Bicara Haraki

Islamisasi Ilmu Di Malaysia : Satu Analisa Kritis

Pengislaman Ilmu atau islamisasi ilmu merupakan makna yang serupa dalam bahasa Malaysia. Dalam bahasa Arab disebut sebagai “Islamiyyat al-Ma’rifat” dan dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “ Islamization of Knowledge”. Dalam Islam, ilmu merupakan perkara yang amat penting malahan menuntut ilmu diwajibkan semenjak lahir sehingga ke liang lahad. Ayat al-Quran yang pertama yang diturunkan berkaitan dengan ilmu iaitu surah al-’Alaq ayat 1-5. Menurut ajaran Islam, ilmu bersifat sejagat dan tidak ada pemisahan antara ilmu-ilmu dalam Islam.

Oleh kerana itu, sejarah dunia ilmu Islam silam telah melahirkan ramai ulama yang terkemuka yang sebati di dalamnya ilmu-ilmu dunia dan akhirat. Mereka berusaha menyebatikan idea-idea besar dalam tamadun yang lain dengan ajaran agama Islam. Ini dapat dilihat sebagai contoh seperti Kindi, Ibn Sina, al-Ghazali, Syah Waliy Allah dan lain-lain lagi. Mereka berusaha menyebatikan beberapa idea dan ilmu luar dengan ajaran Islam.1 Perbezaannya, mereka tidak mengunakan istilah “pengislaman Ilmu” kerana pada masa itu umat Islam begitu cemerlang dalam ilmu pengetahuan.

Sesungguhnya pengislaman ilmu ini telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dengan turunnya al-Quran dalam bahasa Arab. Al-Quran telah membawa bahasa Arab yang islami lalu merubah watak, perangai dan minda orang Arab ketika itu. Al-Quran juga merubah pandangan hidup mereka tentang alam semesta dan kehidupan dunia. Pengislaman ilmu ini diteruskan oleh para sahabat, tabi’in dan ulama-ulama sehingga umat Islam mencapai kegemilangan dalam ilmu. Oleh itu, islamisasi dalam erti kata yang sebenar bukanlah perkara baru. Cuma dalam konteks pengislaman ilmu-ilmu semasa sekarang dicetuskan semula oleh tokoh-tokoh sarjana Islam seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Al-Faruqi, Fazlur Rahman, Syed Hussein Nasr dan lain-lain. Pemisahan-pemisahan ilmu ini terjadi apabila ilmu ini diambil oleh orang-orang barat dan umat Islam menuntut ilmu daripada mereka. 


Islamisasi ilmu ini menjadi perdebatan utama di kalangan para intelektual Islam semenjak tahun 1970an.1 Walaupun ada sarjana muslim membicarakannya tetapi tidak secara teperinci dan mendalam mengenai konsep dan kerangka pengislaman ilmu. Umpamanya seperti Muhammad Iqbal,1 Prof. Dr. Syed Hussein Nasr,2 Prof. Dr Fazlur Rahman,3 Dr. Syed Jaafar Syeikh Idris,4 Muhammad Abduh5 dan Sayyid Ahmad Khan.6

Antara tokoh Melayu yang membicarakan perkara ini ialah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.7 Beliau telah membuat satu analisa penting pengislaman pemikiran pada tahun 1969 ketika mengemukakan teori pengislaman kepulauan Melayu-Indonesia. Beliau mengupas perkara ini dalam karyanya berjudul Preliminary Statement on a General Theory of Islamization of the Malay-Indonesian Archilelogo. Beliau telah memberi beberapa hujah yang menyebutkan kedatangan Islam telah merubah watak, peribadi, pemikiran, akhlak serta pandangan alam orang melayu daripada bersifat tahyul, kepada bersifat ilmiah dan fakta.1 Beliau menghuraikan proses sejarah dan kebudayaan dan Islamisasi di kepulauan Melayu ini mengalami proses tiga tahap :

Tahap Pertama : dari kira-kira 578-805/1200-1400, di mana ilmu hukum atau fiqh memaikan peranan yang besar dalam menafsirkan hukum agama (syariah) dalam menarik orang-orang Melayu ke Islam. Pemelukan ini diakibatkan kekuatan iman dan tidak mesti diikuti oleh suatu pengertian tentang implikasi-implikasi rasional atau intelektual yang terbawa serta oleh perpindahan agama tersebut. Tahap ini dengan baik dapat disebut sebagai tahap “pemelukan jasad”.

