Isu Semasa

Wawancara bersama Dr. Said Ramadhan Al Bouty

Disunting oleh Mohd Basri bin Ahmad Shohimi

Umat Islam masa kini semakin parah dengan pelbagai isu, fitnah dan cabaran semasa. Justeru, pandangan para ulamak kontemporari merupakan salah satu usaha mencari jalan keluar bagi menyelesaikan fenomena ini. Ulamak merupakan pewaris anbiya yang mewarisi ilmu-ilmu para nabi. Sewajarnya mereka ini menjadi rujukan masyarakat untuk sama-sama memperbaiki segala fenomena yang semakin menghimpit dunia Islam

Pada 19 hb November 2006, satu rombongan yang diketuai oleh Mohd. Rumaizuddin dan Khairul Arifin Mohd. Munir dari ABIM dan Syamsul Anuar Hj. Nasarah, presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan lawatan ke Syria selama 4 hari. Dalam rangka lawatan tersebut Abim bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Maljis Belia Sabah (MBS) berpeluang mengadakan pertemuan bersama tokoh ulamak timur tengah yang terkenal abad ini dan mempunyai sumbangan yang besar dalam dunia Islam. Delegasi-delegasi daripada Malaysia ini sempat berwawancara bersama Dr. Said Ramadhan Al Bouty. Kunjungan selama hampir sejam setengah telah mencatatkan beberapa persoalan berkaitan dunia Islam masa kini dan cabaran berkaitan gerakan dakwah. Penulis sempat mencatatkan beberapa wawancara wakil MBM, ABIM bersama beliau sebagaimana berikut:

MBM – Apakah pendapat Dr. berkenaan dengan gerakan dakwah di Malaysia ketika kunjungan tuan ke Malaysia pada tahun-tahun yang lalu? 


Dr. Bouty– Ketika mana saya ke Malaysia pada dua tahun lepas, saya tidak mendapat gambaran yang jelas berkenaan dengan perkembangan dakwah di Malaysia. Saya boleh katakan ianya satu perkembangan yang bagus. Tetapi fokus terhadap usaha meyakinkan orang ramai serta menghilangkan keraguan perlu ditingkatkan agar gerak kerja dakwah menemui kejayaan. Dasar kedua yang perlu ada pada gerakan dakwah masa kini ialah tidak perlu terlalu terburu-buru atau dengan kata lain radikal dalam berdakwah kerana di sana adanya golongan yang berbagai ketika menjalankan dakwah. Ada di kalangan mereka yang boleh menerima dakwah itu secara ikhlas dan ada pula yang nampak seolah-olah baik tetapi mengambil kesempatan dalam usaha gerakan dakwah semata-mata untuk memprovokasikan dakwah di Malaysia.

ABIM – Apakah pandangan tuan tentang krisis remaja yang kian parah pada masa kini, natijah daripada perkembangan teknologi yang agak pesat, juga krisis agama akibat daripada gerakan kristianisasi terhadap umat Islam di Malaysia?

Dr. Bouty – Saya berpandangan usaha memperkemaskan dan menggerakkan dakwah perlu diperkuatkan lagi. Nampaknya kita hari ini sekadar menjalankan dakwah lebih bersifat seperti seminar-seminar, forum, muktamar dan sebagainya. Bagi saya ianya baik sebagai pendedahan ilmu terhadap masyarakat. Namun ianya terhenti sekadar di meja-meja rundingan tanpa menampakkan satu hasil yang jelas. Apa yang lebih penting sekarang usaha dakwah perlu dipertingkatkan dari segenap sudut, tidak sekadar di meja rundingan tetapi lebih kepada bentuk hebahan melalui media dan bersemuka dengan masyarakat melalui pengajian umum di masjid-masjid secara aktif. Secara tidak langsung, masjid boleh diimarahkan sebagai satu pusat gerakan ummah dan menarik minat masyarakat Islam kembali menghayati Islam.

MBM – Dr. ada menyentuh tentang sifat tergesa-gesa dan jangan terlalu radikal. Pada pandangan Dr., apakah cara yang paling berkesan untuk memperkenalkan Hudud dan melaksanakannya dalam sesebuah masyarakat?

