Bicara Haraki

Di Mana Nilainya Amalan Si Hamba

Kita telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan pelbagai nikmat untuk kita syukuri. Nikmat masa dan kehidupan, nikmat berkeluarga, nikmat makanan dan minuman serta bermacam-macam lagi yang tidak dapat kita nilaikan. Walau bagaimanapun, nikmat yang paling utama yang membezakan kita daripada makhluk-makhluk lain adalah nikmat akal yang telah Allah kurniakan kepada kita umat manusia ini, iaitu kemampuan kita untuk berfikir dan menganalisa serta membuat pertimbangan yang wajar sesuai dengan kehendak al-Khaliq.

Apakah kita telah menggunakan sepenuhnya segala kurniaan Allah s.w.t. itu dengan sebaik-baiknya? Perlulah kita meluangkan masa kita sehari-hari untuk bermuhasabah dan menilai segala amalan kita sebelum amalan-amalan tersebut dinilai oleh Allah s.w.t. kerana jika kita terus lalai dan sentiasa merasakan bahawa amalan serta perbuatan kita telah sempurna di mata Tuhan, ditakuti perkara-perkara kecil yang tidak kita perincikan dan perbaiki kecacatannya akan merosakkan amalan serta ibadat kita sepanjang hayat. Pergunakanlah akal anugerah Allah itu untuk sentiasa berfikir dalam meningkatkan kualiti hidup kita di dunia mahupun di akhirat.
Bersama-samalah kita merenung dan mengambil iktibar berdasarkan lampiran kisah di dalam hadith ini. 

Di dalam Kitab Minhajul ‘Abidin : Wasiat Imam Ghazali , terjemahan Ir. Zakaria Adham, telah disebutkan bahawa Ibn Mubarak telah menceritakan bahawa Khalid bin Ma’dan berkata kepada Mu’adz, “ Wahai Muadz, mohon diceritakan hadith Rasulullah s.a.w. yang telah engkau hafal dan engkau anggap paling berkesan, hadith yang manakah menurut tuan?”

Lalu, Muadz menjawab, “Baiklah, aku akan ceritakan.”

Walau bagaimanapun, sebelum menceritakan berkenaan hadith tersebut, beliau menangis, lalu berkata, “Aku rindu sekali dengan Rasulullah s.a.w, rasa-rasanya ingin segera bertemu dengan baginda.”

Beliau kemudian menyambung; “Tatkala aku mengadap Rasululullah s.a.w, baginda sedang menunggang unta dan menyuruhku naik di belakang baginda. Kemudian, kami berdua memulakan perjalanan dengan menaiki unta tersebut. Baginda Rasulullah s.a.w selepas itu menengadah ke langit dan bersabda yang bermaksud:

Puji syukur kehadhrat Allah Yang Berkehendak atas makhluk-Nya, ya Muadz! Muadz menjawab, “Ya Sayyidina Mursalin.” Baginda berkata selanjutnya, “Sekarang aku akan mengisahkan satu cerita kepadamu. Sekiranya engkau menghafalnya, ia akan menjadi sangat berguna kepadamu. Tetapi jika engkau anggap remeh, maka di hadapan Allah kelak, engkau tidak mempunyai hujjah.

Hai Muadz! Sebelum menciptakan langit dan bumi Allah telah menciptakan tujuh malaikat. Pada setiap langit terdapat seorang malaikat penjaga pintu, dan setiap pintu langit dijaga oleh seorang malaikat, menurut darjat pintu dan keagungannya.

Dengan demikian, malaikatlah yang memelihara amalan si hamba. Kemudian malaikat pencatat membawa amalan si hamba ke langit dengan kemilau cahaya bak mentari. Sesampainya pada langit pertama, malaikat Hafadzah memuji amalan-amalan itu. Tetapi setibanya pada pintu langit pertama, malaikat penjaga pintu berkata kepada malaikat Hafadzah:

“Tamparkanlah amal ini ke muka pemiliknya. Aku adalah penjaga orang-orang yang suka mengumpat. Aku diperintahkan agar menolak amalan orang yang suka mengumpat. Untuk mencapai langit berikutnya aku tidak mengizinkan ia melewatiku.”

