Jejak Ulamak

Khairuddin al-Zirkili (1893-1976M): Pengarang Kitab al-'Alam

Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

Umat telah melakukan penganiayaan kepada Khairuddin al-Zirkili semasa kematiannya. Tidak ada satu tulisan yang meratapi kematian. Tidak ada berita kematiann kecuali peranggan yang kecil dalam akhbar al-Ahram. Manakala akhbar-akhbar lain di Beirut atau Damsyiq tidak langsung menyiarkan seolah-olah dia tidak pernah memberi sumbangan kepada dunia ilmu. Beliau merupakan pensyair dan pengarang kepada buku ensiklopedia biografi tokoh-tokoh yang dikenali sebagai al-‘Alam. Buku ini menjadi rujukan kepada pengkaji dan penuntut ilmu.

Nama sebenarnya ialah Khairuddin bin Mahmud bin Muhamamd Ali bin Faris al-Zirkili al-Dimasyqi. Beliau warga negara Arab Saudi dan meninggal di Mesir. Beliau berketurunan Kurdi. Namun Khairuddin mengatakan bahawa ibunya berbangsa Arab manakala bapanya berbangsa Kurdi. Pada zaman Salahuddin al-Ayyubi, sebahagian daripada mereka tingga di Salahiah,  Damsyiq iaitu perkampungan orang-orang kurdi.

 

Beliau dilahirkan pada malam hari Arafah 9 Zulhijjah1309H bersaman 7 Julai 1893M di Beirut. Bapanya seorang peniaga dan kemudian berpindah ke Damsyiq ketika Khairuddin berusia  tujuh tahun. Bapanya meninggal dunia tahun 1902M dan beliau menyara hidup dari harta peninggalan ayahnya yang sederhana. Beliau meneruskan pengajian siang dan malam di Damsyiq dalam sistem pengajian tradisi dengan guru-guru di sana di samping  belajar di madrasah Uthmaniah kemudian di kolej Abassiah dan Kolej Labik di Beirut.

 Antara guru-guru yang beliau belajar secara tradisional iaitu sistem halaqah di masjid iaitu:

i. Muhamad Jamaluddin al-Qasimi (1866-1914M)

Seorang tokoh ulamak Syria. Lahir dan meninggal dunia di sana. Beliau seorang salafi dari segi akidah dan pernah dituduh untuk membina mazhab baru iaitu mazhab al-Jamali lalu ditangkap oleh kerajaan pada 1895M. Beliau menolak dakwaan dan setelah mengajar di rumah dan menumpukan kepada penulisan. Beliau mengarang 87 buku. Antaranya Mahasin al-Ta’wil mempunyai 17 jilid dalam bidang tafsir.

 

ii.Tahir bin Saleh al-Jaza’iri(1852-1920M).

Seorang ulamak yang pakar dalam bidang bahasa dan kesusteraan Arab. Beliau telah membina perputakaan al-Zahariah yang menghimpun buku dan manuskrip di sekitar Damsyiq. Beliau dilantik menjadi ahli Jawatankuasa Majma’  al-Ilmi al-‘Arabi dan mengarang 20 buah buku.

 

iii. Abdul Qadir Badran (1863-1927M)

Seorang ulamak pakar dan feqah hanbali. Dilahirkan dan meninggal di Damsyiq.B eliau merupakan seorang salafi dari sudut akidah dan tidak menyukai falsafah. Antara karangannya Madkhal ila Mazhab al-Imam Ahmad dan Tahdhib Tarikh Ibn Asakir.

 

iv. Muhammad bin Abdul Razaq Kurdi Ali (1876-1953M)

Merupakan ketua Mujma’ Bahasa Arab di Damsyiq dan pengasas majalah al-Muqtabas pada tahun 1906M. Beliau banyak mengarang dan menulis buku. Lahir dan meninggal di damsyiq. Bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 12 tahun dan setelah itu terpaksa menyara dirinya sendiri. Banyak menghafal syair  al-Mutanabbi dan berkecimpung sebagai pengarang. Beliau juga pernah dilantik menjadi menteri pendidikan pada zaman penjajahan Perancis. Antara karangan ialah Khutut al-Syam yang mempuntyai 6 jilid dan Hadarah al-Arabiah.

