Jejak Ulamak

Pendidikan Dan Dakwah Oleh Syaikh Muhammad Arsyad Al-Banjari

Sambungan artikel 1..

Oleh: Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Teks Nahj al-Raghibin oleh Syaikh al-Banjari adalah satu karya yang mempunyai kepentingan yang amat tinggi dari segi panduan intelektuil dan spiritual yang diberi kepada rantau ini; ia perlu diberi perhatian yang serius melebihi setakat sebutan yang dibuat sekarang ini; ia menjadi “jambatan kememasan” antara Dunia Melayu dan kehidupan intelektuil dan rohani Sunninya dengan lautan warisan intelektuil dan rohani Islam yang baku zaman lampau. Dan ia teks yang mesejnya relevan sekarrang bukan hanya relevan dalam beberapa abad dahulu sahaja.

Hanya kita perlu mencari kunci-kunci baharu untuk mempertahankan “world-view” yang dikemukakannya serta epistemologi itu demi untuk pendidikan dan dakwah kita, yang ia menjadi “substance”nya. Kita masih memerlukan syaikh kita ini sekarang dan seterusnya; dia bukan hanya sejarah, tetapi panduan yang berterusan.

Dalam Tasawwuf: 


Dalam hubungan dengan tasawwuf lagi secara khususnya, untuk dakwah dan pandidikan kita ia ada menterjemahkan teks sufi yang penting. Teks itu ialah Fathu’r-rahman bi-Syarh Risalah al-waliy al-Ruslan. (17)

Teks itu diberi terjemahan antara baris-baris teksnya (“interliner”) dalam bahasa yang jelas. Ia ditulis oleh Haji Muhammad Sa’id bin al-marhum Mufti Ahmad bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Allah memberi rahmat kepada mereka itu. Amin.

Yang dibicarakan dalam teks itu, yang belikau terjemahkan kata-kata demi kata itu berbicara tentang tasawwuf taraf yang melintasi fardhu ‘ain. Misalnya dalam hubungan dengan tauhid beliau terjemahkan begini (18):

Dan sesungguhnya engkau dahulukan bahawa tauhid itu tauhid pada af’al dan tauhid pada sifat dan tauhid pada zat; dan yang pertamja itu tauhid segala awam dan yang kedua t auhid segala khawwas dan yang ketiga tauhid khawwas al-khawwas. Yang makhluk itu serta terhentimu serta mereka itu dinding daripada memandang hak ta’ala dan engkau serta demikian itu dinding daripadanya pula.

Bermula hak taala itu tiada terdinding daripadamu kerana tiada kuasa atas mendindingi Dia dan Hak taala itu terdinding Ia daripadamu dengan dirimu kerana tilikmu kepada wujudmu dan amalmu, dan engkau mendindingi daripadamu dengan dirimu bagi demikian itu.

Di tepi teks itu ada syarahnya, katanya:

Yakni salik itu (orang yang berjalan dalam perjalanan rohani dengan Amalan-amalannya dan sifat-sifatnya) manakala ia memandang dirinya Berwujud, maka iaitu jadi dinding kepada Allah ta’ala, dan jika dipandangnya pula akan … (kurang terang) … berwujud iaitu dinding pula Kepada Hak taa’la, kerana iaitu jadi syirik khafi.

Seterusnya katanya lagi:

… dan inilah wujudku dan ilmuku –gugur daripada satu naskhah- dan engkau terdinding daripadamu dengan Hak taala kerana bahawasanya engkau apabila engkau lihat kepada wujud Hak taala nescaya terdindinglah engkau dengan Dia daripadamu-dan pada suatu naskhah digantikan ‘bihi’ itu dengan ‘bihim’ ertinya dengan makhluk , makia ceraikan olehmu engkau daripadamu, ertinya fanakan olehmu daripada wujudmu dan upayamu dan kuatmu nescdaya engkau musyahadahkan barang yang di(a)nugerahkan Allah dengan dia atasmu (“yang salik”-kata syarah di tepinya-pen) daripada kerunia dan murah dan sejahtera atasmu dan rahmat Allah dan berkatNya.(19)