Keesokan harinya, malaikat Hafadzah kembali naik ke langit membawa amal soleh yang berkilau, menurut malaikat Hafadzah amalan tersebut sangat banyak dan terpuji. Setelah berjaya melepasi langit pertama sampailah amalan tersebut ke langit kedua, penjaga langit kedua berkata, “Berhenti, dan tamparkan amalan itu ke muka pemiliknya, kerana hamba ini beramal dengan mengharap dunia. Allah memerintahkan aku agar amalan ini tidak sampai ke langit berikutnya.” Maka para malaikat melaknat orang itu.

Pada hari berikutnya, malaikat Hafadzah kembali naik ke langit membawa amalan seorang hamba yang sangat memuaskan, penuh sedeqah, puasa dan berbagai kebaikan, yang dianggapkan oleh malaikat itu sebagai amalan yang sangat mulia dan terpuji. Sesampainya di langit ketiga, malaikat penjaga berkata: “ Berhenti! Tamparkan amalan itu ke wajah pemiliknya. Aku malaikat menjaga kibr (sombong). Allah memerintahkanku agar amalan seperti ini tidak melewati pintuku dan tidak sampai pada langit berikutnya. Itu semua adalah kerana kesalahan si hamba kerana ia berlaku takabbur di dalam majlis.”

Malaikat Hafadzah naik ke langit membawa amal hamba yang lain. Amalan ini seperti bintang kejora, mengeluarkan suara gemuruh, penuh dengan tasbih, puasa, solat, ibadat haji dan umrah. Sesampainya pada langit keempat, malaikat penjaga langit berkata: “ Berhenti! Lemparkan amal itu ke wajah pemiliknya. Aku adalah malaikat penjaga ‘ujub. Allah memerintahkanku agar amalan itu tidak melewatiku kerana amalnya disertai ‘ujub.”

Malaikat Hafadzah kembali naik ke langit membawa amal hamba yang lain. Amalan itu sangat baik dan mulia, jihad, ibadah haji, ibadah umrah, sehingga berkilauan bak matahari. Sesampainya pada langit kelima, malaikat penjaga mengatakan: “Aku malaikat penjaga sifat hasad. Meskipun amalannya bagus, tetapi ia suka hasad kepada orang lain yang mendapatkan kenikmatan Allah s.w.t. Bererti ia membenci sesuatu yang Allah redhai. Aku diperintahkan oleh Allah agar amalan seperti ini tidak melalui pintuku.”

Kemudian, naiklah lagi malaikat Hafadzah ke langit membawa amal seorang hamba. Ia membawa amalan berupa wudhu’ yang sempurna, banyak solatnya, puasa, haji dan umrah. Sesampainya di langit keenam, malaikat penjaga berkata: “Aku malaikat penjaga rahmat. Amal yang kelihatan bagus ini tamparkan ke mukanya. Selama hidupnya, ia tidak pernah mengasihani orang lain, bahkan apabila ada orang ditimpa musibah ia merasa senang. Aku diperintahkan Allah agar amalan ini tidak melalui pintuku, dan agar tidak sampai ke langit seterusnya.”

Kembalilah malaikat Hafadzah ke langit dan amalan yang dibawa pada kali ini berjaya melepasi pintu-pintu langit yang lain sehinggalah langit ketujuh. Amalan kali ini tidak kalah baiknya dari yang terdahulu seperti sedekah, puasa, solat, jihad dan wara’nya pemilik amalan itu. Suaranya pun menggeledak bagaikan petir yang menyambar-nyambar dan cahayanya bak kilat. Tatkala sampai ke pintu langit ketujuh, berkatalah malaikat penjaga: “ Aku malaikat penjaga sum’at (sifat ingin terkenal). Sesungguhnya pemilik amalan ini menginginkan dirinya dikenali dalam setiap perkumpulan, menginginkan darjat yang tinggi di kalangan rakan-rakannya dan ingin mendapatkan pengaruh daripada para pemimpin. Aku diperintahkan oleh Allah agar amalan ini tidak melalui pintu ini dan sampai kepada yang lain kerana ibadah yang bukan kerana Allah adalah riya’ . Allah tidak menerima ibadah orang-orang yang riya’.

