Bicara Haraki

Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama, Oleh: ALWI SHIHAB

[Cetakan kelima. Bandung: Penerbit Mizan,1999.384 halaman. ISBN:979-433-147-3]

Khalif Muammar A.Harris. Kolej Dar al-Hikmah.Peniliti INSIST.

Islam inklusif adalah satu tema di antara beberapa tema yang diperjuangkan oleh golongan Islam Liberal. Golongan yang sangat aktif bergerak di Indonesia sejak akhir abad keduapuluh berakar dari pemikiran Kristian Orientalis mempunyai agenda besar untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam dan melunturkan kepercayaan dan keimanan umat Islam yang selama ini didominasi oleh pemikiran yang dikatakan ;fundamentalis;. Pemikir-pemikir Barat yang bertanggungjawab mengorbitkan aliran pemikiran ini seperti Leornard Binder dan Charles Kurzman menyokong kuat ide-ide utama yang mendasari pemikiran mereka seperti: ijtihad yang bebas tanpa sekatan, pluralisme beragama, penolakan Syari’at, dan demokratisasi.

Penulis membahagikan penulisannya kepada lima bab: 


Bab I membincangkan tentang landasan untuk berdialog. Di sini beliau banyak mengambil rujukan para pemikir dan institusi-institusi Barat seperti Harvard dan Hartford Seminary sebagai dasar untuk berdialog.

Bab II membahas isu dan realiti dialog antaraa Kristian dan Islam.

Bab III beliau membawa perbincangan kepada isu-isu semasa yang menjadi perhatian beliau sepanjang pengalaman bertugas di Amerika.

Bab IV mengetengahkan problematika umat sebagai justifikasi perlunya konsep pluralisme disosialisasikan.

Bab V menyelusuri sejarah Islam di Indonesia yang tampaknya kurang relevan. Buku yang cukup tebal untuk satu topik perbahasan yang banyak mengundang kontroversi ini lebih banyak bergantung kepada pengalaman akademik penulis dan bukan kepada kekuatan argumentasi dan kajian ilmiah.

Penulisan buku ini dilatarbelakangi oleh keinginan penulis melihat kerukunan beragama berlaku dalam masyarakat dan dialog sehat dapat direalisasikan antara umat beragama. Fenomena permusuhan atas dasar perbezaan agama berlaku hampir di mana-mana belahan dunia. Di Indonesia khususnya terdapat beberapa siri pertembungan dan permusuhan yang mengakibatkan korban ribuan manusia dan puluhan rumah ibadat. Tujuan baik penulis ini yang dibekali dengan aliran pemikiran modernis memberi ruang kepadanya untuk menggunakan kecerdasannya dan keilmuan yang dimilikinya dengan bebas tanpa sekatan mentafsirkan teks-teks al-Qur’an dan Hadis agar menyokong hipotesis yang telah ditentukan sebelumnya.

Alwi Shihab, yang telah bertugas sebagai tenaga pengajar (visiting scholar) di Hartford Seminary Amerika Syarikat, telah diminta untuk memberi penjelasan terhadap fenomena anti-kristian yang berlaku di Indonesia. Adik kepada Prof. Quraish Shihab ulama berwibawa di Indonesia ini kemudian merasa perlu memberikan penjelasan yang memuaskan agar mendapat tempat di hati intelektual Barat. Seseorang yang ingin mempertahankan posisinya yang cukup baik tersebut pastinya akan mengambil langkah yang sama dan sikap apologetik tentunya tidak dapat dihindari. Maka hasilnya adalah konsep pluralisme agama yang digali dari tradisi Islam sendiri sebagai satu penyelesaian bagi sikap eksklusivisme yang telah berakar umbi dalam diri umat Islam di samping juga dapat memuaskan pihak-pihak yang ingin melihat kepentingan penganut Kristian terjamin di Indonesia khususnya.

