Tafsir Maudhuiy

Golongan al-Mutrafin: Hartawan Lupa Daratan [TM012]

Kajang , 22 Februari - Dewan Besar Kolej Dar al-Hikmah telah dipenuhi seramai lebih kurang 150 orang pencinta ilmu bagi menghadiri Siri ke-44 Kuliah Tafsir Maudhui’y yang dipimpin oleh YBhg. Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah dan mantan Presiden ABIM. Kuliah pada malam tersebut membincangkan pula Bahagian II kupasan tajuk yang sama pada siri lepas iaitu “Al - Quran dan Pembangunan Tamadun Insani”.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ust. Mat Radzi Bin Mat Ali dimulakan dengan membawa hadirin mengimbau Bahagian I pada siri lepas yang menggambarkan watak-watak manusia sihat dan manusia yang rosak. YBhg Dato’ mengungkapkan kembali dua faktor utama yang menghasilkan watak manusia rosak. Pertama ialah lantaran keangkuhan dan kebongkakan seperti yang terjelma dalam watak Firaun dan yang kedua ialah lantaran lemah keyakinan diri, kelumpuhan jatidiri dan sifat lupa serta tidak sedar bahawa Tuhan sebenarnya menjadikan manusia sebagai makhluk yang mulia.

Nota Kuliah Siri ke 44 boleh diperolehi di sini

Bahagian II ini diteruskan dengan pemerian watak hitam dan putih dalam Al- Quran.

Menurut YBhg. Dato’, perbezaan sesuatu watak hanya akan lebih jelas sekiranya dibuat perbandingan dengan sesuatu yang lebih baik, buruk atau kedua-duanya sekali. Beliau selanjutnya mengupas rangkaian ayat-ayat suci Al- Quran dari Surah Al- Kahf : 32-41 yang membuat kiasan watak-watak manusia di atas dengan dua orang pemilik kebun. Seorang pekebun membawa perwatakan putih sementara seorang lagi perwatakan hitam. Perinciannya diterangkan satu persatu seperti yang terdapat dalam nota kuliah. Walaupun asbabun’ nuzul ayat-ayat tersebut merujuk spesifik kepada pemilik kebun-kebun, namun pemakaian watak dan sifat itu bersifat umum dan sentiasa relevan sepertimana yang terukir sepanjang sejarah manusia.

Watak hitam contohnya, merupakan seorang yang bersifat tidak tahu diri, amat angkuh dan bangga dengan kehebatan dirinya hingga lupa bahawa itu semua adalah ujian dan amanah Allah S.W.T. Pola fikir mereka juga telah rosak dengan mempercayai bahawa hari akhirat tidak akan berlaku. Sekiranya berlakupun menurut mereka , mereka berasa amat yakin kononnya mereka akan masuk ke dalam syurga melihat kehormatan dan kekuasaan mereka di dunia. Manusia bongkak ini memperakukan akhirat seolah-olah perilaku mereka di dunia, mendapat apa sahaja yang dihajati dan diikuti segala arahannya.

Watak putih pula berasa amat mulia kerana memiliki Iman dan Aqidah. Secara berbanding, insan ini tidak langsung merasa kerdil atau rendah diri sedikit pun jika dibandingkan dengan manusia lain yang mempunyai harta kekayaan yang berlonggok dan ketinggian pangkat keduniaan. Seorang mu’min yang berwatak putih ini tidak akan sanggup menukarkan aqidah dan keimananya dengan segala kekuasaan politik, ekonomi dan ketenteraan yang pada contohnya pada Goerge W. Bush kerana baginya semua itu tidak dapat dibandingkan seikitpun dengan nilai imannya yang amat berharga.

