Bicara Haraki

Malaysiakini-krasi: Media Baru dan Wacana Demokrasi(22 Mei 08)

Pada 13 Mei yang lalu, saya diundang untuk membentangkan kertas kerja mengenai”Dunia Siber: Fakta atau Fitnah” di Konvensyen Belia Kebangsaan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Panelis lain yang turut mengambil bahagian dalam pembentangan itu ialah mantan Menteri Besar Selangor, YB Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, dan blogger Puan Nisah Haron.

Dalam pembentangan tersebut saya melihat bahawa dunia siber pada hari ini boleh mengandungi kedua-duanya - fakta atau fitnah. Tentu sekali setiap bahan yang dimuatkan di blog, laman web, emel - malah di mana-mana jua - dipaparkan sebagai ”fakta”. Hanya pembaca yang cermat dan berpengetahuan boleh membezakan antara fakta dan fitnah. Lebih-lebih lagi dalam era politik demokrasi dan kebebasan bersuara pada hari ini dunia siber menjadi medan untuk seseorang mengenengahkan pandangan mengenai sesuatu isu bagi mempengaruhi orang lain. ”Fakta” seringkali dipaparkan secara selektif untuk menyokong satu sudut pandangan.

Kertas kerja yang saya bentangkan bertajuk ”Malaysiakini-krasi: Media Baru dan Wacana Demokrasi di Malaysia”. Dalam kertas kerja ini saya melihat laman web, blog, portal berita internet, emel, sms, youtube - yang seringkali disebut sebagai media baru - telah menamatkan dominasi media cetak dan media elektronik sebagai alat penyebaran ”fakta” yang disusun untuk menyokong satu sudut pandangan. Dalam konteks negara dan pemerintahan, sudut pandangan ini disebut sebagai ideologi pengabsahan (legitimating ideology). Di negara kita, ideologi ini boleh muncul dalam konsep-konsep mengenai Kontrak Sosial, Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Wawasan 2020, malah Islam Hadhari.


Kewujudan teknologi komunikasi maklumat telah membuka peluang kepada suara-suara pembantahan (dissenting voices) dalam masyarakat untuk mengemukakan sudut pandangan alternatif bagi menandingi ideologi pengabsahan pemerintah. Di Malaysia, idea-idea alternatif mengenai hubungan kaum, pembinaan negara, Islam dan demokrasi banyak didapati di laman-laman web dan portal berita internet. Fakta - malah mungkin juga ”fitnah” - dipersembahkan di dunia siber untuk menyokong sudut-sudut pandangan yang bertandingan antara satu sama lain. Untuk mengetahui secara lebih lanjut sila baca kertas kerja yang saya bentangkan di bawah.

Malaysiakini-krasi: Media Baru dan Wacana Demokrasi di Malaysia

Marzuki Mohamad


Teknologi komunikasi berkait rapat dengan pemeluasan ruang masyarakat sivil dan pemugaran demokrasi. Habermas melihat perkembangan komunikasi di zaman pasca-renaissance di Eropah sebagai sebahagian daripada kemunculan masyarakat sivil di mana golongan kelas menengah menggunakan media untuk menyuarakan pandangan mereka.[1] Kemajuan dalam teknologi komunikasi yang membawa kepada peningkatan penggunaan internet, telefon mudahalih dan sambungan tanpa wayar - yang juga disebut sebagai media baru - memudahkan penyaluran maklumat secara cepat dan bebas. Kawalan pemerintah ke atas penyaluran maklumat menjadi terbatas dan penyebaran ideologi pengabsahan (legitimating ideology) pemerintah juga semakin kurang berkesan. Sebaliknya, muncul pula aktor-aktor baru masyarakat sivil yang menggunakan teknologi komunikasi untuk menyebarkan idea-idea yang berlawanan dengan ideologi pengabsahan pemerintah dan mempopularkan faham demokrasi dan hak asasi manusia. Di samping itu, pihak pemerintah juga telah mengambil bahagian dalam teknologi komunikasi maklumat untuk meningkatkan populariti. Dalam konteks hubungan antara teknologi komunikasi dan politik demokrasi di Asia, Clarke membuat pemerhatian berikut:

