Jejak Ulamak

Ali Tantawi 1909-1999M : Tokoh Fiqah dan Sasterawan dari Syria

Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali

Gelaran Tantawi kerana keluarga Ali Tantawi berasal dari Tanta, satu daerah di Mesir. Datuk Ali Tantawi berhijrah ke syam kerana mengiringi bapa saudara seorang ulama al-Azhar. Bapa saudara tersebut bernama Muhammad bin Mustafa. Datuknya bernama Ahmad bin Ali bin Mustafa yang berkahwin dengan anak bapa saudara (Muhammad bin Mustafa) dan tinggal bersama dan kemudian berpindah ke perkampungan Uqaibah, berdekatan dengan masjid Taubat, Damsyiq.

Sementara bapanya bernama Mustafa al-Tantawi seorang ulama, pengetua di sekolah al-Tijarah dan pernah memegang setiausaha fatwa pada zaman Mufti Abu Khair Abidin di Damsyiq. Beliau meninggal dunia pada tahun 1925 ketika Ali Tantawi berusia 16 tahun. Keluarga ibunya juga merupakan keluarga yang mencintai ilmu. Bapa saudara sebelah ibu iaitu Mahbuddin al-Khatib merupakan pengasas  akhbar al-Fatah  dan al-Zahra’.

Ali Tantawi dilahirkan pada pagi Jumaat 23 Jamadil awwal 1327H  bersamaan 11 Jun 1909M. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang sederhana di perkampungan Uqaibah, Damsyiq tetapi sangat mencintai ilmu

Ali Tantawi mendapat pendidikan dari dua sistem iaitu sistem talaqqi dari syeikh-syeikh dan  sistem moden dari peringkat menengah sehingga universiti. Beliau belajar di peringkat rendah di seolah al-Tijarah sehingga tahun 1918, kemudian di sekolah al-Sultaniah, sekolah Jaqamqiyah dan sekolah al-Hukumiah pada tahun 1923. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Anbar selama enam tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Dar Ulum, Mesir pada tahun 1928.

Namun tidak genap setahun, beliau pulang dan menyambung pelajaran di fakulti Undang-undang di Universiti Damsyiq sehingga menjadi graduan pada tahun 1933.Semasa di Maktab Anbar, beliau belajar dan terpengaruh dengan guru ynag bernama Salim al-Junaidi dan Abdul Qadir al-Mubarak. Beliau belajar di Maktab Anbar sehingga tahun 1927.

Antara majlis talaqqi yang sering dihadiri ialah majlis pengajian Syeikh Badaruddin al-Hasani dan Syeikh Muhammad bin Jaafar al-Katani. Beliau juga berguru dengan Syeikh Abu Khair Abidin dan anaknya Syeikh al-Tabib Abu Yusri Abidin dan Syeikh Muhsin al-Astuni.

Semasa di  Mesir, Ali Tantawi berguru dengan Syeikh Muhammad Khadir Husain, Syeikh Musatafa Abdul Raziq dan Syeikh Mahmud Shaltut. Kedua-dua sistem pengajian telah memberi kesan dalam pembentukan peribadinya terutama dari segi keilmuan.

Semasa di Mesir, beliau terlibat dengan gerakan pelajar menentang penjajahan. Apabila Ali Tantawi pulang, beliau telah menubuhkan persatuan pelajar dan menjadi presiden selama tiga tahun. Persatuan tersebut menjalankan aktiviti demontrasi dan penentangan terhadap penjajahan Perancis di Syria. Bapa Ali Tantawi meninggal dunia ketika beliau berusia 16 tahun dan perkara ini menyebabkan beliau ingin meninggalkan pelajaran dan berniaga.

Beliau terpaksa menanggung keperluan keluarga yang terdiri dari ibu dan lima adik beradik. Ali Tantawi merupakan anak sulung. Kemudian ibunya telah meninggal dunia pada tahun 1350H/1931M ketika beliau  berusia 24 tahun. Peristiwa telah meningalkan kesan mendalam dalam jiwanya.

Pekerjaan


Ali Tantawi bekerja dalam tiga bidang iaitu pendidikan, kewartawanan dan kehakiman.

Bidang pendidikan merupakan bidang paling lama yang diceburi oleh Ali Tantawi. Beliau mula mengajar ketika masih lagi belajar di peringkat menengah pada tahun 1925 selepas kematian bapa. Beliau pertama kali mengajar di sekolah al-Tijarah. Pada tahun 1927, beliau mengajar sekolah al-Aminiah yang dikendalikan oleh bapa saudara Syarif Khatib.

