Bicara Haraki

Menyelami Rahsia Puasa Sebagai Kewenangan Ilahi Rumusan Penelitian Wibawa Silam

Mohd. Zaidi b.Ismail

“Allah ‘azza wa Jalla berfirman; ‘Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.’ Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seseorang itu sedang berpuasa janganlah ia berkata keji dan berteriak. Jika ada yang mencaci atau melaknatinya, maka hendaklah dia berkata kepadanya ‘Aku sedang berpuasa.’ Demi Dia yang diri Muhammad berada dalam kuasaNya, bau mulut seorang yang sedang berpuasa adaah lebih harum di sisi Allah daripada aroma minyak kesturi. Bagi seseorang yang sedang berpuasa itu dua keriangan yang ia bergembira dengannya: ketika dia berbuka puasa, ia akan bergembira dan ketika dia bertemu Tuhannya, dia akan bergembira dengan puasanya”. (Disepakati oleh Bukhari dan Muslim).(1)

Sememangnya tabiat manusia mudah lupa dan sering lalai. Sebab itu usaha saling ingat-memperingatkan sesama insan sentiasa relevan dan tidak boleh diabaikan, malah sudah menjadi sebahagian daripada tuntutan-tuntutan agama. Semangat ini terjelma, misalnya, dalam kebiasaan kaum Muslimin memperingatkan diri masing-masing tentang kelebihan dan keutamaan sesuatu amalan atau peristiwa menerusi himbauan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi s.a.w., disusuli pula dengan huraian dan syarahan ulama-ulama yang berwibawa. Peringatan sebegini, selain melibatkan usaha mengulangkaji hal-hal yang bersangkutan dengan rupa-bentuk zahir sesuatu amalan itu, turut merangkum penerokaan rahsia-rahsia batinnya juga. Rahsia batin ini antara lain, berkait dengan apa sahaja hikmah dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan daripada amalan tersebut.
 
Usaha menimba hikmah dan pengajaran ini yang sering disebut dalam Bahasa Arab sebagai i’tibãr (dirumikan sebagai iktibar), memang tidak akan berlaku tanpa ingatan akan amalan atau peristiwa tersebut. Kelangsungan ingatan ini pula tidak akan terjadi tanpa usaha kerap mengulangi, senang menyebut tanpa rasa jemu dan bosan, baik pada lisan atau dalam fikiran. Tindakan seperti inilah yang dalam Bahasa Arab dinamakan dhikr (dirumikan sebagai zikir). Semakin kerap ia dipupuk dalam hafalan dan kenangan, semakin lama ia hidup mengakar dan merimbun dalam diri kita dan bertambah terpeliharalah jiwa ini dari gugatan kehampaan makna dan kehilangan jati diri.

Seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulum al-Din dan al-Qistas al-Mustaqimnya, sememangnya i’tibãr itu lazim muncul setelah dhikr. I’tibãr adalah kata terbitan daripada ‘ubur' yang bermaksud ‘menyeberang atau melintas dari satu tebing ke tebing yang lain.’ Dalam konteks ilmu dan fikiran, i’tibar membawa makna ‘menyeberang daripada satu pengetahuan yang sedia dimiliki kepada suatu ilmu yang baru.’ Oleh kerana itu, secara umumnya dalam Bahasa Arab, i’tibar juga seerti dengan fikr dan ta ‘aqqul (dirumikan sebagai fikir dan taakul), yang bermakna ‘tindakan akal menyeberang daripada andaian-andaian kepada kesimpulan-kesimpulan.’ Lumrahnya, gerak-daya (proses) akliah sebegini berlaku setelah seseorang itu memiliki sesuatu pengetahuan dan tidak melupainya. Hal mengingati ini, sebagaimana disebutkan di atas, dikenali sebagai dhikr atau tadhakkur.(2)

Dalam soal puasa, i’tibãr juga tidak akan diperolehi tanpa didahului dengan ketekunan mengingati hal-hal penting yang berkaitan dengan ibadah tersebut. Antara sekian banyak peringatan yang dipetik berhubung dengan puasa adalah ‘pendahuluan’ Hadis Qudsi yang dinukilkan di atas tadi: ‘Setiap amalan (baik) anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.’ (Kull ‘amal ibn Adam lahu illa al-siyam fa innahu li wa Ana ajzi bihi). Memandangkan semua amal ibadat itu sememangnya dipersembahkan semata-mata kepada Allah dan sesungguhnya hanya Dia satu-satunya yang akan membalas semua amal kebaikan tersebut, pasti ada yang tergerak untuk bertanyakan punca dan hikmah mengapa puasa pula yang diperuntukkan kemuliaan dan layanan yang sangat istimewa ini.