"These innovations provide opportunities for participation in media production by individuals earlier prevented from involvement by the cost of the necessary technology and the difficulty of access ... For governments the new communication technologies represent a double-edged sword: they have seen their longstanding dominance of the media slipping away as the public sphere opens inexorably to many previously suppressed opinions and kinds of information, yet at the same time they can increase their popularity and status by participating themselves. Control is much more complicated than ever before.[2]"

Kertas ini bertujuan untuk menilai bagaimana teknologi komunikasi maklumat, terutama sekali penggunaan blog dan akses kepada portal berita internet, telah membuka ruang kepada suara-suara pembantahan (dissenting voices) dalam masyarakat untuk mempopularkan idea-idea alternatif yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas dalam media cetak. Di Malaysia, ideologi demokrasi liberal dan faham kiri telah sekian lama menandingi faham politik pembangunan, semi-demokrasi dan kompromi kaum berteraskan majoriti Melayu yang membentuk ideologi pengabsahan pemerintah. Ideologi pengabsahan ini tercerna antaranya dalam konsep “kontrak sosial”, Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Wawasan 2020.[3] Secara khusus kertas ini akan menganalisa wacana kontrak sosial dan kedudukan Islam di Malaysia yang disiarkan dalam Malaysiakini dan MalaysiaToday, iaitu dua portal berita internet popular di Malaysia, untuk melihat bagaiamana idea-idea alternatif telah dikemukakan oleh suara-suara pembantahan dalam masyarakat bagi menandingi ideologi pengabsahan pemerintah.

Malaysiakini dan Malaysia Today

Malaysiakini diasaskan pada akhir tahun 1999. Penubuhannya dilatari oleh cetusan gelombang Reformasi 1998 dan pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan pertarungan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan gabungan parti-parti pembangkang dalam Barisan Alternatif. Walaupun dalam pilihanraya tersebut BN berjaya mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan menguasai semua kerajaan negeri kecuali Kelantan dan Terengganu, peristiwa pemecatan, perbicaraan dan pemenjaraan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi lonjakan kepada wacana demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia. Malaysiakini, di samping beberapa laman web reformasi yang telah diwujudkan terlebih dahulu, telah menjadi saluran pemberitaan dan komentar politik alternatif untuk menyampaikan idea-idea pro-demokrasi dan hak asasi manusia.

Menurut Tong, dua pengasas Malaysiakini, wartawan Steven Gan dan Pramesh Chandran, mengasaskan portal berita internet tersebut untuk mengelak daripada sekatan-sekatan yang terdapat dalam Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 yang mengawasi media cetak.[4] Mula diperkenalkan sebagai portal berita internet percuma semasa kempen pilihanraya 1999, populariti Malaysiakini semakin meningkat menjelang pertengahan tahun 2000. Dalam bulan Jun 2000, purata jumlah pembaca Malaysiakini mencecah 100,000 orang setiap hari. Pada 8 Ogos tahun yang sama, iaitu ketika penghakiman kes Anwar Ibrahim diumumkan, Malaysiakini mencatat rekod jumlah pembaca tertinggi iaitu seramai 319,000 orang.[5] Walaupun Malaysiakini memperkenalkan perkhidmatan berbayar bermula pada bulan Februari 2002, jumlah pembaca Malaysiakini terus meningkat bergantung kepada isu dan peristiwa semasa. Semasa kempen pilihanraya kecil Ijok berlangsung dalam bulan April 2007, Malaysiakini mencatat purata jumlah “page view” sebanyak 1.3 juta setiap hari dengan 44,000 muaturun video daripada laman tv internetnya, Malaysiakini.tv.[6]

Walaupun Malaysiakini ditonjolkan sebagai media yang bebas, portal berita internet tersebut tidak terlepas daripada kontroversi. Majalah Far Eastern Economic Review keluaran Februari 2001 melaporkan pertubuhan amal Open Society Institute (OSI) milik spekulator matawang Amerika Syarikat George Soros turut membiayai organisasi-organisasi media di Asia termasuk Malaysiakini.[7] Bekas Editor Berita Malaysiakini, Chon Yen Long, kemudiannya mendakwa bahawa Malaysiakini menerima wang sejumlah RM 188,000 daripada Media Development Loan Fund (MDLF) yang dikaitkan dengan OSI milik Soros.[8] OSI merupakan sebuah badan amal yang memberikan dana kepada organisasi-organisasi yang mempromosi idea-idea demokrasi liberal dan pasaran bebas. Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Pramesh Chandran, kemudiannya menafikan bahawa media tersebut mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Soros. Beliau walau bagaimanapun mengakui bahawa organisasi tersebut merupakan salah satu daripada 20 organisasi yang menerima dana daripada Centre for Advanced Media, Prague (C@MP) yang merupakan sebahagian daripada MDLF yang dikiatkan dengan Soros.[9]

