Fiqh Ad-Dakwah

Pemerkasaan Sikap Dan Budaya Kerja Pendakwah Serta Ulamak

Oleh :Al-Akh Al-Faqir Ilallah Ahmad bin Kasim, Yang Dipertua,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah Darul Aman.

[Dibentangkan dalam: Bengkel Pendidikan Kepenggunaan, Ulama’ Muda Pulau Pinang, Hotel Sunway, George Town, Pulau Pinang, pada 22 Mei 2005.]

PENDAHULUAN.

1.1 Permasalahan sikap dan budaya adalah masalah sejagat yang akan wujud dalam setiap zaman, dari zaman cemburunya Qabil hingga membunuh Habil hingga ke zaman kini. Dari zaman angkuhnya Firaun dan Abu Lahab hinggalah bongkaknya Hitler dan sekutunya, manusia mempunyai masalah sikap dan budayanya tersendiri. Sikap dan budaya adalah komponen yang sentiasa melingkungi kehidupan umat manusia seluruhnya.

1.2 Sikap ditakrifkan sebagai penilaian mengenai diri dan alam sekeliling hasil dari pemikiran dan perasaan mengenai sesuatu perkara seterusnya terpancar pada perbuatan dan perkataan. Mengikut pandangan alam (world view), Sikap adalah bagaimana kita melihat diri kita?, bagaimana kita melihat sekeliling kita ?, dan bagaimana kita percaya kita boleh mempengaruhi hidup kita dan hidup mereka disekeliling kita?.

 

1.3 Manakala cakupan makna budaya pula sangat luas , ia meliputi filsafat, pemikiran, ilmu, kesenian dan cara hidup. Budaya kerja boleh dimaksudkan dengan berkerja atau berusaha yang bermanfaat dan dilakukan secara bersungguh-sungguh ke arah kesempurnaan serta mempunyai kualiti. Kecemerlangan kerja tersebut hendaklah berdasarkan iman dan amal soleh yang mempunyai hubungan dengan aqidah, syariah dan akhlaq. Memperkasa budaya kerja bererti menghayati budaya amalan soleh dan merupakan sebahagian daripada ibadah.

1.4 Sementara itu serangan dan usaha untuk membunuh kredibiliti para Ulama’ dan pendakwah berjalan sepanjang zaman, dan ini merupakan sunatullah bagi orang-orang yang berjihad dijalan Allah s.w.t. Mereka sering kali diberi imej yang negatif sebagai orang kolot, jumud, anti kemajuan, mementingkan diri dan seumpamanya. Sehingga kinipun para Pendakwah dan Ulama’ sedang berhempas pulas untuk memulihkan pengaruhnya dan wibawanya ditengah-tengah saingan hebat pengaruh kelompok-kelompok lain seperti ahli-ahli politik, para usahawan, seniman (penghibur) dan ahli-ahli sukan.

1.5 Andainya wibawa para Pendakwah dan Ulama’ terus tergeser dan terpingir, sulit untuk membayangkan terbangunnya masyarakat serba cemerlang, gemilang dan terbilang yang kita impikan. Sesunggunya mereka ini mempunyai peranan yang sangat besar. Mereka tidak dapat mengelak dari ikut bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang menimpa umat. Mereka sudah pasti akan sekali lagi dipersalahkan andainya nasib umat kita masih terus menerus tidak berubah. Demikian menurut Abul Hassan Ali Al-Hasany An-Nadwi dalam bukunya “Apa derita umat apabila Islam mundur”.

1.6 Kertas ini bertujuan untuk mengenegahkan perkara-perkara asas mengenai dua komponen penting iaitu Menerangkan mengenai cabaran-cabaran semasa yang harus di lalui oleh para Pendakwah dan Ulama’, dan menjelaskan mengenai ciri-ciri bagaimana untuk memperkasakan sikap dan budaya kerja mereka. Ini kerana golongan Pendakwah dan Ulama’ mempunyai peranan yang besar dalam melakukan islah dalam masyarakat.

CIRI-CIRI SERTA PERANAN PENDAKWAH DAN ULAMA’

2.1 Tugas yang paling mulia dan paling agung sekali di dunia ialah tugas menyeru manusia kepada Allah s.w.t. Menjadi dai’ merupakan tugas yang bermatlamat untuk mengembalikan manusia di dunia ini kepada sistem alam yang sesuai dengan fitrah manusia. Tugas ini memerlukan kepada mentaliti pembinaan serta kaedah-kaedah yang khusus untuk memproses pembinaan ini. Tugas ini memerlukan kita membaiki diri kita dan menyeru orang lain agar menerima jalan mulia ini.



