Bicara Haraki

Nilai-Nilai Agama Pendorong Memperkasa Tamadun

Tamadun secara harfi ertinya berada ditahap maju. Para pengkaji membahagikan tamadun kepada dua pengertian iaitu pengertian yang objektif dan pengertian yang subjektif. Pengertian yang objektif iaitu suatu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi di dalam suatu masyarakat. Pengertian yang subjektif bermaksud tamadun digambarkan sebagai satu peringkat perkembangan kehidupan yang tinggi, yang berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas atau digambarkan kehidupan yang dapat atau hampir dapat mencapai ideal atau bentuk kehidupan yang tinggi yang hendak dicapai.
Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif sifatnya, bergantung kepada masa, tempat dan kepada nilai-nilai yang dianuti.

Sesuatu tamadun akan mengalami 3 peringkat iaitu:
a. peringkat kelahiran hingga mencapai peringkat puncak,
b. peringkat beku dan menurun,
c. peringkat keruntuhan dan kemusnahan.

Menurut Malik bennabi, tamadun peringkat kelahiran ditunjangi oleh idea keagamaan (fikrah diniyah)atau kerohanian dan ia bertemu puncak apabila kerohanian bercantum dengan akal. Kemudian tamadun itu akan menurun apabila unsur-unsur kerohanian sudah diketepikan. Tinggallah akan sendirian, tanpa bimbingan roh. Kemudian ia akan sampai kepada peringkat kehancuran apabila roh dan akal tidak lagi memandu kehidupan manusia. Ketika itu, hawa nafsu menjadi tuhan, berlaku korapsi dalam pentadbiran, penipuan, rompakan dan berbagai kebejatan moral yang akhirnya mempercepatkan lagi kehancuran sesuatu tamadun itu.

Krisis besar yang melanda umat Islam ialah krisis pemikiran dan kebudayaan. Ini termasuk hak individu mengkritik masyarakat dan masyarakat mengkritik individu iaitu adanya timbal balik dalam usaha ke arah membangunkan tamadun. Kuasa masyarakat dan hak individu hendaklah diakui. Tanpanya, masyarakat tidak lagi mempunyai kuasa untuk meletakkan nilai dan hukumnya ke atas individu dan individu pula bebas melakukan apa saja atas alasan itu adalah kebebasan yang tidak harus disekat. Perkara ini menyebabkan orang ramai tidak lagi terikat dengan ikatan agama dan ikatan undang-undang.

Hal yang demikian menyebabkan semua struktur masyarakat akan runtuh. Apabila berlakunya krisis kebudayaan orang ramai tidak dapat lagi berfikir secara praktikal dan melihat persoalan yang sebenar yang menimpa dirinya. Akhirnya lahirlah ulama, sarjana dan masyarakat yang berbicara persoalan yang remeh temeh seperti membincangkan jantina malaikat, hukum mengangkat jari ketika tasyahud dan sebagainya. Sedangkan persoalan membina tamadun dan memajukan umat diketepikan sahaja.

Untuk membina semula tamadun Islam, umat Islam harus kembali merenung diri sendiri untuk mencari penyakit yang dihadapinya. Mencari jalan untuk bangun tanpa mengetahui penyakitnya yang menyebabkan kejatuhan tidak dapat memperolehi kejayaan.

Tiga penyakit yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam hari ini ialah:
a. pemikiran yang mati,
b. jiwa yang lemah dan iman yang telah padam sinarnya.

Oleh itu, untuk membangun semula hendaklah diubati ketiga-tiga penyakit ini. Umat Islam perlu menghargai pemikiran dengan menganggap ia sebagai satu yang amat tinggi nilainya, bukan memilih jalan ‘benda’ untuk bangkit atau berada di bawah pemikiran penjajahan yang mendewakan Barat.

Umat Islam jangan terikat dengan pemikiran asing yang diimport dalam membentuk pemikiran mereka. Mereka perlu berpegang teguh kepada pemikiran Islam sendiri dan selari dengan nilai-nilai ajaran agama Islam. Di samping itu, kekuatan jiwa merupakan benteng utama dalam menghadapi cabaran zaman dan gelombang pergolakan dunia.. Umat Islam perlu mengangggap kerohanian sebagai satu aspek yang penting dalam membangunkan umat. Ajaran kerohanian ini perlu dilihat dalam konteks fungsi sosialnya yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada kehidupan manusia.