Buku yang pertama sekali diterbitkan pada tahun 1997 dan diulang cetak beberapa kali sehingga tahun 1999 ini telah merekodkan beberapa bibit-bibit permusuhan Islam-Kristian, fenomena pembakaran gereja di beberapa tempat di Indonesia seperti Situbondo sebenarnya belum seberapa besar dibandingkan dengan apa yang berlaku pada tahun 1999-2001 tragedi di Poso, Maluku dan beberapa negeri yang lain yang bukan saja pembakaran bahkan peperangan dahsyat di antara dua puak beragama.

Jelasnya, penulis tidak mencuba untuk memahami mengapa tragedi seperti itu berlaku, beliau hanya memikirkan jalan penyelesaian secara intelektual. Walhal gejala seperti ini jelas sekali dipicu oleh permasalahan sosial dan gejolak dalaman yang dialami oleh masyarakat yang bersangkutan. Secara psikologis, tragedi di atas perlu difahami dari dalam jiwa penduduk setempat. Umat Islam yang melahirkan rasa amarahnya terhadap umat Kristian adalah didorong terutama sekali oleh misi pemurtadan yang berleluasa yang bagi umat Kristian ianya adalah dianggap misi penyelamatan, ditambah lagi dengan sikap angkuh mereka yang telah merugikan sosio-ekonomi umat Islam, masyarakat ingin memprotes dan menyatakan keinginan mereka supaya tidak diganggu (leave us alone!). Inilah situasi yang berlaku khususnya dalam pergolakan massa di Indonesia.

Umat Islam di tempat-tempat tersebut majoritinya tidak berpendidikan tinggi dan mudah dipengaruhi oleh sentimen. Oleh yang demikian, kesalahan tidak terletak pada umat Islam yang emosional akan tetapi juga provokasi pihak kristian dan misi kristianisasi atau evangelis yang terlalu agresif dan keterlaluan. Banyak pemerhatian menunjukkan bahawa rusuhan agama ini memang disengajakan dan diprovokasi oleh kaum Kristian sendiri untuk meraih simpati masyarakat antarabangsa dan menghancurkan perpaduan umat Islam. Kerana dengan demikian akan tampak adanya golongan umat Islam yang pro dan kontra, yang ekstrimis yang yang liberal.

Dalam penjelasannya tentang pluralisme beragama, Penulis mengatakan bahawa pluralisme agama adalah tuntutan penting untuk mencapai kerukunan hidup beragama. Atas dasar ini seorang pluralis berusaha untuk tidak bersikap eksklusif dan tidak mengklaim kebenaran hanya terletak pada agama yang dianutnya. Setelah itu barulah dialog dan toleransi beragama dapat dilaksanakan dengan jayanya (halaman:39-43). Saya melihat adanya pra-asumsi yang tidak semestinya tidak dapat dicapai dalam bentuk nyata, persoalan yang mesti dijawab oleh pluralis adalah apakah eksklusivisme menjadi satu-satunya penyebab permusuhan antara agama? Tidakkah ada penyebab yang lain? Siapa yang dapat menjamin seandainya semua penganut agama setuju akan konsep pluralisme maka tidak akan ada permusuhan berlaku?

Untuk membenarkan ide pluralisme agama yang menjadi intipati perbincangan dalam buku ini, penulis banyak sekali melakukan penyelewengan dan distorsi dalam tulisannya, penyelewengan seperti ini sebelum ini hanya dikenal di kalangan sekular atau Orientalis dan bukan intelektual Muslim yang mendalami bidang pengajian Islam. Beliau seringkali menafikan perkara-perkara yang telah mapan dalam Islam, dan mentafsirkan ayat al-Qur’an dengan sesuka hati, mengikut akal fikiran sendiri tanpa merujuk kepada buku-buku tafsir mu'tabar bahkan banyak tafsirannya tersebut bertentangan dengan nas-nas jelas dan qat'iyy al-Qur’an sendiri.

