Fiqh Ad-Dakwah

Iltizam Ke Arah Melakar Negara Dengan Citra Dakwah

Tn. Hj. Ahmad bin Kasim, Yang Dipertua ABIM Kedah

UMAT ISLAM DAN CABARAN SEMASA.

Peristiwa yang berlaku di Utara Malaysia, seperti di Pattani baru-baru ini dengan mengorbankan orang awam, serta jawapan mudah yang diberikan oleh pihak kerajaan Thailand untuk memerangi keganasan sukar diterima. Masyarakat Islam Thailand telah menerima secara demokrasi kerajaan Thailand serta meminta semua pihak menghormati kebebasan agama yang diamalkan sejak sekian lama. ABIM amat prihatin dengan nasib umat Islam Thailand yang sentiasa dalam kebimbangan serta menuntut semua pihak khususnya kerajaan Thailand untuk duduk berunding dengan pihak yang mereka dakwa sebagai pejuang pemisah.

Secara umumnya umat Islam dalam tempoh yang terdekat ini menghadapi cabaran yang semakin hebat. Kuasa-kuasa Barat terus menyamakan Islam dengan keganasan. Rangkaian Al-Qaeda, JI atau nama-nama yang seumpama denganya telah dikaitkan dengan umat Islam. Taktik membentuk ‘pendapat umum’ ini adalah strategi media untuk melumpuhkan gerakan Islam yang sedang mendapat dokongan masyarakat kini. Kuasa-kuasa besar telah menguasai dan memperalatkan PBB sebagai pentas untuk menghalalkan segala tindakan mereka yang tidak adil itu.

Muktamirin dan muktamirat yang berbahagia, 

Peranan media mutakhir ini sangat memberikan kesan kepada corak pemikiran dan tindakan umat Islam. Media telah berjaya mencorakkan acuan perlakuan masyarakat dunia , sehingga masyarakat telah dikelirukan dengan fakta-fakta palsu atau yang samar-samar untuk membenar atau menolak sesuatu. Kesan dan pengaruh media boleh jadi positif jika etika kewartawan yang sebenar tanpa perhitungan dari aspek kepentingan peribadi dan agenda politik pihak-pihak tertentu di ketepikan. Kita meminta supaya wartawan kini memiliki jati diri untuk tampil membicarakan sumber maklumat yang menepati prinsip agama dan kemanusiaan.

ABIM termasuk dalam ribuan atau jutaan rakyat Malaysia yang turut prihatin dengan beberapa peristiwa kebejatan dan jenayah akhlak yang melanda masyarakat Melayu Islam Malaysia masakini. Statistik bilangan anak luar nikah yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran negara seperti mana yang di nyatakan oleh menteri dalam sidang parlimen yang lalu juga adalah hasil daripada pendidikan yang beracuan kebendaan atau hiburan tanpa asas agama yang kuat. Statistik ini juga menunjukkan bilangan anak luar nikah dari kalangan orang Melayu adalah yang tertinggi. Sesungguhnya gejala ini amat memalukan umat Melayu di Malaysia yang rata-rata beragama Islam.

Pelbagai pihak telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap pelbagai jenayah sosial ini. Ada yang menyalahkan institusi agama, ulamak, mufti, Jabatan Agama dan badan-badan dakwah kerana tidak berperanan dengan berkesan untuk mengatasi masalah ini. Golongan agama dituduh hanya pandai bersyarah di dewan-dewan kuliah berhawa dingin, berseminar dan asyik berpolitik untuk merebut kuasa.

Ada pula yang membela pelbagai program yang dibuat oleh pihak pemerintah sebagai usaha yang berkesan untuk masyarakat sehingga apabila berlaku saja jenayah sosial, golongan agama akan dipersalahkan dengan berbagai kecaman seperti pengajaran tidak betul, ilmu yang menyesatkan, uslubnya (caranya) songsang dan lain-lain lagi. Pihak kerajaan langsung tidak dipersalahkan walaupun ia berkuasa untuk melulus atau tidak melulus sebarang rancangan, pertunjukan dan konsert hiburan yang melibatkan percampuran lelaki dan perempuan yang jelas bercanggah dengan peraturan Islam atas alasan masyarakat majmuk, toleransi agama, melayan kehendak anak muda dan seumpamanya.

