Fiqh Ad-Dakwah

Mencipta Masa Depan Ummah

Mohd Rumaizuddin Ghazali
 
Jamaluddin Al-Afghani pernah menyebutkan sikap umat Islam yang hanya bermegah tentang kejayaan datuk nenek mereka dalam mencipta tamadun dan sejarah. Tetapi malangnya mereka sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai tahap sedemikian. Shakib Arsalan pernah menceritakan kepada Jamaluddin Al-Afghani bahawa bangsa Arab dahulu pernah berjaya menyeberangi lautan Atlantik dan menjumpai benua Amerika sebelum dijumpai oleh orang Eropah.

Lalu dijawab oleh Jamaluddin Al-Afghani: “ Memang benar datuk nenek kamu dahulu orang yang berjaya. Tetapi kamu adalah kamu, tidak layak kamu mengingatkan kemegahan masa lalu tentang keturunan kamu tanpa sebarang usaha gigih seperti mereka.”Itulah realiti kehidupan umat Islam kini yang hanya mengulangi babak-babak sejarah datuk nenek mereka tanpa memikirkan masa depan sendiri dan umat Islam. Umat Islam tidak dapat bangun kecuali mereka mempunyai pemikiran masa depan (Fikr al-Mustaqbal) dan cipta masa depan untuk ummah (Sina‘at al-Mustaqbaliyyah).

Kita mundur bukanlah kerana kurangnya harta tetapi kita tidak menggunakan akal pemikiran yang dianugerahkan oleh Allah dengan sebaiknya. Kita leka dengan puji-pujian dan sanjungan orang lain tentang nenek moyang kita. Kita dibuai dengan mimpi-mimpi indah tanpa ada usaha untuk merubah diri dan menerima perubahan. 


Kita harus memahami bahawa kekuatan musuh kita adalah dari kelemahan diri sendiri. Kewujudan kekuatan mereka adalah kerana kelemahan dunia Islam dalam mengenali dirinya sendiri. Pada awal abad ini, telah bangun reformis-reformis Islam yang membawa slogan kemajuan dan membebaskan pemikiran yang terlalu terikat dengan tradisi silam. Lahirnya Muhammad Iqbal, Muhammad ‘Abduh, Shaykh Rashid Rida dan al-Mawdudi yang mempelopori kebangkitan umat dan membebaskan umat dari belenggu taqlid, tasauf yang menyeleweng dan budaya barat yang keterlaluan. Umat Islam perlu mengubah cara hidup dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, mengikuti sunnah yang betul serta memahami Islam secara mendalam. Kita tidak akan berjaya dalam persaingan dunia hari ini dengan hanya berbekalkan kemunduran. Oleh yang demikian, umat Islam harus menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi di samping bekerja dengan segala kesungguhan dan berkualiti dalam segenap bidang.

Dalam mencipta masa depan umat, keseimbangan antara ruhiah dan madiah, antara wahyu dan akal, antara kekuatan ilmu dan kekuatan ekonomi amat perlu bagi merealisasikan nikmat tuhan yang telah dikurniakan untuk manusia. Mencipta masa depan umat dengan berteraskan nilai-nilai kemanusiaan dan alam sejagat serta mengikut manhaj Ilahi. Allah telah menjanjikan bahawa orang yang mewarisi bumi ini adalah golongan yang sentiasa beramal soleh, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, bekerja dengan penuh ikhlas, gigih dan beramanah. Firman Allah yang bermaksud: “iaitu orang-orang yang jika kamu teguhkan kedudukan mereka di bumi ini nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat kebaikan dan menegah dari perbuatan mungkar dan berserah kepada Allah dalam segala urusan.” (al-Hajj 41)