Tahap kedua : Dari kira-kira 803-1112/1400-1700, kelanjutan dari proses yang dihuraikan dalam tahap 1, tetapi pada tahap ini peranan utama dalam menafsirkan (syariah) telah sampai ke peringkat falsafah mistik dan metafizik dan unsur-unsur rasional dan intelektual lainnya seperti theologi rasional (kalam). Pada tahap ini, ilmu tasauf dan tulisan-tulisan para sufi serta para ahli mutakallimin memainkan peranan penting dalam usaha pemelukan roh.

Tahap ketiga : dari kira-kira 1112/ 1700 dan seterusnya, kelanjutan dari tahap 1 dan tahap 2 yang sebahagian besarnya terhasil. Pada tahap ini harus juga ditunjukkan pengaruh-pengaruh budaya akibat kedatangan Barat. Apa yang umumnya dikenali sebagai “Pembaratan” adalah digambarkan di sini sebagai pengkalan dari semangat rasionalis, individualis dan internasionalis yang dasar-dasar falsafahnya telah diletakkan lebih dahulu oleh Islam.1

Ternyata sekali bahawa Islam telah merubah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu bahkan perubahan itu juga ke jiwanya, yang telah merubah pandangan hidup, kebudayaan dan mengubahnya dari alam fantasi ke alam nyata dan saintifik.

S.M.N. Al-Attas juga berpendapat bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar ilmu-ilmu agama Islam di kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah diperbaharui dan diperkayakan istilah dan perkataan Arab sehingga ia diterima pakai pada abad 16 dan 17. Penggunaan bahasa Melayu ini telah menjadi bahasa rasmi lebih daripada 100 juta orang di Asia Tenggara.

Oleh itu, beliau berpendapat bahasa Melayu harus dianggap sebagai bahasa Islam.1 Menurutnya bahasa merupakan wahana paling penting dalam proses islamisasi. Ini kerana melalui bahasa sesuatu pandangan hidup sesuatu bangsa dan tamadun dapat disebarkan lewat konsep-konsep penting melalui bahasa. Sebagai contoh semasa al-Quran datang, ia telah merubah watak dan pandangan hidup Arab jahiliah dengan membawa makna baru dalam konsep-konsep yang telah ada.2

Al-Faruqi3 pula telah menulis satu buku ke arah pengislaman bahasa Inggeris bagi membolehkannya menyelurkan nama-nama khas dan makna-makna Islam tanpa penyelewengan pengertian bagi kegunaan umat Islam yang menggunakan bahasa tersebut.1

Penulis perpendapat bahawa usaha-usaha pengislaman bahasa sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris merupakan satu langkah yang amat baik. Islam tidak pernah menghadkan bahasa -bahasa tertentu untuk umatnya. Malahan menguasai pelbagai bahasa itu merupakan tuntutan al-Quran. Dengan menguasai pelbagai bahasa memungkinkan seseorang itu lebih memahami ilmu dengan mendalam. Sumbangan kedua-dua tokoh ini harus diberi pengiktirafan.

Gagasan Pengislaman Ilmu.

