Jagatraya

Turki:Kelompok Sekularis Elit Mempertingkat Tekanan Terhadap Kerajaan Pimpinan AKP (15Mei2008)

Setelah berhadapan dengan kegagalan demi kegagalan  untuk menggambarkan parti memerintah , AKP(Justice and Development Party) sebagai sebuah parti yang mendokong aliran  ektremis agama,  kelompok sekularis elit di Turki kini beralih kepada muslihat yang lain. Walau bagaimanapun, parti AKP tidak berdiam diri dan terus mencuba untuk menentang setiap percubaan ini sehingga para penganalisis meramalkan bahawa situasi ini bakal menjerumuskan Turki ke kancah pergolakan. Malah, strategi kelompok sekularis elit ini telahpun memakan diri sendiri memandangkan imej AKP terus meningkat di mata rakyat.

    Hakikatnya, benturan antara AKP dan kelompok sekularis elit  bukanlah sesuatu yang baru di Turki. Terkini adalah tindakan yang diambil oleh kelompok sekularis elit pada 31 March yang lalu iaitu apabila mahkamah perlembagaan Turki memutuskan untuk mendengar kes yang telah difailkan oleh Ketua Pendakwa Raya terhadap AKP dan barisan kepimpinannya, termasuklah Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Abdullah Gaul.


    Pihak pendakwa telah menfailkan kes tersebut pada 14 Mac lalu untuk menghalang AKP berserta 70 orang pegawainya  daripada bergiat di dalam politik.Tindakan pendakwaan ini telah dilakukan dengan asas yang begitu absurd, iaitu bahawa parti tersebut cuba untuk mengubah status sekular negara Turki kepada negara Islam, sekaligus membelakangi perlembagaan sekular negara Turki yang telah diwartakan apabila Turki diisytiharkan sebagai sebuah republik pada 29 Oktober 1923.

    Di dalam pertuduhannya, pihak pendakwa menuduh tindakan AKP melonggarkan larangan memakai tudung di universiti sebagai contoh bagaimana parti tersebut sedang menggantikan sekularisme dengan prinsip-prinsip shariah. Pada hakikatnya, tindakan AKP adalah untuk menjadikan pemakaian tudung di universiti sebagai satu pilihan dan bukannya kewajipan. Malah tindakan mereka ini sewajarnya ditanggapi sebagai usaha untuk mengambalikan hak-hak demokrasi yang telah dinafikan kepada wanita Turki selama lebih 80 tahun.Namun, pihak pendakwa  terus menuduh parti tersebut sebagai menggunakan demokrasi untuk mencapai matlamatnya, iaitu menerapkan shariah di Turki.

    Selain itu, kelemahan ketara yang wujud di pihak pendakwaan juga adalah pergantungan terhadap pertuduhan tanpa bukti dan bukannya fakta-fakta yang kuat. Malah, sesetengah pemerhati menyifatkan bukti-bukti yang dikemukakan terhadap mereka hanyalah semata-mata bersifat anekdot dan tidak meyakinkan. Walau bagaimanapun, mahkamah tetap memutuskan secara sebulat suara untuk mendengar kes tersebut. Keputusan mahkamah ini menguatkan lagi tanggapan bahawa kes tersebut lebih bermotifkan politik.

    Menurut Ergun Ozbudun, seorang pakar di dalam bidang undang-undang perlembagaan di Universiti Bilkent, menyifatkan mahkamah Turki lebih memainkan peranan sebagai aktor politik  dan pejuang ideologi, bukan medan untuk memperjuangkan keadilan dan undang-undang. Hakikat ini, menurut beliau bukanlah satu tuduhan melulu, sebaliknya jelas memandangkan mahkamah sebelum ini telahpun mengharamkan lebih daripada 20 parti politik di Turki semenjak negara tersebut menjadi  sebuah negara demokrasi berbilang parti pada dekad 1940-an, termasuklah 2 buah parti Islam yang terdahulu.Salah satu daripadanya adalah Welfare Party yang telah diharamkan 10 tahun dahulu. Pengharaman parti tersebut berlaku sejurus selepas pihak tentera melakukan rampasan kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Necmettin Erbakan yang turut menjadi pemimpin parti tersebut. Semua ini membuktikan bahawa mahkamah menerima arahan untuk bertindak daripada para pemimpin tentera, dan tidak pernah menolak sebarang petisyen untuk mengharamkan sebarang parti.

    Dengan mengambil kira semua faktor ini, tidaklah mengejutkan apabila pihak kerajaan dan media Barat yang selalu menentang pemerintahan Islam sebaliknya bertindak menentang  tindakan pendakwaan ini, malah sering memuji pencapaian parti AKP sebagai pemerintah. Sehingga kini AKP tetap berjaya memperolehi sokongan popular rakyat, berjaya mempertahankan prinsip-prinsip sekular dan sedang di dalam perancangan untuk memperkenalkan beberapa pindaan di dalam perlembagaan untuk memastikan Turki  dapat diterima sebagi anggota di dalam Kesatuan Eropah (EU) dan menamatkan kuasa politik pemimpin tentera  yang pada hakikatnya menguasai kelompok sekularis elit ini. AKP juga dipuji kerana kemampuannya mentadbir Turki dengan kerajaan yang dianggap terbaik semenjak Perang Dunia Kedua di samping melaksanakan transformasi ekonomi, dan lebih mengejutkan, menghormati prinsip-prinsip sekular melebihi apa yang dilakukan oleh kelompok sekularis elit di Turki sendiri.

    Sememangnya AKP mendapat dokongan daripada Barat, hatta daripada kelompok media yang dianggap konservatif, seperti jurnal The Economist, The Financial Times . Kesemuanya bersepakat dalam menyifatkan pengharaman AKP akan menjadi satu bentuk tindakan yang tidak demokratik dan akan menjejaskan peluang Turki untuk diterima sebagai anggota Kesatuan Eropah.

    Walaupun mendapat sokongan sebegini, Turki akan tetap  menghadapi kesukaran untuk berada di dalam Kesatuan Eropah. Sebagai contoh, German dan Perancis secara berterusan menentang cadangan kemasukan Turki di dalam kesatuan ini. Maka dalam analisis akhir, ternyata semua ini hanyalah menjadi langkah percaturan diplomatik daripada pihak Barat.


Disediakan oleh Sekretariat Antarabangsa ABIM.
 


(Rencana ini telah diterjemah & dipadankan daripada sebuah makalah berbahasa Inggeris bertajuk “Turkey’s Secular Elite Increase Pressure on AKP Goverment”, tulisan M.S Ahmed dan disiarkan dalam majalah Crescent International  keluaran Mei 2008)



Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.