Sebagai contoh, ia menyebut bagaimana manusia menuju kepada tauhid darjah yang demikian ini menemui halangan-halangannya yang sesuai dengan halnya pula. Katanya (20)

… jika damping engkau dengan Dia kepadamu seperti bahawa tiada engkau lihat bagimu berwujud dan berilmu serta wujudNya dan ilmuNya nescaya didampingkanNya engkau kepadaNya dengan KurniaNya dan (a)nugerahNya; dan jika damping engkau dengan engkau kepadaNya dengan bahawa engkau lihat bagimu yang demikian itu nescaya dijauhkanNya engkau ertinya didindingiNya engkau dan masyghulkanNya engkau dengan dia; jika engkau tuntut Ia bagimu seperti bahawa engkau tuntut daripadaNya segala derjat dan karamat dan maqamat, nescaya diberati engkau dengan amal dan dilelahkanNya engkau dari kerana bahawasanya barang siapa menuntut upah nescaya dituntutnya dengan amal, dan jika engkau tuntut Ia bagi hak taala nescaya ditunjukiNya engkau, ertinya dijadikanNya en gkau daripada orang yang mengambil dallal (yang menunjukkan jalan yang betul-pen) dengan semata-mata kiemurahan dan KurniaNya, seperti telah lalu keterangannya (?) hampirmu kepada Hak Taala ; keluarmu dengan fana’mu daripadamu dan jauhmu daripadaNya itu terhentimu sertamu.Dan pada mereka itu bahawasanya kebajikan segala yang berbuat kebajikan itu kejahatan oleh segala yang muqarrabin seperti yang telah lalu; danh inilah yang hampir daridpada katanya:jika datang engkau dengan tiada engkau diterimaNya engkau, dan dikasihiNya engkau, dengan Kurnia Allah taala; dan jika engkau datang dengan dirimu seperti bahawa engkau lihat bagimu berwujud dan beramal nescaya didindinginya engkau dengan hadhrat berjinak-jinakan dengan Dia yang berbuat; ertinya yang berbuat amal pada ibadatnya itu tiada jauh selesai ia daripada melihat amalnya kerana tuntutnya akan upah atasnya; maka jadikan olehmu akan dirimu daripada pihak kurnia ertinya kurnia Allah dan (a)nugerahNya atasmu tiada daripada pihak amal supaya sejahtera engkau daripada melihat Dia dengan musyahadahkan bahawa sesungguhnya ia tiada fa’il dan tiada yang maujud melainkan Allah taala, maka adalah engkau setengah daripada orang yang arif…

Dalam hubungan dengan tasawuf kita dapati penilaian tentang beliau sebagai berikut:

… mempunyai pemikiran di bidang tasawuf dalam menentang paham wahdatul-wujud (Tuhan sebagai satu-satunya wujud hakikat)…Ajaran tersebut di bawa ke Nusantara oleh Syamsud-Din as-Sumatrani (w.1041 H/1630 M) dan Hamzah Fansuri (w.1016H/1607M) dan disebarkan di Banjarmasin oleh Abdul Hamid. Inti ajaran wahdatul-wujud tersebut berbunyi: ’Tiada wujud melainkan hanya Dia (Tuhan), tiada wujud yang lainnya. Tiada ada aku melainkan Dia dan aku adalah Dia.’Al-Banjari menganggapnya sebagai ajaran sesat. Ia sangat prihatin menyaksikan kondisi masyarakatnya yang telah dirasuki ajaran tersebut sehingga mereka melalaikan amalan-amalan lahir sehari-hari , seperti salat, puasa, zakat, dan beberapa aktivitas serta kewajipannya terhadap keluarganya dan masyarakat tersebut. Ia berusaha dengan berbagai upaya untuk mewujudkan adanya keseimbangan antara tasawuf dan syari’at. Ajaran tasawwuf yang berkembang di tengah-tengah masyarakat beransur-ansur dihapuskan dan diganti dengan ajaran Tasawuf Tarekat Samman (inti ajarannya adalah harminisasi antara aspek fikih atau hukum dan tasawuf)…(21)