Kemudian, naiklah lagi malaikat Hafadzah ke langit membawa amal ibadah seorang hamba yang lain berupa solat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, pendiam serta suka berdzikir kepada Allah s.w.t. Dengan diiringi para malaikat, sampailah malaikat Hafadzah menembusi hijab-hijab sehinggalah sampai mengadap Allah Azzawajalla. Para malaikat itu berdiri di depan Allah yang Maha Agung dan para malaikat semuanya menyaksikan bahawa amal ibadah itu adalah benar-benar sah dan ikhlas kerana Allah s.w.t.

Kemudian Allah Taala berfirman;

Hai Hafadzah, malaikat pencatat amal hamba-Ku, Aku-lah Yang Mengetahui isi hatinya. Ia beramal bukan untuk Aku, tetapi diperuntukkan bagi selain Aku, bukan diniatkan dan diikhlaskan untuk-Ku. Aku lebih mengetahui daripada kalian. Aku laknat mereka yang telah menipu orang lain dan juga menipu kalian (para malaikat Hafadzah). Tetapi aku tidak tertipu olehnya. Aku-lah Yang Maha Mengetahui hal-hal ghaib. Aku Mengetahui segala isi hatinya, dan yang samar tidaklah samar bagi-Ku. Setiap yang tersembunyi tidak tersembunyi bagi-Ku. Pengetahuan-Ku atas segala yang telah terjadi sama dengan pengetahuan-Ku atas sesuatu yang belum terjadi. Pengetahuan-Ku atas segala yang telah lewat sama dengan yang akan datang. Pengetahuan-Ku atas orang-orang terdahulu sama dengan Pengetahuan-Ku atas orang-orang kemudian.

Aku lebih mengetahui atas sesuatu yang samar dan rahsia. Bagaimana hambaKu boleh menipu dengan amalnyaMereka boleh menipu sesama makhluk, tetapi Aku Yang Mengetahui hal-hal yang ghaib. Aku tetap melaknatnya…….!

Tujuh malaikat di antara tiga ribu malaikat berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami atas mereka.” Kemudian semua yang berada di langit mengucapkan “Tetaplah laknat Allah kepadanya, dan laknatnya orang-orang yang melaknat.”

Sayyidina Mu’adz (yang meriwayatkan Hadis ini) kemudian menangis tersedu-sedu. Selanjutnya berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku bisa selamat dari semua yang baru engkau ceritakan itu?”

Berkatalah Rasulullah, “Memang begitulah, bila ada kelengahan dalam ibadahmu, maka; jagalah mulutmu jangan sampai mengaibkan orang lain, terutama kepada sesama ulama. Ingatlah diri sendiri tatkala hendak mengaibkan orang lain, sehingga sedar bahawa dirimu pun penuh aib. Jangan menutupi kekurangan dan kesalahanmu dengan menghina dan mengaibkankan orang lain. Janganlah membanggakan diri dengan menekan dan menjatuhkan orang lain. Jangan riyak dalam beramal, dan jangan mementingkan dunia dengan mengabaikan akhirat. Jangan bersikap kasar di dalam majlis agar orang takut dengan keburukkan akhlakmu. Jangan suka mengungkit-ungkit kebaikan, dan jangan menghancurkan peribadi orang lain, kelak engkau akan dirobek-robek dan dihancurkan oleh anjing jahanam, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“… dan (Malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah lembut…”
(An-Nazi’at : 2)

Muadz seterusnya bertanya; “ Ya Rasululullah, siapa yang bakal kuat menanggung penderitaan berat itu?”

