Bicara Haraki

Tajdid Melahirkan Umat Berwawasan

Mohd Rumaizuddin Ghazali
 
Tajdid bererti perubahan ke arah yang lebih baik. Gerakan tajdid merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh segolongan manusia untuk memperbaiki dalam pelbagai bidang kehidupan manusia. Tajdid bukan bererti merubah yang sudah baku. Prinsip-prinsip dasar dalam agama Islam tidak boleh ditambah-tambah seperti dalam bidang akidah. Tajdid juga bererti memperbaharui sesuatu. Ia bererti kita berusaha kembali kepada agama Islam yang sebenar seperti penghayatan yang berlaku pada zaman nabi s.a.w.

Sementara itu, kita lenyapkan fahaman-fahaman yang keliru yang menyelimuti agama Islam yang berbentuk bid’ah yang membuka peluang masuknya penafsiran bersifat ekstrim. Gerakan tajdid Islam berusaha untuk membangkitkan umat, menyatupadukan umat yang berpecah, memperkasakan generasi mudanya, membebaskan akalnya dari kejumudan dan melepaskan fikiran dari cinta dunia dan takut mati serta mengubati perasaannya dari penyakit yang kronik.Itu semua dilakukan dengan tajdid kefahaman agama yang mana Allah berjanji akan mengutuskan seseorang yang akan melakukan tajdid kefahaman agama setiap seratus tahun. 
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini pada setiap pangkal seratus tahun, seseorang yang akan memperbaharui kefahaman agamanya.” (HR Abu Daud)

Hadis ini menerangkan pada kita tentang kewajipan adanya pembaharuan agama. Maksud dari pembaharuan agama adalah pembaharuan pemahaman pada agama tersebut, pembaharuan keimanan terhadap agama, pembaharuan komitmen terhadap agama dan pembaharuan cara dakwah pada agama. Pembaharuan terhadap agama bukan membentuk satu agama baru, bukan mengubah hal-hal yang sudah pasti dan tidak boleh melakukan ijtihad dalam ayat-ayat yang sifatnya qat’iy yang merupakan gambaran kesatuan umat dalam akidah, ibadat, syariat dan akhlak.

Hadis di atas merupakan salah satu khabar gembira yang disampaikan Rasulullah kepada umatnya. Sayangnya, hadis sebagus itu ditanggapi secara negatif oleh umat Islam. Di antaranya dipakai oleh segolongan orang untuk mendakwanya sebagai tokoh mujadid seperti yang disebut dalam hadis tersebut. Sedangkan pemikiran dan pengaruh perubahannya tidak dirasakan oleh umat Islam. Sikap negatif lainnya adalah menunggu kerana sudah dijanjikan oleh nabi.

Maka sebahagian besar umat Islam hanya menunggu kedatangannya serta meraba-raba siapa di antara tokoh pemimpin yang masuk dalam kriteria hadis nabi tersebut. Mereka tidak berperanan aktif mempersiapkan diri dan membiarkan dirinya tidak berdaya dan dan tidak memiliki kekuatan apa-apa. Padahal hadis itu dimaksudkan untuk menggerakkan umat Islam agar berperanan aktif dalam mana-mana gerakan pembaharuan. Oleh itu, setiap muslim mestinya bertanya pada diri sendiri masing-masing apakah peranan saya dalam gerakan tajdid ini.

Bukan sebaliknya hanya sekadar berpeluk tubuh menunggu lahirnya mujadid tersebut. Terhadap hadis di atas, sebahagian ulama mengertikan kata “man” (seseorang) sebagai bentuk tunggal yang bererti bahawa setiap seratus tahum hanya akan lahir seorang tokoh mujadid. Sedangkan sebahagian besar ulama yang lain berpendapat bahawa kata “ man” di sini mengandungi pengertian jama’(plural).

Hal itu bererti bahawa pembaharu yang dimaksudkan boleh saja berbentuk gerakan dakwah,sekolompok jamaah atau mujadid kolektif. Namun demikian, yang pasti bahawa setiap abad akan lahir seorang pemikir besar yang membawa misi pembaharuan. Boleh jadi seorang diri dan boleh jadi dalam bentuk kelompok atau gerakan dakwah. Tugas utama mujadid tersebut adalah melakukan reorientasi, memberi orientasi kembali kepada umat atas jalan yang telah ditempuh agar lebih lurus dan telus.

Menurut al-Qardhawi, mujadid pada zaman kini berkonsepkan mujadid kolektif yang dijalankan oleh sebuah kekuatan organisasi yang mempunyai ciri-ciri dan semangat tajdid itu. Oleh demikian, setiap individu boleh turut menyumbang terhadap usaha tajdid dan memenuhi cita-cita islami tersebut. Seseorang tidak mampu untuk bekerja seorang diri dalam skala yang besar. Kekuatan dan keteguhan diperolehi secara kolektif, bukan secara individu. Manusia akan menjadi lemah apabila berseorangan tetapi akan menjadi kuat apabila berjamaah.

Oleh itu, walaupun nabi Musa seorang yang kuat dan terpercaya masih berdoa kepada Tuhan agar diberi keteguhan dan kekuatan dengan bantuan saudaranya, nabi Harun.

Gerakan tajdid adalah gerakan yang mengambarkan Islam yang hakiki yakni Islam yang komprehensif dengan segala kesederhanaannya dan pandanganya yang mendalam. Gerakan tajdid ini berusaha untuk membentuk generasi-generasi baru yang memahami Islam dengan baik setelah umat Islam berada dalam penjajahan yang begitu lama.