Mungkin kita boleh menoleh kembali dalam hubungan dengan yang demikian kepada formulasinya dalam Tuhfatu’s-Raghibin (22) Beliau menyatakan bahawa golongan “wujudiyyah” atau golongan “wahdatul-wujud” itu ialah:

(Adapun kaum wujudiyyah) (atau “kaum wahdatul-wujud”-pen) maka adalah I’tikadnya dan katanya ‘la ilaha illa’Llah’ yakni tiada wujudku hanya wujud Allah taala (yakni) bahawa aku wujud Allah(demikianlah ) dii’tikad mereka itu Pada makna kalimah yang mulia itu; dan lagi pula kata mereka itu :(ayat bahasa Arab, bermaksud) yakni bahawasanya Hak ta’ala tiada maujud melainkan di Dalam kandungan segala makhluk (maka) sekelian makhluk pada I’tikad Mereka itu wujud Hak ta’ala dan wujud Hak ta’ala wujud segala makhluk (maka) adalah mereka itu men(g)ithbatkan keesaan hak ta’ala di dalam waujud makhluk yang banyak serta kata mereka itu ‘tiada maujud hanya Allah ta’ala…dan lagi kata mereka itu ‘kami dengan Allah ta’ala sebangsa dan suatu w segala ujud’…(maka )sekelian I’tikad itu kufur; inilah I’tikad wujudiyyah yang mulhid….(syahadan) adalah wujudiyyah itu dua kaum (suatu) wujudiyyah yang muwahhid (kedua) wujudiyyah yang mulhid (maka) wujudiyyah yang muwahhid itu iaitu segala ahli sufi yang sebenarnya (dan) dinamai mereka itu (wujudiyyah) kerana adalah bahath dan perkataan dan I’tikad mereka itu pada wujud Allah ta’ala…

Dengan ini jelas bahawa wahdatul-wujud difahamkan oleh beliau dengan mengakui ada yang sebenarnya dan ada yang palsunya; maka nampaknya yang palsulah itu yang beliau perangi habis-habisan. Wallahu a’lam.

Secara ringkasnya, jasa Syaikh Muhammad Arsyad rahimahu’Llah ta’ala boleh dilihat dari beberapa sudut.

Boleh dilihat pertamanya beliau menapis ‘akidah Ahlis-Sunnah di rantau ini dengan mengemukakan ciri-ciri pelbagai pegangan yang sesat, bid’ah, dan bahkan yang membawa kepada kekufuran, dari paradigma Islam Sunni klasik, dengan juga mengambil kira perkembangan di sini, seperti kesilapan setengah pihak berkenaan dengan wahdatul-wujud, antara lainnya. Beliau menegaskan dengan nyatanya bahawa yang hak adalah akidah Ahlis-Sunnah wal-jama’ah.

Beliau keduanya mendaulatkan Shari’at dalam faham Sunni dengan berpandukan mazhab Syafi’I radiya”Llahu a’nhu, tetapi dengan mempunyai keluasan faham sehingga membuka ruang untuk mendapatkan manafaat daripada unsur-unsur hukum yang boleh diterima. Antaranya dalam hubungan dengan harta pesaka dan juga zakat. Implikasi daripada sikap intelektuil ini adalah meluas dan mendalam bagi perkembangan hukum kita di sini.

Beliau ketiganya mengemaskinikan pentadbiran soal keagamaan dan kehakiman, sampai terbinanya institusi-institusi dalam hubungan dengan hal ini; dan ini sungguh besar jasanya dalam menjayakan Syari’at dan kehakiman Islam di rantau ini, dengan contohnya di Banjar.

