Bicara Haraki

Trimuti dan Triniti : Satu Kajian Perbandingan

Masalah berbilang Tuhan adalah masalah umum dalam seluruh kebudayaan kuno.Golongan Mesir kuno, Australia, Babylon, Parsi, Hindu, Tionghua dan Yunani mengatakan banyak Tuhan walaupun berlainan jumlah Tuhan.

Tiga Tuhan itu yang dimaksudkan ialah untuk membataskan jumlah Tuhan yang terlalu banyak. Antara agama yang membicarakan tiga Tuhan ialah agama Hindu yang dikenali sebagai Trimuti dan agama Kristian sebagai triniti.
 
Trimuti:

Di dalam pemikiran Hindu ada dua aliran yang amat berlainan berhubung dengan tuhan. Pertama aliran keesaan dan kedua aliran perbilangan yang lebih kuat dan lebih luas penyebarannya. Orang-orang Hindu mempunyai bilangan tuhan yang banyak. Perkara ini disebabkan mereka sentiasa menjadikan alam tabi’i sama ada yang memberi faedah atau merbahaya sebagai tuhan yang mereka harap dapat menolong ketika susah. Dengan sebab inilah bilangan tuhan-tuhan bertambah banyak dikalangan mereka. Dalam keadaan perbilangan ini mereka juga muyul kepada keesaan atau aliran yang hampir serupa dengannya. Lalu mereka mengumpulkan tuhan-tuhan tersebut dalam satu penyembahan sahaja. Menurut Agus Hakim tuhan dalam agama Hindu disebut brahma. Kalimat Brahma dalam bahasa Sanskerta ialah nama bagi Tuhan yang wujud dengan senderinya, Maha Esa dan Maha Kuasa yang bersifat azali, tidak berawal dan tidak berakhir, yang menciptakan dan menjadi asal dari sekalian alam. Menurutnya lagi, Brahma itu Tuhan yang tuhan dalam agama Hindu. Tetapi beberapa abad di belakang, penganut agama Hindu telah merobah kepercayaan bertuhan satu itu kepada trimuti atau tiga Tuhan. Ahli-ahli penyelidik sejarah agama-agama banyak berpendapat bahawa kemungkinan besar agama Hindu ini asalnya samawi, agama yang datangnya dari Tuhan semesta Alam, kemudian telah berubah akibat dari penyelewangan penganutnya. Ini dibuktikan dalam kitab Veda tidak terdapat Tuhan yang berbilang, hanya menyebutkan Tuhan Brahma. Vishnu dan Shiva hanya disebut sebagai sifat-sifat tuhan sahaja.

Penganut-penganut agama Brahma mengakui adanya tuhan yang satu iaitu tuhan yang menciptakan alam ini. Tuhan yang satu itu menjelma dalam tiga nama yang merupakan satu kesatuan yang dikenali sebagai “Trimuti”.

Menurut penafsiran agama Hindu bahawa Brahma itu adalah wujud azali dalam keadaan diam. Pada saat kudratnya bergerak menciptakan alam semesta maka Brahma itu menjelma dalam wujud Brahma. Dari sini wujudlah tiga tuhan iaitu:
i. Brahma
ii. Vishnu
iii. Shira

Menurut Ahmad Shalaby, perkara ini terjadi pada abad ke 9 Masihi akibat pemikiran agama Hindu ke arah peringkat pengesaan tuhan. Pada anggapan mereka, tuhan yang satu itu telah menjelma sebanyak tiga kali. Kali pertama dengan nama Brahma, kedua dengan nama Vishnu dan kali ketiga pula dengan nama Shiva.

Tiga tuhan yang mempunyai tugas masing-masing iaitu Brahma tuhan mencipta, Vishnu tuhan memelihara dan Shiva tuhan pemusnah. Menurut mereka, sesiapa yang menyembah salah satu dari yang tiga maka seolah-olah dia menyembah yang tunggal maha tinggi.

Menurut agama Hindu, Brahma ialah nama tuhan dalam bahasa sanskrit. Brahma adalah asal kejadian, dan sumber segala-galanya. Ia tidak mempunyai rupa, tidak ada pancaindera, tidak boleh disifatkan dan tidak boleh digambarkan. Ia berada pada setiap benda yang hidup atau yang mati samada kecil atau besar.

Mengikut kepercayaaan Hindu, Vishnu boleh menjelma dalam pelbagai jelmaan seperti ikan, labi-labi, babi hutan, Narasinga, rama-rama, Krishna, Budha dan kalki. Sementara Shiva digambarkan dengan pelbagai bentuk seperti Mahadewa, Mahaguru dan Mahakala atau Bhairawa.

Triniti:

Triniti merupakan persoalan terpenting dalam aqidah agama Kristian. Ajaran Nabi Isa adalah mengesakan Allah. Tetapi apabila diangkat ke langit, perubahan-perubahanbesar telah berlaku dalam agama yang dibawa oleh Nabi Isa. Perubahan-perubahan ini telah dibuat terutamanya oleh Paulus.
Mereka mempercayai Triniti iaitu:
i. Tuhan Bapa
ii. Tuhan Anak
iii. Ruhul Qudus

Mereka mempercayai Tuhan Bapa yang merupakan pencipta sekelian alam. Tuhan Bapa menjadi sumber segala sesuatu yang mutlak dan mempunyai sifat-sifat yang sempurna.

