Bicara Haraki

Bicara Haraki

Penglibatan Dalam Harakah Islamiyyah: Satu Keperluan

Sepintas lalu Tentang Harakah Islamiyyah Kelahiran Harakah Islamiyyah berlaku selepas kejatuhan khilafah Islamiyyah dan bertapaknya pemikiran taqlid dalam masyarakat Islam, maka harakah Islamiyyah telah mengambil tempat peranan menyedarkan umat kepada kepentingan kembali semula kepada ajaran Quran dan Sunnah serta mengamalkan ijtihad dalam perkara-perkara yang diperlukan ijtihad dan kesedaran politik untuk membebas negara dari dominasi kuasa Barat.

Fiqh Revolusi vs Ketaatan Pada Pemimpin

Dr. Rumaizuddin Ghazali (Timbalan Presiden ABIM, 2005-2007)

Revolusi bermaksud melakukan perubahan secara drastik dalam politik, masyarakat dan ekonomi. Dalam pengertian barat, revolusi ini tidak dianggap sebagai satu perubahan dan pembaikan sedangkan dalam pengertian Islam revolusi juga dianggap sebagai “islah’ dan pembaikan.

Sememangnya terdapat perbezaan istilah antara Islam dan barat. Misalnya kalimah fundamentalis dalam kamus barat merupakan kumpulan ektrem dan penganas. Namun dalam kamus Islam ,fundamentalis merupakan orang yang berpegang teguh  kepada ajaran Islam. Dalam al-Quran terdapat pengertian revolusi dan pengulingan iaitu ayat al-Rum ayat 9.

Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka (al-Rum :9)

Penggunaan istilah revolusi sudah dikenali dalam kamus politik Islam apabila Nafi’ bin Azraq menyeru golongan khawarij menyokong revolusi yang diketuai oleh Abdullah bin Zubair.

Memperkasakan Ahli Sunnah Waljamaah Di Malaysia

Menurut Abdul Shukur Husain dalam Syarahan Perdana yang bertajuk “ Ahli Sunnah waljamaah Pemahaman Semula” pada tahun 1998 menyebutkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia ini telah lama menerima dan mengamalkan Islam berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Waljamaah. Dalam aspek akidah pegangan yang dihayati dan sebati ialah fahaman Asya’irah dan Maturidiah. Fahaman ini sinonim dengan Ahli Sunnah. Natijahnya telah menampakkan kesan yang baik kepada kestabilan rohani dan masyarakat. Dalam zaman globalisasi ini, keresahan tetap timbul bila fahaman-fahaman lain ditonjolkan di dalam masyarakat Islam walaupun fahaman-fahaman itu pada hakikatnya masih di bawah payung Ahli Sunnah. Masyarakat Islam yang masih lagi  mencari hakikat Ahli Sunnah tidak harus dilibatkan dalam kancah fahaman yang sempit menerusi doktrin dan tokoh-tokoh tertentu sahaja. Malah umat Islam di Malaysia tidak harus dilibatkan kancah perpecahan kerana doktrin serpihan tersebut. Natijahnya seperti biasa, melahirkan percanggahan dan keresahan dalam masyarakat.

Majoriti umat Islam di Malaysia malah di rantau ini telah berabad-abad lamanya menerima dan mengamalkan Islam berasaskan pendekatan aliran Ahli Sunnah Waljamaah hingga menjadi begitu dominan dan berwibawa. Hakikat ini telah menjadikan Malaysia malah rantau ini paling seragam dalam pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak berbanding dengan masyarakat Islam di rantau lain. Keadaan ini secara tidak langsung memberi sumbangan kepada kestabilan politik, masyarakat dan perpaduan ummah.

Lebihan Zakat Patut Diperluas Bantu Minoriti Islam Rantau Asia

Institusi zakat menjadi sumber dan jaminan sosial dalam memperkasakan ekonomi umat Islam. Sejarah membuktikan zakat dapat menjamin keperluan masyarakat. Pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau dapati tidak ada fakir miskin lalu wang zakat digunakan untuk membebaskan hamba.
 
Pada dasarnya, keuntungan zakat dilihat pada sebelah pihak iaitu orang menerima zakat dan bantuan. Mereka yang menghulurkan zakat seolah-olah dilihat tidak mendapat faedah daripada pemberian selain kerugian dan menantikan ganjaran di akhirat.
 
Sebenarnya hikmah pemberian zakat pasti kembali kepada pemberi kerana apabila seseorang mengeluarkan zakat, secara tidak langsung dia akan menyucikan jiwanya daripada sifat bakhil di samping menambahkan keberkatan harta. Tidak pernah terukir dalam tinta sejarah seseorang yang mengeluarkan zakat menjadi papa kedana.

Sejarah Pengubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu(23 Julai 2008)

Pada 31 Ogos 2007 genaplah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan setelah dijajah oleh kuasa-kuasa penjajah silih berganti sejak 1511.  Dalam tempoh itu penjajah British yang paling lama menjajah negeri-negeri Melayu. Usaha untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British bermula pada tahun-tahun 1930an apabila Kesatuan Melayu Muda dibentuk oleh Ibrahim Hj. Yaacob dan rakan-rakannya. Selepas Perang Dunia Kedua, perjuangan ke arah kemerdekaan semakin rancak. Setelah memenangi majoriti besar dalam pilihanraya Persekutuan pada 1955, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah mengadakan rundingan dengan kerajaan British mengenai Tanah Melayu. Rombongan Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil Raja-raja Melayu telah mengadakan rundingan dengan Kerajaan British pada 18 Januari 1956. Perikatan dan kerajaan British telah bersetuju untuk mengisytiharkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Bersesuaian dengan persetujuan itu sebuah Suruhanjaya Bebas akan dibentuk bagi menggubal Perlembagaan Tanah Melayu Merdeka.

Malaysiakini-krasi: Media Baru dan Wacana Demokrasi(22 Mei 08)

Pada 13 Mei yang lalu, saya diundang untuk membentangkan kertas kerja mengenai”Dunia Siber: Fakta atau Fitnah” di Konvensyen Belia Kebangsaan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Panelis lain yang turut mengambil bahagian dalam pembentangan itu ialah mantan Menteri Besar Selangor, YB Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, dan blogger Puan Nisah Haron.

Dalam pembentangan tersebut saya melihat bahawa dunia siber pada hari ini boleh mengandungi kedua-duanya - fakta atau fitnah. Tentu sekali setiap bahan yang dimuatkan di blog, laman web, emel - malah di mana-mana jua - dipaparkan sebagai ”fakta”. Hanya pembaca yang cermat dan berpengetahuan boleh membezakan antara fakta dan fitnah. Lebih-lebih lagi dalam era politik demokrasi dan kebebasan bersuara pada hari ini dunia siber menjadi medan untuk seseorang mengenengahkan pandangan mengenai sesuatu isu bagi mempengaruhi orang lain. ”Fakta” seringkali dipaparkan secara selektif untuk menyokong satu sudut pandangan.
Subscribe to this RSS feed