Fiqh Ad-Dakwah

Memperteguh Iltizam : Memperkasa Agenda Gerakan Dakwah

[Ucapan Dasar YDP ABIM Selangor, Sdr Hasri Harun]

Terjemahan : " Hai orang –orang beriman, apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu; " Berangkatlah ( berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal saja tempatmu. Apakah kamu telah puas dengan kehidupan duniawi sebagai ganti kehidupan akhiratmu. Padahal kenikmatan dunia jika dibandingkan dengan akhirat hanyalah sedikit" (At Taubah : 38)

Mempersiap Diri Menghadapi Cabaran Semasa

Ancaman Luaran : Islam pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah yang cukup besar. Ia memerlukan kita sebagai daie mempersiapkan diri, ilmu dan kemahiran agar dapat berhadapan dengan perkara ini secara tuntas. Cabaran yang saya maksudkan ini termasuklah ancaman luar seperti zionisme, materialisme, yahudi dan antarabangsa yang tidak senang dengan perkembangan Islam secara meluas dimerata dunia. Pertambahan golongan bukan islam kepada Islam di Amerika syarikat setelah peristiwa 11 September yang lalu telah memberi impak besar kepada musuh-musuh islam. Di kaca television kita sering melihat pelbagai tohmahan dan ancaman yang dimainkan oleh media barat bahawa Islam telah mencetuskan keganasan yang mana berita seperti ini telah memberi kesan yang cukup besar kepada imej dan masa depan Islam itu sendiri. Namun sebagai orang Islam sudah pasti kita tidak boleh berdiam diri dengan agenda ini yang sama sekali tidak berwibawa dan sememangnya dirancang untuk menjatuhkan martabat Islam sebagai Rahmatan lil a'lamin.

Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan bahawa Islam akan berhadapan dengan ujian ini dimana s ia memberi satu gambaran bahawa Islam yang kita anuti ini satu agama yang amat digeruni oleh pihak musuh atas pegangan dan prinsip kebenaran yang di bawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Abad ke 21 ini sememangnya abad yang cukup mencabar. Kini gerakan Islam didunia sebahagiannya dilabelkan sebagai pendokong terorisme. Apakah ini suatu mainan politik yahudi atau ianya gambaran suatu kegelisahan mereka akan kebenaran Islam?


Pertembungan dunia barat dan Islam yang telah sekian lama juga telah membawa pelbagai kesan kepada masa depan ummah seluruh dunia termasuklah di negara kita Malaysia dimana pelbagai isu dan masalah berkaitan dengan agama telah menular di merata tempat yang akhirnya menimbulkan kegelisahan pada sesetengah masyarakat yang tidak memahami ajaran Islam itu sendiri. Maka hasil daripada sebaran media, menggambarkan bahawa Islam mengajar umatnya menjadi ganas. Ini telah memberi kesan negatif kepada umat Islam sendiri dimana ada pihak-pihak mengambil kesempatan membuat analisa bahawa perlunya perubahan dan penilaian semula secara total akan ajaran Islam itu sendiri.

Akibat daripada itu usaha untuk memburuk Islam tidak hanya dijaja oleh golongan bukan Islam tetapi juga dikalangan penganut Islam itu sendiri. Apabila idea globalisasi semakin menular dan menjadi media utama untuk mengembangkan Ilmu maka pelbagai prasarana digunakan bagi menyebarluaskan maklumat songsang termasuklah dakyah yang memburukan Islam itu sendiri.

Kegelisahan yang timbul ini akhirnya dijaja oleh segelintir masyarakat Islam sendiri yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sebenarnya mereka merosakkan imej Islam dengan idea-idea moden yang mengajak umat kepada kemajuan dan kemodenan. Maka dengan sokongan dan dokongan yang cukup kuat timbullah kelompok yang memperjuangkan Islam tampil dengan berani seperti kelompok Islam Liberal yang semakin meluas di negara jiran kita. Bahkan ada juga pendokong-pendokongnya dinegara ini dengan memakai pelbagai nama dan imej. Di zaman ini kita harus berani untuk mendepani cabaran agar mereka tidak mudah untuk memesongkan isu dan ajaran agama kita dengan agenda yang sememangnya di dokongi oleh kelompok yang anti kepada Islam. Mari kita renungi Firman Allah Taala yang berbunyi :

" Terjemahan :" Apabila disebut kepada mereka" Jangan kamu membuat kerosakan di atas bumi. Lantas mereka menjawab, sesungguhnya kami membuat kebaikan. Ingatlah sesungguhnya mereka adalah orang yang membuat fasad akan tetapi mereka tidak menyedarinya.