Tuhan Anak iaitu Jesus yang merupakan Tuhan atau ‘firman yang hidup’ bersama-sama dengan manusia yang datang ke dunia sebagai juru selamat yang mengorbankan dirinya di atas kayu salib untuk melepaskan manusia daripada dosa. Ia juga diertikan sebagai “kalimat” yang keluar dari Tuhan Bapa yang sempurna. Kalimat menjadi perantaraan percakapan tuhan dengan manusia.

Oknum ketiga adalah Ruhul Qudus, iaitu “ruh Allah” atau roh suci yang memberi kekuatan dan kehidupan bagi seluruh alam. Ia menunjukkan pertalian antaranya di satu pihak dan Bapa serta anak di pihak yang lain.Ruhul Qudus itu boleh turun kepada orang-orang suci terutama setelah lenyapnya Jesus.

Dalam doktrin triniti ini keesaan tuhan tetap menjadi kepercayaan pokok. Walaupun dalam keesaan tuhan wujud tiga oknom yang sama kesempurnaannya, hanya berbeza nama dan pekerjaan. Mengikut Dr. Post dalam bukunya Sejarah al-Kitab al-Muqaddas mengenai hal ini menyebutkan :

“tabiat tuhan terdiri dari tiga oknum yang sama darjatnya; Allah Tuhan Bapa, Allah Tuhan anak; ada Allah Tuhan ruhul qudus. Kepada bapa dipertalikan perantaraan anak; kepada anak dipertalikan penebusan ; kepada ruh Qudus dipertalikan penyucian.”


Dari kenyataan tesebut dapat difahamkan bahawa ketiga oknum tersebut merupakan unsur yang paling melengkapi dan saling berhubung erat dengan zat Tuhan Pencipta.

Sejarah Kemunculan Triniti dalam Agama Kristian

Pada dasarnya tuhan triniti bukanlah berasal dari agama kristian. Ia telah muncul lebih awal dari itu di kalangan penganut-penganut agama purba, Mengikut Ahmad shalabi orang babilion merupakan golangan yang pertama mengatakan ada tiga tuhan pada tahun 4000 tahun sebelum masihi. Sementara itu, orang mesir dan Isra’il mengakui keesaan tuhan. Di antara dua pertembungan ini, antara golongan yang menyatakan ada tiga tuhan dan golongan yang mengatakan keesaan tuhan, muncul fahaman tiga dalam satu, satu dalam tiga, munculnya trimuti dalam agama Hindu dan triniti dalam agama Kristian.

Dalam agama kristian, fahaman triniti ini dibawa oleh Paulus. Beliau telah memindahkan kepercayaan keesaan tuhan kepada tiga tuhan. Kefahaman ini bukanlah diasaskan oleh Isa al-Masih tetapi oleh Paulus dan paderi kristian terkemudian. Banyak sarjana-sarjana kristian mengakui triniti ini bukan dibawa oleh nabi Isa. Terdapat di kalangan mereka yang tidak mengakui wujudnya triniti seperti unitarian dan Advend.

Wardan Amir menyebutkan triniti ini sebenarnya berasal dari kepercayaan tentang mytology (cerita-cerita dewa) yang tersebar luas di sekitar daerah Laut Tengah.Kepercayaan ini kemudian dimasukkan dalam agama kristian dengan maksud agar agama kristian mudah diterima oleh bangsa-bangsa di luar Yahudi yang tinggal di sekitar daerah itu.

Oleh itu, terdapat perbezaan yang ketara dalam fahaman triniti. Golongan Yaakobiah berpendapat bahawa kalimat dan ruhul Qudus berdiri sendiri di samping Bapa sejati. Golongan nestoria pula mempunyai pendapat sebaliknya, mereka berpendapat bahawa kalimat, Ruhul Qudus dan bapa itu bersatu tidak berpisah-pisah. Walaupun begitu, mereka mengakui keesaan tuhan.

Terdapat perbezaan mengenai konsep triniti dalam mazhab dalam agama kristian. Mazhab katholik berpegang teguh kepada doktrin triniti dan ia merupakan akidah terpenting dalam mazhab tersebut. Sementara itu, terdapat gabungan antara golongan protestant yang menolak doktrin tersebut seperti golongan anti trinitarian - prostetant radikal - humanist.

Menurut Khadijah Khambali doktrin triniti bukanlah ajaran sebenar Jesus Christ, sebaliknya ia merupakan gabungan pelbagai unsur agama kuno dan Yahudi, kebudayaan, kepercayaan primitif dan falsafah Yunani dan Greek yang kemudiannya di adun dan di sesuaikan dengan agama Kristian membentuk doktrin yang sedemikian rupa. Orang yang bertanggungjawab membawa masuk unsur ini ialah Paul.