Malaysia Today diasaskan oleh Raja Petra Kamaruddin pada tahun 2004. Sebelum mengasaskan MalaysiaToday, Raja Petra merupakan pengarah freeanwar.com, sebuah laman web yang giat berkempen untuk pembebasan Anwar Ibrahim. Laman tersebut ditutup selepas pembebasan Anwar dalam bulan September 2004. Berbeza dengan Malaysiakini, laman Malaysia Today yang boleh diakses secara percuma lebih bersifat komentar daripada pemberitaan. Ruangan “No Holds Barred” yang memuatkan tulisan-tulisan Raja Petra sarat dengan kritikan-kritikan terhadap pemerintah, terutamanya yang berkaitan dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa. Antara siri “komentar pedas” MalaysiaToday termasuklah siri serangan terhadap Khairy Jamaluddin dalam “The Khairy Chronicles”, “pendedahan” amalan rasuah dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia dan liputan pembunuhan model Monggolia, Altantunya Shaaribu, yang dikaitakan dengan pimpinan tertinggi negara. Sepertimana Malaysiakini, populariti Malaysia Today juga bergantung kepada isu dan peristiwa. Ketika krisis Mahathir-Abdullah memuncak dalam bulan Oktober 2006, laman web tersebut mencatat jumlah purata lawatan sebanyak 1.7 juta sehari.[10]

Sifat “bebas” laman Malaysia Today juga sering dipersoalkan. Dalam krisis Mahathir-Abdullah, MalaysiaToday banyak menyiarkan tulisan-tulisan pro-Mahathir. Perkembangan ini dilihat sebagai mengejutkan kerana Raja Petra merupakan “penyokong kuat” Anwar, musuh ketat Mahathir, ketika mantan Timbalan Perdana Menteri itu meringkuk di penjara. Sebelum itu, beliau mengkritik Anwar kerana kononnya Anwar telah berpakat dengan Khairy Jamaluddin untuk menyertai UMNO. Oleh kerana kritikannya yang pedas dan sensasi, Raja Petra sering digelar oleh kawan dan lawan sebagai “the loose canon”, opportunis, malah penulis upahan.[11]

Dalam satu forum di Kuala Lumpur pada bulan Disember 2006, Raja Petra mengakui bahawa laman web tersebut telah “digunakan” oleh ahli-ahli politik, terutamanya ahli-ahli politik UMNO, untuk melancarkan serangan peribadi terhadap satu sama lain. Malaysiakini memetik kenyataan Raja Petra dalam forum tersebut seperti berikut:

“if you are president of Umno, you become prime minister, so everyone wants to be president of Umno. So in that sense, there is a need to topple and sabotage each other. So those in the ruling party use us (Malaysia Today) as prostitutes, if you wish”. (Jika anda Presiden UMNO, anda menjadi Perdana Menteri, oleh itu semua orang mahu menjadi Presiden UMNO. Justeru, ada keperluan untuk menjatuh dan mensabotaj satu sama lain. Jadi, orang-orang dalam parti pemerintah (UMNO) menggunakan kami (Malaysia Today) sebagai pelacur, jika anda ingin mengatakan demikian).[12]
 


Wacana Kontrak Sosial dan Islam

Seperti yang dijelaskan di permulaan, kertas ini akan menganalisa wacana mengenai kontrak sosial dan Islam sepertimana yang terkandung dalam tulisan-tulisan yang tersiar dalam Malaysiakini dan Malaysia Today untuk melihat bagaimana ideologi pengabsahan pemerintah dalam kedua-dua aspek ini telah dicabar oleh suara-suara pembantahan dalam masyarakat sivil. Suara-suara pembantahan ini tidak bersifat ”neutral” tetapi sarat dengan ideologi.