Persoalan ini sebenarnya turut menjadi topik kajian dan perbahasan pelbagai tokoh ilmuwan Islam yang silam, seperti Imam al-Ghazali dalam Ihyã’ ‘Ulüm al-Dinnya, diperkayakan kemudiannya dengan kupasan panjang lebar oleh Imâm Murtadã al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin; tidak terkecuali juga kedua-dua tokoh pensyarah kepada Sahih al-Bukhãri, Imãm ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fath al-Bari dan ‘Allãmah Shihab al-Din al-Qastalani dalam Irshãd al-Sari, selain Imãm al-Nawawi dalam syarahnya kepada Sahih Muslim; juga Mullã ‘Ali al-Qari dalam Min Mirqãt al-Mafatih Sharh Mishkat al-Masãbih, dan ‘Allämah Muhammad b. ‘Allan al-Makki al-Shafi’i, pengarang Dalil al-Fãlihin li Turuq Riyad al-Salihin. Hasil daripada usaha-usaha tersebut, beberapa penjelasan yang berharga telah diberikan. Tiga daripada yang paling disepakati adalah:

(1) Puasa sebagai ujian keikhlasan;
(2) Puasa sebagai upaya mendekati Allah; dan
(3) Puasa sebagai pelemah kepada syaitan.

Kesemua penjelasan tersebut bertolak dari makna asal puasa (al-sawm) sebagai ‘penahanan dan kawalan diri’(al-kaff atau al-imsak.(3)

Puasa Sebagai Ujian Keikhlasan

Puasa mirip suatu rahsia (sirr) yang sukar untuk dibongkar kerana, berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain, ia tidak mempunyai bentuk-bentuk perlakuan yang boleh diperhatikan. Sebagai contoh, ketika bersembahyang, seseorang itu memang melakukan beberapa gerakan atau perbuatan yang mudah dilihat, seperti ruku’ dan sujud. Tetapi dalam kes puasa, selain daripada ketulusan niat yang sememangnya hanya Tuhan sahaja yang boleh menilik dan menilainya, yang diperlukan hanyalah kekangan diri dari keseronokan-keseronokan jasmaniah semata-mata (al-imsãk al-mujarrad). Sememangnya tidak jelas kelihatan unsur-unsur yang secara positif membentuk puasa (muqawwim). Dengan kata lain, ‘puasa tidak memiliki apa-apa rupa-bentuk dalam kewujudan’ (anna al-sawm Ia sürah lahufi al-wujüd). Jika tidak dikhabarkan kepada orang lain, tiadalah diketahui sama ada seseorang itu sedang berpuasa atau tidak. Oleh yang demikian, puasa benar-benar menyempitkan peluang untuk riyã’ sedangkan pintu gerbang untuk seseorang mengabdikan diri sepenuh dan setulennya kepada Tuhan terbuka seluas-luasnya. Justeru, dalam satu hadis Nabi disebut bahawa ‘Tiada riya dalam puasa.


Puasa Sebagai Upaya Mendekati Allah

Antara sifat-sifat ketuhanan adalah tidak memerlukan makanan, minuman dan kelazatan-kelazatan jasmaniah, walaupun Tuhanlah yang memberi makan, minum dan segala-galanya kepada ciptaanNya. Dengan kata lain, salah satu daripada Nama-Nama Allah adalah al-Samad, yakni, hanya Dia sanya yang Mahakekal lagi diperlukan dan tiadalah Dia memerlukan yang lain. Dalam Lisan al-`Arab susunan ibn Manzur, ada dinukilkan makna al-samad sebagai ‘seorang yang tidak makan.’ Bahkan, di kalangan orang-orang Arab, al-samad turut digunakan untuk merujuk kepada lelaki yang berketahanan luar biasa, tiada dahaga dan lapar dalam peperangan yang berlarutan(4).