Beliau menafikan bahawa syari'at yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. adalah penghapus bagi syari'at-syari'at yang telah diturunkan sebelumnya. (halaman:101). Beliau juga mengatakan bahwa ayat al-Qur’an yang selalu digunakan untuk mengklaim eksklusivisme Islam yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama (di>nan) mereka maka tidak akan diterima (oleh Allah) daripadanya” dalam penjelasan terhadap ayat ini beliau mengatakan bahawa: hal itu (Islam) tidak hanya diperuntukkan bagi Muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka yang percaya kepada Tuhan sepanjang sejarah umat manusia. (103) alasan beliau adalah bahawa Islam bermakna berserah diri, maka sesiapa sahaja yang dapat melaksanakan tuntutan iman ini dengan menyerahkan diri terhadap kehendak Tuhan adalah termasuk orang yang berserah diri.

Menyedari bahawa dalam Islam, al-Qur’an dipandang sebagai sumber legitimasi yang kuat dan tidak mudah dipertikaikan, sangat jelas sekali bahawa penulis berusaha untuk mempergunakan ayat-ayat al-Qur’an sebagai boneka untuk meng-iyakan pandangan liberalnya ataupun sebagai perisai yang dapat menundukkan hujah-hujah penentangnya. Walhal kaedah pentafsiran yang digunakannya sama sekali tidak ilmiah dan jauh daripada disiplin ilmu yang telah ditetapkan dan disepakati berkurun lamanya dalam memahami teks al-Qur’an.

Beliau mengatakan bahwa yang dimaksudkan dengan ahl al-zikr dalam surah yunus ayat 94 adalah Ahli Kitab. (101). Sedangkan tafsiran yang benar dan umat Islam umumnya memahami apa yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah ahlul ilmi, ilmuan dalam bidangnya. Ayat yang melarang umat Islam mengambil orang Yahudi sebagai wali (dari wala pemimpin yang dita’ati, al-Qur’an5:51) beliau terjemahkan sebagai sekutu justeru bagi beliau ayat tersebut menyeru umat Islam untuk membangun persahabatan dan kerja sama antara Muslim dengan Ahli Kitab.(103)

Kekeliruan timbul akibat daripada pemikiran bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak, kebenaran tidak boleh dimiliki oleh mana-mana pihak lalu menafikan hak orang lain. Pemikiran relativisme ini yang menjadi dasar falsafah pluralisme beragama. Terdapat beberapa tokoh falsafah Barat dan Islam yang bertanggungjawab memperkenalkan ide ini antaranya adalah Fhritjiof Schuon dan Syed Husein Nasr. Apa yang mereka ketengahkan adalah lebih kepada ide kesatuan agama pada hakikatnya (transcendent unity of religion) dan penekanan kepada agama Ibrahimiyyah. Pendekatan yang digunakan oleh Alwi Shihab cukup berani dan radikal. Kerana beliau bukan sahaja bercakap dari segi pemikiran dan falsafah akan tetapi cuba untuk mengambil pendekatan dari dalam, dengan mengutak-atik tradisi Islam khususnya teks-teks al-Qur’an dan mentafsirkannya dengan sewenang-wenang.

Alasan yang dianggap oleh penulis cukup kuat dan dapat menyokong pandangannya bahawa al-Qur’an mengakui keimanan komunitas beragama selain daripada umat Islam bahkan amalan mereka juga akan diterima sebagaimana umat Islam (ms108). Dengan bersandarkan kepada ayat al-Qur’an (al-Baqarah:62 dan al-Ma’idah:69), beliau menterjemahkan ayat tersebut sebagai berikut:

“Sesungguhnya mereka telah beriman, Yahudi, Kristen, dan Kaum Shabiin; Mereka yang percaya pada tuhan dan hari akhir dan berbuat kebaikan, akan menerima pahala dari Tuhan mereka. Mereka tidak akan merugi dan tidak akan berduka cita”.

