Bicara Haraki

Tauhid Melahirkan Umat Merdeka

Mohd Rumaizuddin Ghazali

Akidah bererti ikatan atau simpulan. Perkataan akidah membawa maksud kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kukuh dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan tercerai atau terhurai. Sebahagian ulamak mentakrifkan akidah Islam sebagai kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat dan nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki lagi qudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh Islam iaitu kepercayaan yang tersimpul kukuh dan teguh dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terhurai atau terputus walau oleh apa jua keadaan dan sausana.Oleh itu, nilai akidah itu terletak kepada kekuatan dan kekukuhannya dalam diri individu. Ilmu akidah juga dikenali sebagai ilmu kalam, ilmu tauhid dan fiqh al-Akbar.

Menurut Muhammad Abduh, ilmu tauhid bererti suatu ilmu yang membahas tentang wujud Allah, tentang sifat-sifat yang wajib tetap padaNya, sifat-sifat yang boleh disifatkan kepadaNya dan tentang sifat yang sama sekali wajib dilenyapkan padaNya; juga membahas tentang rasul-rasul Allah, menyakinkan kerasulan mereka, menyakinkan apa yang wajib ada pada diri mereka, apa yang boleh dihubungkan (dnisbahkan) kepada mereka dan apa yang telah terlarang menghubungkannya kepada diri mereka. 


Hassan al-Banna mendefinisikan akidah sebagai hal-hal yang berhubung dengan kepercayaan dan keyakinan dalam hati sehingga hati dan jiwa itu menjadi tenteram tidak ragu dan tidak bimbang, bersih dan murni dari segala was-was syak wasangka, suatu keyakinan yang kuat dan teguh menghayati seluruh aspek kehidupan dan amal ibadat kepada satu Zat yang Maha Kuasa.

Ibn Khaldun menyebutkan ilmu kalam adalah sejenis ilmu yang melibatkan penhujahan dengan menggunakan bukti-bukti logik dalam usaha untuk mempertahankan prinsip-prinsip keimanan dan menolak pandangan-pandangan baru yang membawa dogma yang menyeleweng daripada pegangan kalangan muslim awal.

Manusia pada tingkat akidah terbahagi kepada beberapa bahagian, kuat dan lemahnya bergantung kepada pegangan dalil yang diperolehi atau yang sampai pada pendengarannya.

Ada sebahagian manusia yang menerima akidah dengan jalan mendengar berbagai macam tafsiran yang dihubungkan dengan adat istiadat yang berlaku atau dengan kepercayaan segolongan manusia dalam masyarakat. Akidah semacam ini akan sangat membingungkan apabila dia berhadapan dengan tafsiran-tafsiran ilmiah. Ada pula manusia yang menerima akidah itu dengan jalan mempergunakan akal dan fikirannya serta hati dan perasaannya sehingga akidah meningkat kepada kesedaran yang mahu menerima dalil-dalil yang disampaikan kepadanya. Ada juga manusia menerima akidah itu selain menggunakan akal dan fikirannya, hati dan perasaannya, dia bertekun pula berusaha memohon kepada Allah meminta petunjuk supaya seluruh kehidupannya bertetapan dengan akidah yang dianutinya.

Mereka inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud :

“Dan mereka yang dipimpin Allah akan diberikan petunjuk dan rasa takwa kepada mereka.” (Muhammad 17)

Mereka adalah golongan yang sentiasa mahu berusaha dan berfikir untuk dapat membawa dirinya kepada kesempurnaan akidah dan kemurniaan iman yang menjauhkan dirinya dari sifat-sifat taklid yang boleh membawa kepada syirik. Apabila manusia telah kuat jiwa akidahnya dia akan mengetahui bahawa kebahagiaan hidup ini pada hakikatnya hanyalah beriman dan bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala amal ibadat dan amalan soleh sebagai tanda kesyukuran kita di atas limpahan nikmat-Nya.

Oleh itu, umat Islam haruslah berusaha untuk mencapai tingkat tertinggi dalam memahami akidah, bukan sekadar dengan memahami dalil-dalilnya sahaja tetapi menghayati dalam dirinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota masyarakat.

Tauhid bukan sekadar doktrin tentang mengenal dan memahami bahawa pencipta alam semesta ini adalah Allah, bukan sekadar mengetahui bukti-bukti rasional tentang keEsaan Tuhan, bukan sekadar mengenal asma dan sifat-sifatnya tetapi yang lebih pokok dari itu adalah penerimaan dalam menegakkan misi keagamaan dan misi kemanusiaan.

Oleh itu, tauhid harus berkait rapat dengan prinsip kemanusiaan, keadilan sosial, etika politik dan ekonomi dalam kehidupan masyarakat. Dalam ajaran Islam, seseorang itu tidak dianggap sebagai benar-benar soleh selagimana ia tidak memgambil berat urusan kemanusiaan. Kesolehan individu tidak akan memiliki makna apapun jika tidak dapat menciptakan kesolehan dalam interaksi sosialnya.

Nyatalah bahawa manusia itu bagaimana pun sempurna peribadinya, tiadalah mempunyai erti dan nilai hidup, kalau sifat hidupnya secara perseorangan tanpa memperdulikan nasib bangsanya.

Muhammad al-Ghazali menyebutkan bahawa tauhid itu merupakan roh atau semangat Islam, pokok akidah dan sumber ibadatnya yang banyak. Prinsip tauhid itu menjalar ke seluruh ajarannya tidak ubah seperti air yang mengalir membasahi tumbuh-tumbuhan atau urat-urat dalam badan. Al-Quran telah menjelaskan hakikat tauhid, memperlihatkan liku-likunya dan membicarakan fikiran-fikiran yang timbul atau menentangnya hingga ketauhidan dalam Islam itu merupakan ajaran yang paling jelas dan sempurna.