“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam” (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

2.2 Perancangan untuk pembinaan peribadi para pendakwah haruslah diutamakan, dan mesti dianggap penting yang perlu diberi perhatian sepenuhnya. Semua ini memerlukan kepada program-program yang mesti diberi keutamaan tenaga dan suasana serta disusuli dengan melahirkan suatu mentaliti pembinaan dan peribadi-peribadi unggul yang mampu dan sanggup untuk menerima tugas ini. Sesungguhnya titik permulaan tugas ini adalah ujudnya manusia yang mampu sampai kepada mentaliti pembinaan, kerana sebarang pembinaan memerlukan arkitek kemanusiaan yang memiliki mentaliti yang mampu untuk membuat gambaran, selepas itu melahirkan dan melaksanakan serta memperkemaskan arah tuju tersebut.

2.3 Manakala Ulama’ pula sebagai pemegang amanah dan pertaruh Allah atas segenap makhluqnya. ”Ulama’ itu waris sekelian para Nabi” H.R Ibnu Nadjar dari Anas r.a. Hassan) Kata-kata hadis ini bukan kata-kata yang ringan dan senang. Orang yang berakal tentu dapat menggambarkan sendiri, betapa beratnya orang yang memegang petaruh atau amanah dari orang lain untuk disampaikan kepada orang yang lainnya lagi. Itu bererti bahawa ia telah sanggup untuk menunaikan kewajipan menyampaikan amanat itu kepada yang berhak menerimanya. Kalau ia tidak menunaikan kewajipan itu maka ia berkianat kepada orang yang telah mempercayai dengan amanat itu kepadanya.


2.4 Status ulama’ itu ditentukan antara lainnya oleh tahap kealimannya dalam ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab. Selain itu juga oleh kesahihannya, pengabdiannya kepada Allah s.w.t. dan kebaktiannya kepada umat. Ulama’ adalah ilmuan yang menghayati ilmunya sehingga layak menjadi model ikutan penghayatan ajaran Islam. Seterusnya dicirikan pula oleh penerimaan umat ini sebenarnya tidak mudah. Mereka harus memiliki citra yang penuh wibawa di samping harus cukup dekat dengan umat. Seperti yang digambarkan oleh Bapak Muhammad Natsir, ulama’ adalah tempat umat menaruh kepercayaan.


2.5 Kombinasi atau kesepaduan dalam diri seorang individu Ulama’ sekaligus pendakwah amatlah baik sekali. Kerana peribadi seumpamana inilah yang pernah dilahirkan menerusi Madrasah Rasulullah s.a.w. sejak awal kurun pertama kemunculan Islam di alam ini. Peribadi para sahabat r.a bukan sekadar alim tetapi juga merupakan dai’ yang mengajak manusia kejalan Allah s.w.t. Pengasingan yang berlaku, sekiranya ada pada masa kini, harus dipelihara hubungannya keduanya agar saling berkerjasama dan memahami skop dan bidang tugas masing-masing.


CABARAN UNTUK PERUBAHAN

2.1 Bagi para pendakwah pendekatan dengan akhlaq yang mulia dan berperibadi mulia adalah kekuatan yang perlu dimiliki oleh mereka. Ia berkait rapat dengan seluruh kegiatan hidupnya, sikap pada kerabatnya, jiran tetangganya, cara bergaul dan bermuamalah, cara berbicara dengan mereka dan kehidupan keluarganya. Contoh teladan ini adalah lebih besar pengaruhnya pada jiwa manusia daripada ucapan-ucapan.

2.2 Beberapa cabaran yang harus di tempoh oleh pada Pendakwah dan Ulama’ dalam memperkasakan persoalan mengenai sikap dan budaya kerja ini supaya mencapai objektif kewujudan mereka di tengah gelanggang umat. Diantaranya adalah :-

(a) Cabaran menetapkan halatuju.

Mengurus sikap dan budaya kerja harus bermula dengan bermatlamatkan untuk menegakkan syiar Islam dan taat kepada Tuhan. Usaha ke arah perubahan sikap dan budaya kerja harus menuju kepada pembersihan jiwa dan mendekatkan diri kepada Tuhan dan bukan kerana pangkat atau manusia. Apabila niat untuk merubah sikap dan budaya kerja jelas, maka proses perubahan akan bersifat fitrah dan istiqamah.