 

v. Muhamamd Kamil al-Qasab (1873-1954M)

Seorang tokoh kemerdekaan Syria dan berasal dari Homs dan berpindah bapanya ke Damsyiq. Beliau dilahirkan di Damsyik dan dibesarkan sehingga remaja. Beliau sangat menekuni dalam menuntut ilmu dan pakar dalam bidang bahasa serta  pengasas sekolah al-Kamaliah. Beliau bekerja dengan kerajaan dan apabila Perancis menjajah Syria, beliau meninggal jawatan tersebut dan termasuk dalam senarai yang dihukum gantung oleh penjajah. Beliau pernah tinggal di Jafa, Palestin dan bersama dengan Izzuddin al-Qasam menulis buku al-Naqd wa al-Bayan. Apabila hukum gantung dihapuskan, dia pulang ke Damsyiq dan dilantik menjadi ketua persatuan Ulamak di sana.

vi. Abu Khair al-Maydani : Muhamad bin Muhamad bin Husain bin Bakri(1875-1961M)

Seorang ahli sufi dan dilahirkan di daerah al-Maydan, Damsyiq. Belajar dengan Syeikh Salim al-Maswati, Isa al-Kurdi, Muhamad al-Qutub dan Amin Suid. Terkenal dengan akhlak yang mulia dan meninggal di Damsyiq.

Apabila Al-Zirkuli tamat persekolah,  beliau bekerja di sekolah Kamaliah yang didirikan oleh Syeikh Muhamad Kamal al-Qasab dan memasuki tentera selama enam bulan. Kemudian beliau menulis dalam akhabar yang diterbitkan di Damsyiq terutama dalam akhbar al-Mufid yang diterbitkan 1920M. Isu-isu yang ditulis berkisar penentangan terhadap penjajahan Perancis. Beliau meninggal Syria selepas peristiwa Misilion pada 24 Julai 1920 ke Jafa, Palestin dan kemudian ke Mesir pada 10 Ogos 1920.

Pada 20 September, beliau pergi Hijaz untuk berjumpa Sharif Husain bin Ali dan tinggal di sana selama empat bulan. Pada tahun1921, beliau pergi ke Amman, Jordan dan bekerja sebagai pegawai di sana selama dua tahun.

Pada tahun 1923, beliau pergi ke Kaherah dan bergiat dalam bidang keilmuan dan tinggal di daerah Muski yang merupakan kawasan percetakan buku-buku Arab. Beliau telah mencetak buku yang ditulis tentang Hijjaz (ma ra’itu wa ma sami’at) dan keadaan di Amman (Ammaan fi ‘Amman), Diwan al-Zirkili yang diterbitkan pada tahun 1925M dan al-‘Alam pada tahun 1927M. Pada tahun 1930 sehingga 1934M, beliau tinggal di Palestin dan menerbitkan akhbar al-Hayat pada tahun 1931M dan al-Difa’ pada tahun 1934M  disana bersama –rakannya seperti Ibrahim al-Taufan, Abdul Karim al-Karmi dan Sami al-Siraj. (Ahmad al-Alawanah, 2002 :  22)

Pada tahun 1934, beliau pergi Kaherah sekali lagi dan tinggal selama 18 tahun sehingga tahun 1957. Beliau dilantik sebagai wakil kerajaan Arab Saudi di Kaherah. Pada tahun 1946, sebagai pegawai di Kementerian Luar di Jeddah dan juga bekerja di Kesatuan Liga Arab. Pada tahun 1951, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Tetap Kerajaan Arab Saudi ke Kesatuan Liga Arab sehingga tahun 1957. Pada masa ini juga, beliau menerbitkan buku al-‘Alam untuk terbitan kedua yang mempunyai 10 jilid.

