagaimana sikap Ibn Sina bila ia berhadapan dengan kesulitan-kesulitan dalam ilmunya, katanyta: 

“Malah sering, apabila ia betemu dengan suatu masalah yang sulit, sangat susah difikirkan, ia terus pergi berwudhu’ dan pergi ke mesjid, sembahyang dan berdo’a mudah-mudahan Allah memberinya hidayah .Sesudah itu ia terus menelaah dan berfikir kembali, kerana ia tetap insaf akan kelemahannya sebagai manusia , dan berkeperluan akan pertunjuk dan hidayah dari Allah subhanahu wa ta’ala.” 

Selepas menulis sedikit tentang Ibn Sina beliau menulis:”Dalam umur 57 tahun berpulanglah Ibn Sina dalam bulan Ramadan tahun 428 H.bersamaan dengan bulan Julai 1037 M.meninggalkan pusaka yang sedang menantikan ahli-ahli waris yang lebih dekat, yakni: Pemuda-Pemuda islam yang menaruh himmah, dan bercita-cita tinggi!” (hlm 
15). 

Kepakaran Dalam Fiqh, Falsafah, Akhlak, Siasah dan Muzik 

Dalam menulis tentang “al-Farabi” (hlm 16 dst) (yang ditulisnya pada tahun 1937) yang berjasa dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi serta muzik dan akhlak, beliau membuat kenyataan: 

“Abu Nasr al-Farabi hidup dengan akhlak yang tinggi, tidak amat mementingkan kesenangan dunia, tapi amat menyintai falsafah, ilmu dan seni,.Pernah ia berkerja di istana Amir Saifud-Daulah di Halab (Aleppo)… Hidup bersahaja di alam maddah (materi) sebagai fakir, tetapi memegang kendali dalam runahi sebagai raja”. 

Gabungan Kematangan Rohani, Intelektuil, dan Akhlak Yang Memuncak 

Kemudian beliau menulis pula berkenaan dengan Imam Hujjatul-Islam al-Ghazali rd. pada bulan April 1937.Di dalam tulisannya itu beliau membicarakan imam agung ini dengan jasanya dalam pengetahuan, falsafah, akhlak dan tasawwuf, dalam bidang terakhir ini beliau terkenal dengan kitab Ihya’nya. 

Dalam berbicara tentang ilmu, pengelaman pancaindera dan akal, akhirnya Imam al-Ghazali berbicara tentang kelemahan semuanya untuk mencapai hakikat terakhir; akhirnya manusia memerlukan hidayat dari Tuhan Sendiri bagaimana tingginya ilmunya sekalipun. 

Beliau berbicara bagaimana soal sebab-musabab dibicarakan beratus-ratus tahun dahulu mendahului David Hume, juga beliau membicarakan kritikan Imam al-Ghazali terhadap falsafah Barat dalam “Tahafu al-falasifah”nya. 

Bahagian akhirnya beliau menulis: 

“Dalam tahun 505 H.(1111 M) Imam al-Ghazali mendapat husnul-khatimah , meninggalkan pusaka yang tak dapat dilupakan oleh kaum Muslimin dan meninggalkan juga pangkal perpecahan paham antara mereka yang setuju dengan yang tak setuju dengan buah fikirannya ialah suatu hal yang galib diterima oleh setiap orang yang berjalan di muka merintis jalan baru, yang mendengarkan suara keyakinan yang teguh yang berbisik di dalam hati, dan tidak hendak turut-turut kehilir kemudik seperti pucuk arus dihembus angin.”(hlm 23). 

Beliau menyebut bagaimana imam utama ini menyelamatkan akidah Islam daripada serangan pemikiran falsafah Yunani Purba, antaranya dalam”Tahafut al-Falasifah” yang terkenal itu. 