Tauhid adalah inti peradaban Islam. Tidak ada doktrin dalam sejarah pemikiran manusia yang mempunyai pengaruh besar dalam pembentukan semangat, etos kebudayaan dan peradaban selain tauhid. Tauhid merupakan suatu prinsip lengkap, menembusi semua aspek kehidupan manusia seperti prinsip ilmu pengetahuan, prinsip akhlak, prinsip ekonomi, prinsip politik, prinsip ummah dan prinsip tata dunia.

Pengaruh tauhid ini dapat dilihat melalui proses penghayatan dan kesedaran terhadap nilai-nilai dan prinsip tauhid dalam diri individu, masyarakat dan dunia sekeliling. Ini kerana peradaban Islam terbentuk dalam kerangka tauhid sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah dengan melakukan perubahan dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Dari segi ekonomi, Rasulullah melakukan perubahan dengan melarang penumpukan kekayaan berdasarkan etika buruk dan mengecam putaran kekayaan pada kalangan orang elit tertentu dalam masyarakat. Sementara, sistem sosial yang dibangunkan oleh Rasulullah didasarkan pada tujuan untuk membina perdamaian dan persamaan serta menolak sistem sosial yang menindas. Demikianlah Rasulullah meletakkan dasar-dasar peradaban Islam dengan berintikan semangat tauhid.

Oleh demikian, tauhid adalah asas kepada pembangunan dan kemajuan manusia. Fenomena syirik bukan sekadar menyesatkan keyakinan yang benar malah telah mendorong lahirnya pratik perdagangan yang kotor, kebejatan moral, diskriminasi serta kerendahan martabat kemanusiaan.

Umat Islam perlu mempelajari ilmu tauhid dari sumber yang asli yang dapat membina jiwa yang merdeka seperti generasi para sahabat. Tauhid yang telah bercampur dengan bid’ah, khurafat, tahyul dan falsafah menyebabkan umat Islam menjadi lemah.

Dalam hal ini Sayyid Sabiq menyebutkan bahawa amat menyedihkan, sebab kesan dari persengketaan yang berlaku di dalam sejarah umat Islam, hasil dari sifat fanatik kepada mazhab mereka dan sebagai kesan pepecahan itu, kaum muslimin telah melakukan jenayah yang begitu merbahaya sekali kepada diri mereka iaitu bergoncangnya akidah di dalam jiwa dan keimanan mereka tidak lagi tertancap kukuh di hati. Dengan itu, akidah tidak lagi mampu menguasai jalan kehidupan manusia muslim, malahan keimanan itu sendiri tidak lagi menjadi pusat pemerintahan yang menguasai segala tindak tanduk mereka yang mendakwa berpegang kepada akidah ini. Lanjutan daripada kelemahan akidah itu, ia menjalar kepada orang perseorangan, keluarga, masyarakat dan juga negara. Dan seluruh sudut dari sudut-sudut kehidupan sehingga menjadikan umat ini lemah untuk bangun, begitu juga dengan generasi yang mengikuti selepasnya.

Mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab ke luar dan ke dalam, umat ini tidak lagi berada sepertimana yang dikehendaki oleh Allah- sebagai umat yang cekap dalam memimpin manusia dan memberi pertunjuk kepada semua orang. Oleh yang demikian kewajipan yang paling utama ialah menerangkan hakikat tauhid yang diajar oleh Islam, di mana seluruh ajaran Islam terbina di atasnya hinggalah ketara kebenaran dan kebatilan.

Antara kesan tauhid dalam kehidupan ialah membebaskan manusia dari pengabdian selain dari Allah. Tauhid dapat membebaskan seseorang dari jiwa hamba kerana dengan pengEsaan kepada Tuhan bererti secara sedar ia telah menolak segala bentuk pengabdian kepada sesiapa selain Allah.

Dinamika tauhid ini yang telah meresapi jiwa Bilal bin Rabah dengan mendadak tampil sebagai seorang manusia baru berjiwa merdeka yang sanggup menghadapi seksaan majikannya dan mempertahankan keyakinan akidah yang dianutinya. Tauhid inilah yang mengangkat martabat keinsanannya. Pembebasan manusia ini yang menjadi risalah dan manifesto Islam kepada dunia.

Hakikat ini diungkapkan oleh Rabiy Amir ketika berdepan dengan Rustum panglima tentera Parsi tentang misi kedatangannya dengan menyebutkan “kami adalah pembawa missi Ilahi untuk membebaskan manusia dari pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah semata-mata.” Dengan tauhid juga hati seseorang dapat dipenuhi dengan keamanan dan ketenangan.

Ia tidak akan ditindas dan dizalimi oleh berbagai perkara yang menakutkan dan yang dikuasai oleh ahli syirik. Tauhid telah menutup pintu ketakutan yang dialaminya selama ini seperti takut tentang reziki, takut kepada ajal, takut kepada mati dan takut apa yang akan berlaku setelah mati. Jiwanya berada dalam keadaan tenteram di saat orang lain ketakutan dan dalam keadaan tenang di saat orang lain kegelisahan.

Tauhid dapat memberi kekuatan jiwa yang besar kepaad seseorang. Bila jiwa mereka dipenuhi sifat raja’ (pengharapan), redha dan tawakkal kepada Allah maka ia akan menjadi kuat dan kukuh. Ia Ia hanya meminta dan memohon pertolongan hanya dari Allah.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.