Sekilas pandang ayat ini seolah menjustifikasikan pandangan beliau, akan tetapi sesiapa yang faham bahasa Arab akan sedar adanya kalimat yang sengaja ditambah dan tidak sesuai dengan kehendak ayat. Ayat tersebut bermula dengan Innallazi>na a>manu> wallazi>na ha>du wannas}a>ra> was}s}}a>bi’i>na man a>mana billa>h, jelas sekali ayat ini tidak mengatakan bahawa semua golongan yang dinyatakan adalah dianggap beriman, ayat tersebut hanya menyatakan bahawa ada kemungkinan di antara mereka wujud orang-orang yang mempunyai keimanan (yang belum tercemari oleh kesesatan) terhadap Allah dan hari akhirat.

Bahkan ulama dan mufassir manapun akan mengatakan bahawa ayat ini merupakan seruan agar ahlul Kitab yang masih mempunyai secebis keimanan tersebut hendaklah menyempurnakannya dengan beriman kepada nabi Muhammad s.a.w. kerana keimanan terhadap Allah tidak sempurna dan tidak akan diterima tanpa keimanan terhadap Rasulullah begitu juga amalan mereka tidak akan diterima sebagai amal salih apabila mereka enggan mengikuti syari’at Rasulullah s.a.w.

Pentafsiran seperti inilah yang sesuai dengan mesej keseluruhan al-Qur’an, kerana seorang mufassir dikehendaki melihat satu-satu ayat selari dengan ayat-ayat yang lain bukan mengasingkannya dan menutup mata dari melihat kepada nas-nas (teks) yang justeru bertentangan dengan pemahamannya. Mengenai kedudukan orang kafir baik Ahlul Kitab maupun Musyrikin terdapat beberapa ayat al-Qur’an yang menjelaskannya. Surah Ibrahim dan surah al-Nur misalnya mengatakan dengan jelas:

Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu (ka rama>din) yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh. (Ibrahim:18)

Dan oran-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana (ka sara>bin) di tanah yang datar, yang di sangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitunganNya. (al-Nur:39)

Walaubagaimanapun, di samping kekeliruan dan distorsi yang dilakukan oleh penulis. Tidak dinafikan bahawa pembaca akan dapat mengambil manfaat daripada ilmu ataupun maklumat yang disajikan. Ini kerana beliau membahas topik tersebut dalam spektrum yang luas, mencakupi hak-hak asasi manusia, masalah keruntuhan moral, isu kewanitaan dan lain sebagainya. Beliau juga melakukan pembelaan terhadap Ronggowarsito dan Sheikh Siti Jenar yang memperjuangkan tasawuf esoterik.

Jawaban Terhadap Pluralisme Agama

Analisa dan kritikan sangat diperlukan dalam membahas isu pluralisme agama. Tanpa memberikan penjelasan ataupun jawaban ringkas terhadap isu ini, agenda Islam-Liberal untuk mengelirukan umat akan berjalan tanpa halangan. Pertama, yang perlu diperhatikan dalam menanggapi ide pluralisme, bahawa pluralisme agama adalah hasil pemikiran rasionalisme dan relativisme yang berakar umbi di Barat. Walaupun penulis menolak untuk menyamakan pluralisme dengan relativisme beliau tidak menafikan adanya unsur persamaan di antara keduanya, yaitu bahawa seseorang tidak boleh memonopoli pemilikan atas suatu kebenaran (ms. 42). Perbezaanya pada bahawa relativisme tidak mengakui adanya kebenaran mutlak (absolute truth) sedangkan pluralisme mengakui adanya kebenaran universal (universal truth).

Singkatnya pluralisme mengatakan semua agama sama maka semua agama benar. Persoalan yang masih perlu pembuktian nyata adalah sejauhmana persamaan tersebut wujud di antara semua agama? Apakah persamaan dalam bentuk prinsip, ajaran atau dalam segi formalitas, bentuk, tujuan yang diinginkan? Jelas sekali anggapan adanya persamaan prinsipal di antara agama hanya berdasarkan asumsi dan pemikiran simplistik.

