Fiqh Ad-Dakwah

Menyemarak Usaha Dakwah Fardiyyah

Ustaz Hasri b Harun – Yang Di-Pertua ABIM Selangor

Dakwah Fardiyyah atau dalam bahasa Melayu bermaksud dakwah secara individu adalah satu usaha yang sangat besar dalam pembangunan masyarakat dalam sesebuah komuniti dan negara. Walaupun ianya dilihat sebagai satu perkara yang kecil tetapi sumbangannya dalam kejayaan sebuah dakwah secara jamaah tidak boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, kita lihat sejarah awal Islam bagaimana baginda SAW melakukan dakwah secara senyap (sirr) kepada kelompok manusia yang dekat dengan beliau seperti isteri, rakan, saudara dan sebagainya adalah antara contoh metodologi yang boleh kita lakukan dalam masa ini.

Disamping itu kita perhatikan bagaimana dakwah secara fardiyyah ini memberi sumbangan yang besar kepada kebangunan umat. Contoh yang dilakukan oleh baginda SAW dan para sahabat apabila terpegun dengan ketokohan dan kewibawaan individu yang berada bersama-sama baginda di awal Islam. Kita lihat bagaimana berhemahnya Saidina Abu Bakar As Siddiq, ketokohan beberapa sahabat lain yang begitu dikagumi oleh lawan dan kawan memberi sumbangan kepada pertambahan orang-orang Islam pada waktu itu. Apakah kita tidak sedar bahawa besar sekali sumbangan dakwah secara fardiyah dalam usaha kita menyebarluaskan lagi islam kepada seluruh umat tidak kira islam atau tidak.

 
Bentuk dakwah fardiyah

Dr. Fathi Yakan membahagikan dakwah fardiyyah kepada dua bahagian, pertama adalah dakwah fardiyyah yang berlaku atau muncul dikalangan individu yang telah berada dalam sesebuah jamaah (berintima’ dengan harakatul Islam). Usaha ini dilakukan oleh individu yang melakukan dakwah hasil daripada idea dan pendekatan secara lebih intensif dan teratur melalui perancangan sesebuah jamaah. Hasil ini akan membawa kepada jemputan semua golongan kepada jamaah yang dianggotainya atau sekurang-kurangnya memperbaiki diri ke arah kebaikan. (faaslihu) Kedua, dakwah fardiyyah dikalangan individu yang belum berintima’dengan jamaah. Usaha ini banyak dilakukan individu yang mana biasanya menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah bebas. Sejauhmana bebasnya mereka ini pun masih berada dalam tandatanya.

Dalil-dalil dakwah Fardiyyah

Kita dapat perhatikan, bahawa ada dua dalil yang boleh menjadi sumber rujukan kita tentang mengapa dakwah fardiyyah ini penting, Pertama adalah dalil daripada al-Quran, dalam surah al-fussilat ayat 33 berbunyi “ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada jalan Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata” Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” Begitu juga dalam hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Al-Sahih menyebutkan “ Barangsiapa menunjukkan orang kepada kebaikan ia mendapatkan pahala sebagaimana orang yang mengerjakannya.

Akhlak Dakwah Fardiyyah

Selaras dengan kepentingan dakwah fardiyyah yang juga menyumbang kepada kejayaan dakwah islam, maka kita harus juga melihat kepada ciri-ciri yang boleh membawa kepada kejayaan usha dakwah fardiyah ini. Disini digariskan cirri-ciri yang boleh dijadikan panduan yang sepatutnya ada pada individu-individu yang mahu menjalankan dakwah secara fardiyyah. Antaranya:

Pertama, Uswah dan Qudwah, maknanya menjadi teladan kepada orang lain. Ciri uswah dan qudwah ini sangat penting kerana ianya menjadi contoh yang utama dalam memastikan misi dan visi dakwah berjaya menarik orang kepada usaha tersebut. Kita lihat bagaimana para sahabat yang menjadi contoh dan uswah,turut menjadi tarikan kepada orang lain untuk memasuki Islam. Begitu juga kita sebagai individu muslim, contoh ini bermakna ianya harus tergambar sebagaimana kata-kata dan perbuatan, gandingan antara uswah dan qudwah,

Kedua, Ikhlas seluruh tujuan dan gerak kerja dakwah samada fardiyyah mahupun jamaah haruslah digariskan secara besar dengan misi ikhlas kerana Allah Taala. Misi ikhlas ini tidak boleh dipinggirkan daripada sanubari para pendakwah kerana dengan keikhlasan ini akan membawa kepada kekuatan dan kebenaran dakwah. Tanpa ikhlas akan membawa kepada ketidakjujuran dalam berdakwah. Akan timbul perasaan cepat putus asa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Firman Allah dalam surah al-An’am “Sesungguhnya solat ku, ibadatku hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah , tuhan semesta alam”

Ketiga, sabar dan ihtisab, maknanya dalam dakwah individu pastinya akan menghadapi pelbagai dugaan samada kecil atau besar, justeru para pendakwah harus menyediakan diri dengan kesabaran yang tinggi. Ihtisab, maknanya mengharapkan pertolongan Allah, Ini kerana kadangkala usaha dan ikhtiar kita yang dirancang kadangkala tidak mampu kita lakukan dek kerana hubungan dengan allah yang masih cetek. Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat 35 “Bersabarlah sebagaimana kesabaran para ulul azmi daripada para rasul”

Keempat, pengorbanan, jiwa berkorban harus dibentuk agar usaha dakwah akan dapat disuburkan dalam jiwa para dai. Kekuatan yang ada dalam jiwa para sahabat nabi semasa melakukan dakwah antara lain adalah kekuatan jiwa berkorban semata-mata kerana Allah samada berkorban, harta, jiwa, wang ringgit dan sebagainya. Untuk kita sebagai pendakwah muda, usaha ini tidak akan berjaya kalau kita hanya mementingkan diri sahaja. Percayalah bahawa berkorban ini seumpama menyemai benih yang mana hasilnya akan kita tuai dihadapan Allah Taala kelak.

Kelima, berinteraksi dengan pelbagai orang, janganlah sampai seorang daie yang baik itu menghabiskan masa menumpu kepada sesetengah pihak sahaja. Membuka ruang dakwah kepada pihak-pihak yang lain juga perlu bagi memastikan masa tidak dihabiskan disitu sahaja. Pengharapan yang tinggi juga tidak wajar dibuat kerana peranan kita sebagai dai adalah sebagai penyeru bukan penentu kepada kejayaan hasil daripada usaha kita selama ini.

Keenam, Antisipasif dengan kegagalan dakwah, sebagai daie yang berjiwa besar dia tidak harus berasa kecewa apabila dakwah yang dilakukan tidak mendapat respon yang positif daripada para madu nya. Dalam jiwa dai itu harus ada perasaan bahawa hidayah itu datang daripada Allah Taala bukan daripada tangan-tangan kita.

Ketujuh, menjaga hak-hak ukhuwwah Islamiah sesama madu’ yang kita dihadapi. Sebagai dai mereka haruslah menjaga hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja agar kredebiliti yang ada tidak akan terjejas akibat daripada kesilapan yang dilakukan. Sikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara itu perlu agar tindakan tidak akan sia-sia. Yang penting para dai harus peka kepada perubahan agar mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara yang menjejaskan usaha dakwah.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.