Beliau menyebut pendapat Dr Zwemmer tentang kedudukan Imam al-Ghazali sebagai seorang daripada empat orang yang paling berpengaruh dalam dalam islam, Nabi Muhammad saw,Imam al-Bukhari dalam hadith, Imam al-Asy’ari dalam akidah, dan kemudian akhirnya Imam al-Ghazali. 
Jiwa Saintifik Yang Dipupuk oleh Islam 

Tulisan-tulisan beliau itu disusuli dengan huraian-huraian berkenaan dengan jasa kebudayaan Islam dalam sejarah dunia, seperti misalnya jasa Ibn Haitham berhubungan dengan persoalan dasar-dasar yang memungkinkan kamera diciptakan, jauh sebelum kemunculan ahli ilmu Barat seperti Leonardo da Vinci dan lainnya.Beliau menyebutkan bagaimana kritikan Ibn Haitham (di Barat dipanggil Alhazen) terhadap ahli-ahli pengetahuan Yunani misalnya Euclides dan Ptolemy tentang penembusan dan perjalanan cahaya menimbulkan revolusi dalam ilmu itu pada zamannya.Ibn Haitham menyuatakan bahawa yang menyebabkan kita melihat objek-objek ialah kerana cahaya dari barang-barang itu sampai ke mata kita, maka dilihat objek-objek melalui lensa mata itu, dan bukanlah cahaya itu dikirim oleh mata kepada objek-objek itu srebagaimana yang dikatakan oleh Euclides dan Ptolemy.Disebutkan bagaimana pengaruh Ibn Haitham dalam bidangnya itu mempengaruhi para ilmuan Barat seperti Leonardo da Vinci, Johann Kepler, Roger Bacon dan lainnya. 

Beliau menyebutkan bagaimana jiwa menyiasat alam ini timbul daripada didikan Quran, antaranya dalam ayat yan g bermaksud:”Dan janganlah engkaun turut saja apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, kerana sesungguhynya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya tentangnya”(Q.s.Bani Israel:36). 

Beliau menyebut pendapat ilmuan Islam yang bernama Abu Musa Jabir Ibn Hayyan yang bermaksud: 

“Pendirian-pendirian yang berdasarkan ‘kata si anu’ ertinya perkataan yang tidak disertakan bukti penyelidikan , tidak berharga dalam ilmu kimia.Suati kaedah dalam ilmu kimia ini dengan tidak ada kecualinya, ialah bahawa dalil yang tidak berdasarkan bukti 
yang nyata , harganya tidak lebih dari satu omongan yang boleh-jadi benar dan boleh-jadi keliru.Hanya bila seseorang membawakan keterangan dengan bukti yang nyata , penguatkan pendirian nya, barulah kita boleh berkata :pendirian tuan dapatlah kami 
terima!” (hlm 27). 

Sikap ilmiah dan suka memerhati dan menyelidika ilmuan Muslimin beliau nyatakan seperti berikut: 

“Adapun tentang pendirian, serta mencari dan menentukan ijtihad ,adalah telah jadi darah daging dalam kalangan Islam. Perhatikan betapa teliti, hemat serta cermatnya kaum Mus limin mengumpul, memilih, dan menyaring hadith-hadith yang bakjal jadi dasar untuk fatwa dan pendirian dalam Hukum Agama .Diperiksa isi perkataannya, diteliti sanad dan musnadnya, diatur biografi yang sesungguhnya tentang peribadi dan akhlak seorang rawi .Agama manakah, falsafah mazhab apakah dan kebudayaan aliran manakah yang telah mendidik pengikutnya kepada ruh intiqad yang sampai 
demikian tinggi tingkatnya?” (hlm 27). 

Beliau menjawab katanya:”Tak lain yang mendidik kami (Muslimin-p) sampai demikian, adalah Agama kami yakni Agama fitrah, Agama yang cocok dan selaras dengan fitrah kejadian manusia!” Kemudian beliau menyebut tentang keadaan Muslimin yang sudah kehilangan ciri-ciri budaya ilmiah sedemikian itu dengan katanya: “…Setelah kaum Muslimin kehilangan pokok yang tak ternilai harganya itu, harkat mereka di langit kebudayaan makin lama makin turunlah.Keberanian yang tadinya hidup berkobar-kobar 
bertukarlah dengan perasaan kecil, rasa-kurang-harga …Ruh segar dan gembira menghadapi hidup tadinya, menjadilah ruh yang tunduk-ringkuk, penyembah kubur dan tempat-tempat keramat, menjadilah budak jimat dan air-jampi.Tangan yang tadinya begitu giat menyelidik, memeriksa alam supaya memberi manfaat kepada umat manusia lantas terkulai tak ada himmah, selain dari menghitung untaian tasbih penebus bidadari di dalam sorga! “ (hlm 28). 