Dr. Bouty – Ketika mana anda hendak menetapkan sesuatu undang-undang Islam dan hukum-hukum tertentu, ianya perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Kita perlu menilai siapa golongan yang bakal kita berhadapan ketika perlaksanaan ini diwujudkan. Di sana akan ada golongan yang menentang dan ada golongan yang boleh menerima dengan baik. Sepertimana kunjungan saya yang lalu ke Malaysia, saya dapati ada di kalangan mereka yang menerima hukum-hukum ini dan ada di kalangan mereka yang menolak. Begitu juga dengan idea perlaksanaan ekonomi Islam di Negara-negara Islam. Ada di kalangan mereka yang mahu dan ada yang tidak mahu. Kenapa kita tidak boleh tergesa-gesa melaksanakannya? Kerana kita perlu mengkaji dengan lebih mendalam apakah kesan perlaksanaan hukuman itu dengan cara tersebut. Ini secara tidak langsung kepincangan dan fitnah terhadap Islam dapat dikikis. Saya mengambil contoh sebagaimana perlaksanaan undang-undang ini mahu diadakan satu ketika dahulu di Jordan. Akhirnya ia tidak berjaya kerana tidak boleh diterima oleh semua masyarakat setempat pada masa itu. Begitu juga hal yang berlaku di Libya, Muammar Ghadafy dengan semangat mahu melaksanakan rang undang-undang Islam di Libya tetapi akhirnya wujud satu konspirasi menjatuhkan dan menggagalkan undang-undang ini. Resolusi akhir yang diambil oleh kerajaan Libya pada masa itu ialah mengadakan muktamar dan mencadangkan agar perlaksanaan hukum Islam ini ditangguh dan tidak dilaksanakan. Kita tidak perlu terlalu tergesa-gesa hingga segala perancangan memakan diri sendiri. Perkara ini ibarat bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa. Saya amat meyokong perlaksanaan undang-undang ini, tetapi mestilah dengan penuh strategi dan berhati-hati.

ABIM – Pada pandangan Dr., bagaimanakah cara kita berhadapan dengan jenayah murtad?

Dr. Bouty – Jumhur ulamak sepakat mengatakan bahawa hukuman kepada pesalah murtad ini adalah hukuman bunuh. Namun, sebelum pesalah itu dihukum, ia mesti melalui beberapa proses terlebih dahulu. Mahkamah syariah hendaklah memanggil pesalah murtad ini dan bertanya apakah punca yang menyebabkan orang ini keluar daripada Islam. Jika disebabkan kekeliruan, maka mahkamah perlu menghilangkan kekeliruan tersebut dengan menjelaskan perkara yang sebenar. Kemudian ia akan melalui sesi kaunseling dan nasihat agar pesalah dapat bertaubat dan kembali kepada Islam. Mahkamah boleh mengurung pesalah di suatu tempat dan memberi peluang untuk dia bertaubat kembali kepada Islam. Sampai satu tempoh yang sesuai sekiranya pesalah tidak mahu bertaubat dan kembali kepada Islam, barulah hukuman bunuh dijatuhkan. Hukuman ini dijatuhkan setelah peluang untuk bertaubat telah diberikan kepada pesalah. Ianya tidak sebagaimana tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan Islam satu agama yang zalim dan kejam kerana pesalah terus dibunuh. Islam bersifat adil dan memberi kemaafan serta peluang untuk bertaubat. Hikmahnya jika murtad dibiarkan berleluasa akan pincang masyarakat Islam. Murtad ini satu penyakit yang sekiranya dibiarkan akan menular dan berjangkit di dalam masyarakat Islam.

ABIM – Apa pendapat Dr. berkaitan demokrasi di dalam sesebuah Negara Islam seperti yang dilaungkan oleh Hizbu At-Tahrir?

Dr. Bouty – Islam boleh diamalkan tanpa melihat kepada mana-mana lafaz istilah sama ada demokrasi dan sebagainya. Suara majoriti rakyat yang digunakan dalam sistem demokrasi bukanlah penentu kebenaran. Namun kita mengambil pendekatan tersebut kerana ia boleh memberikan kebaikan. Allah s.w.t telah melantik di muka bumi seorang khalifah sebagai pemimpin sebenar di muka bumi ini. Di bawah pimpinan khalifah itu pula terdapat struktur organisasi yang membantu mengendalikan pentadbiran itu. Pada pandangan saya, kita mesti mengambil pendekatan berhati-hati terhadap setiap istilah-isilah seperti ini. Ia boleh dikira sebagai peperangan istilah. Di dalam peperangan ini kita harus lihat apakah konsep sebenar istilah ini dan apakah isi kandungannya. Boleh jadi demokrasi yang diperjuangkan ini sebagai salah satu provokasi yang dibuat oleh Hizbut Tahrir untuk menghebahkan suara dan idea mereka.
Kita juga harus ingat, Barat dengan perancangannya yang licik telah memberi bantuan dalam bentuk material kepada pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan nama dakwah yang zahirnya bergerak dengan cara yang radikal. Pertubuhan-pertubuhan ini amat terkenal diseluruh dunia dan kebanyakkan umat Islam tertipu dengan nada dan lenggok gerakan mereka.