Sehubungan hal ini, Imam ‘Abd al-Wahhãb al-Sha’rani menjelaskan dalam karyanya al-Fath al-Mubin fi Jumlah min Asrar al-Din bahawa satu daripada sifat-sifat ketuhanan adalah memberi makan dan sekaligus tidak memerlukan makanan. Dalam Hadis Qudsi di atas, puasa itu dinisbahkan kepada diriNya kerana sememangnya tiada suatupun yang selayaknya bersifat dengannya secara yang mutlak melainkan Allah, bahkan Mahasuci Dia daripada berkehendakkan segala macam keperluan dan syahwat. Menurut beliau lagi, Allah menyeru para hambaNya agar bersifat dengan sifat-sifatNya dalam pengabdian mereka kepadaNya mengikut kadar kemampuan masing-masing.

‘Puasa’ adalah sifatNya yang paling sukar lagi berat untuk dihayati manusia kerana Ia bertentangan dengan kecenderungan semulajadi mereka yang sememangnya bergantung kepada materi untuk terus hidup, berlawanan dengan Wujudnya Tuhan yang tidak memerlukan apa-apa.(5) Ringkasnya, ketika berpuasa manusia seakan-akan berakhlak dengan Nama Tuhan al-Samad, selari dengan seruan nabi, ‘Berakhlaklah kalian dengan Akhlak-Akhlak Tuhan [yang dibenarkan]’ (takhallaqu bi Akhlaq Allah.(6) Semakin kerap manusia itu menghayati Nama-Nama Tuhan yang indah belaka itu, semakin intimlah ia dari segi nilai dirinya dengan Penciptanya.


Puasa Sebagai Pelemah Kepada Syaitan

Puasa sesungguhnya adalah penguasaan (qahr) terhadap musuh Allah, iaitu, syaitan yang direjam. Kekuatan musuh Allah ini adalah melalui perantaraan syahwat manusia sedangkan puasa dan kelaparan pula merupakan pelemah kepada alat utama bagi syaitan tersebut. Hakikat ini digambarkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya:

‘Sesungguhnya syaitan itu berkeliaran dalam [tubuh] anak-anak Adam laksana mengalirnya darah, oleh itu sempitkanlah ruang alirannya dengan berlapar.’

Justeru puasa turut diishtiharkan Nabi sebagai perisai (junnah) bagi manusia kerana puasa berperanan menahan manusia daripada diperhambakan oleh shahwatnya sedangkan shahwatlah antara wahana utama shaitan dalam membuka laluan seluas-luasnya ke Neraka. Ringkasnya, puasa adalah perisai daripada shahwat; shaitan dan Neraka.

Sehubungan dengan ini al-Sha’rãni menyatakan,

‘Allah mewajibkan puasa atas hambaNya sebagai penewas shahwat dan pemutus kepada jalan-jalan pengabdian kepada segala sesuatu selain Allak Sekiranya manusia dibiarkan berterusan hidup terikat dengan keperluan-keperluan harian mereka nescaya semua itu akan memperhamba dan mengikat mereka dan seterusnya memisahkan mereka sama sekali dan Sang Pencipta. Puasa menutup punca-punca pengabdian kepada selain Allah dan membebaskan manusia daripada belenggu shahwat dan objek-objeknya kerana yang sebenarnya dikehendaki adalah manusia menjadi penguasa dan pemilik ke atas semua itu dan bukanpula hal sebaliknya.’(7)


Usaha melemahkan musuh Allah ini pada hakikatnya merupakan usaha menolong (agama) Allah. Seperti yang dijanjikan dalam al-Qur’an, tindakan murni sebegini akan dibalas Allah dengan bantuan daripadaNya. (Muhammad: 7) Oleh itu, sesuai dengan firman Allah dalam al-Qur’an (al-‘Ankabüt, 69), puasa itu dimulakan dengan kesungguhan dan usaha keras daripada pthak hambaNya, manakala balasan berupa Hidayah adalah daripada Allah.

