Jejak Ulamak

Hamka Namamu Tetap Abadi

Mohd Rumaizuddin Ghazali
 
Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka merupakan ulama, sasterawan yang unggul yang pernah dilahirkan dalam alam Melayu ini. Hamka ialah seorang manusia kaliber besar. Dia tumbuh dari kalangan rakyat dan memimpin umat di saat kegawatan menangani persoalan berat termasuk persoalan pemerkasaan dan jatidiri bangsa. Muhammad Natsir yang mengenal Hamka sejak berusia 20 tahun menyifatkan Hamka sebagai ulama besar yang mempunyai keperibadian dan karekter yang tinggi. Beliau rela meletakkan jawatan sebagai ketua Majlis Ulamak Indonesia semata-mata mempertahankan fatwa yang dikeluarkannya. Beliau tidak ragu-ragu melepaskan kedudukannya demi sesuatu yang diyakininya benar.
 
Itulah hamka seorang putera alam Melayu. Dr. Mukti Ali menyifatkan Hamka sebagai : “sebuah peribadi tanpa cela. Kalau mendengar kalimat-kalimat buya, saya langsung menemukan sesuatu yang selama ini saya cari. Saya sangat sulit mencari orang seperti Buya sebab setiap kalimat yang diucapkan memikat lawan bicaranya. Rasa-rasanya harus minta tambah kalau Buya mengakhiri pembicaraannya.” Sementara itu, Prof. A. Hasjmy menyifatkan Hamka sebaris dan melebihi Hamzah Fansuri seorang pujangga sufi tersohor pada abad ke16. Inilah pengakuan dan pengiktirafan ketokohan Hamka oleh rakan-rakan seperjuangannya.
Hamka dipilih sebagai seorang ulamak yang telah banyak berjasa kepada dunia alam Melayu. Banyak suri tauladan yang mesti dipetik hikmahnya bagi generasi muda Islam kini. Beliau telah meninggalkan khazanah ilmu yang berupa karya buku sebanyak 118 buah buku. Suatu prestasi luar biasa yang jarang dicapai bahkan oleh seorang professor di universiti sekalipun. Hamka merupakan seorang pemikir Islam yang menyeru ke arah kemajuan dan kecemerlangan bangsa. 

Beliau meletakkan kepentingan dakwah Islamiah melebihi kepentingan diri dan kelompok serta mengelakkan pertelingkahan yang merugikan umat Islam terutama di antara kaum Tua dan kaum Muda. Dalam situasi ini, beliau menyerap semangat dan pemikiran al-Afghani, Abduh, Rashid Rida yang membicarakan cara-cara mengatasi kelemahan dan kemunduran umat Islam. Hamka turut terimbau lalu berusaha menanganinya dalam konteks alam Melayu. Hamka adalah manusia yang mampu menjawab persoalan zamannya ketika itu melalui karya-karya agungnya seperti Tafsir al-Azhar.

Di Malaysia, Buya Hamka bukanlah orang luar bagi umat Islam di sini. Malahan kehadirannya disambut dan diraikan diserata tempat pelusuk bumi Malaysia. Ia dianggap oleh masyarakat Malaysia sebagai salah seorang ulamak mereka sendiri. Ini kerana perjuangannya mencakupi isu-isu Melayu-Islam dan berjuang terus tanpa mengenal lelah dan usia dalam melenyapkan penjajahan dan komunis di rantau ini. Bahkan sekolah menengah di Malaysia menggunakan beberapa buku novel yang ditulis oleh almarhum sebagai buku teks bacaan wajib.

Keakrabannya dengan semenanjung Tanah Melayu dapat dibayangkan dengan kata-katanya : “ Sambutan ke atas diri saya, manusia yang dha’if ini, dari rakyat di kedua negara itu, sama mengharukan saya, kerana cinta saya kepada rakyat di kedua negara itu pun sama, tidak berlebih tidak berkurang dan tidak berat sebelah. Cinta saya menghadapi rakyat di Ujung Pandang sama dengan cinta menghadapi rakyat di Kota Kinabalu. Mahasiswa mengerumuni saya di Universiti Kebangsaan meminta tandatangan sama dengan kerumunan mereka di Universiti Gadjah Mada. Membaca khutbah Jumaat di masjid Negara di Kuala Lumpur sama membaca khutbah di Masjid al-Azhar Jakarta. Berziarah di Slembah Indah Sri Menanti sama dengan pulang ke Batu Sangkar. Dan semua, saya hadapi dengan bahasa yang satu.”