Setelah pulang dari Mesir pada tahun 1929, beliau kembali mengajar di sekolah al-Aminiah dan sekolah al-Jauhariah, sekolah al-Kamaliah dan juga kolej ilmiah Kebangsaan. Di kolej Ilmiah kebangsaan ini, Ali Tantawi mengajar kesusasteraan Arab berkaitan Bashar bin Bard. Pada masa ini, beliau menerbitkan buku Bashar bin Bard pada tahun 1930.

Pada tahun 1931, Ali Tantawi dilantik menjadi  guru di sekolah kerajaan. Pada masa itu, beliau masih lagi menuntut di Fakulti Undang-Undang. Beliau ditempatkan di Sulamiah dan kemudian di Saqba, berdekatan damsyiq. Kemudian datang arahan dari kementerian menukarnya ke Rankus dan kemudiannya ke Zakiah. Penempatan ini jauh dari Damsyiq dan disebabkan kerana ketegasan dan kritikan dalam menyatakan  kebenaran.

Pada tahun 1936, beliau berpindah ke Baghdad dan mengajar di sekolah menengah di sana. Beliau juga mengajar di Fakulti Syariah, Dar Ulum dan juga kolej Perguruan Tinggi di Baghdad. Pada percutian musim panas, beliau mengajar di Fakulti Syariah di Beirut. Kemudian menyambung mengajar di Iraq bagi sesi pengajian 1937/38. Beliau ditempatkan mengajar di Kurkuk, utara Iraq pada tahun 1939.

Pada tahun 1940, beliau kembali ke Syria dan mengajar di Maktab Anbar tempat yang beliau pernah belajar dan berpindah ke Dir Zawar. Khutbah dan pengajarannya  terutama di Masjid di Dir Zawar tidak disenangi oleh penjajah Perancis. Akhirnya menteri pelajaran tidak membenarkannya kembali mengajar di Dir Zawar dan memberi cuti sakit sedangkan beliau tidak sakit.

Namun, dengan takdir Allah datang berita gembira apabila beliau ditawarkan menjadi kadi. Beliau berkecimpung dalam bidang ini selama 22 tahun dari tahun 1941 sehingga tahun 1963 apabila beliau berhijrah ke Arab Saudi. Beliau tidak lagi mengajar kecuali berkhutbah di Masijid dan menyampaikan ceramah di Radio.

Apabila Ali Tantawi berada di Arab Saudi, beliau kembali mengajar di kolej dan universiti di sana. Beliau mengajar di Universiti Imam Muhammad Saud di Riyadh dan kemudian di Fakulri pendidikan di Mekkah.

Bidang Kewartawanan

Ali Tantawi pertama kali menulis artikel dalam akhbar pada tahun 1926 ketika berusia 17 tahun. Artikel tersebut disiarkan dalam akhbar al-Muqtabis dan beliau amat bergembira dengan tersiarnya artikel tersebut. Sejak dari itu, beliau terus menulis  dan bekerja dalam bidang ini dalam sebahagian dari kehidupannya. Pada tahun 1928 apabila Ali Tantawi pergi ke Mesir, beliau bersama-sama dengan bapa saudaranya Mahbuddin al-Khatib dalam siding editorial majalah al-Fath dan al-Zahra’. Kemudian apabila pulang ke Syam pada tahun berikutnya, beliau bekerja dalam akhbar al-Fata al-Arab yang dikendalikan oleh Arnauth dan juga akhbar Alif Ba, akhbar al-Ayyam, majalah al-Naqad dan al-Shaab. Dalam majalah al-Naqad, beliau menulis mengenai ketokohan Hasan Kharat.

Dalam akhbar al-Nasr, Ali Tantawi menulis ruangan “setiap hari satu artikel pendek” yang kemudian artikel-artikel tersebut dibukukan dan diberi judul “maqalat fi kalimat”. Ali Tantawi menjadi ketua editorial dalam akhbar al-Ayyam yang diterbitkan pada tahun 1931 namun pihak penjajahan Perancis melarang penerbitan dan mereka menukarkannya kepada akhbar al-Yaum. Kedua-dua akhbar merupakan akhbar yang menentang penjajahan Perancis dan kemudian Perancis melarang penerbitan kedua-duanya.