Keempatnya beliau menjayakan pendidikan Islam secara membina institusi dan menjalankan dakwah sekaligus dengan usahanya itu, dengan ditambah pula seruan dakwah secara popular untuk rakyat jelata; gerak kerjanya bukan bersifat elitis semata, tetapi mengakar dalam masyarakat biasa rakyat. Allah memberi rahmatlah kepada ullama yang sedemikian ini sikapnya, yang kata orang tua-tua “ke tengah ke tepi”.

Kelimanya beliau memberi contoh dalam diri dan amalannya berserta dengan penulisannya juga bagaimana mengembalikan tasawuf dalam islam ke pangkuan Syari’at sebagaimana yang ada dalam wacana intelektuil Sunni yang baku, yang memberi legitimasi seutuhnya kepada perjalanan rohaniah yang asli itu dalam rangka epistemologi Sunni yang sepadu dan total.

Keenamnya, dalam iklim kekeliruan rohaniah dan intelektuil, semenjak dulu sehingga sekarang, kenyataann ya membezakan “wujudiyyah yang muwahhid” dengan wujudiyyah yang mulhid”- “wahdatul-wujud” yang zindik dan kafir dibezakan daripada yang “muwahhid” yang ada pada golongan sufi sebenarnya, bukan pseodo-sufi yang mendakwa dengan kepalsuan dan membuat pengakuan yang palsu. Ini jelas daripada syarah tauhid dalam “Fath ar-Rahman” yang diterjemahkannya dengan nyata sekali. “Wahdatu-wujud” yang palsu dilawannya dan yang sebenarnya diberi pembelaannya dalam syarahnya tentang teks “Fath ar-Rahman” itu.

Ketujuhnya beliau menentang khurafat, seperti amalan “menyangkar” dan mengadakan “pasilah” yang melibatkan pemujaan jin, sebagaimana yang banyak dihuraikannya di akhir “Tuhfatu’r-Raghibin” dan ini terlalu amat besar jasanya dalam pengembangan akidah umat yang semurninya.

Kelapannya beliau dalam sosok peribadinya sebagai ahli ilmu Islam, jelas mewujudkan dalam dirinya kesepaduan ilmu-ilmu Islam, bukan terpecah-pecah, berlainan daripada apa yang berlaku sekarang ini. Maka peribadi yang sedemikian inilah yang menjadi contoh kita di rantau ini, selain daripada imam-imam utama di kawasan tengah umat Islam sana. Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya. Inilah yang mesti menjadi inspirasi kita. Bukan kita maksudkan seseorang itu perlu menjadi pakar dalam semua bidang, itu baik kalau boleh dicapai, tetapi yang kita maksudkan ialah orang yang memiliki “paradigma intellektuil Sunni yang sepadu dan total” yang membolehkannya mengambil pertimbangan yang benar dalam bidang ilmu dan pegangan. Kalau tidak kita hanyut dalam maklumat-maklumat yang bersimpang siur, apa lagi dalam zaman “information over-load” ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh Abdal–Hakim Murad dari Cambridge, walaupun maklumat mencurah-curah seperti air dari gunung turun dari universiti-universiti dan maklam-makmal saintifik, manusia hidup dalam hubungan dengan perkara asasi dalam “ignorant learnedness” atau kejahilan dalam banyak mempunyai maklumat-maklumat.

Kesembilannya, beliau memberi kepada kita contoh hidup (“living example”) ulama Nusantara yang sedemikian unggul mengadakan hubungan yang sedemikian “synergistic”, yang sedemikian penuh dengan prinsip “ta’awun” dengan wali al-amri di Banjar, sebagaimana yang dikehendaki dalam wacana Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dalam rangka menjayakan budaya “al-din al-nasihah”, “agama ialah keceriaan murni yang sungguh-sungguh dalam hubungan dengan imam-imam Muslimin”, antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Nawawi dan al-khattabi serta qadhi ‘Iyad, Allah memberi rahmat kepada mereka.