( Al-Baqarah : 11-12)


Sedia hadapi Dakyah Islam Liberal

Dakyah Islam Liberal :Saya ingin mengajak diri saya dan saudara dan saudari sekelian marilah kita membina kesedaran, kefahaman dan kekuatan yang sama. Marilah kita mencari jalan bagaimana kita dapat membimbing umat dikeliling kita agar tidak mudah terjerumus dengan idea dan gagasan Islam Liberal ini yang sememangnya cukup bahaya terutama dalam mengemudi Akidah murni sebagaimana yang telah dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Secara umumnya idea dan kelompok ini telah didokong dikalangan golongan tinggi dan mereka ini sedang merancang untuk membawa misi baru pemahaman agama yang sebenarnya berteraskan idea dan usaha orientalis barat. Idea dan kefahaman yang karut ini tidak hanya menyentuh aspek syariah dan akhlak malah tidak kurang juga ia melibatkan pertikaian kredibiliti Aqidah Islam yang telah pun disepakati ulama. Pandangan ulama muktabar diperlekeh. Kitab-kitab muktabar yang telah menjadi rujukan berkurun lama dianggap sudah tidak releven dan tidak mengikut peredaran zaman. Bahkan yang paling menyedihkan ada dikalangan mereka yang mempertikaikan sejarah perjuangan Rasulullah SAW dengan mengatakan bahawa Risalah Islam sepatutnya dihantar oleh Jibrail kepada Saidina Ali bukan Rasulullah SAW. Inilah adalah antara penyelewengan yang cukup dangkal yang sepatutnya kita sedari dan pastikan agar ianya tidak menjadi barah kepada masyarakat umum bawahan.

Tidak kurang hebat juga baru-baru ini kita dikejutkan dengan isu wanita mengimamkan solat jumaat yang sedikit ketika menggemparkan seluruh dunia. Ini adalah antara respon yang cuba diketengahkan oleh golongan muslim yang berpegang kepada pemikiran baru dan moden yang menanggapi bahawa Islam yang dianuti ini berhadapan dengan kekurangan dan memerlukan pembaharuan. Persoalannya apakah kita selesa membiarkan kelompok ini terus bermaharajalela dengan idea dan pendekatan sebegini yang akan merosakkan imej dan maruah agama Islam yang mulia ini. Kita harus berusaha bersama menggerakkan program berkala kepada generasi muda untuk membentengi diri daripada pengaruh jahat ini.


Memperkasa Misi Nubuwwah

Sebagai sebuah gerakan islam yang telah meletakkan dakwah sebagai core business dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan, adalah menjadi satu kewajipan kita untuk sentiasa membuat muhasabah agar gerakan kita sentiasa segar dan berada dalam dunia realiti dan bukan fantasi. Dakwah yang kita warisi daripada Junjungan Nabi SAW yang amat unik ini semestinya kita dokong dengan semangat dan jiwa yang kental walaupun berhadapan dengan ujian dan masalah yang tidak pasti. Tetapi sebagai muslim dan mukmin kita harus cekal dan tabah walaupun diri kita , jemaah kita berada dalam pelbagai situasi dan kondisi namun cita-cita dan gerak kerja mesti dijalankan .

