Bicara Haraki

Amalan Wakaf Menjana Kemajuan Umat

Mohd Rumaizuddin Ghazali

Amalan wakaf memainkan peranan penting dalam membangunkan agama, masyarakat dan negara. Dalam rangka pembangunan ekonomi ummah, Islam mengemukakan pendekatan yang bersepadu dan proaktif di antara lain mengemukakan ibadat wakaf. Bahkan wakaf ini diinstitusikan untuk menyusun masyarakat dan telah terbukti melalui sejarah betapa institusi ini berperanan penting dalam membangun kekuatan dan kesejahteraan umat Islam sejak berzaman.

Muhammad Abu Zahrah dalam bukunya Muhadarat fi al-Waqf ( Perbahasan Mengenai Wakaf) menyebutkan bahawa pembinaan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa adalah sebahagian daripada usaha kerja amal wakaf yang pernah berlaku dalam sejarah manusia. Sifat naluri manusia juga mahu memberi sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain selepas ia meninggal dunia. Oleh itu, agama Islam menggalakkan umatnya melakukan amalan wakaf supaya pahala tersebut akan berterusan walaupun ia telah meninggal dunia selagi mana harta wakaf itu digunakan untuk kepentingan umum.
 
Rasulullah merupakan orang yang pertama mewakafkan hartanya selepas peperangan Uhud apabila baginda mewakafkan harta yang diberikan oleh sahabat yang bernama Mukhairiq daripada hasil habuan perang. Kemudian perkara tersebut diikuti oleh para sahabat seperti Umar bin al-Khatab. Amalan tersebut terus subur dalam masyarakat Islam sehingga kini. Begitu juga, pembinaan Masjid al-Nabawi adalah hasil daripada harta wakaf. Amalan jariah mendirikan bangunan masjid tersebut menjadi amalan keseluruhan umat Islam. Antara masjid-masjid yang masyhur adalah masjid al-Azhar,Masjid al-Husain di Mesir, Masjid Umawi di Syria dan Masjid al-Qairawan di Tunis. Di Malaysia, amalan tersebut bermula sejak kurun ke 15, apabila Islam mula bertapak di sini dengan pembinaan masjid di seluruh Tanah Melayu.

Wakaf merupakan sebahagian daripada bentuk amal jariah yang ganjaran pahalanya akan terus menerus berlaku hingga wakafnya berakhir atau musnah, walaupun pewakaf itu telah meninggal dunia. Hukum mewakafkan harta adalah sunat kerana ia merupakan perbuatan yang baik daripada kerja kebajikan yang sangat dituntut.Abu Hurairah telah menjelaskan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

“ Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaat dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (riwayat Muslim).

Imam al-Rafi’i menjelaskan perkataan bersedekah jariah dalam hadith tersebut dengan maksud wakaf kerana pahala sedekah jariah wakaf terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain pahala tidak berpanjangan mengalir seperti wakaf. Antara tujuan wakaf adalah untuk mendekatkan seorang hamba dengan Allah. Oleh itu, wakaf hanya dibolehkan kepada perkara kepentingan umum umat Islam dan bukan kepada tempat ibadat orang-orang kafir, atau disalurkan ke dalam aktiviti yang haram atau maksiat atau yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Muhammad Abu Zahrah menyatakan amalan wakaf tidak terhad kepada pembinaan masjid, bahkan merangkumi semua bentuk amalan yang berlaku pada sedekah seperti amalan mewakafkan harta benda, tanah, wang sewaan tanah, pembinaan hospital, rumah-rumah anak yatim dan fakir miskin. Salah satu contoh harta wakaf umat Islam yang kekal sehingga kini ialah pembinaan Universiti al-Azhar semenjak 1000 tahun lalu. Sehingga kini pembiayaan dikendalikan daripada harta wakaf yang memberi khidmat percuma pengajian kepada pelajar Islam dari seluruh dunia.