MBM – Apakah pendapat Dr. mengenai perlaksanaan hukum (hudud) di semua peringkat masyarakat dan apakah pendapat tuan mengenai konsep kebebasan beragama?

Dr. Bouty – Kebebasan beragama sangat dianjurkan di dalam sesebuah negara Islam sekiranya tidak ada gerakan missionari yang boleh merosakkan erti kebebasan ini. Sekiranya ada gerakan-gerakan seperti ini yang membuka jalan supaya orang Islam masuk ke dalam agama mereka ianya dianggap bertentangan dengan maksud sebenar kebebasan beragama. Ini kerana kita telah hidup aman tanpa ada gangguan dari mana-mana pihak tetapi setelah munculnya gerakan missionari ini kebebasan beragama ini semakin terhakis. Siapakah yang mencabul hak kebebasan beragama? Mereka atau kita?
Keamanan Islam telah diancam setelah gerakan ini muncul malah memporak prandakan Islam itu sendiri. Hari ini kita boleh lihat pelbagai gerakan yang wujud dengan tujuan mengancam isu agama Islam supaya umat Islam keluar daripada Islam. Ini secara tidak langsung memperlihatkan sikap tidak hormat mereka terhadap Islam. Sekiranya tiada golongan seperti ini kita tidak menghalang mereka menganuti agama mereka dan mengamalkan amalan-amalan keagamaan mereka dan kita dengan amalan agama kita sendiri.

MBM – Jika demikian, akan timbul selepas ini persoalan kita sahaja yang boleh menjalankan dakwah. Bagaimana dengan mereka adakah tidak dibenarkan sama sekali?

Dr bouty – Dalam konteks agama kita sekarang, kita punya satu tugas yang besar iaitu memberikan kefahaman Islam kepada umat Islam dan menjaga tauhid mereka daripada tergelincir. Tugas kita sekarang ialah memperbaiki umat Islam terlebih dahulu kerana umat Islam memang ramai tetapi Islam mereka hanyalah pada nama sahaja. Apabila akidah umat Islam sudah sempurna dan umat Islam sudah faham apa itu Islam dan faham apa tugas mereka sebagai umat Islam barulah kita berdakwah kepada golongan bukan Islam. Sekiranya kita masih kucar-kacir dan tidak bersatu dalam menangani konflik agama kita sendiri, ini telah membuka ruang gerakan bukan Islam mengambil kesempatan terhadap Islam. Di sana nanti akan timbul laungan Islam tidak berlaku adil terhadap orang bukan Islam. Mereka beralasan Islam tidak membuka ruang kepada mereka untuk berdakwah. Pada peringkat sekarang, kita perlu memantapkan akidah umat Islam terlebih dahulu. Apabila sudah selesai persoalan akidah, umat Islam akan menjadi contoh terbaik kepada agama-agama lain secara tidak langsung mereka akan minat, faham dan saling hormat menghormati antara agama dengan agama yang lain. Tidak timbul lagi isu kenapa umat Islam boleh berdakwah dan mereka tidak boleh.

ABIM – Bagaimana kita boleh mengeratkan gerakan-gerakan dakwah belia di antara sesama negara Islam agar ianya berjaya menarik minat golongan ini dan mengukuhkan agama kita?

Dr. Bouty – Saya berpendapat perkara ini belum sampai ke waktunya lagi. Kita perlu memberi kefahaman kepada umat Islam terlebih dahulu dan mengubah persepsi Islam daripada satu anutan yang membuta tuli kepada anutan dengan penuh kesedaran. Kita perlu memberi kesedaran dengan menyampaikan maksud agama itu berlandaskan manhaj Al Quran. Al Quran ini adalah tafsiran kehidupan yang memberi kesedaran kepada masyarakat. Di sinilah peranan kita menggunakan seluruh material yang ada seperti media elektronik dan sebagainya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Pendekatan yang kita gunakan ini amat berbeza dengan dakyah yang digunakan golongan bukan Islam melalui wang untuk menarik perhatian orang Islam. Sekiranya anutan membuta tuli dapat dikikis dan anutan dengan penuh kesedaran ini wujud dalam diri setiap orang Islam, maka kejahilan akan hilang.