Bantahan ABIM kepada beberapa program seperti Karnival Sure Heboh TV3 serta lain-lain konsert secara langsung yang dibenarkan anjurannya, adalah atas rasa keprihatinan dan tanggung jawab sebagai sebuah badan dakwah untuk memberi ingatan dan teguran secara ikhlas bahawa bukan cara itu untuk membina generasi muda kini. Program seperti ini akan membawa kesan negatif kepada citra remaja kini.

Muktamar ini sekali lagi menyatakan dengan tegasnya bahawa ABIM tidak bersetuju untuk menerima konsep toleransi antara kaum dan alasan masyarakat majmuk di Malaysia yang diamalkan oleh pihak pemerintah untuk menghalalkan sebarang bentuk hiburan yang melalaikan generasi muda kini. Program-program yang bersifat realiti seperti Akademi Fantasia, Audition , Malaysian Idol dan Who Will Win atau yang seumpamanya wajar dihentikan segera demi untuk menyelamatkan generasi akan datang daripada terjerumus ke lembah yang lebih parah lagi. Program ini hanyalah alat untuk keuntungan ekonomi pihak penaja yang meraih keuntungan jutaan ringgit melalui peraduan SMS.

Program Khidmat Negara, yang baru diperkenalkan oleh pihak kerajaan, beralasan untuk membendung gejala sosial remaja serta membina jatidiri yang semakin terhakis. ABIM menyambut baik program ini dengan syarat, pembinaan jatidiri remaja ini tidak mengenepikan pantang larang agama atau mengorbankan amal ibadah seorang muslim.

ABIM mendapat maklumat yang jelas tidak ada program solah jamaah yang dijadualkan, atas alasan ini adalah hak individu. Apa pula alasan yang diberikan untuk menghalalkan program menaikkan bendera Malaysia pada jam 6.30 pagi dan program berbentuk hiburan yang diletakkan dalam jadual. Pada pandangan ABIM Kedah ini adalah sebahagian daripada agenda untuk menghakis nilai-nilai agama yang ada dalam diri seorang remaja, dan membantu membina pemikiran sekular, yang memisahkan agama daripada kehidupan.

Kita meminta dan ingin terlibat membantu pihak kerajaan dalam membina jatidiri remaja Melayu melalui perspektif agama, kerana kita yakin hanya agama sahaja yang mampu untuk menyelamatkan serta meningkatkan maruah serta jatidiri seseorang. Sehubungan dengan itu ahli-ahli ABIM seluruh negeri wajar mengambil peluang dan manfaat jika dilibatkan dalam Program Khidmat Negara pada tahun hadapan.


ABIM DAN ISLAM HADHARI.

Pilihanraya adalah suatu proses untuk membuat keputusan, memilih kepimpinan negara, memilih dasar pemerintahan dalam sebuah negara demokrasi. Kuasa untuk membuat keputusan diperturunkan kepada rakyat setiap lima tahun sekali. Malaysia kekal ditangan parti yang mengambil kemerdekaan daripada penjajah British sejak tahun 1957 lagi.

Apa jua keputusan pilihanraya kali ini, sebagai warga negara yang cintakan tanah air kita akan membantu untuk melancarkan lagi perjalanan dan pengurusan negara supaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan agar Cemerlang, Gemilang dan Terbilang melalui Islam Hadhari, yang sedang rancak dibicarakan dan diwacanakan kini.

ABIM pohon agar kalimat ini tidak menjadi suatu slogan yang hanya di laungkan di pentas-pentas tertentu tetapi meminta agar memahami erti dan kesan secara amali dalam kehidupan. Ungkapan Islam Hadhari adalah suatu istilah yang telah dinyatakan oleh Ibnu Khaldun ’Hadarah’ yang bermaksud Tamadun. Penekanan konsep Hadarah ini adalah kepada kewujudan tamadun yang berasaskan akhlaq . Bertepatan dengan konsep rasul itu diutuskan, merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w.