Gagasan pengislaman ilmu-ilmu ini telah menimbulkan kontroversi di kalangan para ilmuan Islam pada separuh abad ke 20 M.2 Ia semakin bermakna kerana umat Islam tidak dapat menyaring ilmu-ilmu terutama dari barat. Timbulnya aliran-aliran pendidikan tradisional dan sekular. Umat Islam tidak mempunyai kerangka pendidikan Islam yang tulin serta universiti Islam. Oleh sebab-sebab demikian, beberapa tokoh telah mengutarakan gagasan pengislaman ilmu. Menurut S.M.N. Al-Attas bahawa gagasan pengislaman ilmu merupakan ideanya yang telah dibentangkan di persidangan Pendidikan Islam di Mekah, Arab Saudi pada 31 Mac - 8 April 1977.1 Dalam kertas kerjanya beliau telah memperjelaskan mengenai adab, pengislaman ilmu dan konsep universiti Islam. Ini juga dibuktikan dengan tulisan surat beliau kepada sekretariat Islam di Jeddah pada 15 Mei 1973 yang memintanya memberi pandangan dalam mengenal pasti keperluan umat Islam dan kaedah yang diperlukan oleh dunia Islam.2

Beliau menekankan bahawa masalah utama umat Islam ialah masalah ilmu pengetahuan. Beliau menyebutkan keperluan umat Islam membuat penyelidikan mendalam mengenai konsep pendidikan Islam. Beliau juga mengutarakan penubuhan Universiti Islam. Universiti tersebut harus berbeza dengna universiti Barat sama ada dari segi struktur, konsep, tujuan dan matlamat. Ia harus bertujuan melahirkan Insan kamil(universal man).1 Ini juga dibuktikan dalam penulisan-penulisannya yang lain seperti Islam and Secularism yang ditulis pada tahun 1976 dan diterbitkan oleh ABIM pada tahun 1978 dan juga Risalah untuk kaum Muslimin.2

S.M.N. Al-Attas menyebutkan bahawa dilema yang sedang kita hadapi pada hari ini adalah disebabkan oleh :

1.Kekeliruan dan kesilapan dalam ilmu, mewujudkan keadaan bagi :
2.Kehilangan adab dalam lingkungan masyarakat. Keadaan yang timbul daripada (1( dan (2)
3.Muncul pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan untuk mengisi kepimpinan yang sah bagi masyarakat muslim, yang tidak mempunyai akhlak mulia, yang tidak mempunyai tahap intelektual dan kerohanian yang diperlukan untuk mengisi kepimpinan Islam, yang mengekalkan keadaan dalam (1) di atas itu ke atas hal ehwal masyarakat oleh pemimpin seperti mereka yang menguasai dalam semua bidang.3

Menurut Prof. Dr. W.M.N. Wan Daud1 , gagasan pengislaman ilmu ini telah dicetuskan oleh Prof. Dr. S.M.N. Al-Attas pada tahun 1970an dan dikembangkan oleh Dr. Ismail al-Faruqi dan IIIT.2 Menurutnya lagi, Prof. Dr. S.M.N. Al-Attas adalah tokoh pertama yang mentakrifkan dengan jelas konsep proses Islamisasi. Beliau mentakrifkan Islamisasi sebagai “ the liberation of man first from magical, mythological, animistic, national-cultural tradition, and then from secular control over his reason and his language.” (Islamisasi adalah pembebasan manusia, pertama daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan dan selepas itu (pembebasab akal) dan bahasa daripada pengaruh sekularisme.)3 Bagi beliau Islamisasi ialah proses dua hala : pembebasan diri dan pengembalian diri kepada kejadian asalnya,kepada fitrah. Model yang patut diikuti ialah Rasulullah dan para sahabat manakala langkah pertama Islamisasi ialah islamisasi akal dan pemikiran melalui islamisasi bahasa. Bahasa Arab, mengikut beliau telah diislamkan oleh al-Quran yang menyebabkan perubahan pandangan alam umat Arab Islam, berbanding dengan Arab Jahiliah.1

S.M.N. Al-Attas menyarankan supaya kita mengkaji dengan bersungguh-sungguh aliran pemikiran pemimpin yang tulen zaman lampau yang kesemuanya diakui dan diiktiraf oleh masyarakat serta mempelajari keagungan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan masa lampau. Ia merupakan pra-syarat untuk kita benar-benar bersedia untuk memberi sumbangan pada dunia ilmu pengetahuan kini. 2