Dari latihan-latihan kerohanian ini akan lahir peribadi-peribadi mulia untuk membentuk suatu dunia yang aman damai.Malangnya, umat Islam tidak menghayati fungsi sosial agamanya di mana agama dan ajaran-ajarannya yang dinamik tidak dihayati dengan sebenarnya. Hasilnya lahirlah ajaran Islam dalam bentuk yang negatif dan beku. Amalan-amalan ibadat yang dilakukan tidak mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan mereka.

Oleh itu, masyarakat Islam perlu membebaskan diri dari warisan negatif yang dipusakainya sejak enam abad yang lalu dan selagi mereka ragu-ragu untuk membawa perubahan ke dalam diri manusia sesuai dengan ajaran Islam yang murni maka selama itulah usaha-usaha untuk mewujudkan perimbangan, kestabilan dan kemakmuran di dalam kehidupan serta membentuk tamadun baru akan gagal. Antara sikap negatif yang perlu dielakkan dalam menguatkan tamadun iaitu penghakisan nilai-nilai pokok tentang kebaikan, kebenaran, kesetiaan dan timbulnya aliran kerohanian yang bercanggah dengan Islam.

Perkara ini berlaku akibat pegangan terhadap unsur-unsur fahaman yang salah dan pegangan kepada agama yang sesat serta penafsiran yang tidak benar. Di samping itu, budaya mendewakan celebriti diutamakan daripada budaya mengikut contoh teladan yang sempurna daripada para nabi dan rasul dan mereka yang telah berjasa dalam sejarah Islam. Budaya ilmu juga diperdagangkan untuk mengaut keuntungan jangka pendek sedangkan ia merupakan teras dalam pembentukan peribadi yang bersepadu dan melahirkan masyarakat berilmu.

Apabila kita berfikir tentang pembinaan tamadun Melayu ia mestilah berakar kepada nilai-nilai ajaran Islam dalam ertinya yang luas dengan mengambil kira spektrum yang mencakupi intelektual, rohani, moral, peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan, siasah, sains dan teknologi terkini dalam memenuhkan keperluan negara sebenarnya. Bangsa Melayu telah bersatu padu dalam pegangan Islam dan faham ahli Sunnah wa jamaah. Ini merupakan faktor asas yang tidak boleh diganggu gugat. Penghayatan kepada agama memberi kekuatan dan pendorong dalam membina tamadun.

Malik bennabi menegaskan bahawa tamadun tidak mungkin lahir melainkan dengan adanya kepercayaan agama. Malah tamadun sesuatu umat itu tidak akan lahir melainkan mengikut wahyu yang diturunkan dari langit. Jelaslah bahawa nilai-nilai agama yang diturunkan dari langit merupakan faktor yang sangat penting dan merupakan pengatur serta penyusun dalam pembinaan sesuatu tamadun. Oleh sebab itu, golongan yang menyeru manusia supaya kembali kepada ajaran agama dan keimanan dalam usaha membentuk tamadun lebih hampir kepada kebenaran dari golongan ahli politik dan islah yang memisahkan agama dari kehidupan. Pemisahan iman dari kehidupan menjadikan menjadikan manusia hidup tanpa erti yang menghilangkan ghairah untuk memahami sesuatu dan akan hilang nafsu untuk bekerja.

Itulah sebab kebangkitan umat Islam sekarang mengalami kegagalan. Pembinaan tamadun hendaklah berpaksikan kepada kerohanian dan akhlak Islam yang benar untuk menjamin kesejahteraan hakiki. Tamadun itu juga mesti berteraskan hidup mengikut aturan-aturan syarak dalam hubungan dengan Tuhan, keluarga, kejiranan, kemasyarakatan dan kebangsaan. Di samping tamadun itu, tamadun yang membangunkan ekonomi yang adil, sama rata dan saksama dengan agihan hartanya yang wajar, tanpa unsur penindasan dan penzaliman.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.