Yang beliau kehendaki ialah, seperti yang dikatakannya :”Jalan untuk membongkar ruh taklid ini satu-satunya ialah memperlihatkan dengan tidak sembunyi-sembunyi dan terus-terang kekeliruan-kekeliruan khurafat dan bid’ah itu.Memperlihatkannya ini berkehendak kepada munazarah dan mujadalah yang bukan kecil, menuntut tenaga, kecakapan , keuletan serta kebijaksanaan yang amat besar.. 

“Kita telah sama-sama melihat bagaimana akibatnya kebudayaan yang terlepas dari pimpinan dan jiwa Tauhid yang suci-bersih, serta Akhlak dan Inbadat yang sehat.Semua ini ada hubungannya antara satu dengan yang lain, hubungan yang bergantung dan bersangkut-paut… 

Akal Dan Agama 

Dalam tulisannya “Hayy ibn Yaqzan” yang ditulis pada bulan Disember 1937 (hlm 30-36) beliau memberi huraian tentang roman falsafah oleh Ibn Tufail yang diakui sebagai kitab yang paling aneh dalam abad pertengahan (dengan mengutip kata-kata sarjana terkenal Carra de Vaux: “sans contest l’un livres les plus curieux du moyenage”). 

Ianya berkenaan dengan roman falsafah yang menakjubkan berkenaan dengan cerita seorang anak bernama Hayy ibn Yaqzan yang terdampar di sebuah pulau yang kemudiannya disusui oleh kambing hutan, yang kemudiannya membesar dan menjadi dewasa dengan mempunyai ilmu pengetahuan dan hikmat kebijaksanaan hasil daripada penggunaan pancaindera dan akal yang tajam mengamati alam dan alam sekitar dengan penuh ketajaman akal dan budi serta hati nurani. 

Dengan akalnya yang tajam dana perasaan yang sentisitif maka Hayy ibn Yaqzan membuat rumusan tentang adanya Tuhan Yang Wajib Ada, tiap-tap sesuatu itu ada pembuatnya, tiap-tiap sesuatu benda itu ada bentuknya yang ditentukan oleh pembuatnya, dan bahawa rupa sesuatu itu sesuai dengan tuntutan kesediaan asal yang ada pada zatnya sendiri, demikian seterusnya.Akhirnya hiduplah Hayy ibn Yaqzan dengan cara yang benar mengikut akalnya, sehingga pada umurnya yang ke 35 tahun baharu ia bertemu dengan Asal, ahli agama yang rasa kecewa dengan menausia tidak hidup dengan sebenarnya mengikut agamanya.Akhirnya ke dua orang itu bersahabat baik.Kedua-duanya mendapati bahawa akal yang sejahtera yang berfikir sampai kepada natijah yang diajarkan oleh agama.hanya akal sahaja belum cukup untuk mengatur hidup manusia dengan pencipta dan makhlukNya.ia memerlukan panduan agama dan wahyu. 

Kemudian kedua orang yang mewakili agama dan akal ini berusaha untuk menyeru manusia kepada kehidupan berdasarkan kepada kebenaran dan kebaikan., tetapi seruan mereka tidak mendapat penerimaan yang baik, lalu mereka memencil diri untuk ibadat kepada Allah. 

Roman falsafah ini sangat menarik tentang hubungan antara wahyu dan akal manusia dan peranannya dalam menyelamatkan manusia.Ianya bukan semata-mata kisah yang menarik tanpa falsafah, berlainan daripada cerita “Robnson Crusoe” yang tidak mempunai apa-apa falsafah yang mendalam dan menyelamatkan. 