S.M.N. Al-Attas mengkelaskan ilmu kepada dua jenis . Jenis ilmu yang pertama itu dianugerahi Allah melalui wahyu kepada manusia dan ini merujuk kepada Kitab suci al-Quran. Kitab Suci al-Quran itu adalah wahyu yang lengkap dan muktamad yang dapat memandu dan menyelamatkan manusia. Jenis ilmu yang kedua merujuk kepada ilmu tentang sains (ulum) yang lain, dan ia didapati melalui pengalaman, pemerhatian dan penyelidikan; ilmu ini tidak berkaitan, bersifat didaktif dan ia merujuk kepada objek-objek yang bernilai pragmatik.3 Jenis ilmu yang pertama itu adalah dikurniai Tuhan kepada manusia secara langsung melalui wahyu, sementara jenis ilmu yang kedua itu diterima melalui ramalan dan usaha-usaha penyelidikan secara rasional berdasarkan pengalamannya yang wajar dan jelas.1 Oleh itu, S.M.N. Al-Al-Attas menegaskan kepentingan ilmu jenis pertama menjadi asas dan bimbingan kepada ilmu jenis kedua.2 Menurutnya, pengislaman ilmu dilakukan dengan memisahkan unsur-unsur barat termasuklah konsep-konsep penting terutamanya yang terdapat dalam ilmu itu yang berkaitan dengan Sains kemanusian.3 Selepas penyaringan itu, ilmu-ilmu yang bebas itu dicerna semula dengan unsur-unsur dan konsep-konsep penting Islam.4 Selanjutnya melakukan perumusan dan penyepaduan unsur-unsur Islam yang penting yang dapat menghasilkan gubahan yang mengandungi teras ilmu Islam untuk digunakan dalam sistem pendidikan dari peringkat bawah hinggalah ke peringkat tinggi.5 ( Lihat lampiran 1 dan 2) Ilmu-ilmu itu perlu mengandungi unsur-unsur kemanusiaan, keagamaan, Ilmu dan makrifah, hikmah dan keadilan. Sumber terpenting dalam proses islamisasi ialah al-Quran dan al-Sunnah.1

Pelbagai tanggapan dan perbezaan pendapat mengenai tokoh yang mencetuskan idea gagasan pengislaman ilmu ini. Ada golongan yang mengakui mereka yang mencetuskan idea ini. Perkara ini disinggung oleh Prof W.M.N. Wan Daud dengan kata : “ Ramai telah membicarakan tentang gagasan islamisasi ilmu yang berpotensi besar ini, dan tidak sedikit pula yang mendabik dada mengaku peranan masing-masing dalam perkembangan gagasan ini. Dalam jangka masa yang tidak lama, berbagai-bagai makalah dan buku diterbitkan, dan seminar-seminar antarabangsa dilancarkan bagi menyebarkan gagasan ini di beberapa buah negara Islam dan bukan Islam. Tetapi yang lebih utama lagi ialah supaya idea atau gagasan itu perlu dibuat agar tokoh-tokoh yang berperanan di dalamnya boleh diberi pengiktirafan sewajarnya.”2

Seperkara yang penting yang disentuh oleh Prof Dr. W.M.N. Wan Daud ialah mengenai pendukung-pendukung yang tidak begitu berhati-hati meneliti idea besar ini, lalu mempermudahkannya. Perkara ini tentu akan menyulitkan pencapaian cita-cita dan merendahkan kehebatan asal idea ini. Apatah lagi jika dikaitkan dengan kelemahan gagasan itu sendiri.1

Penulis berpendapat bahawa idea asal ini dicetuskan oleh Prof. Dr. S.M.N. Al-Attas tetapi dikembangkan oleh Prof. Dr. Ismail al-Faruqi dan IIIT di Amerika Syarikat. Di sana idea-idea ini berkembang dengan luas sehingga mereka menganggap idea ini terbit di Amerika Syarikat. Oleh kerana masyarakat serta tradisi intelektual di dunia barat lebih berkembang pesat dari dunia Melayu, maka dilihat gagasan pengislaman ilmu ini terbit daripada barat dan IIIT.