Pada tahun 1933, al-Zayyat telah menerbitkan majalah al-Risalah dan Ali Tantawi menjadi salah seorang daripada penulisnya sehingga terhenti penerbitannya pada tahun 1953 iaitu hampir 20 tahun. Pada yang sama, beliau menulis dalam majalah al-Muslimun terbitan Ikhwan al-Muslimun Mesir dan apabila tinggal di Arab Saudi, beliau menulis dalam majalah al-Haj, akhbar al-Madinah dan terakhir mengenai kenang-kenangannya dalam akhbar al-Sharq Awsat selama 5 tahun.

Beliau telah menulis ribuan artikel dalam pelbagai akhbar dan majalah yang telah memberi kesan dalam dunia Arab. Beliau menyebutkan bahawa bekerja dalam bidang kewartawanan majalah tersebut dan kebebasan untuk menulis perkara yang dikehendaki.merupakan pekerjaan yang paling disukai dengan syarat  diberi  kebebasan menyelia.

Bidang kehakiman

Ali Tantawi merupakan graduan kuliah Undang-Undang pada tahun 1933 dan peristiwa penduduk Zir Zawar menentang Perancis setelah mendengar khutbahnya pada tahun 1940 yang menyebabkan pemerintah melarangnya mengajar dan memberi cuti sakit. Peristiwa tersebut menyebabkan beliau meninggal bidang pendidikan dan memasuki bidang kehakiman selama 23 tahun.

Ali Tantawi memulakan tugas sebagai kadi di daerah Nabak selama 11 bulan dan kemudian bertukar ke Doma, berdekatan Damsyiq dan kemudian bertugas di Mahkamah Damsyiq selama 10 tahun iaitu dari 1943 sehingga tahun 1953. Pada tahun 1953, beliau bertugas sebagai pengarah di Mahkamah Rendah sehingga tahun 1963, tahun yang beliau berhijrah ke Arab Saudi. Beliau pernah bertugas di Mahkamah Mesir semasa penyatuan Syria-Mesir.

Ali Tantawi juga bertanggungjawab merangka undang-undang kekeluargaan. Pada tahun 1947, beliau bersama Ustaz Nahad Qassim tinggal di Mesir selama setahun untuk mempelajari mengenai undang-undang berkaitan pewarisan, wasiat dan undang-undang sivil. Beliau telah menyediakan rangka undang-undang kekeluargaan Syria dan ia menjadi asas bagi undang-undang kekeluargaan sekarang.

Di Arab Saudi

Pada tahun 1963, beliau pergi Ke Riyadh untuk mengajar kolej di sana (kemudian kolej menjadi universiti Imam  Muhammad bin Saud). Pada tahun berikutnya, beliau berpindah ke Mekkah dan tinggal di sana selama 35 tahun. Beliau tinggal di Mekkah selama 21 tahun dari tahun 1964 sehingga 1985 dan kemudian di Aziziah selama tujuh tahun dan kemudiian di Jeddah sehingga meninggal dunia pada tahun 1999.

Beliau mula mengajar di Fakulti pendidikan di Mekkah dan kemudian meninggalkannya untuk bergiat sepenuhnya sebagai pendakwah. Beliau menyampaikan ceramah dan kuliah di universiti, kolej dan sekolah di seluruh Arab Saudi. Di samping itu, menumpukan dalam memberi fatwa-fatwa dalam majlis ilmu di Masjid Haram. Beliau juga mempunyai rancangan di radio dan television.

Selama 35 tahun berada di Arab Saudi, beliau telah menyumbang idea dan pemikiran terutama kepada pendengar di radio di dunia Arab. Beliau mula bergiat sebagai penyampai kuliah agama di radio sejak tahun 1930an, radio Baghdad pada tahun 1937 dan radio Syria sejak tahun 1942 dan radio dan TV Arab Saudi selama 25 tahun.

Menurut cucunya Mujahid Ma’mun Diraniah bahawa Ali Tantawi menghabiskan beberapa jam dalam sehari untuk membuat rujukan terhadap soalan yang ditimbulkan oleh pendengar dan penonton. Dalam seminggu lebih dari 100 soalan yang perlu diteliti dengan melihat kepada buku-buku yang muktabar. Beliau mempunyai program untuk menjawab persoalan agama melalui talipon antara asar dan maghrib.