Antara nabi Muhammad saw dan Charlemagne 

Tahun 1938 beliau menulis responsnya selepas membaca buku “Mahomet et Charlemagne” oleh Henri Pirenne yang membandingkan kesan-kesan perjuangan nabi Muhammad dengan kesan-kesan yang ditinggalkan oleh Charlemagne.Dinyatakannya bahawa selepas kedatangan bangsa Jermania ke Rom bangsa yang datang itu berubah dipengaruhi oleh budaya golongan yang mereka kuasai seolah-oleh mereka dihisap olehnya.Kata Pirenne :”Orang Jermania jadi Rumawi setelah ia masuk ke negeri Rum sebaliknya orang Rumawi menjadi ke-Araban setelahnya dia ditaklukkan Islam””.(hlm 38). 

Beliau menegaskan: 

“Dengan masuknya Agama Islam , timbullah satu dunia yang baharu di sekitar Laut Tengah yang tadinya berpusat ke Kota Roma sebagaim sumber peradaban dan kebudayaan.Sampai ke masa kita sekarang ini –demikian Pirenne meneruskan keterangannya—masih tetap ada perpecahan dengan masuknya Islam ke Eropah Selatan ini.Semenjak itulah Laut Tengah menjadi pertemuan dari dua budaya yang berlainan dan bertentangan …”(hlm 38). 

Mengapakah bangsa Arab yang membawa agama Islam itu tidak demikian bila mereka berhadapan dengan bangsa Rumawi itu? Jawabnya bangsa jermania masuk dengan pedang dan kekerasan, sedang Orang Islam masuk dengan senjata jasmani didampingi dengan senjata ruhani. 

Kata Pak Natsir lagi:”Senjata ruhani inilah yang menyebabkan kita orang Timur , yang walaupun bagaimana hebatnya ditindas oleh bangsa Barat, tapi tetap tidak dapat dihancur-leburkan kebudayaan dan peradaban kita oleh orang barat itu sampai sekarang…”Ini pesanan yang paling bermakna bagi umat Islam yang sedang berhadapan dengan gelombang globalisasi sekarang ini. 

Mencari Kekuatan Dalam Seni Sastera: 

Bapak Mohamad Natsir juga memberi perhatian kepada penulisan sastera zamannya.Dalam tahun 1940 di atas tajuk “Pemandangan tentang Buku Roman” (hlm 41 dst ) selepas beliau menyatakan kekesalannya dengan cerita-ceritas roman masa itu yang kurang memuaskannya dari segi seni dan mesejnya, yang tidak begitu mempunyai makna apa-apa, yang terpengaruh dengan Barat, beliau membuat kenyataan seperti berikut: 

“Dan lapangan pekerjaan untuk pujangga kita , amat luas sekali. Baik dalam kalangan syair ataupun prosa.Buku-buku bacaan yang memberi didikan amat sedikit.Pembacaan kanak-kanak hampir nihil.Kita kekurangan kitab nyanyi yang menarik dan teratur.Dibandingkan dengan anak-anak Eropah, dalam pem bacaan dan nyanyian , anak-anak kita amat miskin. “Tidak heran, kerana penulis-penulis untuk bacaan kanak-kanak di kalangan kita boleh dikatakan baru sedikit sekali, dibandingkan dengan keperluan yang amat besar.Alangkah baiknya sekiranya pujangga-pujangga kita meletakkan Conan Doyle dan Manfaluti barang sebentar dan mencarim inspirasi dalam gudang lagu-lagu lama dan cerita-cerita lama bangsa kita sendiri , yang sekarang masih banyak yang belum dipedulikan.Banyak yang mungkin disaring , diperbagus dan dirombak oleh Pujangga Muda Indo nesia!” (hlm 47). 

Kata beliau lagi dalam soal perkembangan kebudayaan ini: 

“Memang tidak ada halangan mencari inspirasi keluar negeri. Kebudayaan itu tidak monopoli satu bangsa, dan tidak mungkin dipagar rapat supaya jangan keluar dari satu kaum.Tidak bisa dan tidak perlu (kalau beliau menulis sekarang sudah tentu beliau faham keadaan dunia tanpa sempadan dan memberi respon yang konstruktif-p)Barat boleh mengambil inspirasi ke Timur, Timur boleh mengambil inspirasi ke Barat.Akan tetapi tidak semua sumber-sumber itu mengeluarkan air yang jernih, yang memberi 
manfaat kepada kita.Baik buat orang, belum tentu baik buat kita. Jadi di sini perlu rupanya pujangga kita memakai saringan sedikit , apalagi sebagai Pujangga Muslim.!" (hlm 47). 