Dalam bukunya Falsafah Hidup, Hamka telah membicarakan mengenai tujuan hidup sebagai seorang muslim dan memberi penekanan kepada akhlak yang mulia. Antara kupasannya yang terpenting ialah kemuliaan dan maruah. Menurutnya, manusia seringkali mengejar kemuliaan. Sebahagian orang menyangka orang yang patut disebut mulia ialah orang yang memiliki harta yang banyak- mobilnya ditukar setiap enam bulan menurut model yang terbaru, bertumpuk-tumpuk harta dan banyak menyimpan wang dalam Bank. Tetapi orang ini tidak segan silu melakukan kecurangan, korupsi, kecabulan yang orang lain tidak tahu atau seakan-akan tidak tahu kerana takut akan tersinggung kemuliaan beliau itu. Begitu juga kata setengah orang, kemuliaan ialah mendapat gelar dan title pangkat dan kehormatan.Terhias pula bintang di dada.

Menurut Hamka, itu pun belum tentu mulia kerana kadang-kadang kehormatan dan pangkat diperolehi melalui cara-cara yang tidak terpuji. Orang yang layak disebut mulia ialah orang yang menang melawan menghadapi nafsunya yang jahat, menegakkan budi pekerti yang mulia buat kemaslahatan kaum, bangsa dan agama serta manusia keseluruhannya. Ia berusaha memperbaiki dan memperhaluskan budi. Yang bernama kemuliaan ialah kemuliaan jiwa. Jiwa yang melepaskan diri dari kerendahan dan perhambaan.

Kemuliaan ialah membangunkan umat yang binasa, membuka selubung kebodohan, menuntut hak yang terampas, memberi ingat kemuliaan yang hilang, membangunkan yang lalai dan menyedarkan dari lengah, mempersatukan suara dan meningkatkan semangat. Orang yang sanggup bekerja demikian, itulah orang yang mulia. Meskipun tempat tinggalnya hanya sebuah pondok buruk, dan pakaian yang sederhana. Walaupun dia hanya makan seadanya, tidur di atas tikar kerana miskinnya, mengembara ke hilir ke mudik, ke lurah dan ke bukit. Jiwa yang demikian cukup untuk menjadi perhiasannya dan cukup menjadi tanda kesempurnaannya. Itulah hidup yang tenteram dalam hati. Itulah jasa yang tertulis sepanjang zaman yang selamanya tiadakan pupus. Ke sanalah kita sekelian harus berlumba.

Menurut Hamka, jasa batin yang dapat difikir lebih kekal dari jasa lahir yang dapat dilihat walaupun kemuliaan jasa kekal dari zaman ke zaman. Beliau mengumpamakan Wazir Nizam Muluk mendirikan sekolah-sekolah Islam di seluruh negeri Iraq. Al-Ghazali adalah salah seorang guru yang mengajar di sana. Nama Nizamul Muluk sampai sekarang masih dingat orang juga, tidaklah sekekal peringatan orang kepada al-Ghazali yang mengarang kitab Ihya ‘Ulumiddin. Madrasah di Kufah tidak ada lagi, tetapi kita Ihya masih dibaca orang. Itulah kata-kata Hamka mengenai kemuliaan. Seterusnya beliau menyebutkan : “ Barangsiapa yang telah menanam jasa, satu saat kelak dia akan beroleh hasil dari jasanya itu. Kemuliaan akan menjadi pengiringnya ke mana pun dia pergi. Kalau orang yang sama hidup dengan dia melupakan, namun setelah matinya orang yang kemudian akan membongkar kemuliaan itu kembali dan menyatakannya ke muka khalayak. Orang yang berjasa tidak boleh gamang dan kecewa jika di masa hidupnya dilupakan orang. Orang tidak boleh menyesal jika tinggal di sebuah gubuk yang buruk. Tidak boleh kecewa jika makan minumnya dan pakaiannya tidak semewah orang lain. Sebab kelak buah tangannya akan menjadi modal kemajuan angkatan yang akan datang.”