Sebenarnya, selain mengekalkan maksud asal puasa sebagai ‘penahanan dan kawalan diri’, agama Islam turut menjadikannya satu istilah khusus dengan ma’na-ma’na tambahan. Malah, tidak berlebihan jika disimpulkan bahawa agama Islam, selain mengakui adanya beberapa macam ketahanan, turut memberikan dimensi keamatan (atau intensiti) kepada bentuk ketahanan yang diperlukan. Dalam apa pun perjuangan, daya ketahanan adalah antara sharat-sharat penentu kejayaan. Daya ketahanan ini lazimnya diungkap dalam agama sebagai sabar. Semakin lama seseorang itu mampu bertahan bertambah tinggilah kebarangkalian untuknya menguasai medan pertarungan dan memenangi persaingan. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis ketahanan:

(1) keberterusan mengawal diri dan pada berbuat sesuatu;
(2) keampuhan diri dalam menahan serangan dan tekanan dari luar ; dan
(3) keteguhan diri dalam melaksanakan sesuatu.

Puasa pada hakikatnya lebih merujuk kepada ketahanan dalam bentuk yang pertama tadi. Memang diakui bahawa dalam hidup ini bukan semua perkara yang dihajati itu akan dapat diraih, malah kerap kali pula sesuatu yang sedia dimiliki itu terpaksa dikorbankan demi sesuatu yang lebih luhur dan tinggi. Oleh itu, dalam

Oleh itu, dalam sesuatu perjuangan penting untuk seseorang itu dilatih berpada-pada dengan apa yang ada, meskipun hukum asal bagi benda yang dikejar itu bukannya haram. Sebab ketika berpuasa sebahagian yang dilarang itu adalah perkara-perkara yang asal dibolehkan.

Dari segi intensiti, setidak-tidaknya terdapat tiga tahap ketahanan di peringkat diri perseorangan, yang lazim dikenali sebagai tiga martabat puasa:

(1) puasa orang-orang awam, yakni usaha menahan diri daripada desakan keinginan perut kemaluan;

(2) puasa kalangan yang khusus, apabila seseorang itu turut mengawal seluruh anggota tubuh badannya daripada perkara-perkara yang diharamkan, seperti menahan mata daripada melihat hal-hal yang mengghairahkan dan mengawal telinga daripada mendengar perkara-perkara yang keji dan tercela; dan

(3) puasa golongan yang lebih khusus, ketika mana seseorang itu berjaya mengawal diri seutuhnya yakni hati dan kesedarannya — daripada segala sesuatu selain Allah dan hal-hal yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Menyedari betapa bernilainya puasa ini, Imäm al-Ghazäli berpesan,

‘Ulama-ulama yang ahli dalam urusan akhirat memahami bahawa puasa bertujuan agar manusia berakhlak dengan salah satu daripada Akhlak-Akhlak Allah, iaitu al-Samadiyyah, dan supaya rnanusia mencontohi para malaikat dalam hal menahan din daripada shahwat sejauh yang dimungkinkan; kerana sesungguhnya malaikat itu memang sentiasa terpelihara daripada runtunan shahwat. Kedudukan manusia itu di atas binatang buas kerana kemampuannya untuk menewaskan shahwat dengan cahaya akal, dan di bawah tingkat malaikat kerana ada kalanya shahwat itu menguasainya dan tiadalah ia sarna sekali bebas daripada bertarung dengan shahwat.

Sekiranya ía tenggelam dikuasai oleh shahwatnya maka jatuhlah ia ke tahap yang serendah-rendahnya dan terjerumuslah ia kelemasan dalam kebuasan kebinatangan; manakala jika ia berjaya mengendalikan shahwatnya, naiklah ía ke makam yang terunggul dan tercapailah olehnya akan ufuk malaikat. Malaikat-malaikat itu hampir benar dengan Allah s.w.t. dan barang siapa yang menyerupai mereka serta mencontohi perilaku-perilaku mereka nescaya hampirlah ia dengan Allah, sama seperti dekatnya malaikat-malaikat tersebut. Sesungguhnya apa sahaja yang menyerupai sesuatu yang hampir itu adalah juga hampir. Kehampiran di sini bukan bermaksud ‘tempat’ tetapi ‘kualiti peribadi‘.(8)


Catatan :

*Makalah ini telah diterbitkan dalam majalah Al-Hikmah terbitan Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC) , Bil.3 Tahun 7, 2001.
**Penulis merupakan pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan bekas fellow penyelidik di ISTAC.