Oleh itu, Sayyid Qutub telah menggariskan asas pembinaan masa depan umat iaitu dengan pengabdian diri kepada Allah dengan seikhlasnya, berorganisasi atas dasar akidah, menghidupkan nilai-nilai kemanusiaan, kesucian keluarga dan keturunan,melaksanakan tugas khalifah fi ard dan mematuhi syariat Allah di mana jua berada. Al- Marhum Shaykh Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh mujaddid abad ini, sentiasa menggesa umat Islam sekarang menumpukan perhatian kepada agenda besar bagi membangunkan umat yang beriman serta berilmu. Beliau mahu umat Islam mengenepikan isu remeh-temeh kerana ini akan merugikan kedudukan umat Islam. Umat Islam perlu menguasai kekuatan iman yang disokong oleh ilmu dan hikmah kerana ia adalah prasyarat bagi kejayaan hakiki di dunia dan akhirat. Umat Islam harus bersedia menghadapi masa depan dengan menumpukan agenda-agenda besar dengan persiapan yang sungguh rapi dan penuh strategi dengan mengambilkira realiti dan kedudukan umat Islam masa kini. Kita perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bagi mencipta masa depan generasi mukmin yang baru yang berhak diberi gelaran jil al-nasr al-hakiki al-multazim. Menurut tokoh gerakan kebangkitan Asia abad ini, Muhammad Iqbal, umat Islam kini perlu sedar untuk memahami Islam secara menyeluruh dan tidak menerima kebudayaan barat secara total. Malahan umat Islam mempunyai Al-Quran dan Al-Sunnah yang merupakan nilai yang amat berharga untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai kejayaan.

Kita harus mengetahui bahawa antara hikmah yang tersirat dalam hijrah Rasulullah s.a.w. adalah keyakinan Baginda bahawa Islam pasti akan menang serta dapat mencipta masa depannya. Keyakinan ini lahir dari sikap dan pemikiran masa depan yang dicetuskan oleh Rasulullah. Baginda melihat bahawa penghijrahannya akan membawa kepada sinar baru masa depan umat Islam. Oleh itu, mencipta masa depan umat bukan bermakna melawan takdir atau ketentuan Allah malahan ia merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh kita. Umat Islam tidak boleh hanya berpeluk tubuh dengan tidak ada langsung usaha bagi menyelamatkan agama Islam dari tangan-tangan yang ingin mengotorinya.

Islam adalah satu-satunya agama yang menganjurkan keamanan, keadilan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Sejarah telah menunjukkan bahawa keamanan dan kesejahteraan yang berkekalan hanya boleh diwujudkan dengan sikap saling memahami dan menghargai kepentingan bersama. Pemimpin, ulama dan intelek Islam perlu memainkan peranan yang aktif dalam membina alam pemikiran dan idea semasa dengan memaparkan wawasan serta alternatif baru bahawa Islam adalah agama sejagat dan global yang menjamin masa depan manusia. Perkara ini amat penting supaya dapat mengisi-ganti kegagalan pemikiran barat yang hanya memfokuskan kepada faktor-faktor negatif tentang persepsi dan pertentangan kelas dalam menentukan perhubungan sesama manusia.

Barat sendiri masih mencari-cari arah dan halatuju hidup mereka. Mereka kini mengalami penyakit seperti materialisme, modenisme dan pasca-modenisme iaitu mengutamakan kebendaan dan dunia dianggap sebagai tujuan hidup yang pertama dan terakhir. Pembunuhan, rasuah, kecurian, kelahiran anak luar nikah dan keruntuhan moral menjadi lumrah di kalangan mereka. Para pengkaji sains masyarakat, ahli falsafah, negarawan dan penggubal undang-undang mereka masih menemui jalan buntu dalam menyelesaikan masalah ini. Jika ada pun sesuatu masalah yang berjaya diatasi, akan timbul pula masalah lain yang lebih kusut dan rumit walaupun berbagai sistem telah dicipta.

Pada mulanya mereka menganggap autokrasi, kapitalis dan sosialis boleh mengatasi masalah tersebut tetapi ternyata mereka gagal lalu menggantikannya dengan demokrasi. Namun didapati demokrasi juga masih gagal. Ini berlaku disebabkan oleh kekosongan jiwa dan kerohanian mereka atau boleh dikatakan mereka ini jahil tentang nilai dan kepentingan jiwa itu sendiri. Malah mereka ini muflis dalam pembinaan dalaman diri.

