Jejak Ulamak

Mengenali Institusi Syeikh Al-Azhar

Dalam tradisi ilmu Islam terdapat pelbagai gelaran yang diberikan kepada ulamak seperti syeikh al-Islam, hujatul Islam, Imam al-Akbar dan lain-lain. Gelaran tersebut merupakan gelaran yang diberikan kepada  mereka yang menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik terutama dalam bidang fikah. Gelaran syeikh al-Islam merupakan gelaran yang dipakai oleh golongan salafus saleh daripada tabi’in seperti Said bin Musaib, Hassan al-Basri, Imam Laith bin Saad, Sufian al-Sauri, Abdullah bin Mubarak dan lain-lain. Sebelum tahun 1935M, mufti negeri Kedah dikenali sebagai Syeikh al-Islam dan kemudian  dikenali ketua Majma’ Masyakhatul-Islam (Ketua Persidangan syeikh-syeikh Islam)

Di Mesir, ulamak yang paling tinggi kedudukannya dikenali sebagai syeikh al-Azhar. Beliau berperanan untuk mengelola dan mengurus institusi al-Azhar. Al-Azhar yang dibina pada 359H/970M telah mempunyai 43 Syeikh al-Azhar. Mereka terdiri daripada 17 syeikh yang bermazhab Syafi’i, 16 syeikh bermazhab Hanafi, 9 syeikh bermazhab Maliki. Gelaran ini mula diperkenalkan pada abad 17M. Pada zaman Uthmaniah, syeikh al-Azhar dilantik oleh pemerintah atas sokongan daripada ulamak keempat-empat mazhab.  Pada tahun 1922, Raja Mesir berhak memilih syeikh al-Azhar diantara tiga orang yang dicadangkan oleh Majlis Ulamak al-Azhar.

Semasa rombakan al-Azhar pada tahun 1961, pemilihan syeikh al-Azhar diputuskan oleh Presiden dan semasa zaman Anwar Sadat, jawatan Syeikh al-Azhar adalah jawatan sepanjang hayat dan tidak boleh dilucutkan kecuali kematian. Antara rombakan pada tahun 1961 juga, Syeikh al-Azhar dikenali sebagai Imam al-Akhbar dan dianggap sebagai ketua agama yang tertinggi  dan menjadi ketua dan penasihat dalam setiap perkara yang berhubung dengan pengajian Islam dan ketua Majlis tertinggi al-Azhar. Dalam kanun ini juga disebutkan bahawa Syeikh al-Azhar dipilih  daripada kalangan  Majma’ al-Buhus al-Islamiah (Badan Penyelidikan Islam) atau mereka yang mempunyai kelayakan  yang disyaratkan oleh Majma’ tersebut. Kemudian mereka mencadangkan kepada Presiden untuk disahkan. Demikian juga dalam kanun ini diwujudkan jawatan Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh al-Azhar) yang memainkan peranan semasa ketiadaan Syeikh al-Azhar.  


Syeikh al-Azhar yang pertama ialah Syeikh Muhamad al-Khuraysi (m. 1101H/1690M). Beliau bermazhab Maliki. Syeikh al-Azhar yang paling lama memegang jawatan tersebut ialah Syeikh Abdullah al-Shabrawi yang memegang selama 34 tahun. Beliau mula memegang jawatan tersebut pada tahun 1137h sehingga meninggal dunia pada tahun 1171H. Syeikh al-Azhar yang paling pendek memegang jawatan tersebut ialah Syeikh Abdul Rahman al-Nawawi iaitu selama sebulan. Antara syarat untuk memegang jawatan ini ialah berumur 45 tahun ke atas, terkenal dengan kewarakan dan ketakwaan, telah memiliki ijazah al-Alamiah (bersamaan ijazah M.A dan Ph.D), mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun di mana-mana kuliah di Universiti al-Azhar atau pernah memegang jawatan Mufti Mesir atau pernah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Institusi Syeikh al-Azhar ini memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan al-Azhar. Syeikh Majid Salim (1882-1954M) menggariskan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh al-Azhar iaitu; mengkaji semula buku-buku pengajian agar bersesuaian dengan keadaan semasa, meningkatkan aktiviti penulisan dengan memberi anugerah sehingga lahirnya generasi ilmu, membina generasi al-Azhar yang kuat dalam membawa risalah Islam, menghantar ulamak-ulamak al-Azhar menjadi pendakwah dan penyelidik terutama di universiti-universiti Eropah, mengadakan hubungan dengan universiti-universiti lain dan `menggalakkan ulamak al-Azhar menulis dalam bahasa utama dunia dalam menjelaskan hakikat Islam. Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi (1881-1945M) menegaskan bahawa tanggungjawab utama al-Azhari ialah memelihara syiar-syiar Islam  dengan sempurna dan tidak ada orang lain yang dapat mengatasi pemeliharaannya terhadap syiar-syiar tersebut. Ia menjadi contoh teladan  dengan tingkah laku dan perbuatannya bukan sekadar dengan percakapan. Perkara ini kerana tingkah laku akan memberi kesan yang besar kepada jiwa seseorang.  

Syeikh Ibrahim Hamrus (1880-1960M) merupakan syeikh al-Azhar yang berpendirian tegas dalam melawan penjajahan Inggeris. Beliau telah menyertai peperangan melawan tentera Inggeris di Ismaliah dan menyeru rakyat Mesir atas nama al-Azhar melawan penjajah.  Akibatnya pihak penjajah telah mengadu kepada Raja Mesir untuk dilucutkan jawatannya pada tahun 1952M. Begitu juga Syeikh al-Khadir Husain (1876-1958M) yang berpendirian tegas melawan penjajahan Perancis di Algeria. Beliau pernah menulis buku mengkritik buku Ali bin Abdul Raziq yang bertajuk “Islam dan Asas-Asas Pemerintahan.”  Beliau juga pernah mengkritik buku Taha Hussain yang bertajuk “ Syair Jahiliah’  yang mempertikaikan sejarah Nabi Ibrahim dan Ismail serta menganggap cerita masyarakat jahiliah itu sebagai dongeng.   