Menurut IIIT, pengislaman ilmu mula diberi perhatian oleh tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam menubuhkan persatuan pelajar muslim Amerika dan Kanada dan diperingkat antarabangsa seperti IIFSO dan WAMY.2 Satu seminar telah diadakan di Lugono, Switzerland pada tahun 1977 yang membicarakan mengenai krisis pemikiran umat Islam.3 Selepas tertubuhnya IIIT pada tahun 1401H/1981M, maka antara gagasan agenda utama ialah pengislaman ilmu. Satu seminar telah diadakan pada Rabi’awwal 1402H/Januari 1982M di Universiti Islam Islamabad bagi membincang secara lebih mendalam pengislaman ilmu.1 Dalam seminar ini, al-Faruqi telah membentangkan kertas kerja bertajuk Islamization of Knowledge : Problem, Principles and Prospective.2 Persidangan ini telah membicarakan tentang pengislaman ilmu dari segi Sains Kemanusiaan, Sosiologi, Ekonomi, Matematik, Undang-Undang, Usul Fiqh, Sejarah dan Falsafah.

Pada tahun 1984, diadakan Seminar Antarabangsa Pengislaman Ilmu Ketiga di Kuala Lumpur.3 Sebanyak 23 kertas kerja dibentangkan yang meliputi segala bidang ilmu pengetahuan. Pada Januari 1987, persidangan keempat telah diadakan di Khartum.4 Sebanyak 41 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini yang berfokoskan metodologi ilmu-ilmu Islam dan juga mengenai pendidikan Islam.

Ternyata di sini, pihak IIIT juga telah memainkan peranan penting dalam memperkembangkan pengislaman ilmu dengan mengadakan seminar dan bengkel sama ada bersifat tempatan dan antarabangsa.1

Penjelasan Pengislaman Ilmu.

Pengislaman ilmu pengetahuan merupakan salah satu aspek pengislaman pada keseluruhannya. Proses pengislaman ini bermula dengan proses pengislaman ilmu atau Islamisasi ilmu. Ini kerana islamisasi ilmu berkisar pada dalam diri manusia yang akhirnya menjadi asas kepada proses seterusnya. Proses islamisasi dalam bidang yang lain banyak bergantung kepada proses islamisasi ilmu. Dengan mengatakan bahawa islamisasi bermula dengan ilmu di dalam diri manusia tidak bermakna ia hanya berbentuk teori semata-mata. Dalam Islam sesuatu yang praktikal tidak dapat dipisahkan dari teori sepertimana tergambar dalam jalinan yang kuat antara Iman dan amal.

Perkataan “Pengislaman” nisbah kepada perkataan agama Islam iaitu agama yang telah diletakkan manhaj oleh Allah melalui wahyu. Ilmu ialah persepsi, konsep, bentuk sesuatu perkara atau benda. Ia juga suatu proses penjelasan, penyataan dan keputusan dalam pembentukan mental.1 Pengislaman ilmu bermakna hubungan antara Islam dengan ilmu pengetahuan iaitu hubungan antara “Kitab Wahyu” al-Quran dan al-Sunnah dengan “kitab Wujud” dan ilmu kemanusiaan. Oleh itu, pengislaman ilmu ialah aliran yang mengatakan wujudnya hubungan antara Islam dengan ilmu kemanusiaan dan menolak golongan yang menjadikan realiti dan alam semesta sebagai satu-satunya sumber bagi ilmu pengetahuan manusia.2

