Bicara Haraki

Hijrah Pelopor Tranformasi Minda

Mohd Rumaizuddin Ghazali
 
Hijrah membuka lembaran baru bagi dakwah Islamiah. Banyak pengajaran dan peringatan yang boleh diambil dari peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Hijrah berlaku dalam bentuk peristiwa yang mengabungkan faktor perlindungan Allah dengan ikhtiar seorang manusia. Gabungan antara perintah Allah dan perancangan yang dilakukan oleh Rasulullah dari mula sehingga tamat penghijrahan baginda yang penuh dengan peristiwa yang perit dan mencemaskan.

Rasulullah terpaksa berhadapan dengan perancangan dan strategi golongan Quraish yang ingin membunuh baginda, namun Rasulullah juga mempunyai perencanaannya tersendiri. Antara perencanaan penting baginda termasuklah merahsiakan rencana hijrahnya sehingga tidak seorangpun mengetahuinya termasuk Abu Bakar sendiri.
Tiada sahabat mengetahui peristiwa tersebut hingga ke saat pelaksanaan hijrah. Ini menunjukkan dalam beberapa hal yang penting, kerahsiaan merupakan keperluan strategik. Kebocoran maklumat itu kepada musuh akan mengakibatkan perencanaan itu gagal. Rasulullah juga memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib untuk menganti tempat tidurnya dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka baginda masih berada dalam biliknya.
Rasulullah juga tidak terus berangkat ke Madinah selepas keluar dari Mekah, sebaliknya menuju ke gua Thur selama tiga hari. Kemudian barulah Rasulullah berangkat menuju ke Madinah setelah gerakan Quraish sudah mengendur. Begitu juga baginda mendapat maklumat-maklumat terkini musuh menerusi Abdullah bin Abu Bakar yang ditugaskan mengumpul maklumat di Mekah pada waktu siang dan melaporkan kepada baginda pada waktu malam. Itu semua merupakan isyarat dari Rasulullah bahawa perjuangan harus dilakukan dengan perencanaan yang matang dan rapi. Peristiwa hijrah bukan berlaku secara kebetulan tetapi ia mengandungi hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu matlamat dan wawasan tidak akan tercapai tanpa perancangan yang teliti. Dalam konteks inilah bahawa segala wawasan yang ingin dicapai oleh pihak pemerintah memerlukan pelaksanaan yang matang dari semua pihak. Ia tidak akan tercapai sekiranya tidak ada perencanaan teliti sama ada dari pihak pemerintah dan rakyat. Sehubungan hal ini juga, Allah menyuruh umat Islam supaya bersiap sedia dengan segala kekuatan yang ada dalam menghadapi musuh. 

Firman Allah yang bermaksud ; “ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu mengentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak dianiayainya.” (Al-Anfal, ayat 60)

Ayat ini memerintahkan umat Islam membuat perancangan rapi dalam menghadapi musuh dalam bidang ketenteraan. Pada hari ini, umat Islam tidak lagi menghadapi ancaman dalam bidang ketenteraan sahaja tetapi juga dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, perancangan dan persiapan dengan segala kekuatan amat diperlukan dalam bidang-bidang tersebut. Dalam bidang politik umat Melayu, perpaduan merupakan senjata paling ampuh untuk membina kekuatan ummah. Hal sedemikian juga dalam bidang ekonomi yang mana negara-negara Islam kebanyakannya menghadapi ancaman ekonomi kapatalis dan sosialis yang mengganas. Perancangan yang rapi diperlukan untuk mebebaskan negara-negara Islam dari ikatan ekonomi tersebut. Tanpa perencanaan tersebut negara umat Islam dibelenggu kemunduran dan tidak akan bangun sebagai sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.

