Jejak Ulamak

Penubuhan Pusat-Pusat Pengajian Pada Zaman al-Mawardi [Siri 3]

Mohd Rumaizuddin Ghazali, Timbalan Presiden

Pada masa ini penubuhan pusat-pusat pengajian ilmu semakin pesat di seluruh kota-kota Islam seperti Baghdad, Basrah dan Kaherah. Berkembangnya Muassasah, perpustakaan, masjid dan sekolah. Dalam sejarah pendidikan Islam, bahawa masjid merupakan tempat yang paling penting di mana kelas pengajian dan halaqah ilmu diadakan. Kesan dari sinilah timbulnya pengajian ilmu di seluruh negara Islam dan juga terbinanya sekolah-sekolah dan kuttab.1

a) Muassasah :

Antara tempat pendidikan pada masa ini ialah terdapat muasasah bagi melatih anak-anak tempatan bagi setiap umur dan peringkat. Muasasah ini terus berkembang dengan pesat dan tersusun pada zaman al-Mawardi dari zaman yang sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa masyarakat ketika itu sangat menitikberatkan tentang pendidikan anak-anak sejak kecil lagi.

b) Perpustakaan :

Perpustakaan ini memang telah wujud sejak awal permulaan Islam terutama perpustakaan di masjid-masjid. Perpustakaan ini dibina untuk memudahkan penuntut ilmu membaca dan membuat rujukan kepada buku-buku. Malahan terdapat perpustakaan masjid yang masih kekal hingga hari ini seperti perpustakaan al-Azhar. Perpustakaan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu perpustakaan umum dan perpustakaan khas. Perpustakaan khas hanya dibuka untuk penuntut-penuntut ilmu untuk dibaca dan membuat ulangkaji seperti perpustakaan Syarif Reda, perpustakaan Ibn ‘Amid, perpustakaan Muhammad Hilal bin Hassan al-Sabi yang dikenali sebagai Gharsi l-Nikmat yang mempunyai empat ribu jilid buku dalam berbagai-bagai bidang,3 perpustakaan Abu Mansur bin Fanah yang mempunyai sembilan belas ribu jilid buku.1 Perpustakaan jenis ini hanya dibuka kepada orang yang tertentu sahaja seperti para sahabat dan penuntutnya. Sementara perpustakaan umum terlalu banyak dan diantaranya ialah :

1. Dar al-Kutub di Baghdad yang telah diasaskan oleh Menteri kerajaan Buwayhiyyah yang bernama Sabur bin Ardashir pada tahun 381 hijrah. Perpustakaan ini terbakar pada tahun 450 hijrah ditangan Tagharbalak. Perpustakaan ini mempunyai lebih dari seribu jilid buku dan merupakan tempat pertemuan para ulama, ahli falsafah dan sasterawan pada ketika itu.2

2. Terdapat dua perpustakaan di Basrah, salah satunya dibina oleh Menteri Abu Mansur bin Shah Marwan. Tetapi malangnya kedua-dua perpustakaan tersebut terbakar ketika terbakarnya kota Basrah pada tahun 483 hijrah.3

3. Dar al-Mausol yang dibina oleh Abu Qassim Jaafar bin Muhammad bin Hamdan al-Mausoly al-Syafie (w. 323). Perpustakaan ini dibuka setiap hari untuk orang ramai dan mempunyai program-program dialog antara ulama dan majlis-majlis ilmu.4

4. Baitul Hikmah yang didirikan oleh khalifah Harun al-Rashid dan al-Makmun yang merupakan perpustakaan yang paling awal dalam sejarah Islam. Di sini juga di adakan majlis-majlis ilmu yang menghimpunkan seluruh ulama, ahli falsafah dan orang ramai untuk mendalami ilmu dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun perpustakaan ini telah musnah apabila kedatangan tentera Tatar pada tahun 606 hijrah ke Baghdad.1

5. Perpustakaan ini bukan sahaja terdapat di kota Basrah dan Baghdad tetapi juga di Khurasan, Kaherah dan Syam. Di Mesir, terdapat perpustakaan yang dikenali sebagai Dar al-Ilm yang didirikan oleh pemerintah bani Fatimiyyah pada tahun 400 hijrah.2

6. Perpustakaan Nuh bin Nasr al-Samani adalah perpustakaan yang mempunyai segala jenis buku dari berbagai-bagai ilmu.3

7. Perpustakaan Haidar di Najaf, Iraq. Perpustakaan ini masih kekal hingga sekarang. Ia terletak berdekatan dengan makam Saidina Ali Abi Talib.4

c) Sekolah-sekolah.

