Isu Semasa

Belia Hari Ini Wajah Negara Masa Hadapan

Mohd Zawawi b. Ahmad Mughni, Ketua Biro Pembangunan Sosial ABIM Selangor

Sejak akhir-akhir ini kita sering dihidangkan dengan berita-berita yang negatif tentang generasi muda di samping kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan generasi muda. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan pemimpin negara terutamanya kepada pempinan pertubuhan dan persatuan belia di negara kita.

Hari belia yang disambut pada 15 Mei setiap tahun dinegara kita adalah sebagai satu medan untuk setiap warga muda bermuhasabah dan memikirkan matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai oleh mereka. Tema hari belia tahun ini “ Belia Bina Bangsa, Belia berwawasan dan Belia Malaysia” merupakan satu tema yang sangat menarik untuk kita renungi dan fikirkan bersama . sememangnya warga muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan datang.

Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”. 


Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “ Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Dalam usaha kita mencari manhaj sendiri (acuan) untuk membina dan membangun generasi muda hari ini, ia menuntut perhatian yang besar dan bersungguh-sungguh dari semua pihak sama ada dari kerajaan mau pun rakyat. Namun begitu janganlah usaha itu hanya ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk ditangga atau berbentuk musim-musiman sahaja .

Sesungguhnya, peranan dan tanggung jawab belia pada hari ini adalah signifikan untuk menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama adalah cukup besar sekali. Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Umat Melayu Muslim hari ini bukan lagi hanya menjadi penonton atau pemain simpanan sahaja tetapi haruslah bersiap siaga untuk menjadi pemain utama dalam memacu umat untuk memimpin tamadun dunia dan menjadi umat contoh , terutamanya pada masa sekarang di,mana imej dan citra agama Islam digambarkan dalam keadaan yang buruk. Gambaran suram wajah Islam hari ini semestinya diperbetulkan melalui kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran, kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri. Golongan mudalah yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia bermula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan mudalah yang banyak memainkan peranan utama seperti sahabat Rasulullah SAW yang setia berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini.

Lihatlah nama-nama besar seperti Saidina Ali, Saidina Osman, Abdul Rahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama dan jentera penggerak pembinaan ketamadunan Islam. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Zaid yang berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom dan Kehebatan Muhammad Al Fateh membuka Kota Istanbul ( Konstantinopal ) ketika berusia 21 tahun.

Peranan golongan muda dalam Al Quran dirakamkan dalam episod pemuda-pemuda kahfi yang bersikap berani mempertahankan akidah dari seorang raja yang zalim.

Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi 18 : 13 - 14, Terjemahannya :

“ Kami ceritakan kisah mereka ( Ashabul kahfi ) kerana keredaanmu ( Muhammad ) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami telah tambahkan kepada mereka petunjuk dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata ;” Tuhan kami adalah Tuhan selain Dia, Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkam perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.

Ringkasnya , peranan utama warga muda muslim hari ini ialah ;

1. Menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.
2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi.
3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup.
4. Mencegah dan menghalang kemungkaran iaitu perilaku dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.
5. Menjadi pencetus , penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku kebanjiran dan limpahan budaya negatif dan rosak yang melanda negara di seluruh dunia. Warga muda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme – suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), ketagih rokok, judi, arak, bahan porno ( lucah ) dan sms dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan kita.

Mana mungkin anak-anak muda yang majoritinya adalah anak-anak Melayu Muslim ini, yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus dan mentadbir agama serta menjamin kedaulatan negara ? Tentunya kegusaran ini turut dirasai dan dikongsi oleh semua generasi pewaris hari ini dan marilah kita sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim : 66 : 6 , terjemahannya ;Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.

Menyedari bahawa jumlah warga muda seramai 12 juta ini harus digembleng keupayaan, kemahiran dan kepakaran mereka untuk membangun ummah marilah sama-sama kita bangkit dari perbaringan dan lena yang panjang. Sedarlah kita bahawa dihadapan terbentang banyak cabaran dan tugasan yang sedia menunggu untuk dibereskan. Ingatlah bahawa tanggungjawab dan tugasan lebih banyak dari masa yang ada


Selamat Hari Belia Negara!

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.