Kontrak Sosial

Konsep ”kontrak sosial” itu sendiri sebenarnya sarat dengan makna ideologikal. Dalam tradisi Barat, kontrak sosial - yang merupakan satu fiksyen sejarah - sepertimana yang dibicarakan oleh John Locke dan Rousseau adalah berasaskan kepada keutamaan untuk menjaga keselamatan atau kebebasan individu yang menjadi asas kepada faham demokrasi liberal. Namun begitu, dalam konteks negara Malaysia, istilah kontrak sosial digunakan untuk merujuk kepada persetujuan bukan formal yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum sebelum negara beroleh kemerdekaan. Terma-terma persetujuan ini menjadi asas kepada politik kompromi kaum yang bertujuan untuk memenuhi kepentingan kaum yang berbeza, bukannya kebebasan individu. Dalam melaksanakan persetujuan ini, terdapat hak-hak individu yang disekat. Justeru, sementara istilahnya sama, kedua-dua konsep tersebut mempunyai makna ideologi yang jauh berbeza.

Dalam membahaskan isu dan konsep kontrak sosial di Malaysia, rencana-rencana dalam Malaysiakini nampaknya lebih cenderung untuk mengutarakan dimensi ideologi demokrasi liberal daripada sisi politik kompromi kaum. Pada tahun 2000, ketika wujud sedikit ketegangan dalam hubungan kaum ekoran isu tuntutan Suqiu dan kritikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, terhadap pertubuhan Cina itu, rencana-rencana dalam Malaysiakini banyak mempersoalkan pelaksanaan kontrak sosial yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu/Bumiputera. Istilah Umno-putera sebaliknya digunakan secara sinis. Salah satu rencana dalam Malaysiakini menyebut:

"What social contract is Prime Minister Dr Mahathir Mohamad talking about? The real feeling on the ground or what the majority of Malays are now thinking is that Mahathir is really saying "do not question the Umnoputra rights" and "do not jeopardise the Umnoputra's ‘lucrative contracts'." There is no such thing as a "social contract" in Umno's vocabulary.[13]"

Ada juga yang melihat wacana kontrak sosial sebagai alat ideologi untuk mewajarkan diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu.

"Recent developments like Prime Minister Dr Mahathir Mohamad's constant reference to the "social contract" between Malays and Chinese 50 years ago, Umno's impatience to pursue "Malay unity" talks with PAS, and Umno Youth putting pressure on Suqiu to back down regarding certain alleged requests on Malay special rights, have collectively indicated Umno's attitude towards the Chinese: they send clear and unmistakable signals that when the crunch comes, the Chinese are still regarded as first and foremost, overseas Chinese with all kinds of ascribed stigmas, never mind that they are also Malaysian citizens.[14]"

Malaysiakini juga memberi ruang kepada penulis-penulis “anti-establishment” untuk “mencabar” ideologi pengabsahan pemerintah dengan mengaitkan konsep kontrak sosial dengan idea-idea eksploitasi dan hegemoni. Dr. Azly Rahman, dalam kolum tetapnya di Malaysiakini melihat hujah keharmonian kaum dan Dasar Ekonomi Baru sebagai alat ideologi untuk mengeksploitasi golongan yang lemah dalam masyarakat. Dalam rencananya yang bertajuk ”Malay Myth as Colonizing Strategy”, Azly menyebut:

"Peace and harmony is trumped as an ideology of unquestioning ideology so that the process of exploitation can be done not only less painfully but with all the pomp and pageantry of stylised postmodern-slavery ... What sort of urban post-urban myth are we to create to sustain the ideology of post-industrial tribalism in an age of cut-throat capitalist competition that is now eating away the moral, physical and emotional fabric of powerless, alienated and helpless Malaysians of all races of the underclass? [15]"

Bekas profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. P. Ramasamy (kini Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang), melalui konsep “negara hegemoni Melayu”, mengkritik politik berteraskan kaum yang kononnya membiarkan kaum Melayu mendominasi kaum-kaum lain di negara ini. Dalam rencananya “Diabolical Game of the Malay Hegemonic State”, beliau menulis:

