Bicara Haraki

Penglibatan Dalam Harakah Islamiyyah: Satu Keperluan Featured

Sepintas lalu Tentang Harakah Islamiyyah Kelahiran Harakah Islamiyyah berlaku selepas kejatuhan khilafah Islamiyyah dan bertapaknya pemikiran taqlid dalam masyarakat Islam, maka harakah Islamiyyah telah mengambil tempat peranan menyedarkan umat kepada kepentingan kembali semula kepada ajaran Quran dan Sunnah serta mengamalkan ijtihad dalam perkara-perkara yang diperlukan ijtihad dan kesedaran politik untuk membebas negara dari dominasi kuasa Barat.

 

Harakah Islamiyyah bergerak secara berkesan pada masa Jamaluddin al-Afghani apabila beliau menyedarkan umat tentang keperluan kebebasan politik daripada dominasi Barat. Manakala Muhammad Abduh pula menekankan tentang keperluan memahami ajaran Islam yang tulen daripada sumbernya iaitu al-Quran dan al Sunnah serta sirah Rasulullah S.A.W. Dengan seruan ini dia menganjurkan supaya ijtihad perlu diamalkan kembali untuk menyelesaikan keperluan-keperluan semasa yang selalu timbul dalam masyarakat.

Ia adalah suatu keperluan umat tetapi pelaksanaannya memerlukan orang yang mempunyai kelayakan ilmu dalam bahasa arab serta memahami persekitaran. Hasan al Banna yang muncul di Mesir pada awal tahun dua puluhan telah menubuhkan sebuah badan gerakan yang bernama Ikhwan al Muslimin dengan mengemukakan gagasan gerakan ini dalam risalah “ usul al-Ishrin”.

Gerakan ini menyedarkan umat untuk memahami Islam daripada sumbernya al Quran dan al Hadis serta sirah dan menyedarkan umat untuk menghayati Islam dalam semua aspeknya sebagaimana yang terdapat dalam sumber-sumbernya iaitu ajaran Islam sebagai cara hidup. Gerakan Islam “ Ikhwan al Muslimin” ini kemudiannya telah berkembang kenegara negara Islam yang lain. Abu A’ la mempunyai gerakan Jamaat Islami yang mendukung pemikiran gerakan Ikhwan.

Bapa Muhammad Natsir mempunyai gerakan “ Dewan Dakwah” di Indonesia juga berasaskan pemikiran gerakan di Mesir.

Di Malaysia gerakan ABIM yang dipimpin oleh saudara Anwar Ibrahim yang mengambil asas pemikiran ikhwan dan pengalaman amal Jammat Islami Pakistan dan juga Dewan Dakwah di Indonesia, tetapi pendekatan gerakannya adalah mengambil kira keperluan dan kesesuaiannya dengan persekitaran di Malaysia.

Kesan Penglibatan Dalam Harakah Islamiyyah ( ABIM )

1- Dapat memahami Islam dalam perspektifnya yang tepat iaitu Islam sebagai cara hidup, yang syumul bukannya serpihan atau sesuatu yang terpisah daripada kehidupan.

2- Dapat menggali dan memahami Islam daripada sumbernya yang asal Quran, Sunnah, Sirah para Sahabat dan pemikiran-pemikiran utama yang muktabar.

3- Dapat memahami Tarbiyyah yang sepadu merangkumi aspek akal, rohani, emosi dan jasmani yang bersumberkan sumber naqli dan akli yang dapat melahirkan insan rabbani, sebagai hamba Allah dan KhalifahNya.

4- Dapat membina kecenderungan yang tinggi terhadap ilmu dan keintelektualan.

5- Dapat pemdedahan pengajaran Islam yang syumul secara teori dan amalinya sama ada dalam pembangunan peribadi, keluarga dan masyarakat. Juga membina kesedaran kepekaan kepada permasalahan masyarakat dan umat untuk pembangunan merela ( Islah ) dari sudut spiritual, material, intelektual dan sosial.

6- Mendapat pendedahan kepada persekitaran ilmiah, mengenali sarjana-sarjana yang terkenal, karya-karya dan sumbangan mereka serta dapat membina pemikiran yang kritis.

7- Mengenali pendidikan seumur hidup melalui usrah, tamrin, halaqah ilmiyyah , kolokium dan sebagainya.

8- Dapat membina semangat ukhuwah dan jemaah dalam melaksanakan tugas jemaah dan masyarakat.

9- Penglibatan semua keluarga dalam proses pendidikan dan dakwah.

10- Dapat memahami erti pengorbanan dan kesabaran melalui kerja dakwah dan islah masyarakat.

Perbezaan Harakah Islamiyyah Dengan Gerakan-gerakan Islam Lain

Perbezaan utama ialah tentang world view Islam. Ada gerakan yang menumpukan aspek kerohanian dan hubungan persaudaraan semata-mata. Ada juga gerakan yang menumpukan dakwah Islamiyyah dalam aspek ceramah penerangan dan pengajaran semata-mata.

Ada gerakan Islam yang menumpukan kegiatan kepada aspek politik kepartian semata mata sehingga meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan. Ada gerakan menekankan aspek keilmuan dan intelektual semata-mata. Ini antara gambaran-gambaran gerakan yang bukan berorientasikan gerakan Islam.

Oleh sebab terhadnya worldview Islam, maka dengan sendirinya kegiatan mereka juga terbatas kepada skop itu sahaja. Harakah Islamiyyahlah satu satunya gerakan yang memberi dan membekalkan perspektif yang berbagai-bagai jenis dan menyeluruh yang dapat memenuhi keperluan manusia yang sebenar.

Kesimpulan

  • Bagi melengkap pembinaan watak sebenar sebagai seorang Muslim Rabbani adalah penglibatan dalam harakah Islamiyyah suatu yang mesti dilakukan.
  • Pembentukan pemikiran dan watak yang terbina daripada madrasah harakah, tidak mudah dipengaruhi oleh pemikiran dan unsur-unsur yang tidak baik yang berlawanan dengan prinsip Islam.
  • Kualiti mereka yang terbina dirinya dalam harakah Islamiyyah adalah lebih mantap peribadi dan lebih bertanggungjawab.
  • Peribadi mereka yang terbina dalam harakah Islamiyyah adalah akhlaknya lebih tinggi dan demikian juga keberanian dan kesabarannya.
  • Mereka yang terbina dengan harakah Islamiyyah cintakan ilmu, berfikiran kritis, berbudaya mengisi masa dengan penambahan ilmu, menyebar ilmu serta terlibat dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan.

 Oleh: Dr.Abdul Halim El Muhammady, Pengerusi MAKTAB, Naib Presiden WADAH

 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.