Pada tahun 1957 -1963, beliau telah dilantik menjadi duta Arab Saudi ke Morocco. Pada masa ini, beliau menjalin hubungan yang rapat dengan Raja Muhammad Kelima dan ulamak-ulamak di Morocco.

Pada tahun 1963, beliau telah meminta kepada Raja Faisal untuk melepas jawatan bagi membolehkan dia berehat dan memilih Beirut untuk beliau berehat dan mengarang. Beliau telah diberi rumah, kereta dan pebantu kerana anak-anaknya tinggal di Kaherah.

Pada masa ini, beliau mengarang buku Syubah al-Jazirahal-Wajiz fi Sirah al-Malik Abdul Aziz dan al-‘Alam untuk cetakan ketiga yang mempunyai 12 jilid. Semasa tinggal di Beirut, beliau banyak melawat negara-neagar  seperti ke Arab Saudi, Damsyiq, Turki, Kaherah, Itali dan Switzerland.

Pada awal tahun 1976, beliau jatuh sakit dan dirawat di Hospital Amerika di Beirut dan keadaannya semakin sembuh. Namun, pada Ogos  1976, semasa tinggal bersama anaknya  Dr Ghayas di Kaherah, beliau dimasukkan ke Hospital al-Ma’adi dan kemudian ke Hospital Syurbiji di Duqqi, Kaherah. Beliau meninggal dunia di sana pada hari Khamis 13 Zulhijjah 1396 bersamaan 25 November 1976. Beliau telah disembahyangkan di Masjid Umar Mukram dan dikebumikan di Kaherah.

Al-Zirkili meninggalkan empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan iaitu :

  1. Ghayas - dilahirkan di Amman pada tahun 1922 dan seorang doktor dan berkahwin dengan anak Mufti Paletin Haji Amin Husaini.
  2. Lamis – Dilahirkan di Damsyiq dan meninggal pada tahun 1992M
  3. Tarifah –dilahirkan di Kaherah dan beliau merupakan anak yang paling arif tentang perjalanan hidup bapanya.
  4. Hayat - Dilahirkan di Quds dan tinggal di Kaherah.

 

Kesemua anak perempuannya belajar di Kolej Amerika (Perempuan) di Kaherah dan merupakan suri rumah. Al-Zirkili menjadi anggota Liga Bahasa Arab Damsyiq pada tahun 193M, anggota Liga Bahasa Arab Kaherah pada tahun 1946M dan Liga Bahasa Arab Iraq pada tahun 1960M.

Al-Zirkili banyak merantau dan melawat England, USA, Itali, Turki dan  Tunis untuk mencari bahan-bahan buku yang penting. Tidak dinafikan ada juga pemergian ke negara –negara tersebut atas tugas sebagai duta. Beliau sentiasa mencari manuskrip dan buku-buku yang jarang-jarang ditemui.

Al-Zirkili mempunyai perpustakaan khusus dirumahnya yang menyimpan buku-buku dan manuskrip. Perpustakaan beliau terdapat di Kaherah dan satu lagi di Beirut, Perpustakan di rumahnya terletak di tingkat dua dan penuh dengan buku-buku sehingga tidak nampak dinding. Sebelum kematiannya, kebanyakan buku-buku dalam perpustakaan beliau diberikan kepada Universiti Raja Saud di Riyadh. Pengarah Perpustakaan Universiti Raja Saud telah membuat katalog khas perputakaan buku-buku Khairuddin al-Zirkili.

Al-Zirkili merupakan seorang pensyair. Syair-syair bertema mengenai kebebasan dan kemerdekaan umat Islam dan bangsa Arab. Beliau berharap syair-syair memberi semangat kepada kebangkitan Islam dan bangsa Arab dan merupakan revolusi jiwa untuk mereka. Beliau juga seorang sejarawan dan banyak mengkaji serta mentelaah buku-buku berkaitan sejarah.

 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.