Maksud pengislaman ilmu pengetahuan ialah rangka kerja yang menyeluruh dan menentukan tahap individu dan masyarakat, untuk pemikiran dan tindakan, untuk pendidikan dan praktis, untuk pengetahuan dan organisasi, untuk pemerintah dan rakyat, untuk dunia masa kini dan akan datang. 1 Oleh demikian, pengislaman ilmu amat penting dan perlu dijadikan agenda umat Islam kini. Proses pengislaman ilmu ini merupakan satu syarat sebagai asas untuk menegakkan satu rangka umat, untuk membentuk pandangan individu dan kolektif terhadap kehidupan serta untuk mengembangkan aspek-aspek ideologikal dan praktikalnya.2 Tujuan daripada pengislaman ilmu ialah untuk merumuskan kaedah untuk ideologi Islam membersihkannya daripada bidaah, korupsi, pemencilan, kelembapan dan pepecahan yang dialami sejak beberapa abad lamanya. Ia juga bertujuan menyuburkan kembali pemikiran Islam dan kaedahnya dengan memberikannya jalan ke arah sumber utama warisan umat. Begitu juga ia bertujuan untuk mencapai kehandalan dalam pemikiran umat dalam segala jenis ilmu pengetahuan.3


Langkah-Langkah Pengislaman Ilmu.

Al-Faruqi semasa membentangkan kertas kerjanya di Persidangan Islamisasi Ilmu kali Kedua di Islamabad pada 7-9 Rabi’ al-Awwal 1402/ 4-6 Januari 1982 telah mengariskan beberapa langkah yang diperlukan untuk pengislaman Ilmu pengetahuan. Beliau telah menggariskan 12 langkah iaitu :

1. Penguasaan dan Kemahiran Disiplin Ilmu Moden : Penghuraian Kategori.
2. Tinjauan Disiplin Ilmu
3. Penguasaan Warisan Ilmu Islam : Sebuah Antologi
4. Penguasaan Warisan Ilmu Islam : Tahap Analisis
5. Penentuan Penyesuaian Islam yang Khusus terhadap Disiplin-disiplin Ilmu
6. Penilaian Kritikal terhadap Disiplin Ilmu Moden : Hakikat Kedudukannya pada Masa Kini.
7. Penilaian Kritikal terhadap warisan Islam : Tahap perkembangan pada Masa Kini.
8. Kajian Masalah Utama Umat Islam
9. Kajian Tentang Masalah yang Dihadapi oleh Umat Manusia
10. Analisis Kreatif dan Sintesis
11. Membentuk semula Disiplin Ilmu Moden ke dalam Rangka Kerja Islam : Buku Teks Universiti.
12. Pengagihan Ilmu yang Telah diislamkan. (Lihat lampiran 3, 4 dan 5)

Pengislaman Ilmu Di Malaysia.

Selepas merdeka, negara-negara Islam termasuk Malaysia, meneruskan sistem pendidikan moden yang bermula di zaman penjajahan. Walau bagaimanapun kurikulumnya diorientasikan dan diubahsuaikan selaras dengan hasrat dan semangat rakyat dan negara yang merdeka. Namun demikian falsafah, pandangan semesta dan nilai-nilai sekular yang mendasari ilmu-ilmu tersebut tidak banyak berubah. Pindaan yang ketara dalam kurikulum negara ini ialah kemasukan matapelajaran Pengetahuan Agama Islam. Namun demikian mata pelajaran ini terpisah dari matapelajaran lain, dan ia berada dalam bendungannya sendiri. Sementara itu mata pelajaran- mata pelajaran lain juga berada dalam bendungan mereka sendiri. Keadaan ini menimbulkan semacam dualisme dan dikotomi dalam kurikulum pendidikan kebangsaan.2

Sementara itu juga sistem pendidikan agama berjalan secara berasingan dan mengekalkan kurikulum yang lama. Tanggapan terhadap ilmu-ilmu moden sebagai sekular. Akibatnya mereka tidak dapat menguasai ilmu moden sekaligus tidak berupaya aktif dalam pembangunan negara. Justeru itu produk sistem ini menjadi semacam terpinggir dari arus pembangunan.1