Oleh itu, umat Islam mempunyai satu kekuatan yang unggul dalam mencipta masa depan iaitu kembali kepada penghayatan al-Quran sebagaimana kejayaan Rasulullah s.a.w. yang berjaya membawa bangsa arab menjadi bangsa yang tangkas bermain kuda sehingga berjaya menakluk dunia. Madrasah Rasulullah telah menempa manusia yang mulia dan tinggi martabatnya. Sebagai contoh, Salahuddin al-Ayubi yang berjaya menakluk separuh dunia dan membebaskan Baitul Muqaddis. Stanley Lane Poole pernah berkata bahawa sekiranya penaklukan Baitul Muqaddis merupakan satu-satunya fakta yang diketahui mengenai Salahuddin al-Ayubi, perkara itu sudah cukup memadai untuk membuktikan beliau sebagai seorang penakluk yang paling agung pada zamannya dan barangkali di mana-mana zaman.

Hanya madrasah Rasulullah yang dapat melahirkan insan-insan yang berguna dan masyarakat yang sihat. Ia mempunyai kekuatan untuk mengubah dan menghidupkan hati, melenturkan jiwa insan dan meneguhkan kedudukan tersebut. Ia dapat melahirkan insan yang suka kepada kebajikan dan bencikan kemungkaran. Hanya orang-orang yang bersifat begini yang mampu menyelamatkan dunia dan tahu tujuan hidupnya yang sebenar. Kewujudan manusia yang seperti inilah yang merupakan khazanah paling berharga untuk umat manusia.

Abu Hassan al-Nadwi telah mengarang buku Apa Derita Dunia Apabila Umat Islam Mundur yang menjelaskan bahawa kemunduran umat Islam bukan sahaja merugikan umat Islam sahaja tetapi dunia sejagat mengalami derita yang sama. Barat mampu mencipta pelbagai jenis alat-alat yang canggih dan berteknologi tinggi sehingga mampu terbang di udara seperti burung dan berenang seperti ikan di dalam lautan tetapi mereka gagal bagaimana hendak berjalan di atas dunia ini.

Umat Islam perlu manfaatkan seluruh kemudahan dan kekuatan yang tersedia untuk merombak keadaan kita khususnya dan dunia pada umumnya sehingga dapat menjadi bangsa dan umat yang terdepan, sebagai pemimpin bangsa-bangsa di dunia, sebagai pengendali kemanusiaan dan penyelamat kehidupan. Setelah beberapa abad lamanya kita hidup sebagai pengekor dan pengikut di barisan belakang. Umat Islam kini memerlukan satu revolusi iaitu revolusi pemikiran dan manhaj kehidupan yang baru. Kita memerlukan perubahan yang mendasar, iaitu kembali kepada hakikat Islam, inti dan falsafah perjuangannya. Kerana di situ letak kehebatan dan keistimewaan umat Islam.

Dalam konteks dunia barat hari ini mereka sering membincangkan masyarakat yang akan muncul selepas masyarakat teknologi maklumat. Para pengkaji sains kemasyarakatan membuat pelbagai ramalan dan kajian masa depan mengenai masyarakat yang dikajinya. Antara yang membincangkan perkara ini seperti John Naisbitt dalam Megatrends 2000 dan Megatrends for Women. Dalam karyanya Megatrends 2000 beliau membayangkan tentang sikap agama manusia dalam alaf mendatang dengan menyebutkan bahawa manusia masih memerlukan kehidupan kerohanian tetapi menolak agama yang tidak terlembaga. Sprituality Yes, Organized Religion. No. Akibat daripada ini timbulnya kerohanian yang berbagai ragam mengikut tafsiran dan olahan sendiri. Agama tidak dipandang sebagai yang penting dalam kehidupan mereka. Adakah kerohanian dapat dipisahkan daripada agama dan menghasilkan sesuatu yang diharapkan ? Itulah dunia barat yang tercari-cari ketenangan hidup. Umat Islam sepatutnya sedar bahawa aspek kerohanian yang dicari-cari oleh barat terdapat dalam agama kita.Kita mempunyai agama yang sentiasa menjadi tumpuan harapan semua bangsa manusia. Kita mempunyai risalah dakwah yang dapat menyelamatkan manusia.
 