” Sesungguhnya aku (Rasulullah s.a.w) diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”

Melahirkan umat yang cemerlang, gemilang atau terbilang adalah cernaan melalui suatu gagasan ’khairul ummah’ (umat yang baik). Ciri-ciri umat yang baik ini terkandung dari ayat 110 surah Al-Imran

”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan pada manusia, menyuruh kepada yang ma’aruf. dan mencegah yang mungkar. dan beriman kepada Allah”

Tiga dimensi kepada umat yang terbaik adalah amar ma’aruf, nahi mungkar dan beriman kepada Allah. Konsep ini harus difahami dengan sejelas-jelasnya dalam usaha kita untuk mengangkat martabat umat, selanjutnya melaksanakan tuntutan umat yang tebaik tersebut. Tugas ini bukan terletak dibahu pemerintah sahaja atau ahli-ahli politik, tetapi juga ABIM sebagai sebuah badan dakwah yang non-partisan.

Dalam masa yang sama ahli-ahli ABIM diingatkan kepada keputusan Majlis Syura Tertinggi (MST) untuk menjelaskan pendirian ABIM yang Non Partisan itu. Beberapa ciri tambahan yang sediada daripada keputusan syura yang lama diperkemaskan dengan tidak membenarkan premis ABIM di seluruh negara diguna oleh mana-mana partai politik.

Reaksi Setiausaha Agung ABIM dalam kenyataan media pada 21 Jun 2004 (Isnin) wajar diteliti oleh semua ahli-ahli :

”sehubungan dengan itu , ABIM ingin menyatakan untuk kesekian kalinya bahawa ABIM tidak pernah menjadi dirinya sebagai jurucakap mana-mana individu atau parti-parti politik. ABIM juga bukannya corbon copy mana-mana pertubuhan. Malah ABIM tidak pernah dan tidak akan melantik mana-mana ahlinya yang bergiat aktif dalam politik kepartaian, meskipun mereka merupakan bekas pimpinan utama ABIM.”

Dalam masa yang sama ABIM juga telah menjelaskan pendirian tersebut , iaitu tidak mengikat ahli-ahli untuk menyokong mana-mana pihak / kelompok parti dalam pilihanraya. Keputusan ini memberi kebebasan kepada ahli sebagai warganegara dalam sistem demokrasi untuk mengikut perlembagaan negara yang masih relevan kini.

Muktamirin dan Muktamirat sekelian,

MUHASABAH PARA DA’I .

ABIM adalah sebuah jamaah atau harakah dakwah , bukannya sebuah organisasi atau parti politik. Pendekatan dakwah lebih luas daripada pendekatan parti politik. Pendekatan politik kepartaian hanyalah sebahagian daripada pendekatan dakwah. Oleh itu kita meminta ahli-ahli cepat memahami serta membezakan dua pendekatan ini. Jangan semua pendekatan dakwah dilihat dari aspek parti, kerana ia akan membahagikan umat kepada dua kelompok sahaja, yang menyokong dan yang menentang. Sedangkan dakwah itu adalah menyeru, menyampaikan, mendidik dan sebagainya kepada semua umat manusia tidak kira ia muslim atau kafir, tidak membataskan kepada bangsa atau suku serta warna kulit.

Perjuangan untuk dakwah ini adalah suatu perjalanan menuju untuk mencapai maqam mardzotillah, ia memerlukan semua aktivis jalan dakwah ini membuat beberapa anjakkan dari segi kerohanian untuk membina kekuatan dalaman. Wajar juga kalau kita memetik sudutan daripada Sheikh Ibnu Atillah As-Sakandari dari kitab Al-Hikam yang telah disyarahkan oleh Sheikh Said Hawwa seperti berikut :

“ Gemar populariti suka pada kedudukan yang tinggi, cinta kemegahan , dan suka pujian dari orang lain, adalah buah dari redzoa terhadap nafsunya. Semua ini adalah syahwat, sedang syahwat, maksiat, dan kelalaian ini bersumber dari keredhoan terhadap nafsunya.”