Sistem pendidikan kebangsaan pula didokong oleh kerajaan tetapi mempunyai produk yang berbeza dengan pelajar sistem agama. Produknya masih gagal mempunyai ciri-ciri kesepaduan antara nilai agama dan bukan agama. Keadaan ini mewujudkan dualisme dalam pemikiran dan ia mengekang serta menjejaskan usaha ke arah pembentukan sahsiah diri yang sepadu.2

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil daya usaha serta langkah positif ke arah mewujudkan pendidikan bersepadu dan ilmu bersepadu.3 Pada tahun 1988, Falsafah pendidikan Negara (FPN) yang berteraskan konsep kesepaduan telah diungkapkan secara bertulis. Falsafah Pendidikan Negara berbunyi :

“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensiindividu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”


Falsafah pendidikan Negara ini menjadi teras dalam segala program, perancangan dalam pendidikan negara. Paksi kepada FPN adalah ketuhanan.1 Perpandukan kepada FPN beberapa ciri penting dapat dirumuskan :

1. Pendidikan adalah usaha untuk mewujudkan budaya ilmu di mana sekolah merupakan permulaan perjalanan ke arah penerusan pencarian ilmu sehingga ke akhir hayat.
2. Manusia yang hendak dilahirkan oleh sistem pendidikan adalah manusia yang bermoral dan bertaqwa yang percaya dan patuh kepada tuhan.
3. Manusia yang akan muncul daripada sistem pendidikan adalah manusia yang seimbang dan harmonis dari segi emosi, jasmani, rohani dan intelek yang mempunyai ketrampilan dan ilmu pengetahuan yang dapat berpijak di atas kaki sendiri untuk berbakti dan berjasa kepada masyarakat dan negara.1

Perkara yang penting dalam FPN ini ialah proses pendidikan yang dikenali sebagai Pendidikan Bersepadu atau Perspektif Bersepadu Sejagat. Pendidikan sepadu merupakan saluran yang terbaik untuk mengoperasikan hasrat FPN ke arah pembentukan insan dan masyarakat Malaysia. Dengan demikian pendidikan sepadu dijadikan dasar dalam kurikulum sekolah dan pendidikan negara.2 Konsep bersepadu ini harus meliputi seluruh tahap pendidikan , iaitu dari pra sekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi.

Sebagai langkah permulaan maka KBSR (1983)dan KBSM (1988/89) diperkenalkan dengan konsep pendidikan sepadu. Kurikulum sekolah rendah yang dahulu dikenali sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diselaraskan dengan FPN pada tahun 1993/94. Semenjak itu ia dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). 1

Dr. Wan Mohd Zahid2 telah menghuraikan maksud Konsep Pendidikan Sepadu iaitu merujuk kepada kejadian insan. Pada hakikatnya insan merupakan kejadian yang sepadu, iaitu gabungan antara rohani dan jasmani. Berasaskan hakikat ini pembangunan insan perlu dilakukan dengan secara sepadu, iaitu meliputi pembangunan rohani, intelek dan jasmani. Ia juga bermaksud kembali kepada fitrah. Dari perspektif ilmu pula, pendidikan sepadu ini merujuk kepada keperluan manusia untuk mempelajari ilmu agama, ilmu kemanusiaan dan ilmu sains tabie. Ketiga-tiga jenis ilmu ini adalah penting untuk membolehkan manusia menjayakan perhubungan yang betul dan harmonis dengan Tuhan Maha Pencipta, manusia lain dan alamnya. Ia juga merujuk kepada prinsip keTuhanan iaitu usaha untuk memupuk dalam pendidikan kesedaran keTuhanan. Prinsip keTuhanan telah dinukilkan dengan jelas dalam FPN.3 Tujuan asas pendidikan bersepadu adalah untuk membentuk insan yang baik berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Dalam konteks ini, istilah bersepadu bermaksud bersatu, bercantum, bergabung, bertaut, bersebati, bekerjasama, bermuafakat, seia sekata, dan bersama-sama, yang konsepsikan dan direalisasikan dengan berasaskan kepercayaan kepada Tuhan.1 Secara kasar, perbincangan tentang konsep bersepadu ini boleh dibuat kepada dua tahap iaitu tahap umum dan tahap khusus.2 Aspek penting bagi proses kesepaduan pada tahap umum termasuklah kesepaduan fungsi hidup, kesepaduan tanggungjawab, kesepaduan ilmu pengetahuan, kesepaduan amalan pendidikan, kesepaduan disiplin ilmiah dan kesepaduan dimensi perkembangan.3 Sementara tahap khusus pula memerlukan kesepaduan matlamat, kesepaduan unsur, kesepaduan proses pembelajaran, kesepaduan jenis pengetahuan, kesepaduan merentasi kurikulum dan kesepaduan isi kandungan.4