"Whether we admit it not, it is the preponderant role of the Malay hegemonic state that denies democracy, justice and equality to the various nationalities in Malaysia ... Forty-three years of Umno’s political dominance has ethnised Malaysian politics to the extent where institutions, policies, administration, the mind-set and others have been totally geared to see only members of the Malay race have an important edge over members of other ethnic nationalities.[16]"

Malaysia Today juga mencabar ideologi pengabsahan pemerintah atas asas yang sama. Menjadi kebiasaan laman web ini untuk menyiarkan rencana-rencana yang telah disiarkan di media lain termasuklah Malaysiakini. Jadi, tidak hairanlah banyak rencana-rencana “anti-establishment” di media lain yang turut tersiar di Malaysiakini. Namun yang menariknya ialah ruangan forum pembaca di akhir setiap rencana yang disiarkan. Melalui forum ini, banyak pandangan-pandangan yang ekstrim, malah bersifat cauvinis, dipaparkan untuk tatapan umum. Dalam perbahasan terkini mengenai isu kontrak sosial ekoran kenyataan Professor Diraja Ungku Abdul Aziz yang menafikan kewujudan “kontrak sosial” tetapi sebaliknya “kontrak ekonomi” untuk membantu golongan yang lemah,[17] terdapat komen-komen pembaca yang ekstrim berunsur fitnah (defamatory) dan menghasut (seditious). Sebagai contoh “technoboy” menuduh:

"What social contract, it is all a ploy by UMNO to justify their master role within BN so that MCA. MIC and Gerakan will kowtow to them. Now that LKY acknowledges the "beggar" tag, we see thru UMNO's real intention, all these are the evil doings of UMNO politicians to use it as a leverage to ask for more and more so that they can fool the Malay community of their noble mission to protect Malay rights whilst robbing the nation including the privileges of the Malay community for the benefits of UMNO elites and BN elites who are not even Malay, people like Samy, LL SHit, Vincent Tan, Ananda, etc, etc.[18]"

“Countach” pula mengata:

"I agree with Mahathir, the Father of Corruption. Korek, korek, korek, There was 'social contract' between Mugabe and Mahathir to rape and plunder their own country for 22 years.[19]"

“Ttsan” pula menyampuk:

"Another melayu lama barking.don't they know how to shut up.[20]"

“Mikewang” pula mengugut:

"Malay rights are in the constitution. I don't dispute that. However, the NEP is not. Social contract is as per condition existed at independence. ie. the extent of rights and privileges as prescribed and practised at the material time. Not a Never Ending Policy of apartheid. If you can find NEP in any agreement or "social contract", I'll take all my money out of the country and emigrate.[21]"

Islam

Wacana mengenai Islam di kedua-dua portal berita internet ini juga lebih cenderung untuk mengenengahkan Islam sebagai agama yang secocok, jika tidak “subservient”, kepada nilai-nilai demokrasi liberal Barat. Di samping itu, banyak terdapat rencana-rencana yang mengkritik dasar-dasar kerajaan mengenai Islam yang seringkali disebut sebagai “creeping Islamization” yang didakwa bukan sahaja bertentangan dengan nilai-nilai hak asasi sekular-liberal Barat tetapi juga mengekalkan polarisasi masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia . Pandangan ini boleh dilihat dalam rencana-rencana dan berita-berita mengenai kes-kes Lina Joy, Moorthy @ Muhammad Abdullah, Shamala, Subashini, Kamariah Ali dan Ayah Pin.

Dalam bulan Januari dan Februari 2005, Farish Noor dalam kolumnya di Malaysiakini menulis siri rencana yang mengritik dasar dan peranan Islam dalam negara yang didakwa bersifat “autoritarian” dan menggalakkan perpecahan dalam masyarakat berbilang agama.[22] Dalam salah satu kritikannya terhadap pelaksanaan udang-undang Islam terhadap “pesalah moral” (mereka yang didapati bersalah melibatkan diri dalam kegiatan perjudian, meminum arak, khalwat dan lain-lain kesalahan jenayah syariah) Farish menulis:

