Tafsir Maudhuiy

Pengenalan Tafsir Maudhu'iyy Dan Aliran-Alirannya [TM001]

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengadakan kuliah bulanan Tafsir Mawdu'iyy di Pusat Latihan ABIM (PLA), Sungai Ramal Dalam, Kajang pada Sabtu, 23 Mei 1998 lalu. Kuliah yang terbuka kepada masyarakat umum ini dipimpin oleh Dr Siddiq Fadhil, pensyarah Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas Presiden ABIM ketiga (1982-1991).Kuliah yang pertama ini menjelaskan konsep tafsir mawdu'iyy dan aliran-aliran tafsir yang lain dalam tradisi keilmuan Islam klasik.

Dr Siddiq Fadhil memulakan kuliahnya dengan memetik suatu ungkapan, qaulan saqila, di dalam surah al-Muzammil (ayat 3). Qaulan saqila membawa makna kata-kata yang berat (weighty words), bukan sembang mengarut atau kata-kata kosong. Ungkapan ini merujuk kepada kandungan Al-Qur'an yang sarat dengan hakikat yang besar serta mempunyai dampak yang besar terhadap sebuah tamadun agung.
Sehubungan dengan ini, asy-Shaykh Hassan al-Banna (m. 1948) merumuskan bahawa kandungan Al-Qur'an membawa empat persoalan besar:


(a) aqidah yang suci,
(b) ibadat yang tepat,
(c) akhlak yang mulia dan
(d) tatangan sosial yang adil.


Sejarah awal Islam sudah mengetengahkan pelbagai tafsiran mengenai Al-Qur'an menuruti pelbagai aliran seperti tafsir aliran modenis, tradisionalis, sufi, falsafiyy, usuliyy dan sebagainya. Timbulnya pelbagai tafsiran ini kerana wujudnya pelbagai percubaan untuk menelusuri makna Al-Qur'an menerusi pengkhususannya. Umpamanya, ahli fiqh cuba menafsir Al-Qur'an menerusi pendekatan fiqhiyyahnya manakala ahli kalam menafsir menerusi pendekatan aliran pemikirannya. Namun, yang pasti, kesemuanya menyumbang kepada khazanah keilmuan Islam. Dengan demikian, tafsir Al-Qur'an akan sentiasa muncul di sepanjang zaman.

Sesuatu tafsir ada kalanya terlalu menumpu kepada sesuatu aspek seperti fiqh, lalu tidak dapat menggambarkan rukyah Al-Qur'an yang lebih besar; yang dengan demikian, mungkin mencacatkan keutuhan wawasan Al-Qur'an dan cuma menjuruskan kepada serpihan-serpihan disiplin tertentu. Sesungguhnya, menurut Dr Siddiq Fadhil, tafsir manusia boleh diterima dan boleh ditolak melainkan kata-kata manusia yang maksum. Pun demikian, penerimaan dan penolakan sesuatu tafsir itu perlu berdasarkan ilmu dan faham yang benar.

Al-Qur'an harus ditafsir dan difahami secara utuh dan menyeluruh dengan segala kesepaduan jurusannya untuk membina manusia dan membangun ummat; kesepaduan yang teranyam di dalam jalinan pelbagai jurusan untuk struktur dan kerangka pandangan hidup (worldview) manusia Islam. Di atas dasar inilah, tafsir Al-Qur'an dengan pendekatan bertema (tafsir mawdu'iyy) ditampilkan sebagai aliran tafsir mutakhir. Di antara pemuka-pemuka aliran tafsir ini, menurut Dr Siddiq Fadhil, ialah asy-Shaykh Muhammad al-Ghazali (m. 1996), Profesor Fazlur Rahman (m. 1988) dan Profesor Khurshid Ahmad.

Tidak seperti aliran saintisme dalam tafsiran Al-Qur'an, tafsir mawdu'iyy mempunyai justifikasi ilmiahnya. Aliran saintisme yang tidak berjustifikasi itu cuba menafsirkan Al-Qur'an agar menepati teori-teori sains konvensional. Umpamanya, surah al-Fil yang mengisahkan pemusnahan tentera bergajah oleh sekumpulan burung yang melontar batu-batu hingga menyebabkan daging-daging menjadi pecah-pecah. Fenomena ini cuba menonjolkan kekuasaan Ilahi yang di luar pengalaman akal manusia. Namun, aliran saintisme cuba mendangkalkan fenomena mukjizat ini hanya kepada fenomena sains biasa dengan menafsirkan kehadiran sejenis kuman yang merebakkan penyakit-penyakit cacar.

Memahami Al-Qur'an secara cebisan akan menyebabkan fahaman yang dangkal tentang sesuatu fenomena; lalu menatijahkan sikap yang simplistik dengan kesimpulan yang silap. Mengambil dan menghurai hanya satu ayat untuk menghubungkaitkan dengan sesuatu fenomena tanpa memperhitungkan kehadiran ayat-ayat lain yang mungkin lebih relevant sewajarnya dielakkan. Fenomena kegawatan negara, umpamanya, tidak cuma boleh dijuruskan kepada azab atau hukuman ALlah semata-mata. Kegawatan dan musibah ini mungkin pula suatu peringatan yang menimbulkan kepastian untuk kembali ke pangkal jalan. Ia mungkin pula sebagai ujian Ilahi ke atas manusia sebelum diangkatkan mertabat manusiawi.