Tentang persoalan cabaran dakwah , Sheikh Said Hawwa menjelaskan ; “ Di dalam bidang dakwah pun harus diciptakan udara yang bersih yang tidak dicemari oleh kekotoran dan penyakit. Kerana itu, saya beranggapan bahawa pada kurun ini tidak ada sesuatu yang lebih penting selain menyuburkan kembali kehidupan Rabbaniyyah, dengan cara menghidupkan dasar-dasar kesempurnaan pada umat ini serta mewujudkan lingkungan kondusif untuk memakmurkannya. Jika hal ini tidak tumbuh maka yang tinggal adalah akhlaq yang rendah”

Tugasaan dari Allah yang diterima oleh para dai adalah untuk memberi nasihat, menyuluh, membimbing dan mengajar, maka yang diperlukan adalah memiliki akhlaq yang tinggi dan luhur, serta terus berhubung dengan Allah hingga hanya Dia yang bersemayam dalam hati sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t :



“Iaitu orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah mereka takut kepada-Nya, dan mereka tiada takut kepada sesiapapun selain Allah “ (Al-Ahzab:39)


Sheikh Said Hawwa mengungkapkan saranan supaya menguatkan hubungan dengan Allah dengan katanya ,”kumpulan wirid dan kewajipan yang paling memenuhi hajat keperluan manusia, baik besar mahupun yang kecil adalah himpunan dzikir yang dirangkaikan oleh Ustaz Hassan Al-Banna, Al-Ma’thurat, himpunan zikir itu, memuat beragam kebaikan yang dinukil dari sejumlah nash. Sepanjang pengetahuan penulis belum ada susunan yang menandingi keunggulan Al-Ma’thurat bila pelbagai wirit yang ada di dalamnya telah menyatu pada diri seseorang”.

Oleh itu amat wajar ahli-ahli ABIM kembali membudayakan zikir Al-Ma’thurat dalam kehidupan mereka, sebagai kekuatan dan bekalan untuk menempuh perjuangan yang panjang dan penuh ranjau ini.

FENOMENA JURANG GENERASI DALAM PERJUANGAN

Muktamirin dan muktamirat sekelian,

Sudah menjadi resam dalam kehidupan, perjuangan ini akan diwarisi oleh generasi baru yang akan muncul setiap masa. Hal ini adalah lumrah dalam setiap perjuangan tidak kira samada ia perjuangan Islam atau tidak. Kita mengharapkan generasi awal ABIM untuk membantu adik-adik yang baru melangkah ke alam dakwah ini , membimbing mereka dengan penuh sabar serta mengharapkan beberapa perubahan .

Pandangan Dato’ Dr. Siddiq Fadhil dalam membicarakan persoalan generasi ini amat bertepatan untuk di perhatikan.

‘Al-Quran sendiri telah menyinggung soal keprihatinan terhadap nasib generasi mendatang dan perlunya membina generasi yang kuat:

“ Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat turunan yang lemah...” (Surah An-Nisa’ : 9)

Ayat tersebut terasa mengandungi semacam ancaman terhadap outgoing generation andainya mereka mengabaikan tangungjawab membina generasi pewaris yang kuat, generasi yang beriman dan beramal, berilmu dan berakhlaq, berotak cerdas dan berjiwa murni.’

