Bicara Haraki

Fiqh Revolusi vs Ketaatan Pada Pemimpin

Dr. Rumaizuddin Ghazali (Timbalan Presiden ABIM, 2005-2007)

Revolusi bermaksud melakukan perubahan secara drastik dalam politik, masyarakat dan ekonomi. Dalam pengertian barat, revolusi ini tidak dianggap sebagai satu perubahan dan pembaikan sedangkan dalam pengertian Islam revolusi juga dianggap sebagai “islah’ dan pembaikan.

Sememangnya terdapat perbezaan istilah antara Islam dan barat. Misalnya kalimah fundamentalis dalam kamus barat merupakan kumpulan ektrem dan penganas. Namun dalam kamus Islam ,fundamentalis merupakan orang yang berpegang teguh  kepada ajaran Islam. Dalam al-Quran terdapat pengertian revolusi dan pengulingan iaitu ayat al-Rum ayat 9.

Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka (al-Rum :9)

Penggunaan istilah revolusi sudah dikenali dalam kamus politik Islam apabila Nafi’ bin Azraq menyeru golongan khawarij menyokong revolusi yang diketuai oleh Abdullah bin Zubair.

Menurut Islam revolusi ini terbahagi kepada tiga pandangan :

Golongan khawarij bahawa wajib memerangi pemimpin yang menyeleweng secara mutlak.

Golongan muztazilah berpendapat bahawa wajib memerangi pemimpin yang menyeleweng, fasik dan lemah sekiranya berkeyakinan mencapai kemenangan atau adanya penganti yang lebih baik atau system yang lebih sempurna.

Golongan ahli Sunnah mengharuskan melucutkan jawatan pemimpin yang menyeleweng dengan syarat tidak mendatangkan fitnah, kerosakan dan pembunuhan. Oleh itu, mereka berhati-hati dengan istilah revolusi.

Kebanyakan golongan ahli hadith  berpendapat menolak perubahan dengan revolusi seperti pendapat Imam Ahmad bin Hanbal (w.241) bahawa  jawatan pemimpin sama ada ia adil atau tidak adil, maka kita tidak ada hak untuk kita melucutkannya walaupun ia adalah seorang yang fasik.


Menurut Muhamamd Imarah pendapat yang menyuruh taat kepada pemimpin yang menyeleweng ini mengelirukan kerana bercampur dalam memahami hadith  mentaati pemimpin dalam peperangan dengan pemimpin penguasa. Penyelewengan dan kezalimam merupakan satu kemungkaran dan mengubah kemungkaran adalah satu kewajipan yang jelas dalam al-Quran dan al-sunnah dengan syarat perubahan kemungkaran itu tidak menyebabkan kemungkaran yang lebih besar.
 
Kalimah Ulil Amri adalah serangkai perkataan al-‘Amr, kemudian al-‘Amir dan kemudian dikenali Amir al-Mukminin. Kalimah ini menunjukkan bahawa kekuasaan tertinggi dalam negara dan masyarakat Islam semestinya melalui permesyuaratan secara kolektif (jama’iyyah syuriyyah) bukan secara individu diktator.Firman Allah :

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang (yang berkuasa) dari kalangan kamu. (al-Nisa’:59)

“dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya  padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada  "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja.” (al-Nisa’:83)

" "

Al-Quran memperingatkan dalam kedua-dua ayat tersebut dengan kalimat ulul Amri yang membawa maksud mereka yang dilantik menjadi penguasa yang wajib ditaati itu adalah mereka yang dipilih melalui syura, bebas dan diberi baiah melalui kaedah perkembangan tamadun semasa dan memelihara kemaslahatan syarak. Bukan mereka yang dipilih melalui kekerasan, penipuan dan penyelewengan.

Para ulamak tafsir mendefinisikan ulul Amri yang disebut dalam al-Quran sebagai ulamak, pemimpin dan ketua dalam masyarakat Islam. Muhammad Abduh menyebutkan sebagai ahl Hull wa ‘aqd iaitu pemerintah, pemimpin, ulamak, panglima tentera dan ketua yang dirujuk oleh manusia untuk memenuhi keperluan dan kemaslahatan umum. Apabila mereka mengeluarkan arahan, maka wajib mentaatinya dengan syarat tidak menyalahi perintah Allah dan RasulNya yang diketahui secara jelas. Dalam persoalan ibadat dan juga iktikad, maka tidak ada kaitan dengan    ahl Hull wa ‘aqd malah ia mesti diambil dari Allah dan RasulNya sahaja. Tidak ada pendapat dalam perkara ini kecuali dalam memberi kefahaman dan huraian sahaja. Ahl Hull wa ‘aqd dari golongan orang Islam bebas  membuat keputusan untuk kepentingan umat walaupun tidak ada nas yang jelas dalam al-Quran, maka mentaati mereka adalah wajib.