(b) Cabaran menghargai amanah Allah s.w.t .

Para Pendakwah dan Ulama’ yang sedang membangunkan umat harus mempunyai kesedaran tentang amanah keilmuan dan taraf yang diberikan oleh Allah s.w.t dengan menghayati peranan suci ini. Ulama’ sebagai pewaris para Nabi, para dai’ sebagai perucap yang terbaik buat umat. Oleh itu mereka harus mendampingi umat agar tersalur ilmu dan terbina watak manusiawi yang menepati dengan kehendak syariat. Adalah amat tidak wajar sama sekali apabila status yang diberikan oleh Allah s.w.t. pada para Ulama’ dan dai’ ini disia-siakan begitu sahaja.

(c) Cabaran menguasai ilmu semasa.

Diantara polemik yang mencengkam pada Pendakwah dan Ulama’ kini adalah kegagalan mereka menguasai ilmu semasa moden sehingga mereka dianggap kolot, jumud dan ketinggalan zaman. Sementara itu golongan ulama’ juga sering dikritik kerana kelesuan mereka dalam berijtihad. Akibatnya banyak persoalan-persoalan baru yang tidak dijawab dengan memuaskan. Penguasaan ilmu teknologi semasa seperti ilmu ICT (Information, Communication and Technology) amat wajar didedahkan. Ilmu pengurusan moden, pendedahan politik semasa seperti penguasaan kumpulan Neo-Konservatif dalam perang abad kini, teori-teori ilmu ekonomi moden dan seumpamanya.

(d) Cabaran menghargai khazanah pemikiran Tamadun Islam.

Diantara punca rendahnya sikap dan budaya kerja di kalangan para Pendakwah dan Ulama’ adalah tidak tahu menghargai milik sendiri. Sedangkan Tamadun Islam yang kita miliki amat kaya dengan khazanah pemikiran, ilmu, pengalaman, kejayaan dan sebagainya. Tamadun Barat yang menjadi saingan kini cuma kemilau fatamorgana yang bersifat sementara dan tidak bertahan lama. Oleh itu pada Pendakwah dan Ulama’ harus menggali khazanah tamadun Islam milik sendiri yang kaya dengan ilmu serta berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran zaman dan lingkungannnya.

2.3 Seperti mana yang telah diakui semua bahawa permasalah sikap dan budaya kerja adalah masalah yang rumit hasil dari kejadian manusia sendiri yang bersifat kompleks. Dalam proses memperbaiki dan memperbaharui sikap, pihak-pihak yang terlibat perlu memiliki sifat kesabaran yang tinggi dan perlu cekal serta tidak mudah putus asa. Untuk merubah budaya kerja dan sikap kearah yang lebih positif yang telah lama sebati dalam jiwa seseorang bukannya suatu yang mudah, walaupun tidak mustahil.

PROSES MEMPERKASAKAN PENDAKWAH DAN ULAMA’ KINI.

4.1 Masyarakat yang sedar tentang ketinggian para Pendakwah dan ulama’ sebagai ilmuan akan selalu memelihara martabat mereka dan menghormati mereka setiap masa dan keadaan. Memperkasakan Ulama’ dan Pendakwah bermakna kita berusaha untuk membina generasi yang berkualiti untuk melaksanakan impian dan cita-cita umat Islam. Rasulullah s.a.w. telah melaksanakan program pembinaan kelompok teras yang berkualiti itulah yang disebut oleh Sayyid Qutb sebagai Generasi Qur’anik yang unik itu.

4.2 Tugas kita sekarang adalah untuk mencari dan memeriksa calon-calon yang mampu dan berkelayakan untuk memproses mereka para Pendakwah dan Ulama’ yang kita kehendaki yang sesuai dengan zaman ini. Sekiranya mereka yang kita kehendaki itu tidak ada, maka kita berkewajipan pula untuk menyedia dan melayakkannya. Tanggungjawab besar ini dibebankan kepada umat Islam kini yang matlamat utamanya adalah menegakkan syariat Allah s.w.t. Apa yang perlu kita lakukan menurut Sheikh Said Hawwa adalah:

i) Megeluarkan golongan Pendakwah dan Ulama’ daripada akhlaq-akhlaq masyarakatnya dan daripada lingkungannya yang jelek kepada akhlaq mukmin yang sejati. Sehingga mereka menjadi contoh teladan yang murni dalam masyarakat.