ABIM yang telah mempunyai rekod sepanjang lebih 30 tahun yang lalu pastinya bergelumang dengan pengalaman dan sejarah yang cukup panjang.Namun sejarah dan suasana yang kita lihat samada secara jelas atau melalui perkhabaran tidak harus menjadi igauan semata-mata. Bagi mereka yang berada dizaman kini, sudah pasti sentiasa meneropong sejarah lampau untuk membina gerak kerja baru. Namun ia tidak seharusnya meletakkan diri kita selesa kerana factor realiti, suasana dan kondisi umat pastinya berbiza. Dengan kata lain wasilah dakwah pada hari menuntut ABIM lebih dinamik dan progresif dalam mendepani cabaran. Kalau dahulu kita berbangga dengna kepetahan tokoh-tokoh kita berdepan dengna umat melalui medan ceramah dan public speaking, apakah pada kali ini medium ini adalah sesuai pada kita. Namun sebaliknya realiti dakwah telah berubah. Umat sezaman sudah semakin matang. Tidak semua risalah Islam itu di bawa oleh kita sebagai gerakan namun semua pihak telah bercakap tentang Islam. Apakah kita hanya boleh mengatakan segalanya telah selesai.? Pastinya

Perhebat Usaha Dakwah

Muhasabah dalam Berdakwah: Saya percaya lebih banyak lagi cabaran kalau kita ingin susun dan bentangkan sememangnya memberi respon yang agak negative kepada kita. Namun mari kita membuat muhasabah dari segi peranan kita sebagai duat untuk menghadapi cabaran ini khususnya kita sebagai sebahagian dari jamaah islam yang memperjuangan dakwah islam. Kita percaya pelbagai pihak seperti NGO Islam dan Parti politik Islam sememangnya merancang untuk memperkasa bagi menghadapi cabaran ini. Namun kita sebagai badan dakwah Islam juga harus tidak ketinggalan dalam memimpin umat melakukan amar makruf nahi mungkar ini. Ruang dan peluang yang dimainkan oleh badan-badan bukan kerajaan, isntitusi Islam di negeri kita ini akhir-akhri ini amat baik dan harus diberi penekanan.

Pada 15-17 April yang lalu , ABIM Selangor telah mengadakan satu program yang cukup besar di Masjid Shah Alam, iaitu Karnival ABIM Bersama Ummah 2005. Penganjuran program yang julung-julung kali diadakan ini walaupun banyak kekurangannya tetapi telah memberi semangat kepada kita untuk lebih mendekati umat. Pelbagai pihak yang kita dekati termasuklah individu, agensi swasta dan kerajaan nampaknya menanti sikap dan pendirian kita kepada masyarakat. Kita perhatikan bahwa approach dakwah yang kita gunakan ini kalau digerakan secara hikmah bermakna kita akan mampu untuk kehadapan lagi. Usaha dakwah kita melalui program-program umum ini adalah permulaan bagi kita untuk berada dipersada dakwah kembali dalam masyarakat. Masyarakat tidak harus lagi mengenali ABIM hanya dengan institusinya atau individu dalam kawasan tersebut sahaja tetapi mereka mengenali ABIM atas prinsip, agenda, program dan keseriusan kita dalam berdakwah.

Ini lah yang kita harus rangka diperingkat daerah. Program-program yang dijalankan samada semasa Sukan, Ihtifal yang kita lakukan saban tahun jangan hanya bermotifkan untuk anak-anak taski dengan mengabaikan pihak-pihak lain seperti ibu bapa, guru-guru dan masyarakat awam yang semuanya adalah sasaran dakwah kita. Kita harus sama-sama menggerakkan agenda ini. Jangan hanya program digerakan oleh guru tetapi pimpinan didaerah hanya datang untuk meraikan sahaja.

ABIM dan institusi Masjid dan surau

Masjid medan sosial : Sebagai badan dakwah belia Islam yang disegani, saya menyeru sahabat-sahabat ABIM didaerah untuk kita menilai kembali peranan kita kepada umat khususnya. Marilah kita memberi fokus yang lebih kepada pihak-pihak yang sememangnya memerlukan kita.

Untuk makluman sidang muktamirin sekelian, kerajaan negeri selangor dalam mesyuarat exco kerajaan negeri telah meluluskan hampir lebih 3 juta untuk Tahun 2005 ini untuk menjalankan program Remaja dan Al-Quran hujung minggu kepada remaja dan belia di seluruh negeri selangor. Peruntukan yang besar ini seharusnya kita sedar adalah amat besar untuk menggerakan agenda pembudayaan al-Quran kepada generasi umuda. ABIM sebagai sedia maklum harus kembali membuat penilaian apakah kita mampu untuk menyumbang tenaga untuk menjalan agenda ini. Saya menyeru kepada perwakilan daerah semua untuk terus menghubungi, Pegawai tadbir agama daerah-daerah atau penyelia agama yang bertanggungjawab dalam urusan dan hal ehwal agama didaerah masing-masing. Ini adalah antara potensi program yang boleh kita jalankan untuk menggerakan generasi muda untuk mendekati al-Quran. Kita harus menggerakan dikalangan mantan pimpinan kita untuk membantu menjadi murabbi dalam program seperti ini.