Ketaatan kepada pemimpin yang dilantik melalui syura, pemilihan yang bebas dan baiah serta menjalankan pemerintahan dengan syura secara kolektif bukan secara individu  dictator maka ketaatan kepada mereka ini bersyarat iaitu bukan dalam perkara maksiat kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW :

Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.
 
Abu Bakar r.a mempratikkan prinsip ini ketika dilantik menjadi khalifah apabila ia berucap : “Taatlah aku selama aku taat kepada Allah dan Rasul, sekiranya aku derhaka kepada Allah dan rasul maka janganlah taat kepada aku..sekiranya aku berada dalam jalan yang betul maka bantulah dan sekiranya aku menyeleweng maka perbetulkanlah”.

 

Oleh itu, para ulama mensyaratkan  bahawa ketaatan kepada pemimpin yang menjalankan pemerintahan melalui permesyuaratan kolektif dan melucutkan pemerintah yang tidal menjalankan syura adalah wajib seperti pandangan Ibn Atiyyah (1148M) yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi (1273M) : “Syura merupakan salah satu dari prinsip syariat Islam dan teras dalam pemerintahan. Sesiapa yang tidak yang tidak meminta pandangan dari orang yang berilmu dan agama maka melucutkan ia adalah wajib. Tidak ada khilaf dalam perkara ini dikalangan ulamak.”

 

Sebahagian ahli hadith seperti Imam Ahmad bi Hanbal dan Syeikh Islam Ibn Taimiyyah (w728H) yang mengharamkan merubah pemerintah yang menyeleweng secara mutlak telah menimbulkan kekeliruan dan waham. Maksud ahli hadith tersebut ialah pemberontakan bersenjata yang mengakibatkan fitnah, memusnahkan kepentingan umat dan terhenti pelaksanaan syariat. Mereka tidak menentang perubahan yang aman seperti pembangkang, nasihat, demontrasi dan penentang secara terang oleh orang yang dizalimi.. Firman Allah :

* žw ¬è=Ïtä† ª!$# t¬çôgyfø9$# Ïäþq¬è¡9$$Î/ z`ÏB ÉAöqs)ø9$# žwÎ) `tB zOÎ=àß 4 tb%x.ur ª!$# $·è‹Ïÿxœ $¸JŠÎ=tã ÇÊÍÑÈ  

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Nisa’ :148)

 

Ibn Taimiyyah menimbang baik dan buruk dalam pemberontakan bersenjata dan merubah pemerintah yang menyeleweng dengan menggunakan senjata. Apabila pemberontakan bersenjata itu mendatang keburukan besar maka bersabar itu lebih baik. Perbahasan yang ditimbulkan oleh Ibn Taimiyyah ialah keluar dengan  senjata dalam menentang pemerintah dan tidak timbul mengharamkan demontrasi dan penentangan dan perubahan secara aman. Oleh itu, para ulamak bersepakat bahawa melucutkan pemerintah yang menyeleweng, tidak menjalankan syura, tidak melaksanakan keadilan, penipuan dalam pentadbiran dan diktator. Penentangan secara aman kepada mereka merupakan sebahagian dalam mengubah kemungkaran yang disepakati oleh ulamak. Perkara yang diperselisihkan ialah penentangan bersenjata yang memerlukan kepada pertimbangan kebaikan dan keburukan dalam perkara tersebut. Sekiranya kebaikan lebih besar dalam melakukan penentangan bersenjata dalam melawan pemerintah yang menyeleweng maka tidak ada tegahan.

 

Namun ada sebahagian ulama yang menggunakan hujah al-Quran dan al-Sunnah untuk menyokong pemerintah yang zalim  dengan menyatakan wajib umat Islam taat kepada pemerintah secara mutlak dan dalam setiap keadaan. Mereka meminta umat untuk bersyukur kepada kerajaan apabila melakukan keadilan dan bersabar apabila melakukan kezaliman. Mereka ini telah mengkianati umat dengan menyuruh mereka menyerah diri dalam melihat kezaliman dan kemungkaran dan memperbodohkan makna kesabaran islami yang mulia.

Sememang terdapat dalam sahih Muslim bab kitab al-Imarah (bab pemerintah) yang dihimpunkan oleh Imam Muslim bin Hujaj (261H). Dalam kitab al-Imarah terdapat dua tajuk iaitu ketaatan kepada pemerintah dan satu lagi tajuk menyuruh sabar ketika kezaliman penguasa. Tetapi ulamak ini hanya mengambil bab ini sahaja dan melupakan satu lagi bab yang memperkatakan kewajipan taat kepada pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat dan haram mentaatinya dalam maksiat. Kepimpinan merupakan amanah yang wajib  pemerintah menunaikannya dan sekiranya mereka gagal melaksanakannya maka ia merupakan maksiat yang jelas dan berdosa secara terang-terangan. Bagaimana mereka meminta rakyat untuk mentaati dalam perkara maksiat dan dosa yang jelas ketika tidak menunaikan amanah dengan sempurna..