Walau apapun zaman yang kita rentasi, perjuangan ini mesti diteruskan oleh generasi awal atau generasi penerus wadah. Harapan generasi baru kini ialah agar, cita-cita perjuangan ini tidak dikuburkan bersama usia kita. Gejala keguguran dalam dalam perjuangan di sebabkan oleh faktor usia adalah tidak benar, Rasulullah s.a.w diutuskan menjadi rasul pada usia 40 tahun, dan baginda mulai berperang pada usia 55 tahun. Inilah contoh terbaik yang paling unggul , tiada bandingnya untuk umat manusia. Era transisi dalam kepimpinan ABIM sedang diusahakan secara peringkat demi peringkat. Usia itu bukan faktor yang utama , yang utamanya ialah semangat juang perlu berkobar-kobar, sentiasa agresif mencari medan baru, bekerja keras tanpa jemu, merancang kegiatan setiap masa, istiqamah dengan madrasah tarbiyyah ABIM iaitu usrah dan tamrin. Zikir Al-ma’thurat jadi basahan bibir, dan Al-Quran serta qiammulail menjadi amalan biasa.

Penubuhan WADAH atau Wadah Darul Hikmah yang bermula di peringkat pusat, akan diperluaskan di negeri-negeri. Jawatankuasa penaja telah ditubuhkan diperingkat negeri pada tahun lalu, dan telah melaksanakan aktiviti bermula dengan usrah. Kita ucapkan tahniah pada jawatankuasa ini atas kerjasama dan semangat yang ditunjukkan. Untuk tahun mendatang WADAH ini akan diperkemaskan lagi, dengan muka-muka baru untuk terlibat di medan dakwah. Kita berharap penubuhan wadah baru ini akan menjadi pemangkin kepada agenda dan cita-cita besar ABIM seperti yang terkandung dalam misi dan visinya.

WADAH bukan organisasi untuk mengenepikan pimpinan lama, tetapi adalah wadah kesinambungan perjuangan. Ahli-ahli perlu memahami serta tidak menjadikan alasan untuk mengugurkan diri apabila berada di dalam wadah pelanjut risalah ini. Ustaz Fathi Yakan dalam membicarakan golongan yang gugur dalam perjuangan dengan menyatakan “ Ramai orang yang hanya berhenti dari kehidupan dakwah sesudah mereka mengadakan khidmat yang berharga... tetapi sebaliknya ada pula yang keluar dari gerakan dakwah dan lantas menyerangnya, malah mengabungkan diri dengan musuh untuk memusnahkannya.”

Alhamdulillah dalam sejarah ABIM Kedah, walaupun ada fenomena ini, tetapi bilangannya amat kecil sekali.

MUHASABAH DALAMAN.

Tanpa menunding jari pada sesiapa kita perlu akur bahawa, ABIM sedang mengalami kepupusan dari segi tenaga mudanya. Hampir di semua daerah kepimpinan ABIM masih mengekalkan wajah lama yang setia pada gerakkan ini. Kita akan perjelaskan keadaan ini secara lebih jelas , supaya kita tidak masuk dalam perangkap kepura-puraan. Menyatakan kuat tetapi hakikatnya amat lemah adalah seperti harimau yang luka parah , tetapi terus mengaum. Diantara punca perkara ini berlaku ialah :-

i) Kelemahan kita untuk meyakinkan generasi muda mengenai potensi gerakan kita. Hal ini juga berlaku antara seorang bapa dengan anaknya. Tidak berusaha meyakinkan anak sendiri untuk mengikuti jejak perjuangan ayahnya. Atau membiarkan anak membuat pilihan sendiri sepertimana ayahnya mula terlibat dengan ABIM dahulu.

ii) Gerakan ABIM bersaing dengan gerakan kepartaian yang lebih menonjol dan lebih popular atau wadah-wadah lain yang wujud yang mirip seperti ABIM. Aspek populariti atau kuantiti ahli pengukur keaktifan sesebuah organisasi.

iii) Usrah dan Tamrin adalah sistem tarbiyyah yang berat untuk diikuti oleh generai muda ini. Mendekatkan generasi muda dengan sistem tarbiyyah yang kita lalui sebagai pintu masuk kepada ABIM adalah amat sukar kini. Kita perlu mencari alternatif lain untuk masa akan datang.

