Tafsir Maudhuiy

Al-Quran Dan Pembangunan Tamadun Insani (Bahagian II)

Watak Hitam x Putih dalam al-Qur’an

Antara cara al-Qur’an menyerlahkan ciri-ciri manusia yang unggul dan manusia yang rosak ialah dengan menampilkan dua watak yang bertentangan (contrast). Dua lelaki (rajulayn) dalam ayat-ayat berikut merupakan personifikasi ciri-ciri watak hitam-putih untuk disaksikan dengan sejelas-jelasnya perbezaan antara keduanya.

Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang laki-laki. Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua buah kebun itu dengan pohon-pohon korma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.(32)

Kedua kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahynya sedikitpun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu. (33)

Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mu’min) ketika ia bercakap-cakap dengan dia: “hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”.(34)
Dan dia memasuki kebunya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri, ia berkata “aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya.(35) 
 
Dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang baik daripada kebun-kebun itu”.(36)

Kawannya (yang mu’min) berkata kepadanya sedang dia bercakap-cakap dengannya , “Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setetes air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang laki-laki yang sempurna?(37)

Tetapi aku (percaya bahawa) Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Tuhanku.(38)

Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu “masya’a ‘Llah tidak ada kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Alla”. Jika kamu anggap aku lebih kurang daripada kamu dalam hal harta dan anak, (39)

Maka mudah-mudahan Tuhanku akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik daripada kebunmu (ini) dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan (petir) dari langit kepada kebunmu, hingga kebun itu menjadi tanah yang licin.(40)

Atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi”.(41)

Al-Kahf:32-41


Watak hitam yang melambangkan peribadi, sikap dan pola fakir manusia rosak menyerlahkan ciri-ciri:

• Tidak tahu diri -- lupa asal-usulnya (dari tanah dan air mani) kerana terpedaya dengan “kehebatan” diri. Kurnia Tuhan (kekayaan, kuasa dll) yang pada hakikatnya adalah amanah dan ujian ditanggapi sebagai hak mutlaknya, lalu mengagumi dirinya dan prestasinya. Dan seterusnya kufur terhadap nikmat Tuhan, malah terhadap Tuhan Penciptanya sendiri.

• Kekayaan dan kekuatan dukungan pengikut menjadikannya begitu angkuh, lalu angkuh, lalu menghina dan memperlekeh mereka yang tidak setara dengannya.

• Tertipu dengan nilai-nilai palsu dengan menjadikan kekayaan, kekuasaan dan kekuatan dukungan pengikut sebagai kayu ukur martabat seseorang. Kerana itu obsesinya tertumpu pada mengaut kekayaan dan memperbanyak pengikut yang disangka dapat melindunginya dari segala-gala. Dengan kekayaan ia dapat membeli apa sahaja, siapa sahaja dan berapa sahaja. Pengikut-pengikut yang ramai dapat dikerah melakukan apa sahaja, di mana sahaja dan bila-bila sahaja kerana “orangn-orangya” ada di mana-mana.

• Lupa terhadap kekuasaan Tuhan yang mengatasi segala kekuatan. Ia menyangka segala yang dimilikinya itu akan kekal kerana terlalu yakin dengan kekuatannya.

• Kehidupan materialistik telah membutakannya dari hakikat-hakikat ghaybiyyat termasuk hari kiamat dan kehidupan ukhrawi. Kerana itu ia tidak takut melakukan apa juga jenis kejahatan.

• Tidak menyedari bahawa sikap dan tindak-tanduknya yang angkuh itu sebenarnya “makan diri”, suatu penganiayaan terhadap dirinya sendiri selain merosak orang lain juga.Watak putih yang melambangkan peribadi unggul manusia mu’min pula menyerlah ciri-ciri:

• Rasa mulia kerana meyakini bahawa yang dimilikinya (iman/`aqidah) pada hakikatnya lebih berharga dari segala-gala termasuk kekayaan dan kekuasaan duniawi. Sekalipun dihina dan diperlekeh, namun ia tetap berasa mulia dan percaya diri.


• Tidak memperlihatkan kekaguman terhadap kekayaan dan kekuasaan yang dimiliki oleh orang lain. Malah dengan rasa penuh percaya diri ia menyampaikan peringatan tentang hakikat kebenaran kepada mereka yang sebenarnya terpedaya dan tertipu dengan nilai-nilai palsu, rendah dan murah.

• Kerelaan hidup seadanya kerana yakin dengan apa yang di sisi Allah (habuan ukhrawi) lebih baik dan lebih kekal. Iman yang dimilikinya memberinya petunjuk tentang nilai-nilai yang hakiki sehingga ia tidak mengalami kebingungan atau kekacauan nilai.

Manusia: AntaraYang Menyumbang dan Yang Menjadi Beban

Manusia yang mampu melaksanakan mandat kekhalifahan iaitu misi pentamadunan (civilizing mission) adalah manusia yang produktif, yang mampu menyumbang, yang bermanfaat buat manusia lain. Sekaligus itulah kriteria sebenar kualiti manusia. Dalam kaitan ini sekali lagi al-Qur’an menjelaskannya menerusi dua watak rajulayn (dua lelaki) yang contrast atau bertentangan:


Dan Allah membuat (pula) perumpamaan: dua orang lelaki, yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatupun dan dia menjadi beban atas penanggungnya, ke mana sahaja ia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikanpun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan dan dia berada pula di atas jalan yang lurus?

Al-Nahl:76

Ayat tersebut mempertentangkan dua jenis manusia: yang hampas dan yang berkualiti. Ciri-ciri manusia hampas adalah:

• Tidak komunikatif -- tidak dapat memberi dan menerima sebarang maklumat (bisu/pekak).

• Tidak produktif.

• Menjadi beban kepada orang lain.

• Tidak memiliki kemahiran atau tidak kompeten dalam tugas.

Manusia berkualiti pula adalah sebaliknya:

• Mampu melaksanakan tugasnya dengan betul dan sempurna, menepati tatacara yang benar.

• Bermanfaat kepada orang lain dalam erti dapat mempengaruhi orang-orang di lingkungannya mengamalkan nilai-nilai murni seperti kebenaran dan keadilan.

Demikianlah antara kriteria manusia mampu melaksanakan misi pentamadunan, iaitu manusia yang berakidah dan mampu menjadi sumber daya insani yang produktif serta membawa manfaat kepada umat manusia.


-Sekian-

AKK/KDH: 20 ZULHIJJAH 1423/22 FEB 2003

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.