Presiden ABIM Tuan Haji Ahmad Azam dalam Ucapan Dasarnya yang ke 29 : " Pemerkasaan Masyarakat Islami : Awlawiyat Gerakan Islam menyebutkan tentang Transformasi Sosial Melalui Institusi Masjid : "

" Kita perlu mengembalikan profesionalisme Masjid sebagia medan tempat ibadah yang mengambil fungsi sebagai insitusi masyarkat. Langkah-langkah perlu harus diambil untuk menggerakan program yang berteraskan pembangunan sosial lebih daripada apa yang kita lalui sekarang sebagai tempat beribadah"

Peranan ABIM dalam aktiviti masjid mestilah diperkasa. Saya menyeru kepada rakan-rakan dalam ABIM marilah kita mulakan program bersam masjid dengan menjadikan Masjid angkat didaerah-daerah masing dengan memberi contoh kepada masyarakat dengan program-program berkala yang mampu menjadikan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadat umum tetapi juga tempat kemasyarakatan.

Firman Allah :

Terjemahan : “ Maka luruskanlah mukamu kearah agama, serta condong kepadaNya. Itulah agama Allah yang dijadikannya manusia sesuai dengan dia. Tiadalah bertukar perbuatan Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan orang tidak mengetahuinya”
Ar Rum : 30


Memperteguh Iltizam

Marilah kita menilai isu-isu dalaman ABIM untuk kita lebih mendewasakan diri ke arah kebaikan. Sudah pasti banyak ruang perlu kita perbaiki untuk memantapkan jamaah kita samada dari segi diri, keluarga dan organisasi. Ini kerana hari demi hari cabaran semakin bertambah. Samada cabaran itu datang dari luar mahu pun dari dalam diri sendiri. Keprihatinan kita dalam memimpin ABIM ini adalah bagaimana untuk mendatangkan rasa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan serta melakukan usaha dakwah untuk agama Allah .

Hari ini kita berhadapan dengan cabaran yang cukup mencabar. Dikalangan ahli kita sendiri sudah ada suara-suara mengatakan apa perlunya kita dalam gerakan? Kerana untuk membuat kebaikan boleh melalui berbagai institusi dan bidang. Ada suara yang sanggup mendakwa bahawa mereka juga melakukan dakwah walaupun tidak bersama dalam gerakan. Saya percaya bahawa pandangan sebegini adalah suatu bentuk penafian dan ketidakadilan dalam memahami prinsip ‘amal jamaiy. Kalau kita perhati secara jujur serta bijaksana kita boleh mengambil perumpamaan melayu yang cukup popular antara " Lihatlah umpama lidi kalau satu mudah dipatahkan tetapi kalau dikumpul menjadi penyapu , maka susah untuk dipatahkan, bahkan ia boleh membersihkan kekotoran dan sebagainya." Ini antara perumpamaan yang boleh kita nilai. Apakah kita percaya dengan berjuang seorang diri tanpa melalui jamaah kita mudah mencapai matlamatnya? Apakah dengan menjadi pendakwah hebat disesuatu institusi , hebat ceramahnya, hebat pidatonya maka dia dianggap hebat dalam masyarakat? Justeru persoalan menggugurkan diri dengan jamaah adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan amat merugikan Islam itu sendiri

Sesungguhnya persiapan amat perlu agar kita tidak mudah kalah dalam menghadapai cabaran yang saya nyatakan tadi. Al-hamdulillah ABIM selangor telah berusaha meneruskan agenda dakwahnya dengan keadaan yang baik. Dengan segala kekurangan dan kelemahan yang kita ada namun kita masih boleh berjuang dengan tugas kita sebagai daie kepada umat dengan aktiviti dakwah walaupun mungkin sedikit.