Hamka menyebutkan buatlah jasa selama hidup untuk sebutan sesudah mati. Sehingga walaupun daging dan tulang belulang kita sudah hancur dimakan tanah dalam kubur, namun nama kita dibaca orang di mana-mana. Kata-kata ini terbukti pada diri beliau sendiri walaupun telah meninggalkan kita hampir 20 tahun. Di mana-mana orang mencari kaset kuliahnya, mencari Tafsir Hamka dan mencari buku-buku Hamka.Hamka menegaskan bahawa sememangnya orang yang berjasa jarang mendapat mendapat pangkat dunia. Sebab pangkat dunia itu didapati dengan berebut-rebut dan berkejar-kejaran, tekan-menekan dan fitnah-menfitnah. Orang yang berjasa tidak pandai berbuat begitu. Dia mahu mendapat kemenangan yang sah, walaupun tidak dilihat dengan mukanya ketika hidupnya. Dia hendak melihat kemenangan itu sesudah matinya, yang kian nyata dan kian lama kian subur.

Hamka menyakini bahawa Islam adalah agama yang mempengaruhi kebangkitan di Indonesia khususnya dan alam Melayu secara umum. Keislaman umat Melayu sering menjadi perhatian dan keprihatinan Hamka. Baginya Islamlah yang menjadi teras kepada kekuatan umat Melayu sekaligus menjadi faktor pemersatu yang mendasari semangat nasionalisme. Walaupun Indonesia dilingkungi beribu-beribu pulau, beratus sukubangsa tetapi dengan Islam menjadi pokok damai pemersatu. Menurutnya, jaminan kemerdekaan suatu bangsa adalah atas kemerdekaan jiwa tiap-tiap puteranya. Walaupun suatu bangsa merdeka dalam politik, belum sentosa kemerdekaan bangsa itu, kalau jiwa puteranya tiada bebas. Lazat cita kemerdekaan hanya akan dirasai oleh orang-orang yang berjiwa merdeka. Seorang yang hidup tidak berfikiran merdeka, tidaklah dapat naik, dia hanya menjadi orang bawah sahaja. Beliau mengingatkan bahawa kemerdekaan sebenar iaitu kemerdekan jiwa iaitu kemerdekaan yang berteraskan kepada kekuatan iman dan budi.

Menurutnya Hamka, kemerdekaan suatu negara jika tidak berpangkalkan kepada kekuatan iman dan budi, nescaya akan runtuh kemerdekaan dari dalam. Oleh itu, Hamka memberi penekanan kepada ajaran tauhid yang bebas dari segala bentuk syirik, khurafat dan bid’ah dalam memperkasakan umat Islam di rantau ini.

Hamka juga terkenal sebagai seorang pejuang bahasa Melayu-Jawi. Hamka membicarakan tentang Sumpah Pemuda 1928 itu bukanlah bermaksud membuat suatu bahasa yang baru, tetapi hanyalah penamaan lain kepada bahasa yang sedia ada yang sudah terpakai ratusan tahun lamanya di alam Nusantara iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu inilah yang digunakan di Tanah Melayu dan Indonesia walaupun memakai nama yang berbeda iaitu Bahasa Indonesia di Indonesia dan Bahasa Melayu di Malaysia. Malahn penamaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia itu lebih bersifat politik supaya dapat diterima oleh wakil pelbagai kaum pada kongres pemuda 1928. Menyedari hakikat ini, Hamka memperjuangkan bahasa Melayu. Beliau menegaskan bahasa Melayu harus dinamik, maju dan berkembang.

Ada tiga perkara yang dikhuatirkan oleh Hamka iaitu pengantian huruf jawi dengan huruf rumi yang mengakibatkan putusnya hubungan generasi kemudian dengan perbendaharaan nenek moyangnya. Kalau hendak mencari juga terpaksa dengan perantaraan orang lain kerana kita tidak dapat mengetahui sumber aslinya yang ditulis dengan huruf Melayu-Jawi. Keduanya ialah mengantikan kata-kata Arab untuk memperkayakan Bahasa Indonesia dengan kata-kata Jawa, Sanskrit dan Belanda sebanyak-banyaknya sehingga melewati batas keperluan. Gerakan anti perkataan Arab ini akan menyebabkan hilangnya indentiti bahasa Melayu sebenar. Ketiganya menurut Hamka bahawa serbuan kebudayaan dari segi bahasa yang tujuan terakhirnya untuk melemahkan agama Islam. Oleh itu, Hamka berdiri teguh mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca di alam Melayu dan beliau menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi serta menyakini bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan kaum.