Gerakan tajdid ini melakukan perbaikan terhadap kerosakan-kerosakan yang ada, meluruskan yang bengkok, menguatkan yang sudah lemah dan menyucikan yang kotor dan menjadikan kalimah Allah adalah kalimah yang paling mulia. Gerakan ini menyeru manusia untuk membersihkan akidah mereka dari perkara syirik, membersihkan ibadat dari riya’, merubah akhlak buruk ke arah akhlak yang baik.

Para ulama menyimpulkan peranan mujadid iaitu mengembalikan erti dan teks sebenar agama yang diselewengkan oleh pembawa bid’ah, mematahkan hujah dan pendapat yang batil serta dakwaan yang palsu, menyanggah pengertian negatif dan salah yang menjadi pegangan orang-orang yang jahil. Ada dua syarat yang harus dipenuhi jika menginginkan gerakan pembaharuan dan perubahan itu berjaya. Yang pertama adalah adanya nilai atau idea.

Sedangkan syarat keduanya adalah adanya pelaku-pelaku yang menyesuaikan diri dengan nilai-nilai dan idea-idea tersebut. Tajdid harus dimulai dari manusia sebagai pelaku. Oleh kerana itu sebelum melakukan sesuatu perubahan yang menyeluruh dalam sesuatu masyarakat, syarat utama yang perlu dilakukan iaitu perubahan pada diri manusia.

Oleh sebab itu, ajaran-ajaran yang dibawa oleh para nabi adalah bertujuan memperbaiki dan memperbaharui serta mewujudkan perubahan dari peringkat akar umbinya. Nabi Syuib a.s menyatakan bahawa dakwah yang disampaikan kepada penduduk Madyan hanya sebagai satu pembaikan (islah) dan tajdid. Ini bererti bahawa sejak dahulu lagi tabiat manusia cenderung untuk melakukan hal-hal yang tidak wajar seperti kezaliman, keangkuhan dan penindasan.

Oleh kerana itu, Allah telah menurunkan para nabi untuk menjadi juru islah dan tajdid yang mana antara tugasnya ialah menebarkan benih-benih kebaikan dan menumpaskan kebatilan. Nabi Muhammad melakukan perubahan dalam kehidupan masyarakat bermula dalam diri manusia sendiri. Di sinilah manusia diperkenalkan dengan nilai tauhid dan di sanalah bermuara segala aktiviti, gerak langkah yang merubah segala sikap, pola berfikir dan tingkah laku mereka.

Seseorang yang hendak melakukan pembaharuan akan menghadapi tentangan hebat dari kaum dan bangsanya. Sejak nabi Nuh sampai Rasulullah ketika menyampaikan misi pembaharuan dan perubahannya selalu menghadapi masyarakat yang memiliki watak yang sama. Al-Quran mencatatkan secara cermat jawapan mereka.

Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan apabila dikatakan kepada mereka “ikutilah apa yang telah diturunkan Allah.” Mereka menjawab : “ Tidak, tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami.” (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk.” (al-Baqarah, ayat 170)

Pada ayat yang lain, Allah mencatatkan sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat yang telah diseru pada jalan perubahan. Allah berfirman yang bermaksud ;

“Mereka berkata : “ apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari apa-apa yang kami dapati dari nenek moyang kami mengerjakannya dan supaya kamu berdua mempunyai kekuasaan di muka bumi ? Kami tidak akan mempercayai kalian berdua.” (Yunus, ayat 78)

Dua ayat di atas jelas mengecam golongan yang ingkar kepada pembaharuan dan sikap ikut-ikutan tanpa dalil yang jelas.

Tajdid harus melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira golongan elite, menengah maupun awam serta seluruh aspek kehidupan baik politik, ekonomi, pendidikan dan sosial- budaya. Para tokoh tajdid bersepakat bahawa pendidikan dan pembelajaran merupakan satu-satunya jalan untuk melahirkan kader-kader atau generasi yang peka terhadap fenomena sosial.

Sehubungan dengan itu, Muhammad Abduh, menyebutkan bahawa barangsiapa yang menginginkan kemakmuran sebuah negara, maka satu hal yang harus diusahakan iaitu profesionalisme pendidikan yang mantap. Kalau hal ini dipenuhi, maka hal-hal yang diinginkan akan tercapai tanpa mengeluarkan daya fikir dan tenaga yang melelahkan.Muhammad Abduh memodenkan sistem pendidikan di Universiti al-Azhar. Beliau memperkenalkan ilmu moden di universiti tersebut walaupun mendapat tentangan dari ulama al-Azhar.

Aspek yang penting dalam tajdid ialah pembaharuan pemikiran. Para mujadid berusaha membentuk pemikiran, iman dan pandangan akhlak masyarakat ke dalam acuan Islam, memperbaharui sistem pendidikan dan menghidupkan kembali ilmu-ilmu pengetahuan dan sikap-sikap keislaman secara umum. Dalam aspek tajdid pemikiran ini, para ulama mengajukan bahawa umat Islam harus bebas dari taklid dan memaksimakan akal manusia dalam menyingkap rahsia-rahsia kejadian alam. Arah yang dituju oleh gerakan pembaharuan dalam negara Malaysia masih belum selesai.
Umat Islam masih jauh di belakang orang bukan Islam. Umat Islam perlu bekerja keras untuk meraih ilmu dan memartabatkan umat bagi menjamin kemenangan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Maka itu janganlah agenda pembaharuan ini rosak oleh tangan yang tidak bertanggungjawab.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.