Firman Allah :

Terjemahan : “ Sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman, bahawa untuk mereka itu syurga. Mereka berperang dijalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar bagi Allah dalam taurat , injil dan quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah . Sebab itu bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual itu. Demikian itulah kemenangan yang besar”

Surah At Taubah : 111


Saya ingin menyeru kepada semua pimpinan samada yang lama dan yang baru marilah kita sama-sama berganding bahu mempertajamkan semangat juang kita. Mungkin kita tidak ada wang untuk berkorban dalam masyarakat, mungkin kita tiada harta yang banyak untuk infaq fisabilillah, tetapi marilah kita infaqkan usia kita,tenaga yang Allah berikan kepada kita ini untuk berjuang, mempertajam semangat, berkorban masa dan tenaga untuk Islam. Janganlah kita selesa dengan apa yang telah kita perolehi semata-mata. Yakinlah bahawa perjuangan kita ini akan digantikan oleh Allah dengan nikmat yang kita tidak sedari nanti.

Paksi Kekuatan Iltizam

Marilah sama-sama kita memulakan langkah dengan memperteguhkan kefahaman dan iltizam kita, memperhebatkan usrah, tamrin dan latihan diri untuk bersama-sama berjuang dalam jamaah kita.

a. Kefahaman yang jitu kepada Islam : Kefahaman dan kenal diri adalah satu perkara yang amat penting dalam memastikan setiap tindakan mendatangkan hasilnya. Tanpa kefahaman maka setiap gerak kerja kita mungkin sia-sia. Kita hari ini berdepan dengan perkara asas dalam perjuangan. Ini kerana bagi mereka yang tidak faham tentang konsep harakah, perjuangannya, serta tidak memahami apakah matlamat dakwah maka akan timbul kesangsian ayng tidak berasas. Ada juga dikalangan ahli yang merasa bahawa kefahaman gerakan sudah tidak sesuai dizaman ini. Gerakan sudah dianggap sebagai pemecahan, wujudnya kelompok-kelompok yang menyebabkan perpecahan. Pemikiran sebegini harus dibetulkan kerana ini adalah pandangan yang dangkal dan tidak berpijak kepada konsep ilmu dan realiti hidup.

b. Tarbiyyah yang jelas : Dalam memahami perinsip dan falsafah perjuangan kita juga tidak boleh abaikan pendidikan dan tarbiyyah. Walaupun betapa lama kita dalam harakah kalau tarbiyah tidak mantap dan jiwa tidak benar-benar kental dengan cita-cita Islam kita akan lihat keguguran dikalangan pendakwah ditengah jalan. Sikap sebegini harus kita tangani segera. Oleh sebab itu program-program umum, usrah dan latihan mahu tidak mahu adalah asas penting pembentukan fikrah dan jiwa duat yang berjaya. Kalau tidak memahami ini maka kita percaya kita akan melahirkan pendakwah yang tidak konsisten dalam perjuangan.

Pimpinan Baru

Pada muktamar kali ini sejajar dengan usaha pemudaan ABIM secara menyeluruh diseluruh negara, pada tahun ini insya Allah kepimpinan ABIM akan disuntik dengan tenaga-tenaga muda yang bakal memimpin kita sesuai dengan penerusan generasi ke 3 ABIM. Usaha meletakkan ABIM sebagai wadah belia Islam bawah 40 tahun yang sering dicanang oleh pihak kerajaan sememangya telah lama dilakukan dan ia semakin dirasai oleh semua pihak. ABIM sebagai badan dakwah belia dinegara ini menyedari akan keperluan ini dan kita sedang berada di tempatnya. Namun disebalik usaha meletakkan generasi muda dalam kepimpinan kita tidak harus alpa dengan isu dalaman dan persiapan kita iaitu pemerkasaan komitmen dan iltizam dikalangan penggerak dakwah dalam ABIM. Sepanjang saya memimpin ABIM ini, diperhatikan generasi muda sememangnya mempunyai idea yang cukup baik tetapi apa yang perlu bagi mereka adalah tarbiyyah, memperkasa komitmen. Perkara ini adalah sangat penting kerana tanpa kesedaran tarbiyyah kita akan lihat konsistensi gerak kerja akan menjadi tidak sempurna.