Persidangan Nicea ( 325M)

Beberapa persidangan telah diadakan bagi membincangkan agama Kristian. Empat persidangan yang membicarakan tentang triniti iaitu persidangan Nicea, Persidangan Konstantane, PersidanganEpysus dan Persidangan Khaecdon. Persidangan Nicea merupakan yang paling penting kerana persidangan ini membincangkan dan menetapkan triniti yang menjadi akidah bagi agama Masihi. Dalam persidangan ini, satu keputusan penting yang telah diambil ialah menetapkan Tiga ketuhanan dan Ketuhanan al-Masih serta penurunannya untuk disalib bagi menebus dosa manusia. Sebelum persidangan ini tiga uknum itu langsung tidak tersebar dengan luasnya . Orang kristian sendiri hidup dengan bermacam-macam pendapat mengenai Isa. Keputusan persidangan ini yang telah dianuti oleh penganut agama Kristian sekarang. Ajaran ini berlawanan dengan akidah agama masihi yang dibawa oleh Nabi Isa.

Kesimpulan

Trimuti dalam agama Hindu berpaut kepada bentuk kekuasaan iaitu Tuhan Pencita, Tuhan Pemeliharaan dan Tuhan Pemusnah. Ketiga-tiganya dalam satu kesatuan. Dalam agama Kristian, triniti berpaut kepada wujud yang am iaitu Tuhan Bapa berhadapan dengan wujud yang khas iaitu tuhan Anak dan penolong penegak ajaran ilahi iaitu Ruhul Qudus.

Terdapat persamaan di antara agama Hindu dan agama Kristian dalam persoalan tiga Tuhan. Perkara ini terjadi kerana kebanyakan agama-agama purba mempercayai tiga Tuhan. Walaupun begitu, terdapat perbezaan antara trinuti yang berdasarkan kepada kekuasaan dengan dan trinuti yang berdasarkan kewujudan. Agama Hindu juga agama yang mengakui keesaan Tuhan tetapi diselewengkan oleh penganut kemudian. Perkara ini semua seperti agama Kristian yang pada mulanya mengesakan Tuhan tetapi diselewengkan oleh Paul dan penganutnya. Hanya Agama Islam yang terpelihara dan membawa kebenaran untuk manusia sejagat.

RUJUKAN

Ahmad Shalaby, al-Adyan al-Hindi al-Kubra, Maktabah al-Nadhah al-Misriyyah, al-Qahirah, Cet. Keenam, 1981. hal. 47
Agus Hakim, Perbandingan Agama, Diponegro, Bandung, Cet. Keempat, 1990. hal. 127
Mohd Fauzi Hj. Awang, Ugama-ugama Dunia, Penerbit Pustaka Aman Press, Kelantan, Cet. Kedua, 1971. hal. 49
Joesof Sou’yb, Agama-Agama Besar di Dunia, Pustaka alhusna, Jakarta, 1983, hal. 50
Fauzi Hj. Awang, op. cit., hal. 50. Joesof Suo’yb, op. cit., hal. 50. Ahmad Shalaby, al-Adyan al-Hindi al-Kubra, hal. 47
Ahmad Shalaby, al-Adyan al-Hindi al-Kubra, hal. 47
Mohd. Fauzi Hj. Awang, op. cit., hal. 50
Ahmad Shalaby, al-Adyan al-Hindi al-Kubra., hal. 50
Mohd Fauzi Hj. Awang, op. cit., hal. 51. Ahmad Shalaby, al-Adyan al-Hindi al-Kubra, hal. 50
Mohd Fauzi Awang, op. cit., hal. 52
Mohd Fauzi Awang, op. cit., hal. 154, Dr. H.O.K Rahmat S.H, Dari Adam sampai Muhammad, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Cet. Keempat, 1992. hal. 503. Ibra Yakin, Pertentangan Islam dan Kristian, Jasmin Enterprise, Selangor, Cet. Pertama, 1992. hal. 39
H.O.K Rahmat, op. cit., hal. 41. Ibra Yakin, op. cit., hal. 41
H.O.K Rahmat, op. cit., hal. 503
Ibra Yakin, op. cit., hal. 41
H.O.K Rahmat, op. cit., hal. 503
Mohd Fauzi Awang, op. cit., hal. 154
Ibra Yakin, op. cit., hal. 40
Ahmad Shalaby,al-Masihiyyah, Maktabah al-Nadhah al-Misriyyah, Cet. Keenam, 1978. hal. 131
Mohd Fauzi Awang, op. cit., hal. 155, Ahmad Shalaby, al-Masihiyyah, hal. 131
Ahmad Shalaby, al-Masihiyyah, hal. 133
Wardan Amir, Perbandingan Agama , Toha Putra, Semarang, 1978. jil. 2, hal. 42
Khadijah Mohd. Khambali, Konsep Trinity Menurut Agama Kristian Dan Pandangan Islam Terhadapnya, Akademi Islam Islam, Universiti Malaya, 1993 (Tesis M.A) hal. 229-230

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.