Jelas sekali, proses pendidikan sepadu ini merupakan cabang dari proses pengislaman ilmu secara keseluruhannya. Antara langkah yang perlu bagi mencapai matlamat pengislaman Ilmu dalam dasar pendidikan negara ialah :


1. Pembetulan : membetulkan fakta dan konsep yang bertentangan dengan Islam.
2. Orientasi : Memasukkan pandangan, visi dan tafsiran Islam ke dalam disiplin ilmu yang berkaitan.
3. Penyelarasan : Menyelaraskan disiplin-disiplin ilmu yang bukan agama dengan ilmu agama.
4. Kesepaduan : Menyepadukan seluruh ilmu dalam satu acuan atau paradigma yang berteraskan tawhid.

Di samping itu, bahan-bahan buku teks perlu disemak semula berasaskan kepada paradigma tawhid dan guru-guru perlu diorientasikan semula supaya mereka dapat memahami falsafah, konsep dan pendekatan yang berasaskan rangka paradigma tawhid. Di samping itu juga, budaya Islamik perlu diwujudkan di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi.1

Kesimpulan

Oleh kerana ilmu agama dan ilmu sains saling berkait rapat kerana mereka lahir dari sumber yang sama iaitu ilmu tuhan maka proses pengislaman ilmu amat penting supaya manusia dapat mengetahui cara untuk meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya yang sebenar dalam sistem kewujudan. Dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar, manusia mengamalkan keadilan dan keadilan membawa kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Generasi yang lahir dari pendidikan pengislaman ilmu adalah generasi yang mempunyai rasa tawadu’, bertanggungjawab dan disiplin yang tinggi. Mereka sentiasa membawa slongan kemajuan umat. Adalah diharapkan dengan pengislaman ilmu ini merupakan satu titik tolak dalam proses pengislaman dari segi politik, ekonomi dan sains kemanusian keseluruhannya. Di Malaysia, pengislaman ilmu masih bergiat lancar dan memerlukan sokongan dari semua pihak bagi menjayakannya. Sesungguhnya proses untuk melaksanakan dan menjayakan hasrat ini akan mengambil masa. Kejayaannya bergantung kepada kesediaan pihak pemimpin, penggubal dasar, pendidik dan masyarakat dalam menghayati dan mengamali konsep pengislaman ilmu. Idea besar ini akan menjadi malap dan sulit apabila ia diambil dan dipermudahkan oleh pendukung-pendukung yang tidak berhati-hati dalam melaksanakannya. Oleh itu, usaha-usaha ke arah islamisasi ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini harus dikaji dari semasa ke semasa supaya keberkesannya terserlah seperti termaktub dalam gagasan awalnya. Pengislaman ilmu ini haruslah bermula dari peringkat rendah hinggalah ke tahap pengajian tinggi. Dalam keghairahan kita mengimport kolej-kolej swasta dan universiti-universiti dari luar negara, maka pihak yang berwajib perlulah mengawasi dan memerhati supaya proses pengislaman ilmu tidak terbantut dan terjejas disebabkan perkara tersebut. Kita berkeyakinan pengislaman ilmu merupakan satu titik tolak ke arah kebangkitan umat seterusnya membawa umat ini kepada ‘izzah.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.