Iltizam adalah merupakan satu perkara penting dalam menjayakan usaha dakwah. Dengan iltizam dan kefahaman yang tinggi maka segala perancangan yang kita lakukan akan dapat digerakan walaupun dalam keadaan yang sedikit. Proses tarbiyah yang dimulai dengan kesedaran serta melakukan usaha dakwah dengan baik amat perlu diperkasa kerana tanpa kesedaran ini kita perhatikan ramai dikalangan pendakwah muda kita mengambil ringan soal perjuangan. Ada segelintir yang tidak merasa bersalah jika tidak datang usrah, ada yang tidak merasa bersalah jika tidak berhubung dengan sahabat-sahabat atas alasan sibuk dengan tugas dan sebagainya. Ini adalah antara isu dan masalah dalam ahli yang perlu diselesaikan.

Memperkasa Agenda Gerakan

Dalam mempersiapkan aspek dalaman kita sebagai satu jamaah Islam , tugas kita sebagai daie juga harus dirangka secara strategik untuk bersama-sama menjayakan misi Rahmatan Lil ‘Alamin .

1. Memasyarakatkan Institusi ABIM: Sesungguhnya ABIM sememangnya telah dikenali dalam masyarakan melalui agenda pendidikan, dengan kewujudan Taski dan Tahfiznya yang mempunyai rekod yang cukup baik. Dengan prestasi yang baik ini sepatutnya pengurusan taski dan tahfiz bersama-sama dengan kepimpinan daerah harus merancang untuk mengadakan program-program kemasyarakatan, termasuklah ceramah, bengkel, program anak-anak disamping menjadikan institusi Taski dan Tahfiz sebagai rujukan masyarakat sekitar. Saya percaya bahawa kebanyakan sekretariat abim daerah berpusat di Taski-taski yang ditubuhkan. Apalah baiknya pusat-pusat ini bukan sahaja menjadi institusi pendidikan anak-anak pra –sekolah tetapi juga sebagai pusat rujukan dan tumpuan masyarakat setempat. Adakan ceramah dan program umum mengikut kemampuan untuk menggerakan ahli dalam masyarakat. Adakan usrah-usrah gabungan yang juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk bersama dengan kita dengan pengisian yang amat berguna kepada mereka. Dengan cara ini hubungan ABIM, taski dan institusi kita tidak hanya sebagai pentadbir tetapi sebagai daei kepada umat.

Sudah sampai masanya ABIM membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama dalam agenda dan gerakan kita. Walaupun tidak bersama usrah, tetapi mengikuti program-program umum yang kita anjurkan diperingkat daerah. Setelah hampir berpuluh tahun kita berada dipersada masyarakat, kita berjaya menjadi contoh sebagai institusi pendidikan yang baik tetapi kita masih gagal untuk menghimpunkan masyarakat awam dikalangan ibu bapa untuk bersama-sama dengan gerakan kita. Cabaran seperti ini harus difikirkan agar kepimpinan daerah dapat memaksimakan tugas dan peranan mereka untuk bersama dan menjana keahlian dengan baik disamping memastikan kesinambungan kepimpinan akan sentiasa berterusan.

2. Ekonomi Gerakan : Suburkan Jiwa Infaq : Sebagai gerakan yang berperanan dengan agenda yang cukup banyak kita kadangkala terhambat dengan masalah kewangan. Kita akui bahawa ABIM selangor menghadapi saat yang cukup terbatas untuk meneruskan agenda ini kerana kita masih berhadapan dengan keterbatasan yang amat menyedihkan. Sebagai negeri yang pertama melakukan agenda transisi , kita sendiri menghadapi kekangan soal kewangan .Pelbagai perancangan telah kita atur untuk menjana ekonomi tetapi ianya masih belum mencapai apa yang sepatutnya.