Apabila tiba waktu maghrib, beliau akan pergi ke Masjid Haram dan setelah itu beliau mengadakan majlis untuk menjawab persoalan agama yang timbul. Selepas solat isyak dan pulang ke rumah, beliau tidak lagi menerima tetamu seperti beliau juga tidak menerima tetamu sebelum asar. Waktu tersebut untuk beliau membaca, membuat rujukan dan urusan keluarga.

Apabila usia mencecah 80an, keadaannya tidak mengizinkan untuk bergerak cergas. Sebelum itu, beliau menulis ruangan kenangan-kenangan setiap hari khamis yang mempunyai 250 siri. Keadaan tersebut menyebabkan beliau hanya tinggal di rumah dan tidak lagi menulis dan berjumpa dengan orang ramai kecuali keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Di akhir tahun kematian, keadaan kesihatan jantung semakin lemah dan terpaksa berulang antara rumah dan hospital. Beliau meninggal dunia 18 Julai 1999 di hospital Malik Fahad, Jeddah. Beliau dikebumikan di Mekkah setelah solat jenazah keesokannya di Masjid Haram.

Keperibadian

Ali Tantawi merupakan seorang yang ingin kebebasan dalam mengutarakan pendapatnya dan tidak terikat pada tokoh dan aliran tertentu. Perkara ini boleh dilihat dalam penulisannya dalam akhbar dan buku. Dalam artikel yang dinamakan rasa’il al-Islah dan buku Ta’arif Am bi din al-Islam, beliau mengupas mengenai akidah Islam dengan pendekatan semasa dan tidak terikat dengan pendekatan lama yang tidak lagi bersesuaian dengan konteks semasa.

Begitu juga dalam kesusasateraan , beliau mempunyai pendekatan tersendiri, kadang-kadang terkesan dengan Manfaluti, dan kadang-kadang dengan al-Rafa’i. Beliau juga tidak memasuki mana-mana parti politik dan jemaah Islam walaupun beliau amat simpati dengan Ikhwan al-Muslimun dan mempertahankannya.

Ali Tantawi merupakan sasterawan Arab yang mendapat kedudukan yang tinggi. Perkara ini kerana artikel-artikel terutama apabila artikel pertama pada tahun 1926 dalam akhbar al-Muqtabas. Artikel-artikel tersebut mendapat kedudukan pertama selepas sasterawan kategori pertama seperti al-Zayyat, al-Aqqad, al-Rifa’i, Taha Husain dan al-Mazani. Al-Zayyat pernah memuji Ali Tantawi dengan menyebutkan Ali Tantawi merupakan permata dalam dunia keilmuan Arab moden, terangkum dalam dirinya keilmuan agama dan semasa, belajar undang-undang dan fiqah secara mendalam, menyertai kesedaran kebangkitan pemikiran agama  dan lemasyarakatan di Syria dengan gigih dan mempunyai aliran kesusateraan dan perubahan politik yang tinggi. Beliau merupakan contoh manusia yang mempunyai sumbangan besar terutama di Syria. Antara bukti ketinggian di antara generasinya ialah mereka meminta beliau memberi pra kata dalam buku-buku mereka.

Ali Tantawi menulis mukadimah dalam buku-buku tulisan Abu Hassan al-Nadwi, Muhammad Mahmud Sawaf, malah mereka yang dianggap sebagai guru seperti bapa saudaranya Mahbuddin al-Khatib, Muhammad Faris Barakat dan Muhammad Kurdi Ali. Sumbangan Ali Tantawi bukan sahaja dalam bidang kesusasteraan tetapi juga dalam bidang kehakiman dan pendidikan. Beliau merupakan orang yang mengajar subjek Fiqah sirah dan al-Thaqafah al-Islamiah dan bertanggungjawab menyusun manhaj pelajaran bagi kedua-dua subjek tersebut dan juga manhaj sekolah agama di Syria. Pada tahun 1954, beliau diamanah sebagai jawatankuasa dalam Muktamar al-Qudus mengenai kewajipan mempertahankan Palestin.

Faktor-faktor pembentukan keperibadian Kesusasteraan Ali Tantawi

i)Zaman

Ali Tantawi hidup pada pertengahan kurun 19 yang merupakan zaman kebangkitan kesusasteraan Syria dan Mesir dalam pelbagai bidang sastera seperti Nasif Bazaji(1899-1871) Ahmad Faris Shadyad (1804-1887) di Syria dan Abdullah Fikri ((1834-1890) Rifaat Tahtawi (1801-1873) di Mesir. Kemudian datang generasi Muhammad Abduh ( 1834-1905) di Mesir dan Abdul Rahman Kawakibi (1854-1902).