"Today all over the Muslim world we have seen the emergence of right-wing neo-fascistic tendencies that aim towards a totalised control of society. The same tendencies were evident in the rise of the Nazis and fascists in Europe, as well as the communist regimes under Stalin and Mao, and even in the regime of Pol Pot in Cambodia. In all cases, the creation of a ‘morality police’ is the first step towards the state’s penetration into the most private, intimate (and therefore vulnerable) aspect of the citizenry’s lives .... But worst of all, the policing of the Malay-Muslim community threatens to undermine the most sensitive project of all: nation-building itself. For what kind of a Malaysian nation are we indeed building today, when there is one set of laws for Malay-Muslims and another for the rest? While the Malay-Muslim parties like Umno and PAS continue to out-do each other in the Islamisation race, they are in danger of entrenching deeper mistrust and misunderstandings between the communities at the same time. What began as a Malay-Muslim issue has now become a matter of national concern, and this writer would argue that this is now a Malaysian problem.[23]"

Di samping Farish Noor, beberapa kolumnis Malaysiakini seperti Salbiah Ahmad, Dr. Azly Rahman, Fathi Aris Omar, Lee Ban Chen dan Phar Kim Beng, turut memberikan perspektif “anti-establishment” dalam rencana-rencana mereka mengenai Islam.[24]

Perbincangan mengenai Islam di Malaysia Today banyak dicorakkan oleh tulisan Raja Petra dan penulis tamu seperti Farouk A Peru. Raja Petra yang pernah menggelarkan dirinya sebagai seorang “born-again Muslim”[25] mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai Islam. Sebagai seorang yang tidak berlatarbelakangkan pendidikan Islam formal, beliau menunjukkan sikap yang agak sinikal terhadap “form” Islam, terutamanya aspek-aspek ritual agama. Dalam tulisan terbarunya mengenai Islam, “What is Islam?”, Raja Petra menulis:

"Rituals, however, are just that, rituals. These are what Muslims would call fardu ain. You acknowledge in your heart and on your lips that there is no God but God and that Muhammad is the Messenger of God, you pray five times a day, you pay your tithes (zakat and fitrah), you fast 29-30 days in a year during the month of Ramadhan, and you go Mekah at least once in your lifetime to perform your pilgrimage or Haj if you are able to (health-wise, finance-wise, and if it poses no danger to your safety and security and you are not barred from leaving your home) ... Doing these five things would make you a Muslim but only as far as performing the rituals are concerned. Whether you are truly a Muslim at heart or just a ‘show’ Muslim would be subject to whether you really have faith or akidah. And akidah can never be in the rituals you perform. It has to be something that rests in your head and lies in your heart. Which means you have no control over akidah. Either you have it or you don’t. You can’t ‘perform’ akidah like you can your prayers, fasting, Haj, and so on.[26]"

Kritikan terhadap amalan Islam lebih lantang dalam ruangan forum. Di akhir rencana bertajuk “Creeping Creeping Radicalism: Malaysians wonder if they are edging toward an Islamic state”, seorang penulis forum mengulas,

"Muslims in a way suffer from "besieged complex", not only judgementalism pressure coming from their own community but "The BIG Brother" is always watching over their shoulders, some say that muslims girls are more religious today because of better education awareness but is it true,!?[27]"

Bahkan kata-kata kesat juga digunakan. Dalam satu komentar tentang insiden demonstrasi membantah kumpulan “Artikel 11” di depan Hotel Cititel di Pulau Pinang dalam bulan Mei 2006, seorong penulis forum “Casper” mengecam kumpulan Islam yang berdemonstrasi:

"The nation died a little over yesterday's incident all thanks to the pack of dogs howling by the roadside of Cititel. As it is, the monkeys dominate higher office while the dogs enforce terror in the streets.[28]"

Seorang lagi penulis forum bernama samaran “Fan # 1, Allah Fan Club” menyampuk:

"Undang2 Allah"? Undang2 karut yang berasaskan fantasi? Baik aku emel Tuan Allah segera supaya dapat dibuktikan yang Ianya memang wujud dan pernah mengistiharkan "Undang2 Allah" ni, sebelum undang2Nya disindir oleh mereka yang mengatakan kenapa kehidupan kita mesti dibebankan dengan Undang2 Allah yang dianggap karut ni sementara kewujudan Tuan Allah sendiri pun sebenarnya satu soalan besar? Mampuslah Malaysia ... Gila betul.[29]"

