Bicara Haraki

Menjana Pemikiran Islam yang Dinamik

Mohd Rumaizuddin Ghazali (Exco Dakwah ABIM)

Pemikiran Islam adalah interaksi antara nalar kaum muslimin dan hukum-hukum agama yang azali dan kekal. Hasan al-Turabi menyebutkan tiga kelemahan pemikiran Islam masakini iaitu pemikiran Islam tercabut dari prinsip agama yang pasti dan kekal. Dengan kata lain, pemikiran Islam tidak berteraskan kepada wahyu dan sunnah.

Di samping itu, banyaknya persoalan-persoalan cabangan dalam fiqh yang tidak lagi memerlukan penjelasan seperti hukum bersuci dan wudhu sedangkan perkara-perkara fiqh muamalat dan hal ehwal ekonomi dan politik Islam tidak dapat ditanggani dan dijelaskan dengan baik dalam konteks semasa.Kedua pemikiran Islam terpisah dari ilmu pengetahuan rasional (al-Ma’rifat al-aqliyyah) dan ketiga pemikiran Islam tidak mampu menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan manusia dan hanya menjadi pemikiran semata-mata.
 
Menurutnya, agama Islam memerlukan pembaharuan yang bukan berangkat dari kerohanian yang emosional melainkan pembaharuan dengan sarananya berupa pendidikan agama. Kita harus mendidik manusia tentang nilai-nilai iman yang dapat melahirkan suatu konsep pemikiran politik, ekonomi dan budaya yang mampu menerapkan hukum-hukum agama Pembaharuan agama yang diperlukan dewasa ini hendaklah memiliki tiga tahap berikut. Pertama kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sesuai dengan tradisi, khazanah warisan dan pengalaman para salafu soleh. Kedua menginteraksikan ilmu agama dengan ilmu rasional, ilmu ekonomi, ilmu kemanusiaan dan ilmu fizik. Ketiga mengaitkan pemikiran Islam dengan realiti. Para pendakwah hendaklah menulis buku-buku tentang persolaan–persoalan hakiki yang dihadapi oleh masyarakat dan tidak berbicara tentang persoalan teori semata-mata.Selain itu, kita harus merealisasikan Islam dalam realiti kehidupan agar kita dapat menerima ijtihad dengan jiwa yang realitis sebagaimana dikehendaki agama. Kita memerlukan ijtihad sebab hal itu sangat mendesak dalam kondisi kita dewasa ini. Pembaharuan agama tidak bererti keluar dan melanggari ajaran agama tetapi upaya responsive atas keperluan beragama dalam zaman dan kondisi tertentu. Pemikiran Islam selalu berkait dengan realiti dan tentangan zaman.Pemikiran Islam juga sangat berkaitan dengan kualiti dan kuantiti pengetahuan intelektual dan pengalaman zamannya. Jika ilmu pengetahuan di zaman itu sempit, pemikiran yang dihasilkan juga sempit. Begitu pula jika spektrum pengetahuannya luas, pemikiran yang dihasilkan juga luas.

Pemikiran Islam yang dinamik ialah pemikiran yang mengatakan bahawa urusan-urusan dunia dan kemanusiaan perlu dtanggani menurut perkembangan semasa kerana sesuatu yang diputuskan pada sesuatu zaman ketika dahulu tidak semestinya kekal dan sesuai dengan zaman sekarang.Oleh itu, ia memerlukan ijtihad dari para ulamak.Menurut Iqbal bahawa pemikiran yang anti akal dan tidak mahu berijtihad tidak mampu untuk membangunkan umat Islam. Perkara yang amat menyedihkan apabila umat Islam menuduh orang yang ingin melakukan pembaharuan dan berijtihad dianggap sebagai penyeleweng atau perosak agama. Pemikiran seperti ini sebenar tidak dapat memberi sumbangan apa-apa terhadap kemajuan umat Islam di dunia dan akhirat. Mereka menganggap sesuatu yang baru atau pembaharuan yang ingin dilakukan sebagai bid’ah yang sesat. Mereka sentiasa menyeru ke arah belakang dan mengambil sikap menyucikan segala warisan lama yang tertulis dalam kitab-kitab karya klasik tanpa harus dikupas dan dianalisis secara kritis kerana ia dianggap sebagai barang yang tidak boleh dikupas dan difikirkan semula dalam konteks zaman moden kini. Ia harus diterima secara sedia ada dan tunduk sepenuhnya.

Dalam sejarah Islam, kita mengenali Imam al-Ghazali yang dianggap pemikir Islam kerana ia menguasai ilmu fiqh, kedoktoran, falsafah sehingga di dalam dirinya terhimpun ilmu-ilmu agama dan rasional. Dengan penguasaan ini, kita melihat al-Ghazali sebagai seorang pemikir yang betul-betul memahami Islam.Demikian pula hanya Ibn Taimiyah yang berjaya berinteraksi dengan realiti secara praktis dan mempelajari logika, falsafah dan feqah sehingga menjadi pemikir Islam terkemuka di saat pemikiran Islam mengalami kemunduran.