Kemudian lahir Mahmud Sami Barudi (1839-1904) yang membawa pendekatan menghidupkan syair dan Mustafa Lutfi Manfaluti (1877-1924) yang membawa pendekatan dalam bidang puisi. Kebangkitan kesusasteraan terutama di Mesir dan Syria dengan bergabung nilai-nilai kesusasteraan Arab klasik dengan kesusasteraan asing telah memberi pendekatan baru dalam dunia sastera Arab. Ali Tantawi mengambil manfaat dari generasi sebelum dan sezaman dengannnya seperti Manfaluti, Al-Rifa’i, Aqqad, Taha Husain, Zayyat, Mazani, Jibran, Shauqi, Hafiz dan Matran. Pada tahun1930an, muncul majalah dan akhbar yang bersifat kesusasteraan yang mempengaruhi pembentukan sasteranya.

ii) Sausana

Ali Tantawi dibesarkan dalam sausana dalam keluarga dan masyarakat yang cintakan ilmu. Beliau dididik dalam persekitaran yang bersih dan dikeliling oleh ulama dan pendakwah, masjid dan sekolah agama. Begitu juga kota Damsyik yang memberi sumbangan dalam pembentukan kesusasteraan dan Ali Tantawi mengambar Damsyik dalam buku berjudul Damsyik dan Jami’ al-Umawi tentang kecantikan dan kecintaannya.

3 .Ilmu Pengetahuan

Sumber pengetahuan Ali Tantawi melalui :

        Guru-guru
        Pembacaan
        Majlis ilmu dan kesusasteraan

Ali Tantawi melalui pengajian dalam dua sistem iaitu s[stem sekolah dan kolej moden dan sistem talaqqi di masjid dan halaqat. Dalam kedua-dua system tersebut beliau telah berguru dan memgambil manfaat dari mereka. Antara guru yang memberi kesan dan pengaruh kepada diri seperti Abdul Qadir Mubarak  dan Salim al-Junaidi di Maktab Anbar.

Antara guru yang lain seperti Syeikh Abdul Rahman Salam, Salih al-Tunisi, Syeikh Abu Khair al-Midani  yang beliau belajar Qatr al-Nada, Syudhur dan Ibn Aqiel dalam bidang Nahu dan juga hadis Sahih Bukhari dan sahih Muslim. Beliau telah berguru lebih dari 100 orang  dan guru –guru memberi kesan kepada pembentukan peribadi kesusasteraannya.

Aspek kedua ialah pembacaan sama ada buku, majalah dan akhbar. Beliau sentiasa membaca dan minat ini dipupuk sejak kecil oleh ayah dan tidak ada masa kosong kecuali diisi dengan membaca Pembacaan meliputi segala bidang ilmu termasuk kitab fiqah yang muktabar al-Umm oleh al-Syafi’i dan al-Mabsud oleh al-Sharkhasi, kesusasteraan Francis, ilmu falsafah, sejarah dan bahasa.

Menurutnya, beliau menghabiskan masa membaca buku sekurang-kurang 10 jam sehari selama hampir 80 tahun. Aspek ketiga ialah majlis-majlis ilmu kesusasteraan sama ada ceramah, bengkel, diskusi atau pertemuan dengan tokoh-tokoh sasterawan di rumah.

Penulisan

Ali Tantawi mula menulis buku pada tahun 1930 ketika berusia 21 tahun yang berjudul al-Hay’amiyyat merupakan artikel dalam Fata al-Arab, al-Zahra’, al- Naqid dan buku Bashar bin Bard yang merupakan nota kuliah kepada pelajar di Damsyiq. Pada waktu yang sama, beliau menerbitkan dua risalah yang berjudul fi sabil al-Islah dan Saiful al-Islam.

Ada buku-buku lama beliau yang diulang cetak dengan sedikit perubahan mengikut pendekatan semasa  seperti Umar bin Khatab yang diterbitkan pada 1934 dan diterbitkan semula dengan tajuk Akhbar Umar. Begitu juga buku Min al-Tarikh al-Islami yang diterbitkan pada tahun 1939 dan dicetak semula dengan judul Qisas min al-Tarikh.