Komentar-komentar penuh emosi seperti ini mengundang komentar balas yang juga penuh emosi. Lihat umpamanya komentar “play_achilot” dalam ruangan yang sama:

"Apa hal ni Casper-c? Sporting lah sikit? Perangai dan celupar tulisan kamu tu lebih paria dari paria. Tak fahamkah terdapat pelbagai mod yang dipakai manusia di tamaddun ni untuk meluahkan ketidak-senangan hati terhadap sesuatu perkara. Cara berlembut dan percubaan untuk membicarakan secara intellektual pun tetap berjalan dan akan diteruskan untuk berdailog bukan dengan orang macam kamu tapi orang yang lebih cerdik dan berbudi bahasa dari kamu. Orang macam kamu ni sesuai dengan cara jalanan sahaja. You sounds more like a failed frustrated communist/sociallist liar of their perception on society or an extreme chauvanist, non religious, unthrusworthy, uneducated zealout who look at others as dogs all the same. You are no different with Stalinist/Leninist type in the soviet era who prey on sincere Muslims only to get support but once objectives are achieved killed all Muslim scholars after the Revolution against the cruel Russian Czar. To people like ends justify means. Please be aware that all these whiles Muslim had been lying low but of course watching how far these IFC and liberals ones like you are behaving. There is limit in everything. The court decision will be challenged by the Syariah Courts and the Ummah in Malaysia whether you like it or not. OK!"

Kesimpulan

Teknologi komunikasi telah memberi ruang kepada suara-suara pembantahan dalam masyarakat untuk menyuarakan pandangan, sekaligus mempersoal ideologi pengabsahan pemerintahan dan menyemarakkan amalan demokrasi. Penyiaran tulisan-tulisan berbentuk anti-establishment dalam media baru telah membuka peluang kepada pelbagai kelompok dan kumpulan berkepentingan dalam masyarakat sivil untuk menyuarakan hak mereka dan memastikan kerajaan lebih bersifat responsif terhadap kebajikan mereka. Tetapi pada masa teknologi komunikasi juga telah mencipta satu ruang kelam di alam maya yang menghakis nilai etika serta sikap hemah dan tanggungjawab dalam menyampaikan pandangan. Berselindung di sebalik nama-nama samaran, individu-individu dari pelbagai latar belakang budaya, tahap pendidikan dan taraf sosio-ekonomi, mengambil bahagian dalam berwacana - sesetengahnya secara rasional, tetapi ramai pula secara penuh beremosi. Ini tentu sekali memberi kesan yang besar terhadap rupa wajah dan kualiti demokrasi dan masyarakat sivil di Malaysia. Sebuah demokrasi yang matang dan berkualiti tinggi tentu sekali mementingkan nilai-nilai estetika dan tradisi keilmuan dalam berwacana. Apatah lagi dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, batas-batas adab berwacana perlu digaris agar wacana bebas di alam maya berlangsung dalam suasana yang harmoni, waras dan menyumbang kepada pembinaan bangsa.

Bibliografi

Azly Rahman. 2006. Don’t Imprison Apostates. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/columns/60457 (Diakses pada 13 Mei 2008)