ii) Melatih mereka untuk bertanggungjawab dengan kata-katanya kerana setiap kata-kata mereka adalah bernilai dan membina. Mampu pula merubah masyarakat dengan kata-kata tersebut .

iii) Mentarbiyyah mereka dengan didikan yang sesuai dengan matlamatnya, serta memberi pengetahuan dengan matlamat yang hendak dicapainya.

iv) Membina watak mereka itu sehingga ia mampu mengambil (membuat) keputusan yang bijaksana.

v) Melatih mereka supaya tunduk kepada keputusan syura walaupun bercanggah dengan pendapat mereka sendiri. Melibatkan mereka dengan Jamaah Islam adalah sebahagian daripada kaedah dalam perjuangan Islam yang sebenar.

vi) Melatih mereka supaya boleh berbincang dengan bijak serta mengajar mereka bagaimana membentangkan pendapat dan berhujah.

vii) Mengajar mereka bagaimana mengambil pengajaran daripada kritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang membina.

viii) Menjelaskan kepada mereka perbezaan di antara pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan, kerana betapa mudahnya meruntuhkan dan sukarnya membina.

ix) Mengajar mereka bagimana untuk memajukan yang sedia ada, mewujudkan dan tidak ada, serta memperingatkannya bahawa mudahnya meruntuhkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada.

x) Melatih mereka bagaimana mengambil pengajaran daripada sesuatu yang berada di sekitarnya untuk sampai kepada matlamat pembinaannya.

AKHIR KALAM.


2.4 Memperkasakan pada Pendakwah dan Ulama’ dengan sikap dan budaya kerja yang mulia adalah tugas penting . Ulama’ dan Pendakwah yang lahir dari lingkungan alam Melayu yang sifat dan jati diri orang Melayu itu yang telah dihina dan diremehkan sehingga terciptalah pelbagai mitos tentang orang-orang Melayu, orang yang malas, lemah, bodoh dan seumpamanya. Sekali gus mitos ini terkait juga pada para Pendakwah dan Ulama’ yang disepanjang sejarah tidak pernah jemu mengajak umat untuk amar maaruf dan nahi mungkar. Sehingga mereka menjadi benteng yang paling utuh untuk menghadapi serangan sistem kapitalis kolonial Barat yang menyerang pada awal kurun ke 15 lagi.

5.2 Sepanjang sejarah perjuangan Islam Ulama’ dan para Pendakwah sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang yang kental. Mereka telah berjaya menyatukan Islam dengan budaya, dalam sikap orang-orang Melayu. Malah Islamlah yang menerasi keperibadian Melayu itu, sehingga adat Melayu pula pada asasnya telah juga mengalami tranformasi keislaman, nyatalah bahawa tanpa Islam Melayu kehilangan segalanya termasuk keperibadiannya. Tranformasi ini berjaya kerana sikap dan budaya kerja yang mereka miliki telah merubah wajah umat Melayu itu sendiri.

Rujukan :

1. Beberapa Pelajaran Dalam ‘Amal Islami, Al-Ustaz Said Hawwa, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur , 1985.

2. Jalan Dakwah, Mustafa masyhur, Pustaka salam, Kuala Lumpur,1985.

3. Deraf panduan dakwah dalam konteks ABIM di Malaysia, Kertas kerja Tamrin ABIM. Kuala Lumpur

4. Minda Melayu Baru, Dr. Siddiq Fadhil. Institut Kajian Dasar, Kuala Lumpur, 1992.

5. Beberapa penjelasan disekitar Uslub ud Dakwah, Dr Siddiq Fadhil, Kertas Kerja Tamrin ABIM, Kuala Lumpur.

6. Kertas kerja, Permasalahan Sikap : Suatu Penyelesaian Dari Perspektif Generasi Pelapis, Endang Erwani Md. Dom, Inmind. Kuala Lumpur.

7. Kertas Kerja, Budaya Kerja Cemerlang Menurut Perspektif Islam, Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman, Port Dickson, Negeri Sembilan.

8. Kertas Kerja, Profesioanalisme Ulama’ Dalam Pengurusan Negara, Dato’ Dr.Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, Kongres Kebangsaan Dinamisme Ulama’ Menghadapi Abad Baru,IKIM, Kuala Lumpur 1997.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.