Oleh sebab itu, keperluan orang-orang barat akan iman dan risalah dakwah ini jauh lebih besar daripada keperluan kita akan ilmu pengetahuan dan teknologi yang mereka kembangkan.Kerana iman dan kerohanian merupakan tunggak kejayaan dan kekekalan sesuatu tamadun. Dalam karyanya terbaru High Tech High Touch (Nicholas Brealey Publishing, London, 1999), John Naisbitt menyebut mengenai masyarakat Amerika yang kini begitu ghairah untuk mencari konsep dan makna agama. Mereka ingin memeluk agama yang memberi kepuasaan kepada kehidupan mereka. Seorang paderi Randolph W. Sly mengambarkan bahawa masyarakat Eropah bukan sahaja kembali kepada kepercayaan dan keimanan tetapi mereka mencari sesuatu yang paling berharga, agung dan bermakna yang tidak ada dalam kehidupan mereka hari ini. Malahan 1000 gereja telah didirikan setiap tahun dan satu million orang Amerika memeluk agama Buddha sepanjang dekad yang lalu. Sementara itu, Rolf Jensen dalam karyanya The Dream Society, (McGraw-Hill,New York, 1999) menyorot mengenai “Masyarakat Impian” yang akan muncul selepas era teknologi maklumat. Menurutnya, masyarakat ini ialah mereka sentiasa mencari sesuatu kebenaran atau asal usul sesuatu perkara. Dalam minda mereka terpahat persoalan “ bagaimana” (How) dan “mengapa” (Why). Sebagai contohnya ialah telur. Bagi masyarakat tersebut mereka lebih mementingkan asal usul cerita telur, bagaimana ia diternak, makanan bagi ayam tersebut, bila ayam itu bertelur dan bagaimana proses tersebut sehingga ia dipasarkan. Mereka rela membeli telur yang ada cerita daripada telur biasa walaupun mempunyai kualiti yang sama. Begitu juga dengan Restoran Taza yang mengutamakan ayam yang muda, segar, makanannya pula diperbuat dari kacang soya dan apabila mencukupi tiga hingga empat minggu ayam itu disembelih. Perkara ini yang membezakannya dengan restoran yang lain. Bagi masyarakat tersebut, mereka mahu mengetahui asal usul proses ayam tersebut. Dari segi konteks agama, kemunculan masyarakat tersebut merupakan satu peluang untuk para pendakwah menyebarkan agama Islam kerana mereka sentiasa mencari asal usul atau cerita disebalik sesuatu perkara.
 
Dari segi yang lain, masyarakat barat telah membincangkan masyarakat akan datang. Sementara para ulama dan sarjana muslim masih lagi tercari-cari mengenai pembinaan masyarakat Islam sejagat yang maju. Para ulama dan sarjana muslim hanya menyebutkan umat Islam perlu kembali kepada Islam yang sebenar tetapi bagaimana cara, formula serta kaedah, ciri-ciri dan pembentukan masyarakat tersebut tidak ditampilkan dengan jelas dalam konteks zaman moden. Dalam erti kata yang lain, para ulama dan sarjana muslim perlu merangka sains kemasyarakatan dan sains kemanusiaan dari segi pentadbiran, informasi, sains, ekonomi, politik, ketenteraan, hubungan sosial dan hubungan antarabangsa yang mengambarkan kemurniaan Islam sebagai agama tamadun masa depan. Para sarjana dan ulama perlu memikirkan mengenai pendekatan manakah yang lebih relevan dalam mencipta masa depan ummah. Adakah pendekatan politik sebagi satu-satunya jalan untuk mencipta masa depan ummah dengan menepikan persoalan pendidikan, ekonomi, sosial dan kerohaniaan. Dengan kata lain, kita menyibukkan diri dengan politik sehingga lupa soal dakwah dan pentarbiahan masyarakat berilmu. Oleh itu, umat Islam harus mempunyai agenda atau grand design untuk menjadi satu alternatif terbaik kepada manusia dalam menghadapi kegawatan pemikiran dan kerohanian.


Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.