Kedua, bahawa adanya asumsi bahawa permusuhan antara agama wujud disebabkan oleh adanya sikap saling memusuhi. Pengulas tidak melihat sikap permusuhan secara semula jadi ada dalam diri umat Islam, bahkan sikap permusuhan tidak dapat disangkal ada dalam tradisi dan pemikiran penganut agama Nasrani dan Yahudi. Pemikir dan ulama Islam hanya melihat bahawa fakta penyelewengan yang ada pada suatu agama mesti diungkapkan agar kebenaran terlihat, jelas dan terbukti. Dan dalam menerangkan penyelewengan dan kepalsuan ini sama sekali tidak bermakna Islam menggalakkan permusuhan, kerana yang menyebabkan terjadinya permusuhan dan rusuhan adalah apabila pendekatan yang dilakukan dengan sikap tidak dewasa, tidak bijaksana, dengan niat provokasi, dan merendah-rendahkan penganut agama lain.

Justru apa yang perlu disosialisasikan adalah sikap dewasa dalam beragama, saling hormat menghormati. Masing-masing penganut agama berhak berargumentasi, berdakwah, menyampaikan pendapat dan tidak memaksakan pendapatnya, berhak menyampaikan apa yang dianggapnya benar dan satu-satunya yang benar. Kemudian terserah kepada masyarakat (mad‘uw) untuk menilai yang mana yang benar dan yang mana yang palsu. Tanpa perlu menipu mereka dengan mengatakan bahawa semua agama benar maka agama apapun yang dianut pada dasarnya sama sahaja.

Yang ketiga, bahawa konsep pluralisme agama selari dengan misi sekularisasi dan liberalisasi. Di Barat, masyarakat pada umumnya sudah hilang kepercayaan pada agama. Agama Kristian tidak lagi menjadi referensi dalam masalah kemoralan apalagi masalah politik, dan sosial. Falsafah Eksistensialisme dan Pragmatisme telah mengambil alih peranan dalam menentukan nilai-nilai moral masyarakat Barat daripada agama. Ini kerana agama secara umum telah disepakati merupakan produk manusia tidak luput daripada silap dan salah. Bahkan banyak ajaran Injil hanya dianggap mitos yang tidak rasional dan perlu dijauhi sebagai orang yang telah bertamadun dan maju. Apabila telah menjadi kesepakatan umum bahawa all religions are human inventions maka tidak ada lagi kebenaran mutlak, yang ada adalah kebenaran yang relatif, terserah kepada masing-masing individu untuk memilih sesuai dengan seleranya. Oleh itu perlu ditegaskan di sini bahawa hanya orang yang tidak mengenal Islam yang akan mengatakan bahawa Islam adalah buatan manusia, al-Qur’an adalah rekaan Rasulullah s.a.w. Kejahilan Barat tentang kebenaran Islam tidak harus diikuti oleh orang Islam. Golongan Islam-Liberal yang kuat dan vokal dalam menyuarakan ide ini, mendapat sokongan yang padu daripada institusi yang bertanggungjawab di Amerika.


Sebagai kesinambungan misi buku ini baru-baru ini telah terbit satu lagi buku yang ditulis oleh intelektual modernis di Indonesia (Paramadina) yang telah mendapat kritikan pedas oleh berbagai pihak di Indonesia. Buku yang diberi nama Fiqih Lintas Agama ini telah dipopularkan (dipromosikan) dan diseminarkan hampir di setiap universiti di Indonesia. Umumnya pelajar-pelajar Muslim dengan mudah dapat dipengaruhi dengan ide dan konsep yang disajikan secara ilmiah oleh intelektual-intelektual muda dengan semangat pembaharuan dan reformasi. Setakat ini mereka telah berjaya mengelirukan dan membingungkan umat Islam.

Khalif Muammar A.Harris.
Kolej Dar al-Hikmah.
Peniliti INSIST.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.