MBM – Malaysia mempunyai 3 kaum terbesar dengan majoriti pemilikan Melayu Islam sebanyak 60% di dalam kerajaan. Konsep kerajaan Malaysia sekarang adalah secara “sharing power” iaitu perkongsian bidang kuasa. Konsep ini memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk sama-sama memerintah dan mengekalkan kuasa yang banyak pada orang Islam. Apa pandangan tuan berkenaan konsep ini menurut perspektif Islam?

Dr. Bouty – Apa yang berlaku di Malaysia pada pandangan saya adalah baik. Konsep “sharing power” yang digunakan di Malaysia menjadi satu contoh sebagai penstrukturan organisasi kerajaan yang terbaik. Semasa saya di Malaysia, saya sempat bertemu dengan beberapa wakil kerajaan dan saya bertanyakan kepada mereka adakah mereka mempunyai apa-apa masalah dengan sistem percampuran kuasa yang diamalkan. Mereka mengatakan tidak ada apa-apa masalah di dalam pengstrukturan organisasi kerajaan walaupun bercampur bidang kuasa. Ini tidak berlaku di Lubnan. Di Lubnan, walaupun kerajaan yang dibentuk adalah melalui sistem kerajaan campuran tetapi mereka tidak boleh bersatu dan di meja-meja rundingan untuk membentuk struktur kerajaan yang baik. Sistem mereka sama seperti di Malaysia, 60% daripada mereka Muslim dan 40% daripadanya bukan muslim. Namun, kata putus untuk membentuk sebuah kerajaan yang baik dari sudut organisasi tidak berjaya. Ini memberikan peluang kepada pihak luar untuk campur tangan.

ABIM – Di Malaysia kami menghadapi berbagai ancaman aliran pemikiran yang mengelirukan. Pada pendapat Dr, bagaimana kita hendak berhadapan dengan perancangan dan ancaman ideologi yang baru seperti libralisme, pluralisme dan sebagainya ?

Saya sungguh hairan dengan kemunculan pelbagai aliran pemikiran di Malaysia sedangkan anda mempunyai kemudahan material yang tinggi dan moden untuk menangkisnya. Sungguhpun dakwah yang dijalankan seperti gerakan anda selari dengan kehendak masyarakat, namun dakwah melalui media adalah amat penting. Kemajuan dan teknologi yang anda miliki harus digunakan dengan sebijaknya. Ini untuk menyekat fahaman-fahaman yang terpesong. Kemudahan sudah pun tersedia dan anda harus mengambil peluang ini untuk memiliki stesen TV Islam khas yang menyiarkan program-program Islam dan menarik perhatian umat Islam untuk memahami isu sebenar mengenai Islam.

MBM– Dr. ada menyebutkan bahawa gerakan-gerakan dakwah yang bersifat radikal adalah ditaja oleh Barat. Aliran pemikiran ini sedang berkembang dan menular di beberapa buah negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pada pendangan Dr., adakah perkembangan ini baik?

Dr. Bouty – Saya telah katakan potensi untuk menangani isu ini bergantung kepada anda semua. Anda mempunyai potensi yang cukup cerah untuk menangkis arus pemikiran ini melalui media sebagai pusat hebahan awam. Penggunaan media dengan sebaiknya dapat melemahkan isu ini seterusnya mengagalkan perancangan mereka. Ini kerana gerakan-gerakan yang bersifat radikal ini merupakan tempat tumbuhnya keganasan dan penyebaran fitnah terhadap dunia Islam. Perkara ini tidak dapat dibendung jika kita tidak mempunyai peranan dan kuasa media yang kuat
 
MBM – Apakah pandangan Dr. berkenaan Islam Hadhari di Malaysia adakah ianya relevan sebagai satu slogan?

Dr. Bouty – Pada pandangan saya, apa sahaja perkataan yang disandarkan kepada Islam maka ianya boleh dianggap sebagai suatu kata tambahan atau sandaran (idhofah). Jika kita menggunakan kata sandaran ini sebagai platform untuk menggerakkan usaha dakwah Islam maka ianya tidak mengapa. Tetapi jika penambahan itu tidak memberikan apa-apa manfaat untuk usaha mempertingkatkan dakwah Islam, maka lebih baik kita gugurkan sahaja.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.