Lalu, Rasulullah s.a.w. menjawab, “Muadz, perkara yang aku ceritakan tadi akan mudah bagi mereka yang dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Engkau harus mencintai orang lain sebagaimana engkau menyayangi dirimu. Dan bencilah terhadap apa yang kau benci. Jika demikian engkau akan selamat.”

Khalid bin Ma’dan meriwayatkan bahawa, “Sayyidina Muadz kerap membaca hadith ini seperti kerapnya membaca al-Qur’an, dan mempelajari hadith ini sebagaimana mempelajari al-Qur’an di dalam majlis.”

Jika kita teliti kepentingan hadith ini nyatalah kepada kita bahawa segala-galanya perlulah bersih dan tulus serta niat semata-mata atas setiap apa yang kita lakukan hanyalah kerana Allah s.w.t. Di dalam hadith ini juga kita dapat menganalisa tentang penekanan hubungan vertikal iaitu antara hamba dengan Tuhannya serta horizontal, antara hamba sesama hamba, dan hamba dengan dirinya sendiri.

Keikhlasan serta ketelusan adalah asas utama di mana dalam peibadatan seorang hamba kepada Tuhannya sebagaimana firman Allah s.w.t;

Maksudnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Al-Bayyinah : 5)

Sebagaimana disebutkan di dalam buku Manusia dan Islam, karangan Dr. Haron Din dan lain-lain, keikhlasan adalah bukti praktikal kepada kesempurnaan Iman kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang cinta kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna Iman.
(Riwayat Abu Daud, al-Turmudhi dengan Sanad Hassan)

Ibadat dan amalan yang tidak ikhlas dan dipengaruhi oleh perkara-perkara lain di hati seperti riya’, sum’ah serta ‘ujub tidak bernilai di sisi Allah sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam hadith yang telah disebutkan sebelum ini.

Rasulullah s.a.w juga menekankan agar memelihara hubungan sesama manusia kerana itu semua merupakan nilaian yang menentukan penerimaan ibadat kita oleh Allah s.w.t.; sebagaimana yang dinasihatkan oleh baginda Rasul buat kita;

1. Jagalah mulutmu jangan sampai menghina dan mengaibkan orang lain, terutama kepada sesama ulama

2. Ingatlah diri sendiri yang penuh ketidaksempurnaan sebelum kita mengata dan menghina orang lain

3. Janganlah menutup kesalahan sendiri dengan menghina dan mengaibkan orang lain
4. Janganlah membesarkan diri dengan menekan dan menjatuhkan orang lain

5. Janganlah bersikap kasar di dalam majlis sehingga orang takut dengan keburukan akhlakmu.

6. Janganlah suka mengungkit-ungkit kebaikan yang telah dilakukan; dan

7. Janganlah menghancurkan peribadi orang lain seandainya tidak mahu dihancurkan oleh neraka jahannam kelak.

Hayatilah apa yang telah disampaikan oleh baginda Rasul dan renungkanlah di dalam diri kita adakah kita memiliki sifat-sifat seperti di atas atau pernahkah kita melakukan terhadap orang lain? Peruntukkanlah masa buat diri dan bermuhasabahlah. Pergunakan akal kita untuk berfikir apakah yang pernah terdetik di hati kita dan apakah yang pernah diucapkan oleh lidah kita.

Namun, janganlah kita menjadi manusia yang berputus asa dari rahmat Tuhan. Kita hendaklah sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. agar sentiasa memelihara hati kita agar tidak leka dan tersasar jauh dari kehendak-Nya. Untuk mencapai tahap kesempurnaan iman sememangnya amat sukar tambahan pula dalam menghadapi keadaan masyarakat serta individu yang pelbagai. Namun, doa itulah penyelamat kita. Kita sesungguhnya tidak mampu memelihara diri kita sendiri, kerana itu, hendaklah sentiasa kita bermohon agar Allah memelihara diri kita dan berdoalah agar Allah tidak meninggalkan diri kita sedetik pun dari jagaanNya. Kita sebagai hamba hendaklah berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. kerana hanya dengan limpah rahmat dan kurniaNya sahaja kita mampu untuk melepaskan diri dari pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Wallahua’lam.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.