Justeru , kita diperingkat Selangor saya ingin mencadangkan idea Infaq fi sabililah secara konsisten harus kita gerakan seluas mungkin dikalangan ahli untuk membantu menggerakan agenda dakwah ABIM khususnya di Selangor. Walaupun usaha ini tidak begitu popular dan mungkin ia dianggap kebelakang namun saya percaya antara kekuatan yang harus dijana adalah menyebarluaskan infaq ini kepada jamaah kita. Semua institusi kita sama Tahfiz dan Taski harus mengerakan Tabung Dakwah yang harus dijana untuk memastikan bukan kita sahaja yang melakukan infaq kepada gerakan, tetapi masyarakat seperti ibu bapa dan seluruh warga yang mendokong gerakan kita juga bersama menyumbang dan membantu Tabung ini untuk perjuangan dakwah.

Firman Allah :

Terjemahan : “ Bukanlah kewajipan engkau menunjuki (hidayah) kepada mereka tetapi Allah yang orang-orang yang dikehendakinya. Apa-apa yang kamu nafkahkan dari harta, maka untuk dirimu faedahnya dan tiadalah kamu menafkahkan sesuatu melaikan kerana menghendaki keredhaan Allah. Apa-apa yang kamu nafkahkan dari harta, disempurnakan Allah balasan bagi kamu dan kamu tiada teraniaya”
Al-Baqarah : 272


Muktamirin dan muktamirat sekelian

3. Memperkasa HELWA: Helwa adalah antara golongan yang cukup penting dalam memberi pemangkin kepada kejayaan jamaah kita. Dengan dorongan dan dokongan mereka ABIM akan dapat diperkukuhkan melalui program-program yang dirancang dengan baik. Pada hari ini kita perhatikan peratusan pelajar IPT mencecah hampir 2/3 melebihi golongan lelaki. Ini menunjukkan ruang dakwah Helwa adalah amat besar dan sememangnya sentuhan helwa harus lebih terancang untuk mendekati golongan muda wanita hari ini yang semakin mencabar. Program-program seperti wacana wanita, kesihatan wanita, isu gender, keganasan ke atas wanita dan sebagainya adalah antara isu yang belum ditangani dengan baik. Oleh itu saya menyeru kepada helwa sekelian supaya bersama-sama merancang agenda untuk memperjuangkan isu dan agenda wanita yang sememangnya penting.

Apatahlagi tenaga pengajar dikalangan guru majoritinya dikalangan wanita, guru-guru taski, tahfiz dan seri kebanyakan dikalangan wanita dan sasaran ini harus dimainkan oleh helwa untuk lebih berperanan lagi. Tenaga pengajar kita dikalangan guru-guru seharusnya bukan sahaja bekerja dengan ABIM tetapi mereka juga adalah jurubicara kita kepada masyarakat. Malah tidak menjadi satu masalah sekiranya mereka juga turut diberi peranan dan tanggungjawab yang sebaiknya untuk bersama dalam memperjuangkan agenda gerakan kita.

4. Agenda Anak-anak Ahli ( IKRAK): Seperkara yang harus diberi perhatian adalah tentang anak-anak ahli. Kalau dahulu kita amat gembira apabila ABIM telah melakar sejarah menubuhkan KERAMKA dengan baik dan lancar dan beberapa program susulan telah diadakan. Bahkan saya sendiri satu ketika di Pusat Latihan ABIM (sekarang Kolej Dar al-hikmah) dipanggil untuk menjadi Fasilitator untuk program anak-anak ahli. Program seperti ini adalah amat penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan dakwah ahli akan berterusan. Kita percaya bahawa bukan mudah untuk mengajak anak orang lain bersama dengan kita dan bukan mudah untuk meyakinkan mereka memahami perjuangan ABIM yang diasaskan oleh mantan-mantan pimpinan kita. Namun apa yang menjadi prioriti kita pada hari ini, adalah untuk menggesa kepada para muktamirin sekelian agar usaha tarbiyah anak ahli ini dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan berterusan. Kita percaya bahawa kalau kita mempunyai matlamat yang cukup jelas kepada perjuangan kita, marilah kita pastikan anak-anak kita juga akan dapat meneruskan perjuangan kita satu hari nanti. Setelah hamper 30 tahun ABIM dipersada umat berapa ramai anak-anak ahli yang menjadi pimpinan dan bersama dengan ABIM yang sebelum ini dipimpinan oleh ibu atau bapa mereka. Memang ada suara yang menyatakan bahawa kita gagal menyediakan platform yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ada juga dikalangan ahli yang mendakwa kita tidak efisen memberi program untuk anak-anak mereka. Apa pun dakwaan , kita percaya bahawa peranan ibu bapa mendidik harus dimulai dari rumah. Sekiranya pendidikan dan bimbingan serta dorongan terbaik diberikan , bukan persoalan program atau bentuk aktiviti yang harus kita persalahkan. Marilah sama-sama kita dokongan isu ini demi masa depan wadah kita. Janganlah kita saling menyalah antara satu sama lain.