 

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurarirah bahawa Rasulullah bersabda:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ يَعْصِنِى فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِى وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِى ».
 

Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah patuh kepada Allah, sesiapa yang mengingkariku sesungguhnya ia telah mengingkari Allah. Dan sesiapa yang mentaati amir (penguasa) sesungguhnya ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang mengingkari amir, sesungguhnya ia telah mengingkari aku.
(al-Nawawi, 1994:6:463)
 

Mereka menafsirkan hadith secara literal dan zahir lafaznya dengan maksud kewajipan taat kepada semua amir sama ada adil atau fasik,baik atau zalim. Ketaatan kepada amir dengan segala sifat bererti taat kepada Rasulullah dan sekaligus bererti taat kepada Allah.Namun terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah meriwayatkan hadith yang sama tetapi dengan perbezaan lafaz yang lebih khusus dan membatasi kemutlakan taat kepada amir.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنَّهُ قَالَ « مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِى فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ أَطَاعَ أَمِيرِى فَقَدْ أَطَاعَنِى وَمَنْ عَصَى أَمِيرِى فَقَدْ عَصَانِى ».
 

Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah; dan sesiapa yang mengingkari aku, sesungguhnya ia telah mengingkari Allah. Dan sesiapa yang mentaati amirku sesungguhnya ia telah mentaati aku; dan sesiapa yang mengingkari amirku, sesungguhnya ia telah mengingkari aku.
(al-Nawawi, 1994:6:463)
 

Hadith ini menyebut “amiri” iaitu amir aku-ketua yang dilantik oleh nabi SAW yang mana wurud hadith (sebab hadith diucapkan) dalam memilih ketua panglima peperangan dan bukan semua amir baik atau zalim. Memang jelas maksud hadith tersebut amir yang dilantik oleh baginda Rasul yang memerlukan kesetiaan yang tinggi dalam konteks peperangan. Begitu juga ayat:


Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. (al-Nisa’:59)
 

Sebab penurunan ayat ini diturunkan kepada Abdullah ibn Hudhafah ibn Qays ibn ‘Adiy ibn sihamiy yang diutus oleh nabi SAW dalam ekspedisi peperangan.

Satu lagi hadith yang selalu dijadikan oleh hujah dan alasan untuk menyokong taat kepada ketua secara mutlak ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas :

 

عن ابن عباس يرويه قال  : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم  من رأى من أميره شيئا يكرهه فليصبر فإنه من فارق الجماعة شبرا فمات فميتة جاهلية
 

Sesiapa yang mendapati ada sesuatu yang tidak disenangi pada amirnya hendaklah ia bersabar, kerana sesungguhnya sesiapa memisahkan diri dari jamaah walau seinci, lalu ia mati, maka matinya adalah mati jahiliah.
 

(al-Nawawi, 1994:6:480)
 

Menurut Muhammad ‘Imarah bahawa maksud perintah bersabar dalam hadith tersebut ialah berkaitan perkara yang tidak disukai oleh manusia seperti ketua negara meminta rakyat untuk menyertai peperangan atau menderma harta untuk kepentingan umat. Perkara ini mungkin menimbulkan perkara yang tidak disenangi oleh sebahagian manusia yang harus disikapi dengan sabar, patuh dan taat melaksanakan perintah. Sabar dalam perkara yang tidak disenangi oleh manusia itu yang dimaksudkan oleh hadith tersebut. Mengingkari perintah tersebut bererti terkeluar dari jemaah dan pemerintah dalam konteks ini dalam bersama dengan jemaah rakyat. Kesabaran ini tidak termasuk kepada ketua dan pemimpin yang zalim. Al-Makruh (hal yang tidak disukai) dalam hadith tersebut adalah sama maksud dengan ayat al-Quran :


Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya.(al-Baqarah:216)

 

Al-Makruh dalam ayat tersebut ialah peperangan (al-Qital) yang sememangnya tidak disukai oleh manusia umumnya.

Mereka juga pendapat bahawa Nabi SAW menyuruh taat kepada pemimpin walau ketua itu seorang hamba abdi yang cacat dengan ketaatan yang mutlak sedangkan mereka lupa bahawa nabi SAW pernah berkhutbah wada’ yang mensyarat ketaatan kepada pemimpin hanya yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ketaatan kepada pemimpin walaupun seorang hamba abdi adalah terikat selama ia berpegang teguh kepada kedua-dua sumber tersebut. Bukan ketaatan kepada kezaliman



Bibliografi

Al-Nawawi.1994.Sahih Muslim bi Sharah al-Nawawi. Kaherah: Dar al-Hadith.

Muhammad ‘Imarah. 2011. Thawrah 25 Janarir.  Kaherah : Dar al-Salam.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.