Selepas itu beliau menyebut tentang keperluan dibaca Perjalanan Ibn Battutah, buku-buku sejarah Indonesia, riwayat umat islam bermula dengan Nabi saw, buku-buku tentang kesusasteraan Islam zaman keemasannmya, disebutnya “Diwan” oleh Goethe, dan “Divine Comedy” oleh Dante.Walaupun beliau mengaku beliau bukan pujangga, tetapi hasil tulisannhya tidak mengecualikan beliau dari golongan pujangga dalam pengertiannya yang tersendiri. 
Dalam hubungan dengan seni sastera dan cita-cita beliau tentangnya boleh dilihat daripada pidatonya pada hari Iqbal 21 April, 1953 di Jakarta (Capita Selecta, jld 2. 98 dst).
Pengamatannya tentang Iqbal sangat menarik berkenaan dengan keindahan puisinya serta cita-cita keagamaan, budaya, dan siasahnya yang dinyatakannya sebagai faktor yang menyebabkan lahirnya negara islam Pakistan.Terjemahannya ke atas puisi Iqbal yang didasarkan atas terjemahan Arabnya dari Al-Adzami sangat indah dan menawan seperti baqhagian-bahagian dari “Syikwa” dan “jawabi-Syikwa”.Misalnya dalam hubungan dengan harapannya kepada para pemuda, beliau menterjemahkan puisi Iqbal demikian:

“(harapan kepada pemuda)Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup membangunkan zaman yang barumemperbaru kekuatan iman menjalankan pelita hidayat menyebarkan ajaran khatamul-anbiya’ menancapkan (i.,e menanamkan) di tengah medan pokok ajaran Ibrahim Api ini akan hidup kembali dan membakar jangan mengeluh jua , hai orang yang mengadu Jangan putus asa , melihat lengang kebunmu Cahaya pagi telah terhampar bersih Dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu ……

Khilafatul-Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu Bersedialah dari sekarang
Tegaklah untuk menetapkan engkau adaDenganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali Engkaulah minyak atar itu , meskipun masih tersimpan dalam kuntum yang akan mekar Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini
Agar harum-harum narwastu meliputi segala
Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak
hanya berbunyi ketika terhempas di pantai
Tetapi jadilah kamu air-bah , mengubah dunia dengan amalmu
Kipaskan sayap mu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikan segala dengan nama Muhammad
………

Dan kemudian beliau memberi tanggapannya berkenaan dengan Iqbal sebagai seorang penyair, pendidik, ahli hukum, ahli kritik seni, ahli siasah dan failasuf sekali-gus.
Dalam ntulisannya ini Pak Natsir menunjukkan dirinya sebagai pencinta Iqbal yang sangat faham tentang kesenian persajakan dan citanya yang dituang dalam poersajakannya itu.

Dalam tahun-tahun lima puluhan penulis ini teringat bagaimana ia tertarik dengan sajak-sajak Iqbal terjemahan Pak Natsir yang disiarkan dalam “Majallah Pengasuh” terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan waktu itu.Dan minat beliau kekal sampai sekarang terhadap Iqbal yang bermula dengan membaca puisi terjemahan beliau itu.

Dalam hubungan dengan pendidikan, antara lainnnya, sebagaimana yang beliau ceramahkan pada pideatonya di depan mahasiswa P>T>I>I> Medan 2 Disember 1953 (Capita Selecta.2. 115-116) seperti berikut:

“Saudara-saudara! Pernah di Indonesia sistem uzlah dilakukan,
terlepas dari soal jazan (zaman-p).Sistem itu dipakai oleh umat
Islam di bawah pimpinan alim ulama.Mereka mengambil sistem
uzlah untuk mempertahankan diri , mempertahankan kubu-kubu
pertahanan jiwa, berupa pesantren-pesantren , berupa mesjid-mesjid,
di mana ‘uzlah itu dapat disempurnakan.Ini yang dijalankan oleh
Tuanku Imam Bonjol umpamanya!
Ada orang pada masa itu mengatakan bahawa belajar bahasa
Belanda haram hukumnya, berdasi itu juga tidak boleh, sebab
menyerupai orang-orang kafir.Mereka mengharamkan sekolah-
sekolah H.I.S. yang didirikan oleh penjajah.
sendiri