Amalan wakaf di Malaysia mula subur dan berkembang dengan penubuhan pondok-pondok pengajian agama secara tradisional yang mempengaruhi masyarakat setempat untuk mewakafkan harta mereka. Walaupun begitu dalam konteks zaman sekarang, amalan tersebut perlu diperluaskan terutama dalam mendirikan hospital wakaf yang memberi perkhidmatan percuma atau perkhidmatan yang rendah kosnya sebagaimana kita lihat persatuan-persatuan bukan Islam menubuhkan hospital dan pusat-pusat dialisis untuk pesakit buah pinggang. Di sampin itu, pembinan rumah-rumah anak yatim juga amat diperlukan bagi membiayai dan mendidik mereka dengan teratur. Ia tidak terhad dalam bentuk pembinaan masjid semata-mata. Malahan dalam sejarah Islam terdapat rumah tumpangan yang didirikan secara wakaf di kota-kota besar Islam untuk para musafir seperti di Basrah, Baghdad, Damsyik dan Kaherah.

Oleh kerana perkembangan wakaf semakin pesat, institusi wakaf di semua jabatan Agama seluruh Malaysia perlu dikemaskinikan dan bertanggungjawab untuk mengadakan satu bentuk pengurusan yang berkesan bertujuan untuk mengekalkan syiar amalan wakaf ini sebagai lambang pengorbanan yang suci kepada Allah. Perkara ini boleh membentuk satu masyarakat Islam secara bersepadu dan kuat melalui pengorbanan seseorang, sama ada dalam bentuk tanah atau hasil khazanah dan bangunan-bangunan lain seperti masjid, surau, sekolah dan lain-lain lagi.

Ia juga bertujuan supaya setiap pewakaf yang mewakafkan harta mereka mendapat keyakinan dan kepuasan bahawa amalan mereka benar-benar tercapai melalui institusi ini. Dari sudut ekonomi, harta wakaf mampu menjamin kekayaan dan keuntungan yang besar dalam pembangunan negara kerana ia mempunyai unsur-unsur penting dalam ilmu ekonomi. Harta wakaf boleh menjadi asset bernilai, boleh dilabur atau dibangunkan bagi meningkatkan hasil yang menguntungkan institusi wakaf sendiri. Ini kerana harta yang diwakafkan itu merupakan modal yang boleh berkembang dan membawa keuntungan.

Pada masa sekarang, jenis perwakafan sudah berubah kepada jenis yang paling mudah diberi seseorang iaitu dengan mewakafkan sejumlah wang ringgit untuk tujuan membeli tanah dan bahan-bahan keperluan bangunan wakaf. Wang ringgit apabila diwakafkan akan memudahkan pengurusan tempat penerima wakaf dan penggunaanya juga lebih pelbagai asalkan dalam batasan niat atau tujuan wang itu diwakafkan. Berdasarkan perkara ini, institusi wakaf perlu mantap supaya pengurusan wang ringgit yang diwakafkan itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Mentadbir dan mengurus harta wakaf dengan lebih berkesan amat diperlukan. Oleh itu, penubuhan pemusatan institusi wakaf sangatlah tepat. Tanpa pendekatan ini institusi wakaf tidak mungkin berperanan untuk dikendali secara tersusun dan menyeluruh.

Pentadbiran dan pelaksanaan institusi ini memerlukan kepada perubahan yang drastik untuk ia berperanan secara efektif. Di dapati banyak harta wakaf yang berpotensi untuk dibangunkan, tetapi sehingga kini masih belum dimajukan sewajarnya. Malahan banyak harta wakaf yang tidak ada rekod dan maklumat sistematik. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam berusaha meletakkan kembali institusi wakaf ke taraf yang sebenar dan menjadikannya satu institusi terpenting dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Beberapa masalah pembangunan harta wakaf perlulah segera di atasi seperti masalah perundangan yang berkaitan dengan Kanun Tanah Negara, menyusun semula struktur organisasi pentadbiran wakaf dan mewujudkan rekod maklumat hartanah wakaf berpusat.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.