Nota Kaki:

1. Hadis ini, meskipun akhirnya membawa makna yang sama, mempunyai berbagai jalan periwayatan dan bentuk lafaz. Versi yang dipetik ini adalah daripada Riyad al-Salihin min Kalãm Sayyid al Mursalin, susunan lmãm Muhy al-Din Abu Zakariyyã Yahya al-Nawãwi

2 Untuk huraian lanjut tentang hal ini, sila lihat Mohd. Zaidi b. Ismail, “The Sources of Knowledge in Al-Ghazali: A Psychological Framework of Epistemology” (Tesis Sarjana, ISTAC, Ogos 1995), Bab 4,84-85. Hubungan antara zikir, iktibar, dan peristiwa Isra’-Mi’raj telahpun dijelaskan oleh penulis dalam makalahnya yang disiarkan dalam Massa (21.10.2000, hIm. 58-59), Utusan Malaysia (Rabu, 25.10.2000), Berita Harian (Selasa, 31.10.2000).

3.Ketiga-tiga penjelasan yang diberikan dalam makalah ini adalah ringkasan kepada rumusan-rumusan yang dipetik daripada karya-karya agung berikut: Imam al-Ghazali, Ihyã’ ‘Ulum al-Din, bersekali dengan al-Mughni ‘an Haml al-Asfar fi’l - asfar fi Takhrij mafilt-Ihya’ mina’l-Akhbdr karangan Zayn al-Din ‘Iraqi, 5 jilid (Beirut: Dar al-Kutub al-’llmiyyah, 1986), dipetik selepas ini sebagai Ihya, I : 274; Muhammad b. Muhammad al-Husaini al-Zabidi, Ithaf al-Sãdah al-Muttaqin bi Sharh Ibya’ ‘Ulum al-Din, l4 jilid (Beirut: Dar al Kutub al-’llmiyyah, t.1), 4: 311ff.; Ahmad b. ‘Ali ibn Hajar al ‘Asqalani, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhãri suntingan ‘Abd al-’Aziz bin Bãz, 15 jilid (‘Amman: Maktabat al-Risãlah al-Hadithah, 1997). 4: 138ff.; Shihãb al-Din Ahmad b. Muhammad al-Qastalani, Irshad al-Sari Ii Sharh Sahih al Bukhari, bersekali dengan sharah Imam al-Nawãwi atas Sahih Muslim, 10 jilid (Beirut: Dar al-Kitãb al-’Arabi, 1983), 3: 346 dan 5: 135ff.; ‘Ali b. Sultan Muhammad al-Qari, Min Mirqãt: aI-Mafatiiz Sharh Mishkät al-Masabih, 5jilid (Beirut: Dar Ihya’ al Turath al-’Arabi, t.t ), 2: 294ff.; dan ‘Allamah Muhaimad b. ‘Allan al-Makki al-Shäfi’i, Dalil alFãlihinl i 7uruq Riyãd al-Salihin, semakan Khalil Ma’mun Shiha, 8jilid dalam 4 buku (Beirut Dãr al-Ma’rifah, 1994), 7: 23ff..

4. Ibn Manzur, Lisan al-’Arab, 18 jilid (Beirut Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1992), 7: 404ff., kata masukan “s-m-d”.

5. Imam ‘Abd a1-Wahhãb al-Sha’rãni, al-Fath al-Mubin fi Jumlah min Asrar al-Din (dikenali juga sebagai Asrãr Arkan al-Islam), suntingan ‘Abd al-Qãdir Ahmad ‘Ata (Beirut: Där al-Kutub al‘llmiyyah, 1999), dipetik selepas ini sebagai al-Fath al-Mubin, 47.

6 Untuk rujukan lanjut berkenaan kata-kata mashhur yang dinisbahkan kepada junjungan Nabi yang mulia ini , sila lihat Mohd. Zaidi bin Ismail, “Tadbir and Adab), as Constitutive Elements of Management: A Framework for an Islamic Theory of Management,” Al-Shajarah: Journal of the International Institute of Islamic Thought and Civilization (JSTAC) 5, bil. 2 (2000), 311—2 note 18.

7. Al-Fath al-Mubin, 47.

8 Ihyã’, 1:279.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.