“ Biarlah sikit yang ada ditangannya itu datang dari punca yang halal dari yang banyak pada tangan orang lain tetapi tidak tentu dari mana puncanya. Itu semua pada hakikatnya adalah sama sahaja, masing-masing adalah ujian dan amanah dari Allah S.W.T”, begitulah pesan beliau agar mengambil sikap tidak hairan dengan kekayaan dunia yang ada pada orang lain. Besryukur (Redha) dengan apa yang dikurniakan kerana mungkin sahaja rezeki yang diberikan sedikit sahaja lebih dari yang ada bakal membuatkan manusia lupa diri. Yang penting ialah Aqidah dan Iman sebagai nilai hakiki pembentukan tamadun insani. Semua yang lain akan sirna. “Keseronokan masa muda juga akan hilang suatu hari nanti, itupun kalau sempat” ujar beliau memberikan nasihat kepada generasi muda

Babak kedua kuliah pula memerikan sifat manusia yang menjadi penyumbang dan manusia yang menjadi beban. Kedua- dua perbezaan ini dikupas memalui tafsiran ayat 76 Surah An-Nahl. Manusia penyumbang diistilahkan sebagai manusia berkualiti sementara manusia pembeban diistilahkan sebagai manusi hampas. Perincian dirujuk kepada points yang dinyatakan dalam nota kuliah.

Antaranya, orang yang menjadi beban diumpamakan seperti orang yang pekak lagi bisu; tidak mampu menambah sebarang input (ilmu) kepada dirinya sendiri apalagi input (ilmu) orang lain - tidak komunikatif. Orang ini juga tidak akan mampu untuk perform dalam tugas walau diletak di mana sekalipun kerana tidak memiliki kemahiran dan competency dalam tugas. “Dihantar ke mana sekalipun orang ini tidak akan mampu memberi sumbangan”, bahkan hanya membebankan dan menyusahkan orang lain sambil merujuk kepada pepatah Melayu sebagai orang yang hanya tahu menghabiskan beras.

Manusia penyumbang pula ialah orang yang melaksanakan tugas dengan betul, sempurna dan menepati tatacara yang benar. Mereka ini penyeru kebaikan (ma’ruf) yang efektif dan mampu menghadirkan perubahan positif kepada persekitaran dan suasanya sekelilingnya. Ini berbeza contohnya dengan golongan ilmuan yang punya ilmu dan segalanya tetapi tidak mampu menjadi penyeru kebaikan di tengah-tengah masyarakatnya menyebabkan kehadiran mereka tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

Di penghujung pembentangannya, Ybhg. Dato’ mengungkapkan keluhan idealog tersohor Algeria Malek Ben Nabi tentang betapa rendahnya taraf kesarjanaan golongan intelektual yang tidak mampu merubah keadaan masyarakat persekitarannya yang terus hidup dalam kebodohan walaupun ditengah-tengah mereka ada ilmuan dan pemikir besar. Ini menurut beliau diburukkan lagi oleh peranan media massa yang memperbodohkan rakyat dengan pelbagai penipuan dan kepalsuan.

Sesi soal jawab kemudiannya dibuka kepada muslimin muslimat yang hadir. Terdapat tiga persoalan yang dikemukakan seperti berikut :-
1. Bagaimana merangka mekanisma untuk merubah watak manusia hitam kepada putih dan sebaliknya, menyedarkan kepada manusia yang punya perwatakan putih untuk bangkit menyedari kemulian mereka dan kehadapan dalam mendepani keangkuhan manusia berwatak hitam yang kini lebih dominan?
2. Bagaimana merubah mahasiswi khususnya yang ramai di kampus dan para lepasan IPT yang kini masih belum diupayakan sepenuhnya ?
3. Meminta pengulasan lanjut tentang fenomena ilmuan yang tidak mampu merubah persekitarannya.


Respon penceramah :-
Ketiga-tiga persoalan tadi berkisar kepada isu-isu yang hampir sama. Pokok persoalannya ialah bagaimana untuk merubah? “Anda tahu jawapannya”, ujar beliau. Sebenarnya apa yang diusahakan oleh ABIM hingga kini adalah bertujuan untuk merubah individu, masyarakat dan persekitaran. Contohnya usaha membina ilmuan yang komited melalui penganjuran kuliah ilmiah, seminar, aktivisme dan sebagainya.