Hamka juga merupakan seorang sejarawan ulung, Beliau telah menghasilkan buku Sejarah Umat Islam yang mengandungi sejarah umat Islam di rantau Melayu ini. Hamka telah membuat penyaringan semula sejarah yang telah bercampur dengan pengaruh cerita-cerita dongeng dan mitos serta sumber Barat yang tidak tepat. Beliau merupakan pelopor kepada penulisan sejarah umat Islam rantau ini yang masih kekurangan karya-karya sejarahnya berbanding dengan bangsa Arab dan Cina. Malahan Hamka meletakkan metodologi penulisan sejarah iaitu mengunakan metode perawi hadist yang mengumpulkan hadist Rasulullah dari segala sumber. Apa yang penting ialah kualiti serta moral perawinya. Kedua ialah mengumpul semua data dan fakta lalu dianalisa dan diberi pendapat seperti yang dilakukan oleh Ibn Khaldun. Hamka berpendapat kedatangan Islam ke alam Melayu ini dibawa langsung oleh orang Arab dari Mekah dan ia berlaku lebih awal iaitu sejak awal ke 7 masehi atau abad kedua hijrah. Beliau menolak teori kedatangan Islam pertama melalui Gujerat, termasuk asumsi yang mengatakan bahawa agama Islam masuk ke Nusantara pada abad ke 13 masehi.

Hamka juga sebagai wartawan besar. Ini diakui oleh H. Rosihan Anwar dengan menyebutkan Hamka di samping sebagai ulamak, pujangga, sasterawan, juga adalah wartawan besar yang akan tercatat dalam sejarah kewartawanan. Walaupun beliau tidak pernah memegang di Fleet Street di London atau membahas buku-buku teks jurnalistik karya professor-profesor Columbia Universiti di New York. Kekurangan pendidikan sekolah tidaklah mengurangi prestasi Hamka sebagai seorang wartawan besar kerana pengalaman hidup yang tiada berhenti-henti merupakan ilmu pengetahuan yang tidak akan kering. Dengan pengalaman hidup inilah Hamka memajukan diri dan meningkat terus menerus hingga ke akhir hayat.Selama hidupnya, beliau telah menerbitkan tiga majalah iaitu Pedoman Masyarakat di Medan pada zaman penjajahan Belanda, Gema Islam di zaman orde lama dan panji Masyarakat sehingga akhir hayat. Antara keistemewaan Hamka ialah gaya bahasanya yang menarik,mudah difahami dan jelas maksudnya kecuali jika ia menggunakan istilah-istilah khas Minangkabau.

Salah satu sifat terpuji Hamka ialah beliau bukan seorang pendendam malah seorang pemaaf. Ini terbukti apabila Sokorno meninggal dunia, beliau tampil menyembahyangkan jenazahnya serta berdoa supaya Allah mengampunkan dosa-dosanya. Beliau turut memaafkan kesilapan dan dosa Sokorno yang pernah memenjarakannya. Hamka juga seorang yang kuat beribadat. Rusjdi Hamka menyatakan bapanya begitu tekun menjalani ibadat terutama tengah malam ketika orang seusianya berehat panjang kerana usia lanjut. Hamka tidak pernah terlambat bangun subuh malah sebelum fajar menyinsing seawal empat pagi beliau telah bangun. Solat Tahajud jarang sekali ditinggalkan kecuali dalam keadaam uzur. Beliau pernah menasihati anaknya Rusjdi supaya tidak meninggalkan solat ketika dalam bermusafir kerana katanya : “ Jika sekali sengaja kau tinggalkan solat dalam perjalanan jauh, kau akan mudah saja melakukan maksiat kerana dalam keadaan jauh dari keluarga dan orang-orang yang mengenalmu, kau bisa saja berbuat maksiat kecuali engkau terus ingat kepada Tuhan. Sekali kau terlanjur berbuat maksiat, sulit kau akan melepaskan diri.”


Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.