Clarke, Judith. 2004. “Democracy and New Communication Technology: The Asian Struggle”. Dlm Steven Gan, James Gomez & Uwe Johannen (eds). Asian Cyberactivism: Freedom of Expression and Media Censorship. Singapore: Friedrich Naumann Foundation.
Farish A. Noor. 2005a. Not Just a Malay-Muslim Problem. Malaysiakini.
http://www.malaysiakini.com/columns/33258. (Diakses pada 13 Mei 2008).
_____________. 2005b. The Weapon Against Religious Authoritarianism. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/columns/33323. (Diakses pada 13 Mei 2008).
_____________. 2005c. Welcome to Talibanaysia. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/columns/33219. (Diakses pada 13 Mei 2008).
Fathi Aris Omar. 2004. Ruang Awam: Kemelut Puak Islam. Malaysiakini.
http://www.malaysiakini.com/columns/21055 (Diakses pada 13 Mei 2008).
Habermas, Jurgen. 1989. The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society. Polity Press.
Hilley, John. 2002. Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition. London: Zed Books.
Lee Ban Chen. 2001. The Islamic State Debacle. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/columns/7017 (Diakses pada 13 Mei 2008).
Marzuki Mohamad. 2005. Interfaith Commission: Two Competing Views. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/opinionsfeatures/34044 (Diakses pada 3 Mac 2005).
_______________. 2006. Nothing Wrong With Multiculturalism?. Malaysiakini.com,
http://www.malaysiakini.com/opinionsfeatures/57090 (Diakses pada 21 September 20006).
Phar Kim Beng. 2004. Islamic State Concept Too Narrowly Conceived. Malaysiakini.
http://www.malaysiakini.com/columns/30581 (Diakses pada 13 Mei 2008).
Raja Petra Kamaruddin. 2008. What is Islam? Malaysia Today. http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/7068/84/ (Diakses pada 13 Mei 2008).
Salbiah Ahmad. 2007. Islam and Law-Making. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/columns/71141 (Diakses pada 13 Mei 2008)
Tong Yee Siong. 2004. “Malaysiakini: Treading a Tightrope of Political Pressure and Market Factor”. Dlm Steven Gan, James Gomez & Uwe Johannen (eds). Asian Cyberactivism: Freedom of Expression and Media Censorship. Singapore: Friedrich Naumann Foundation.


* Kertas ini dibentangkan di Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 13 Mei 2008 bertempat di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur.
** Marzuki Mohamad ialah pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
[1] Habermas (1989).
[2] Clarke (2004: 4).
[3] Untuk perbincangan lanjut mengenai pembinaan ideologi keabsahan di Malaysia dan peranan intelektual organik (organic intellectual) dalam mempopularkan ideologi tersebut, lihat Hilley (2002).
[4] Tong (2004: 281). Malaysiakini didaftarkan di bawah Akta Syarikat sebagai sebuah syarikat sendirian berhad. Southeast Asian Press Alliance (Seapa) yang berpangkalan di Bangkok menyumbang sebanyak AS$ 100,000 (RM 380,000) sebagai modal awal penubuhan Malaysiakini. Para pengasas Malaysiakini turut menyumbang modal tambahan sebanyak AS$ 32,000 (RM 120,000).
[5] Tong (2004: 283).
[6] Malaysiakini, 27 April 2007.
[7] Tong (2004: 286).
[8] The Sun, 3 Mac 2001.
[9] New Straits Times, 5 Mac 2001.
[10] Perbincangan tidak formal bersama Raja Petra Kamaruddin, 31 Oktober 2006, Sungai Buloh, Selangor.
[11] The Star, 14 Januari 2006.
[12] Malaysiakini, 8 Disember 2006.
[13] Malaysiakini, 18 Disember 2000.
[14] Malaysiakini, 23 Januari 2001.
[15] Malaysiakini, 9 Julai 2007.
[16] Malaysiakini, 28 Februari 2001.
[17] Lihat “No Such Thing as Social Contract”, New Straits Times, 12 May 2008.
[18] Malaysia Today, 12 Mei 2008, http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/7276/1/.
[19] Malaysia Today, 12 Mei 2008, http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/7276/1/.
[20] Malaysia Today, 12 Mei 2008, http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/7276/1/.
[21] Malaysia Today, 12 Mei 2008, http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/7276/1/
[22] Farish (2005a, 2005b, 2005c).
[23] Farish (2005a).
[24] Lihat umpamanya Salbiah (2007), Azly (2006), Fathi (2004), Lee (2001) dan Phar (2004). Untuk rekod, rencana penulis mengenai Islam - sebahagiannya menyanggah pandangan “anti-establishment” - turut disiarkan di Malaysiakini. Lihat umpamanya Marzuki (2006, 2005).
[25] Lihat “The Prince and the Pretender”, Malaysia Today, 26 September 2004.
[26] Raja Petra (2008).
[27] Malaysia Today, 24 Januari 2005.
[28] Malaysia Today, 15 Mei 2006.
[29] Malaysia Today, 15 Mei 2006.
 
 
****Kertas Kerja ini telah dibentangkan oleh Dr. Marzuki Mohamad di Konvensyen Belia Kebangsaan 13 Mei 2008 " Hotel The Pearl ( marzukimohamad.blogspot.com) 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.