Buku al-Mahfuzat diterbitkan pada tahun 1936 yang merupakan teks sekolah dan mempunyai 30 tajuk yang terdiri daripada syair-syair pilihan .Sementara itu, buku fi Bilad al-Arab diterbitkan pada tahun 1939 mengandungi artikel-artikel yang ditulis mengenai Syam, Baghdad dan Hijaz. Ali Tantawi juga menulis buku mengenai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mengandungi dua jilid dan diterbitkan pada tahun 1971

 

Buku-Buku Penulisan

    Fikar wa Mubahis : Buku ini mempunyai 25 artikel yang ditulis sekitar tahun 1930an dan merupakan artikel awal yang diterbitkan dalam akhbar.
    Suwar wa Khawatir : buku ini mempunyai 38 artikel yang disiarkan antara tahun 1935 sehingga tagun 1966 atau selama tiga dekad.
    Ma’a al-nas: Buku ini mengandungi 40 atikel yang berkisar mengenai kemasyarakatan pada tahun 1930an dan juga isu-isu yang dikupas semasa siaran radio Syria.
    Maqalat fi Kalimat : Buku ini merupakan artikel dalam akhbar al-Nasr pada tahun 1949 untuk menulis satu artikel pendek setiap hari dalam akhbar tersebut dan disambung dalam akhbar yang lain seperti al-Ayyam
    Qisas min al-Hayat : Buku ini mengandungi 27  kisah pendek yang ditulis sekitar 1930an dan 1940an. Kisah-Kiisah bertema masalah masyarakat dan cara penyelesaiannya.
    Fusul Islamiah : Buku ini mengandungi 32 artikel yang diterbitkan dalam pelbagai keadaan semasa sejak tahun 1930an sehingga tahun 1970-an. Sebahagian merupakan khutbah Jumaat, nota kuliah dan ceramah  dan selebihnya merupakan artikel yang diterbitkan dalam akhbar, majalah. Artikel Da’wah al-Islam merupakan khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid universiti Damsyiq pada tahun 1951. Artikel “Turuq al-Da’wah ila al-Islam” merupakan nota ceramah yang disampaikan di penempatan para Jemaah Haji pada tahun 1953.
    Fi Sabil al-Islah : Buku ini mengandungi 33 artikel yang diterbitkan pada tahun 1959. Artikel-artikel buku ini penuh dengan unsur dakwah dan pembaikan. Antaranya ialah difa’ ann al-Fadilah (mempertahankan kemuliaan), ila ulama’ Misr ( kepada ulamak Mesir) dan Musykilat al-Kubra ( masaalah Besar).
    Ta’rif bi Din al-islam : Buku ini mengandungi 12 bab dan mukadimah serta penutup. Dalam mukadimah, penulis menerangkan mengenai fitrah, jalan-jalan ke syurga dan neraka serta hakikat dunia dan akhirat. Bab yang seterusnya, penulis membicarakan mengenai agama Islam, akidah yang meliputi keimanan kepada Allah , tauhid uluhiyyah, beriman kepada hari akhirat, beriman kepada qadar, beriman kepada  malaikat dan jin, beriman kepada rasul. Buku ini menerangkan Islam dengan pendekatan semasa.
    Al-Fatawa : Buku ini merupakan himpunan fatwa yang pernah disiarkan dalam akhbar al-Sharq awsat dari tahun 1982 sehingga tahun 1984 diterbitkan pada tahun 1985.Buku ini mengandungi 176 masalah yang terbahagi kepada 22 bab. Antara tajuk bab tersebut seperti mimpi dan karamat, jin dan alam roh, al-Quran al-Karim, mazhab-mazhab, kesufian, masalah belia dan remaja dan muamalat.
    Abu Bakar al-Siddiq : Buku ini diterbitkan pada tahun 1935 ketika berusia 26 tahun.
    Akhbar Umar : Buku ini diterbitkan pada tahun 1959

 

Kesimpulan

Ali Tantawi telah memberi sumbangan besar dalam tiga bidang utama iaiatu pendidikan, kehakimanan dan kewartawanan. Setiap bidang yang diceburi tersebut telah meninggalkan kesan dan pengaruh besar dalam perubahan masyarakat terutama di Syria dan Arab Saudi. Kegigihan dalam menyebar ilmu perlu dicontohi generasi kini.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.