Pada zaman ini perkembangan sekolah-sekolah semakin pesat di kota-kota negara Islam seperti di Baghdad, Basrah dan Kaherah. Antara sekolah-sekolah yang terkenal ketika itu ialah Madrasah Abu Ali Hussain, Madrasah Baihaqiyyah, Madrasah al-Sa’adiyyah, Madrasah Abu Hatim al-Busty di Naisabur. Kemudian Nizam al-Muluk telah mendirikan sekolah di Naisabur yang terkenal dengan Madrasah Nizam al-Muluk.1
Perkembangan ilmu di sekolah-sekolah ini semakin maju disebabkan sistem pendidikan yang teratur, cara pelaksanaan yang sistematik serta minat orang untuk menuntut ilmu terutama berlakunya perbezaan antara golongan sunni dan Syiah.

d) Masjid.

Dalam Islam masjid bukan sahaja tempat ibadat malahan ia berfungsi sebagai pusat pengajian dan penyebaran ilmu. Sejak zaman Rasulullah s.a.w masjid telah dijadikan tempat pertemuan para sahabat untuk menuntut ilmu daripada Rasulullah s.a.w. Bermula di Masjid al-Nabawy sehinggalah sekarang peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu Islam dalam berbagai-bagai bidang tidak dapat dinafikan lagi. Oleh itu, kita melihat para ulama telah membuka kelas pengajian ilmu di masjid-masjid sepanjang zaman.2 Imam al-Mawardi sendiri merupakan penuntut yang mendapat ilmu dari masjid-masjid di Baghdad. Pada zaman ini masjid-masjid di seluruh dunia Islam terutama di Baghdad, Basrah dan Kaherah dipenuhi oleh para pelajar yang datang untuk menuntut ilmu dari ulama-ulama yang terkenal. Antara masjid-masjid yang menjadi tumpuan para penuntut ilmu pada masa itu ialah :

a) Masjid al-Mansor yang didirikan oleh khalifah al-Mansur bin al-Abbas di Baghdad yang mengadakan kelas-kelas pengajian ilmu dalam berbagai-bagai bidang terutama feqah dalam pelbagai mazhab, ilmu Qira’at, tafsir dan tauhid. Di sini juga para ulama mengadakan pertemuan dalam membincangkan persoalan ilmu. Al-Khatib al-Baghdadi pernah mengajar di masjid ini dalam ilmu Hadis.1 Golongan muztazilah menggunakan masjid ini sebagai tempat untuk mengajar ilmu kalam.2

b) Masjid al-Rasafah yang dibina oleh Mahdi, Masjid Nahru Bazazin, Masjid Samak dan lain-lain yang berfungsi sebagai pusat pengajian Islam yang terkemuka.3 Begitu juga, masjid Amru bin ‘As4 , Masjid al-Hakim, Masjid al-Azhar di Kaherah5 dan Masjid Damsiq di Syria6 .


e) Rumah ulama


Terdapat juga pada masa ini ulama-ulama yang membuka kelas pengajian ilmu di rumah mereka. Ini disebabkan mereka ingin mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perdebatan sehingga mencemar kemuliaan masjid. Antara ulama yang membuka kelas pengajian ilmu di rumah seperti al-Qadi al-Mahamaly yang membuka kelas setiap hari Rabu, al-Qadi al-Sanmani dan Ibrahim al-Harby.

Kebiasaannya mereka yang menghadiri kelas di rumah ulama tersebut merupakan pelajar yang telah pun mempunyai asas ajaran Islam yang kukuh dan mengadakan perbincangan dalam sesuatu masalah dengan lebih mendalam dengan gurunya.1

Begitulah zaman al-Mawardi yang beliau hidup dan mendapat pendidikan dengan suasana fitnah dan kucar kacir dari segi politik sementara perkembangan ilmu semakin pesat. Keadaan-keadaan ini telah memberi kesan dalam pemikiran al-Mawardi dalam tulisan-tulisannya terutama dalam bidang kenegaraan. Imam al-Mawardi melihat keperluan dan keutamaan dalam menyelesaikan kemelut dan pergolakan politik yang berlaku ketika itu. Oleh itu, kita dapati sausana zaman ini telah mendesak al-Mawardi mengarang buku hasil dari pengalamannya sendiri dengan membongkar segala permasalahan umat dengan begitu realitis, objektif dan relevan. Dr. Muhammad Jalal Syaraf menyebutkan bahawa yang menarik di sini walaupun ia penuh dengan huru-hara dari segi politik tetapi pada zaman ini adalah zaman keemasan bagi penghasilan pemikiran Islam dalam berbagai-bagai ilmu, kesenian dan kesusasteraan.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.