Islam sebagai agama dinamis. Umat Islam dituntut untuk memenuhi keperluan masyarakat dunia terutama untuk memecahkan berbagai persoalan moden secara lebih mendalam dan keperluan mereka akan sistem aplikatif bermanfaat bagi terbentuk masyarakat Islam yang dapat mengatur sistem ekonomi, politik dan sosial secara mandiri dalam kehidupan masyarakat moden. Dalam kegiatan dakwah, ternyata sekali umat Islam belum mampu menjawab tuntutan-tuntutan masyarakat secara tuntas. Ini kerana fiqh yang ada sekarang belum cukup memenuhi keperluan-keperluan dakwah, politik dan ekonomi sebab banyak sektor-sektor kehidupan telah berkembang dan melahirkan masalah-masalah baru yang belum disinggung oleh para ulamak. Di samping, interaksi sosial telah berubah dan berkembang sehinga hukum fiqh tertentu dalam format yang lamanya sudah tidak relevan lagi.Oleh itu, kita memerlukan fiqh yang baru dengan membuat ijtihad-ijtihad baru dalam beberapa persoalan semasa. Perkara ini termasuk memahami fiqh al-aqalliyat (fiqh minoriti). Fiqh minotiri ini bermaksud mengeluarkan ijtihad baru dalam suasana dan kondisi umat Islam yang lemah dan minoroti. Umat Islam sdekarang bukan lagi dalam era kegemilangan bahkan dalam semua aspek umat Islam berdaa dalam keadaan yang mundur dan lemah. Hal ini mendesak untuk kita membuat dan melakukan tajribah dengan menggunakan kaedah fiqh minoriti. Kita memerlukan ijtihad untuk melahirkan fiqh baru bagi menghadapi realiti moden.Untuk itu, diperlukan dakwah Islam yang memiliki kesesuaian dengan realiti itu maka pemikiran Islam perlu diarahkan kepada dakwah dalam menghadapi realiti dewasa ini agar misi Islam dapat diwujudkan dalam kehidupan . Oleh itu, kita harus perbaharui pemikiran Islam dengan menginteraksikan ilmu-ilmu agama dengan ilmu-ilmu semasa. Kita harus menghilangkan pemisahan antara ilmu agama dengan ilmu-ilmu alam, ahli agama dengan ahli dunia, realiti dan agama serta kita kaum muslimin dengan al-Quran dan al-Sunnah..

Umat Islam juga memerlukan penafsiran baru sebab setiap upaya penafsiran terhadap ayat-ayat al-Quran memiliki ruang dan kesesuaian dengan realti zaman ketika tafsir itu disusun. Setiap tafsir mengungkapkan pemikiran zamannya, walaupun masih ada tafsir-tafsir klasik yang memiliki kesesuaian dengan masa sekarang. Persiapan ini amat perlu memandang Islam merupakan agama masa depan dan penganti kepada keruntuhan empayar Amerika seperti yang disuarakan oleh Roger Garaudy. Beliau menyatakan bahawa Islam boleh menjadi penganti kepada orde baru dunia yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Salah satu keperluan umat Islam sekarang ialah persoalan occidental studies iaitu membina kerangka pemikiran sendiri tentang pengajian tersebut bagi memahami dunia Barat. Pengajian oriental digunakan oleh mereka untuk mendominasikan negara yang berada di timur. Sedangkan usaha kita dengan mempelajari tamadun Barat bukan bertujuan untuk menjajah tetapi adalah untuk membebaskan manusia Barat dari kejahilan dan kebejatan moral serta krisis diri yang parah. Barat sudah banyak melahirkan para orientalis yang mempelajari Islam dari perspektif mereka tetapi Dunia Islam hanya melahirkan terlalu sedikit pengkaji yang mampu menganalisis pelbagai aspek tamadun Barat sama ada dimensi sains, dimensi seni, aspek agama , budaya dan tingkah sosialnya menerusi perspektif Islam. Menerusi perspektif dan pandangan hidup Islam terhadap lanskap pemikiran moden inilah para pemikir Islam seperti Seyyed Hossein Nasr mengatakan bahawa generasi muda Islam perlu mengetahui secara mendalam agama dan akar budaya mereka dan perlu pula memahami ciri dunia moden kini dari perspektif Islam.

Di dalam tulisan beliau, A Young Muslim ‘s Guide to The Modern World, Seyyed Hosein Nasr menyatakan bahawa umat Islam sama ada generasi muda atau dewasa, tidak mungkin dapat survive sebagai muslim secara individu atau sebahagian dari sebuah tamadun gemilang dan umat nabi Muhammad s.a.w. sekiranya tidak dapat menangani cabaran yang dihadapkan oleh dunia moden kepada mereka. Mereka perlu memahami dunia moden kini dengan mendalam dan secara bijak, dan menangani perubahan dan cabaran tanpa pengaruh emosi, tetapi di atas asas ilmu yang sahih dan benar tentang dunia moden ini bersandarkan tradisi keilmuan Islam secara menyeluruh.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.