Jagatraya

Kemelut Di Darfur: Pendakwaan ICC Atas Presiden Sudan (23 Julai 2008)

Pada 14 Julai yang lalu, pasukan pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mempersembahkan pendakwaan rasmi ke atas Presiden Sudan, Omar Al-Bashir, di hadapan Majlis Pra-kehakiman ICC berhubung dengan kasus pembersihan etnik di Darfur.

Majlis ini dijangka akan memutuskan samaada ICC akan meneruskan pendakwaan ke atas Presiden Al-Bashir pada musim luruh nanti. Sekiranya pendakwaan diteruskan, Omar Al-Bashir akan menjadi individu ke-3 selepas Ahmad Muhammad Harun dan Ali Khusayb, yang didakwa berhubung dengan kasus di Darfur .

Ahmad Muhammad Harun merupakan Menteri Dalam Negeri Sudan , manakala Ali Khusayb merupakan salah seorang pemimpin pasukan tentera militia Janjaweed, yang didakwa sebagai dalang utama di sebalik kemelut yang mencengkam Darfur semenjak beberapa tahun yang lalu.  

Dalam konteks ICC pula, kes Darfur merupakan kes keempat yang disiasat oleh mahkamah tersebut semenjak ia ditubuhkan pada tahun 2002. Ironiknya, kes-kes tersebut turut membabitkan negara-negara Afrika seperti Uganda , Republik Afrika Tengah, dan Congo .

Pasukan pendakwaraya yang diketuai oleh Luis Moreno-Ocampo menegaskan ia telah mengumpulkan bukti yang mencukupi untuk menyabitkan presiden Sudan itu,  dengan deretan insiden berkaitan dengan pembersihan etnik, jenayah ke atas kemanusiaan dan jenayah perang.

Kerangka pendakwaan ini juga dibina berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang dibuat saksi serta mangsa kekejaman tentera Sudan serta militia Janjaweed. Pendakwaan ini mengaitkan kekejaman-kekejaman tersebut dengan kedudukan Presiden Bashir selaku presiden serta pemerintah tertinggi angkatan tentera Sudan .
 
Kenyataan ini berdasarkan kepada premis bahawa Presiden Bashir mempunyai kuasa untuk mengerahkan setiap organisasi kerajaan serta tentera untuk melaksanakan proses pembersihan etnik, yang meliputi pembunuhan serta pengusiran etnik ke atas kaum minoriti Fur, Masalit, dan Zaghawa di Darfur.


Konflik di Darfur dilaporkan bermula apabila sekumpulan penduduk nomad Sudan yang berbahasa Arab, mengusir ketiga-tiga kaum tersebut yang merupakan penduduk tetap di Darfur . Presiden Bashir didakwa menyebelahi penduduk nomad tersebut sekaligus menafikan hak penduduk dari etnik Fur, Masalit, dan Zaghawa yang tidak menggunakan bahasa Arab, sebagai bahasa pertuturan.
 

Kasus ini menjana perhatian di kalangan masyarakat antarabangsa memandangkan ia membabitkan salah sebuah negara yang sering dikelaskan sebagai salah sebuah negara paksi kejahatan di kalangan masyarakat barat.
 
 
Disediakan oleh : Mohd Firdaus Md.Hamsin, Sekretariat Antarabangsa ABIM 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.