Kesepuluhnya beliau memberi contoh membuat jasa dalam perkembangan bahasa dan persuratan Islam yang melibatkan wacana hukum dan pemikiran serta hidup spiritual Islam. Bahkan sampai beliau terlibat dalam penterjemahan, seperti terjemahan “interliner”nya ke atas “Fath ar-Rahman” yang penting itu. Seolah-olah kita boleh melihat bahaimana proses menterjemah itu berjalan dalam diri beliau melalui buku ini. Ma sya’a Allah.

Kesimpulannya, sebagaimana yang kita lihat Syaikh al-Banjari rahimahu”Llah ta’ala, mulai daripada amalan lahiriahnya yang tertakluk dengan sistem fiqh yang sangat berdisiplin, kemudian kita pergi sedikit lagi jauh ke dalam pegangannya yang berupa pegangan Ahlis-Sunnah, kemudian kita pergi lebih jauh lagi ke dalam tanggapan dan pandangan tauhidnya yang menjangkau sampai kepada pengalaman para auliya’, Allah meredhai mereka, kita dapati ia ulama yang intelektualitinya sangat integrated atau sepadu, yang mendapat kekuatan daripada tradisi intelektual Sunni yang baku dengan fiqhnya, akidahnya, dan hidup rohaninya. Tokoh sedemikian inilah yang menimbulkan kegiatan pendidikan dan dakwah di Dunia Melayu, yang menyebab ia boleh bertahan sampai sekarang, dan insya’ Allah sampai seterusnya, amin, dengan generasi sekarang mengambil pengertian yang sedalamnya dari kefahaman mereka ini dan keyakinannya, serta membina kekuatan di atas asas inteketuil, akhlak, dan rohani yang seteguhnya.

Wallahu a’lam.

------------------------------------------------- -------------------------------------------------------------------------------------
CATATAN

* Kertas dibentangkan dalam Seminar Serantau Sheikh Muhammad Arsyah al Banjari –rahimahu’Llahu ta’ala - di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dari 4 Oktober 2003 atas anjuran bersama ABIM, DBP Malaysia, IAIN Antasari Banjarmasin, Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Selatan dan badan Pengelola masjid Raya Sabil al-Muhtadin dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Akademi Kajian Ketamadunan dan Persatuan Ulama Kedah. Bahan-bahan yang penting antaranya banyak saya dapati dari rakan kita yang mulia Tuan Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah, penghimpun bahan-bahan yang tidak kenal penat lelah itu. Kaththara’Llahu amthalah. Amin.

(1) Antara bahan-bahan yang senang dirujuk ialah yang ada dalam Ensiklopedi Hukum Islam, jld I, halaman 191-194, di bawah tajuk “Syekh Muhammad Arsyad al-banjari”, terbitan Pt Ichtiar Baru Van Hoeve, Jakarta, 1996 (semuanya dalam 6 jilid), dan Ensiklopedi Islam,di bawah tajuk “Al-Banjari, Syekh Muhammad Arsyad”, jilid I, halam 229-231, penerbit yang sama, Jakarta, 1994.

(2) Dalam Ensiklopedi Hukum Islam, hlm..191.

(3) Diterbitkan di Tokobuku “Hasano”, Jalan Hasanudin, Banjarmasin, tanpa tarikh. Diucapkan “jazakumu’Llahu khairan kathiran” kepada rakan kita Tuan Haji Wan Mohd Shaghir yang membekalkan bahan ini kepada penulis, bersekali dengan buku-buku lain.

(4) Tuhfatu’r-Raghibin fi Bayani Haqiqati Imani’l-Mu’minina wa ma Yufsiduhu min Riddatil-Murtaddin, terbitan Sulaiman Mar’I, Singapura, tanpa tarikh, hal.9. daripada hukum

(5) Lihat dalam Ensiklopedi Islam jld.I hal 230-231; dan Ensiklopedi Hukum Islam, jld.I, hal 192-194.