Di situlah timbul potensi di Indonesia dan berkembanglah satu
dinamik yang besar untuk menjelaskan persoalan-persoalan yang
sampai sekarang masih dirasai lazatnya oleh kita semua, yaitu
pemimpin-pemimpin yang berasal dari pesantren-pesantren.
(kemudian beliau menyebut percubaan pendidikan di Mesir)
….
Yang ada di Barat itu terutamanya adalah tenknik dan effisiensi .
Akan tetapi hasil atau akibat dari memakai itu, disedari atau tidak
ialah intisari dari apa yang hendak dipertahankan jadi hancur.Ia
menceburkan diri dalam air untuk berenang, tetapi terbawa hanyut
dalam air itu sendiri.

Dengan itu Islam hanya tinggal hayya ‘ala ‘s-salah, hayya ‘alal- 
falah sahaja lagi.Ini akibatnya menceburkan diri maksud meme
gang kemudi , akan tetapi hanyut ke hilir.Kesudahannya yang
hidup di sana itu ialah pikiran yang statis, yang tidakbergerak
sedikit juga.

‘Uzlah yang dipakai oleh zaman (asal jaman) memang akhirnya
dapat memperlindungi sesuatu yang ada dalam negeri dari
kerusakan alam fikiran.

Tapi yang demikian adalah ujung dari sikap tidak berani 
menghadapi ruh dan iktikad dari luar lantas menutup pintu erat-
erat.Kesudahannya yang hidup di sana itu juga adalah alam
alam pikirann yang statis yang tidak bergerak.Tidak ada dinamik
nya untuk mencari dan menjelajah, dinamik yang menjadi sifat
putera-putera Islam dahulu.Tidak akan timbul lagi Al-Farabi
dan Ibn Sina ke-2 oleh sikap yang serupa itu.
…..
dan salah satu aliran pokok pikiran yang ditarik untuk menge
tengahi kedua pendirian ekstrim itu ialah pikiran dari Jamalud
Din Afghani dan Mohammad Abduh yang memberikan satu
pedoman kepada umat Islam seluruh dunia sekarang ini.Di situ
ada pikiran yang berharga , berupa pusparagam yang di
dalamnya kelihatan pokok dan pangkal.Cubalah saudara-
saudara lihat dan saudara-saudara pelajari sendiri.

Kesimpulan: Muslimin membina hidup dan tamadun Islam yang berjaya di zaman moden

Ringkasnya, sebagaimana yang dilihat di atas, Pak Natsir mahu melihat umat Islam kembali kepada jati dirinya sebagai Muslimin dengan aqidahnya, hidup kerohanian dan akhlaknya, dengan peraturan Syariatnya dalam hidupnya, dengan membina tamadun dan budayanya; kerja-kerja itu adalah dengan mengambil kira kemenafaatan-kemenafaatan hidup sezaman yang perlu digunakan bagi menjayakan Islam itu.Beliau mahu timbul kembali ciri-ciri agung manusia 

Beliau mahu Muslimin hidup dalam dunia moden dengan menguasai pengetahuan-pengetahuan moden dan menjayakan Islam dan tamadunnya di tenaghj-tengfah cabaran dunia sekarang ini tanpa mengamalkan ‘uzlah yang disebutannya itu.

Pada akhir hayatnya beliau menumpukan perhatian kepada Dewan Da’wah Islamiah Indonesia yang bergerak cergas sampai sekarang dalam menghadapi penghakisan Islam umat dan cabaran Kristianisasi.Pandangan-pandangannya tentang dakwah boleh dilihat pada bukunya “Fiqhud-Da’wah”, (1984, Pustakan al-Ameen,Kuala Lumpur).Dan kalau beliau hidup sekarang beliau akan mengajak kita menguatkan peribadi , keimanan, ketaqwaan dan ketrampilan bagi menghadapi globalisasi, yang pada masa beliau belum kelihatan dengan jelas.

Wallahu a’lam.

August 10, 2002

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.