Tafsir Mawdu'iyy, menurut asy-Shaykh Muhammad al-Ghazali, cuba menggarap sesuatu surah seutuhnya, melakar gambaran menyeluruh dengan menghubung-kaitkan segala aspek kesepaduan dan hubungan bahawa awalnya adalah pengantar dan penghujungnya adalah pembenaran kepada pengantar. Menurut Profesor Fathi Usman pula, tafsir mawdu'iyy mengumpul dan menyusun kesemua ayat yang berkaitan dengan sesuatu tema, seperti keadilan, untuk melihat bagaimana Al-Qur'an menangani konsep keadilan secara utuh.

Walaubagaimana pun, biar pendekatan dan aliran apa pun yang dipakai, kita tidak seharusnya melupai bahawa yang penting, menurut Mawlana Abul 'l-'Ala al-Mawdudiyy, Al-Qur'an itu perlu ditanggapi sebagai hidayah dari ALlah, topik yang dibicarakan ialah manusia, tema utamanya ialah pengesahan kebenaran dan tujuan utamanya ialah untuk memandu manusia kepada pedoman kebenaran. Manusia harus dilihat dari aspek transformasi ~ yakni, perubahan mertabat keinsanannya. Dengan itu, Al-Qur'an harus dipegang sebagai kekuatan pembebasan (liberating force) dari kejahilan kepada keilmuan dan dari kegelapan kepada cahaya (surah al-Hadid: 9).

Untuk memahami Al-Qur'an secara menyeluruh, kita perlu melihat generasi turunnya Al-Qur'an yang benar-benar memahami Al-Qur'an secara amali dan keseluruhannya, ketika belum ada disiplin-disiplin ilmu tafsir dan sebagainya. Namun, hari ini, Al-Qur'an sudah seperti membenarkan kata-kata al-Hujwiri, seorang pemikir sufi di zaman-zaman awal Islam, tentang kesejajaran tanggapan ummat tentang tasawwuf. Menurut al-Hujwiri, tasawwuf is a reality without a name during the early days; now, it is a name without reality.

Malah, asy-Shaykh Muhammad al-Ghazali juga pernah menyatakan bahawa orang dahulu membaca Al-Qur'an hingga meningkatkan mertabat manusia kepada setinggi Al-Qur'an. Namun, orang kini membaca Al-Qur'an dengan menurunkan mertabat Al-Qur'an hingga sesuai dengan kemerosotan mertabat keinsanannya. Umpamanya, penggunaan ayat-ayat Al-Qur'an yang tidak bertempat. Orang dahulu seperti Rab'iyy ibn 'Amir benar-benar menyemangati perjuangan Al-Qur'an. Beliau menangkap dan menyerap mesej Al-Qur'an lalu menyebarkannya melalui ungkapan abadi yang sering diulang-ulang di dalam sejarah: untuk membebaskan manusia dari pengabdian sesama manusia kepada pengabdian terhadap ALlah, dari kezaliman kepada keadilan, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat... yang merupakan rumusan penting mesej Al-Qur'an.

Umar ibn Aziz pula tidak pernah membiarkan satu hari berlalu tanpa membaca Al-Qur'an, meskipun dalam keadaan yang tersangat sibuk. Menurut pandangan Umar ibn Aziz, mudah-mudahan dengan cuma membaca sekadar satu ayat, beliau tidak akan tergolong ke dalam golongan mereka yang meninggalkan Al-Qur'an (berdasarkan makna ayat 30 di dalam surah al-Furqan). Pernah pula suatu ketika, Umar ibn Aziz mengulang-ulang bacaan ayat 22 hingga ayat 24 di dalam surah as-Saffat hingga Subuh. Ayat-ayat tersebut mengisahkan peristiwa pengumpulan orang-orang zalim di Padang Mahsyar. Maknanya, meskipun sedikit ayat yang dibaca, namun pengertian dan penghayatannya begitu terasa sekali.

Ketika mengakhiri kuliah tafsir beliau, Dr Siddiq Fadhil memberi maklum balas kepada dua persoalan yang telah ditimbulkan. Pertama, mengenai persoalan negara-negara Islam yang sekadar mengupacarakan pembacaan Al-Qur'an tanpa melaksanakan hukum-hukum Islam. Menurut pandangan positif Dr Siddiq Fadhil, fenomena ini masih boleh disifatkan sebagai kemujuran setelah negara-negara Islam ini dijajah selama ratusan tahun. Namun kemujuran ini tidak cukup dalam konteks pembinaan ummah. Oleh itu ia merupakan warisan perjuangan kepada generasi mutakhir untuk melaksanakan apa yang wajar. Dalam konteks ini, ABIM menurut Dr Siddiq Fadhil telah meneruskan warisan perjuangan ini menerusi pendidikan ummat.

Persoalan kedua ialah mengenai pengaruh tafsir Fi Zilalil 'l-Qur'an, karya asy-Shaykh Sayyid Qutb (m. 1967), pemikir Ikhwan Muslimin yang dihukum gantung oleh rejim pemerintah Mesir, terhadap kemunculan aliran radikal di dalam perjuangan Islam. Dr Siddiq Fadhil mengakui memang ada dampak kepada aliran radikal yang agresif dengan kecenderungan melihat masyarakat lain sebagai masyarakat jahiliyyah. Namun, tafsir ini dipertahankan oleh adik Sayyid Qutb, asy-Shaykh Muhammad Qutb. Menurut beliau, Sayyid Qutb tidak pernah bermaksud sedemikian tetapi telah disalahgunakan. Dr Siddiq Fadhil pula berpandangan bahawa tafsir Fi Zilalil 'l-Qur'an amat baik untuk meruntuhkan keyakinan pegangan golongan Barat yang taksub dengan kebaratannya.

Khairil Anuar Ramli @ 13 Jun 1998.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.