(6) Ensiklopedi Hukum Islam, jld.I, hlm.192.Ensikplopedi Islam,jld.I, hlm.230.

(7) Ensiklopedi Hukum Islam, jld.I, hlm.193.

(8) Lihat alm. Prof Ahmad Ibrahim, The Administration of Muslim Law in Malaysia.terbitan IKIM, Kuala Lumpur, berkenaan dengan “harta sepencarian”.Ini asalnya pengajaran fiqh Hanafi yang menyebut “wa kasbuhuma bainahuma”:”dan usaha kedua suami isteri itu antara keduanya”.

(9) Teks yang ada di tangan penulis ini terbitan Maktabah wa Matba’ah Dar al-Ma’arif ,Pulau Pinang, Malaysia, tanpa tarikh, terdiri daripada dua jilid.

(10) Sabil al-Muhtadin, jld.I, hlm.5-6.

(11) ibid.hlm.5-6.

(12) ibid.hlm.6.

(13) ibid.hlm.6.

(14) ibid. I.hlm.3-4.

(15) ibid.I.140-141.

(16) ibid.II.hlm. 116-117.

(17) Diterbitkan oleh Tokobuku “Hasano”, Jalan Hasanudin, Banjarmasin, tanpa tarikh. Ucapan “jazakumullahu khairan kathiran” kepada saudara kita yang bujdiman Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah yang membuat dokumentasi tanpa penat lelah itu. Selain dari itu saya dapati dari beliau Beberapa Khutbah Syaikh Muhammad Arsyad himpunan ‘Abd al-Rahman Siddiq bin Muhammad ‘Afif, terbitan Matba’ah al-Ahmadiyyah, Singapura, tanpa tarikh; Perhimpunan Tiga Risalah-Pertama Risalah Syajarah al-Arsyadiyyah; kedua Risalah Takmilah qaul al-Mukhtasar terjemahan hamba; ketiga Risalah Qaul al-Mukhtasar fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar terjemahan jaddi (Datukku) Syaikh Muhammad Arsayad bin ‘Abdullah al-Banjari, Matba’ah al-Ahmadiyyah Singapura, tahun1356.

Dalam Ensiklopedi Hukum Islam jld I disebutkan hasil penulisan Syaikh al-Banjari (selain daripada Sabil al-Muhtadin) adalah: Kitab al-Nikah, Kitab al-fara’id, Usul al-Din, Tufah al-Raghibin, kanz al-Ma’rifah, dan al-qaul al-Mukhtasar. (hlm.194).

(18) hlm.88-89.

(19) ibid. hlm.90-91.

(20) ibid. hlm.82 dst.

(21) Ensiklopedi Hukum Islam,jld I, hlm.194.

(22) hlm.16-17.

Lampiran:

Para ulama yang disebut pendapat mereka:

Dalam fikhnya:
Zakariyy al-Ansari
Khatib Syarbini
ibn Hajar al-Haitami
Syaikh Ramli

Dalam akidahnya:

Syaikh Sa’du’d-Din dalam syarah ‘aqa’id
Syaikh ibn Hajar dalam Tuhfah menukil ‘Mawaqif’
Syaikh Muzjid dalam kitab ‘Ubab’
Syaikh Isma’il ibn al-Muqri
Syaikh al-Islam dalam ‘Raud al-Talib’
kitab ‘Asna al-Matalib’
Imam al-Ghazali
Syaikh Abu al-Najib al-Suhrawardi
Najm al-Din ‘Umar al-Nasafi
Imam al-Qurtubi
Fakhr al-Din al-Razi
Syaikh Abu Syukr al-Sulami
Syaikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya’arani dengan ‘al-Yawaqit’nya
Syaikh Muhyi’d-Din ibn ‘Arabi dengan kitab ‘Futuhat’nya

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.