Peristiwa hijrah juga membuktikan bagaimana Rasulullah dan para sahabat berganding bahu dan saling bekerjasama dalam menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaiknya. Tiada dikalangan sahabat yang iri hati dengan sahabat yang lain. Semuanya diterima dan dilaksanakan dengan baik meskipun risikonya sangat besar. Misalnya peranan yang dilakukan oleh Saidina Umar yang mengisytiharkan dirinya untuk berhijrah dengan menyatakan bahawa sesiapa yang ingin anaknya menjadi yatim dan isterinya menjadi janda, cegahlah saya, kerana saya akan segera menyusul nabi berangkat ke Mekah. Ungkapan ini membuat orang-orang kafir menjadi hairan bilakah masa sebenar Rasulullah akan berhijrah. Anak-anak Abu Bakar juga memberi dukungan penuh dalam menjayakan penghijrahan ini dengan membawa makanan dan memberikan maklumat-maklumat penting kepada Rasulullah. Perkara ini memberi isyarat bagi umat Islam bahawa perjuangan menegakkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat tidak mungkin dilakukan seorang diri. Sehebat mana kualiti orang itu maka diperlukan juga orang ramai yang berkualiti untuk mendokong melaksanakan matlamat dakwah. Di samping mereka harus bekerjasama sebagaimana bangunan yang saling kuat menguat dan lengkap melengkapi. Dengan kata yang lain, umat Islam harus bekerja secara berpasukan lagi berkualiti dalam membangunkan negara.

Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” ( al-Shaaf, ayat 4)

Hijrah nabi juga memberi contoh kepada umat Islam betapa namanya perjuangan itu memang menuntut pengorbanan yang besar baik pengorbanan harta, jiwa, tenaga, fikiran, waktu dan perasaan. Dengan perasaan yang berat, Rasulullah dan Abu Bakar harus ikhlas meninggal kampung halaman dan keluarga. Abu Bakar sendiri berkorban dengan semua wang yang dimilikinya sebagai bekal dalam perjalanan jauh menuju Madinah. Dengan pengorbanan yang besar itulah, matlamat perjuangan akan tercapai hasil yang sepenuhnya. Orang-orang yang berkorban dengan penuh keikhlasan telah dijamin oleh Allah terhindar dari azab neraka yang pedih dan dimasukkan ke dalam syurga. Allah berfirman yang bermaksud : “ Wahai orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.” ( al-Shaaf, ayat 10-11)

Hijrah Rasulullah merupakan titik tolak ke arah perubahan minda umat Islam ketika itu. Umat Islam juga perlu hijrah sikap ke arah yang lebih baik. Sikap negatif seperti malas, lemah diri, suka bergantung kepada orang lain, penakut perlu ditinggalkan. Sementara itu, sikap melampau seperti tidak bertimbang rasa, terlalu keras, boros dan membazir perlu dihindari. Kedua-dua sikap buruk di atas boleh membawa kemunduran dan kehinaan kepada umat Islam.

Dalam meniti masa depan Islam seharusnya kita perlu optimis bahawa Islam akan kembali memimpin dunia walaupun peristiwa 11 September yang lalu serangan terhadap umat Islam semakin menjadi-jadi. Umat Islam sering dianggap pengganas dan bersikap fanatik. Oleh itu, kita perlu membersihkan diri dengan kembali berpegang teguh kepada identiti Islam yang sebenar dengan mengutamakan sifat-sifat kesederhanaan, toleransi dan keamanan sejagat. Umat Islam perlu yakin kemenangan Islam pasti akan datang sepertimana keyakinan Rasulullah apabila baginda menjanjikan mahkota Raja Kisra bin Hurmuz kepada Suraqah bin Malik.

Dengan tertegaknya masyarakat Islam di Madinah, maka ia menjadi suatu kebanggaan sebagai seorang muslim. Kebanggaan ini merupakan modal yang besar ke arah perkembangan dakwah seterusnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kebanggaan muslim itu sangat diperlukan agar seseorang itu terus merasai keuntungan menjadi seorang muslim dan tinggi derajatnya di sisi Tuhan. Allah menjanjikan kemenangan Islam terhadap hamba-hambaNya untuk menolong Islam, menyempurnakan cahayanya meskipun orang-orang kafir menghalanginya dan tidak menyukainya.

Firman Allah yang bermaksud : “ Mereka berhendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus RasulNya ( dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” (al-Taubat, ayat 32-33)

Kesimpulannya umat Islam perlu meningkatkan keimanan dan keyakinan, meningkatkan amal ibadat dan amal kebajikan, meningkatkan mutu akhlak, meningkatkan daya fikir dan meningkatkan usaha untuk hidup dengan lebih sempurna dan selesa di muka bumi termasuk mencari ilmu-ilmu semasa seperti ilmu sains dan ilmu teknologi.


Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.