iv) Terlibat dalam banyak organisasi (di pejabat, perniagaan atau aktiviti kemasyarakatan). Tidak dinafikan keaktifan kita bermula dengan ABIM, sehingga kita terpilih atau mempunyai kelayakkan untuk memegang jawatan dalam organisasi lain, tetapi yang sedihnya aktiviti ABIM telah dikesampingkan.

v) Faktor usia yang semakin meningkat, adalah fitrah alam yang mesti diterima. Komitmen dengan bilangan ahli keluarga yang semakin membesar, anak, menantu serta kehadiran cucu dan cicit.

vi) Rasa rendah diri generasi muda untuk duduk bersila, membicarakan topik yang sukar difahami, serta jurang usia yang menyebabkan mereka berusaha mencari pelbagai alasan untuk tidak berminat dengan gerakan ini.

vii) Genersai muda kini telah disibukkan dengan tanggungjawab alam pekerjaan serta berada dalam zon selesa, tidak merasai bertanggungjawab untuk mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam, samada secara separuh masa atau sepenuhnya. Tidak merasai atau mengetahui bahawa pengabungan dalam jamaah Islam adalah suatu tanggungjawab yang fardhu dalam Islam.

viii) Keahlian ABIM dilihat ekslusif untuk kelompok tertentu sahaja, mereka membuat penilaian dari jauh serta menganggap diri terlalu kerdil untuk terlibat dalam wadah ABIM..

ix) Melihat ABIM kini tidak selantang dahulu. Mengharapkan ABIM tampil seperti pendekatan kepartaian. Apa sahaja program perlu dilihat dari aspek politik, tanpa memahami pendekatan ABIM yang ada perbezaan.

Faktor-faktor yang telah disebutkan itu hanyalah sebahagian, dan mungkin boleh kita tambah pelbagai faktor lagi. Namun kita juga perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghadapi masalah ini, supaya kita dapat meneruskan kelangsungan gerakan ini untuk menempuh perjuangan akan datang.

i) Berusaha mencari penganti diri. Ini adalah kaedah yang telah dilakukan oleh kepimpinan Islam sejak dahulu lagi. Mereka berusaha untuk melatih, memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada barisan baru yang bakal mengambil aleh kepimpinan mereka.

ii) Merancang program yang menepati kehendak generasi muda kini, asalkan tidak bercangah dengan syariat. Perubahan bentuk program yang sesuai dengan citarasa mereka, boleh menarik minat generasi muda untuk duduk bersama-sama dengan ABIM.

iii) Memanfaatkan kebolehan dan kemahiran mereka untuk kepentingan Islam, adalah diantara kaedah untuk mendekati ABIM. Tidak dinafikan manusia mempunyai pelbagai kemahiran yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Kita perlu pandai meletakkan mereka di bidang-bidang yang sesuai dengan minat dan kemahiran mereka.

iv) Mengajak anak-anak atau sesiapa yang dibawah wilayah takluk kita untuk terlibat dengan aktiviti atau program ABIM sebagai permulaan, seperti yang telah kita lakukan dalam Rehlah Diniah di Pantai Merdeka tahun lalu.

v) Mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menangani karenah generasi baru. Usaha untuk meyakinkan mereka kepada wadah ini, perlu dilakukan secara berterusan dan bukan sekadar sekali atau dua kali sahaja.


AULAWIYAT GERAKAN ABIM KINI.

Muktamirin dan muktamirat yang berbahagia,

Usia 32 tahun ABIM Kedah adalah , cukup untuk mendewasakan gerakan agar dapat terus mengharungi perjuangan dakwah kini. Kita ingin mengerakkan masyarakat dengan pendekatan dakwah, Kita cemas apabila umat tidak kembali kepada akar tunjang kehidupan beragama. Kita cemas melihat fenomena pelbagai jenayah sosial kesan dari jauhnya pegangan syariat. Oleh itu, ABIM ingin mengorak langkah untuk mendekati umat dengan program yang mendidik secara jangka panjang.