      Syeikh Abdul Halim Mahmud (1910-1978M) merupakan seorang ulamak dan Syeikh al-Azhar yang terkenal dengan kezuhudan dan kewarakan. Beliau adalah berkelulusan Ph.D dari Universiti Serbon, Perancis pada tahun 1940 dalam kajian Tasauf Islam. Tajuk Ph.D beliau ialah berkaitan tentang Haris bin Asad al-Muhasibi. Beliau dilantik menjadi Dekan Usuluddin pada tahun 1964. . Pada tahun 1970, beliau dilantik menjadi Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh Al-Azhar) dan pada tahun   1973 dilantik menjadi Syeikh al-Azhar. Beliau telah mengarang 68 buah buku Antara pendirian tegasnya ialah menentang Undang-Undang Kekeluargaan yang mengharamkan talak dan melarang poligami. Pada tahun 1974, pihak pemerintah telah mengeluarkan arahan agar al-Azhar dirombak dan al-Azhar dibawah penguasaan menteri yang mengakibatkan al-Azhar hilang  kebebasan. Lalu beliau telah menghantar surat kepada Anwar Sadat melepas jawatan pada 1 Ogos 1974 dan tidak akan memegang jawatan tersebut kecuali digugurkan keputusan untuk menyerahkan al-Azhar kepada pentadbiran menteri. Antara sumbangan besar beliau ialah memantapkan Majma’ al-Buhuth al-Islamiah dan menggesa agar segala harta wakaf al-Azhar dikembalikan semula kepada al-Azhar untuk dibangunkan bagi tujuan dakwah.

Antara Syeikh al-Azhar ialah Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq (1917-1996M) Beliau pernah menjadi Mufti Mesir dalam era pemerintahan Anwar Sadat. Kemudian beliau dilantik Menteri Wakaf  dan kemudian menjadi Syeikh al-Azhar pada tahun 1982. Beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama dalam menentang  Persidangan Penduduk di Kaherah  pada tahun 1994  yang mengharus perhubungan homoseksual dan mengharuskan penguguran dan Muktamar Wanita pada tahun 1995 di Beijing. Dalam kenyataannya, kedua-dua persidangan tersebut adalah bertentangan dengan nilai-nilai akhlak manusia yang waras Beliau juga telah mengeluarkan fatwa bahawa tidak harus untuk pergi ziarah bagi menunaikan solat di Baitil Maqdis sehinggalah ia dikembalikan kepada umat Islam.

 

Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi merupakan Syeikh al-Azhar sejak tahun 1996. Sebelum menjadi syeikh al-Azhar, beliau pernah menjadi Mufri Mesir, Dekan Kuliah dan mengajar di Kuliah Usuluddin. Beliau mendapat Ijazah kedoktoran daripada Universiti al-Azhar dalam bidang Tafsir dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti di Iraq, Libya dan Arab Saudi. Beliau terkenal sebagai seorang yang alim dalam ilmu tafsir dan mempunyai Kitab “Tafsir al-Wasit” sebanyak 15 jilid. Beliau juga terkenal dengan kewarakan, bercakap dengan lembut dan mudah difahami. Semasa pertemuan penulis dengan Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi pada tahun 2004 di pejabatnya, beliau memuji Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan berharap agar umat Islam dapat meningkatkan dakwah Islamiah. Penulis semasa belajar sentiasa mengikuti pengajiannya dan khutbah yang disampaikannya. Ini disebabkan keistimewaannya dalam menafsirkan al-Quran. Semasa era pentadbirannya, beliau sentiasa memberi perhatian kepada peningkatan dan penguasaan ilmu dalam kalangan mahasiswa Malaysia di al-Azhar. Beliau sering menyuarakan agar mahasiswa Malaysia bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan menguasai Bahasa Arab dengan baik. Anugerah Doktor Kehormat yang diberikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2008 kepada Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi merupakan pengiktirafan atas sumbangan beliau yang besar kepada mahasiswa Malaysia di al-Azhar dan dunia Islam. Penganugerahan ini juga akan mengeratkan hubungan al-Azhar dengan Malaysia terutama dalam bidang keilmuan.

Keilmuan Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi terutama dalam bidang tafsir tidak boleh dipertikaikan walaupun beliau mempunyai perbezaan pendapat dalam beberapa perkara seperti pandangannya mengenai riba bank yang dianggap bukan salah satu bentuk  riba yang diharamkan. Beliau menyatakan perkara tersebut dalam  bukunya bertajuk “Mu’amalat al-Bunuk wa Ahkamuha al-Syar’iah”  (Muamalat Bank dan Hukum Syariat Mengenainya) yang diterbitkan pada tahun 1990. Kenyataan beliau ini telah mendapat bantahan ramai para ulamak termasuk Yusuf al-Qaradawi dan Jadul Hak Ali Jadul Hak, Syeikh al-Azhar ketika itu. Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi juga pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan Islam daripada tuduhan Baba Vatikan yang mengatakan bahawa Islam tersebar melalui kekerasan, keganasan dan pedang. Majalah al-Azhar keluaran Disember 2006, menyiarkan kenyatan penuh dan sanggahan beliau terhadap isu itu sebanyak 45 halaman. Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa Islam adalah agama yang disebarkan atas kerelaan penganutnya bukan melali paksaan. Beliau memgemukakan hujah-hujah al-Quran, al-hadis dan sejarah dalam membuktikan perkara tersebut.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.