Muktamirin dan muktamirat sekelian

Wadah Pencerdasan Ummah

Wadah Selangor : Selaras dengan usaha kepemudaan ABIM dan pemerkasaan golongan pengasas , sebagai badan dakwah belia yang masih penting, maka kita masih memerlukan tenaga dan daya golongan mantan kita dalam gerakan dakwah . Sokongan mereka dan dokongan mereka sememangnya amat perlu demi memastikan kepimpinan baru tidak akan terpesong daripada realiti dan asas perjuangan yang telah dimulai sebelum ini.

Dr. Yusof Al-Qaradhawi pernah menyatakan dalam syarahannya semasa pernah hadir di Malaysia satu ketika dahulu apabila ditanya tentang isu kepimpinan baru dan lama, beliau memberi respon yang cukup pendek iaitu, antara kejayaan yang besar dalam sejarah umat Islam khususnya dalam dakwah apabila pendakwah itu duduk sama rendah berdiri sama tinggi serta mampu menghayati masalah yang dihadapi oleh sasaran dakwahnya. Oleh itu gandingan lama dan baru sememangnya amat perlu.Walaupun masa berubah tetapi usaha dakwah tetap diteruskan.

Namun perubahan masa dan ketikanya kadangkala tidak memungkinkan generasi awal berada dalam kepimpinan ABIM atas prinsip perubahan zaman dan perubahan pemikiran generasi yang sudah tidak boleh ditangani lagi. Pandangan yang mengatakan bahawa biar nampak tua tetapi jiwa masih muda adalah suatu pandangan yang betul tetapi sudah boleh dipersoalkan. Perubahan jiwa dan suasana generasi sememangnya amat jauh berbeza dengan apa yang telah dimulai dahulu. Oleh yang demikian perubahan ini bukan untuk mengenepikan peranan golongan awal tetapi untuk memberi sentuhan baru kepada generasi penerus ABIM dan membuka medan dakwah baru kepada generasi awal dahulu. Insya Allah pada tahun ini kita akan bersama-sama dengan Wadah akan melancarkan Wadah Pencerdasan Umat untuk peringkat negeri selepas daripada Muktamar ABIM Pusat pada 19-21 Ogos nanti. Mudah-mudahan wadah ini akan menampung lebih ramai lagi golongan awal ABIM serta masyarakat keseluruhannya untuk berperanan dalam masyarakat secara keseluruhannya.

Kepada seluruh sahabat, rakan dan semua pimpinan ABIM didaerah-daerah , saya menyeru kita sama-sama memperteguhkan saf pimpinan kita, walau kita berlainan usia , jauh dari segi geografi untuk sentiasa bertemu namun kita mempunyai cita-cita yang sama. Kita percaya bahawa segala harapan dan cita-cita yang digarap tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya kita tidak berada dalam satu keyakinan dan semangat yang sama.

Marilah kita sama-sama mulai perteguh iltizam kita untuk pemantapan jamaah kita melalui 3 M yang ingin saya lontarkan kepada semua perwakilan sekelian untuk bincangkan dalam usrah dan program-program dalaman kita :

Pertama: M–Memperkukuh 5 budaya ABIM yg tlh kita sepakati bersama
Kedua: M- Memperkukuh elemen kerohanian dikalangan ahli
Ketiga: M- Memantapkan ukhuwwah fillah – Ke arah Pematapan Jamaah


Sama-sama kita meyakini firman Allah agar ianya menjadi insprasi kita untuk lebih bersemangat untuk berjuang dijalan Allah :

Terjemahan : " Sesungguhnya Allah menyukai orang –orang yang berperang dijalannya dalam barisan yang teratur seakan mereka seperti dalam satu bangunan yang teguh "
(As Sof : 4)

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.