Institusi pendidikan ABIM di bawah TASKI dan SRI wajar diberi nafas baru serta wajah baru mulai tahun depan. Cabaran sengit yang kita hadapi daripada saingan kita tidak wajar mematahkan semangat kita, jika kita kembali kepada nawaitu dakwah iaitu untuk menyampaikan seruan Ilahi dan bertugas semata-mata kerana Allah s.w.t. Apa yang diperlukan adalah berusaha untuk memantapkan perancangan, strategi dan perlaksanaan. Kini ABIM Kedah mempunyai Pengarah Pendidikan Yayasan Takmir Negeri yang akan membantu daerah-daerah merangka perancangan program TASKI dan SRI , mulai tahun depan. InsyaAllah Yayasan Takmir Pendidikan ini akan dimantapkan dari masa kesemasa.

Sekolah Menengah Islam (SMI) perlu disegerakan memandangkan semakin ramai para pelajar SRI ABIM yang menghabiskan pengajian mereka di sekolah agama lain. SMI bukan sekadar sekolah menengah agama biasa, tetapi pusat untuk membina keterampilan pelajar dengan fikrah Islamiah mengikut acuan kita.

Kita juga sedang menggerakkan pemikiran umat dengan program yang bersifat kesinambungan , seperti Wacana Ilmu yang dirangka setiap bulan untuk kalangan eksekutif pentadbiran, kakitangan kerajaan dan pimpinan ABIM, serta kursus haji bersiri yang masuk tahun kedua di peringkat negeri dan tahun ke 19 di daerah Langkawi. Ceramah-ceramah umum dengan kerjasama pejabat agama daerah dan jawatankuasa qariah masjid, mulai diaktifkan semula. Kita meminta agar ABIM daerah untuk terus menyemarakkan program yang membina minda umat seperti mana yang telah kita lakukan pada awal perjuangan ABIM era 70an dahulu.

Pembinaan generasi yang berhemah dan berakhlak mulia serta memiliki kecerdasan minda yang baik, melalui program seminar psikologi perperiksaan juga sedang digerakkan oleh generasi muda dalam ABIM kini. Generasi muda ini yang bernaung dengan PKPIM atas nama PERSIDA (Persatuan Siswazah Islam Darul Aman) sedang menghimpunkan kader-kader baru dari kalangan anak-anak ahli ABIM lepasan universiti tempatan dan luar negeri untuk terlibat secara aktif menggerakkan program-program pelajar.

Mereka akan menjadi generasi pelanjut risalah perjuangan dan bertugas untuk menyambung kerja-kerja dakwah yang bakal diwarisikan kepada mereka. Mereka ini harus diberi peluang untuk bersama-sama dengan kepimpinan ABIM di semua peringkat. Berilah mereka bimbingan dan masa untuk menjadi seperti kita.

Muktamirin dan muktamirat sekelian,

Kita amat yakin, perjuangan yang ikhlas akan mendapat barakah serta ganjaran yang setimpal daripada Allah s.w.t. Risalah yang kita bawa adalah risalah Allah untuk semua umat manusia. Kemampuan kita amat terbatas. Hanya Allah sahaja yang memiliki hati –hati umat manusia . Kepada Allah kita serahkan hati-hati ini, sepertimana yang terungkap dalam doa Al-Ma’thurat yang sering kita baca.

” Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan dan menyokong syariatmu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan diantara hati-hati ini. Tunjukkanlah pada hati ini akan jalannya yang sebenar. Penuhkanlah piala hati ini dengan cahaya Rabbani Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati ini dengan limpahan iman / keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidupkan lah hati-hati ini dengan makrifat tentang Mu. Jika Engkau mentaqdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para shuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong”.

Kita panjatkan doa semoga Allah berikan kekuatan kepada generasi kini dan yang mendatang untuk meneruskan perjuangan ini dan memikul amanah Allah dalam medan dakwah tercinta. InsyaAllah.

Ucapan Dasar Muktamar Sanawi Abim Kedah Ke 32, Di Dewan Majlis Daerah Pendang.Kedah D.A, 2 Julai 2004

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.