Namun begitu, faktor terbesar ialah kegagalan para ilmuan yang telah diorientasikan dengan nila-nilai palsu. Obsesi sebahagian ilmuan kini telah berkisar kepada persoalan ingin naik pangkat dan naik gaji. Justeru yang mengalami krisis bukan hanya masyarakat sehaja tetapi ilmuan itu sendiri. Inilah hasil kegagalan mereka menghayati dan mengamalkan tuntutan Al- Quran mengenai peranan ilmuan seperti yang diungkapkan dalam ayat 122 Surah At Taubah :-

“ Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu semuanya ( ke medan perang) . Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apablia mereka kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Masalahnya ialah bila ‘ulama tidak kembali kepada ummat. Ilmuan lebih senang mengekori political master masing-masing sehingga menjadi ilmuan yang ‘ditaja’ oleh politikus. Tambah beliau lagi, yang paling banyak bersuara dan didengari oleh umat masakini ialah Media Massa, bukan lagi ilmuan.

Televisyen contohnya merupakan ‘ahli keluarga’ yang paling ‘aktif’ dalam sesbuah keluarga. Ia paling banyak bersuara dan didengar melebihi ibubapa sendiri. Mungkin ibubapa banyak bersuara dan berceloteh tetapi tidak sangat didengar oleh anak-anakny sebagaimana mereka kyusuk mendengar televisyen. Ketiadaannya pula akan menghadirkan suasana serba suram yang amat dirasai oleh seisi keluarga, berbanding ketiadaan salah seorang ahli keluarga itu sendiri. Begitulah barangkali gambarannya kekuatan media dalam merubah pemikiran sikap dalam hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatam.

Ditambah pula dengan kegagalan ‘ilmuan pecah amanah’ yang wujud kini, suasana menjadi bertambah getir. Dengan keseronokan menghias diri dan menggilap pangkat kebesaran, sebahagian ilmuan ini sebernarnya telah diperangkap dan terjerumus dalam perangkap politik “Dia ini orang siapa?” . Pendekatan dan penglibatan politik sedemikian telah menyedut tenaga dan fikiran ilmuan untuk memerah otak menghabiskan masa merungkai persoalan ini orang siapa daripada memikirkan solusi menyelesaikan permasalahan ummat.

Hakikatnya, laungan dan slogan yang diangkat bahawa ini merupakan zaman knowledge based, knowledge economy dan pelbagai lagi konotasi pengagungan ilmu pengetahuan hanyalah merupakan satu pembohongan yang penuh kepura-puraan. Buktinya, yang disanjung dan dipuja oleh masyarakat ini kalau mengikut (ranking tidak rasmi) ialah orang yang punya kuasa, orang yang berduit, artis, ahli sukan dan baru mungkin diikuti oleh ilmuan. Orang diangkat bukan atas dasar ilmu tetapi atas dasar ini orang siapa? Tambah parah, ketidakjujuran dan kepura-puraan dalam melaksanakan amanah keilmuan ini telah menjadi suatu tragedi yang diterima oleh masyarakat hingga menganggap ia sebagai budaya hidup.

Maka beliau mengagaskan keperluan mendesak untuk mengangkat kembali nilai keilmuan dan martabat ilmuan melalui satu reformasi keintelektualan. Kita tidak mahu terus menghasilkan penuntut yang hanya mahukan sesegera mungkin kelayakan akademik semata-mata tanpa pengisian ilmu yang sepatutnya di dada. Yang penting ialah skrol graduasi secepat mungkin, ilmu tidak lagi penting. Kerana apa? Kerana telah terbukti bahawa orang yang tidak mempunyai ilmu juga boleh berjaya. ‘Technically know how’ tidak lagi mencukupi tanpa dilengkapi dengan skil ‘Technically know Who?’ yang akhirnya akan kembali sekali lagi kepada persoalan, Dia ini orang siapa?

Sebagai kesimpulan, YBhg Dato Dr. Siddiq Fadzil berharap agar reaksi yang diberikan mampu membantu hadirin untuk mencari sendiri jawapan kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan.

Sekian.

*Laporan ini merupakan catatan penulis berpandukan nota kuliah dan penyampaian verbal penceramah. Sila berikan respon sekiranya terdapat kesilapan dari segi makna dan olahan yang dinukilkan mengikut pemahaman penulis.


Dilaporkan oleh Unit Perhubungan Awam,
Sekretariat ABIM Pusat.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.