Tafsir Maudhuiy

Rumusan Kuliah Tafsir Maudhu'iy Siri Ke 55

Membedah Ahsana ‘L-Qasas: Pengkisahan Qur’ani Tentang Yusuf A.S Surah Yusuf : Ayat 43 Sehingga 57

1.Surah Yusuf turut disebut sebagai Ahsana ‘L-Qasas ataupun kisah yang terindah. Ia meliputi perjalanan hidup Nabi Yusuf A.S  dari kecil sehingga dewasa.

 
2.Merupakan surah yang diturunkan di Makkah (Surah Makkaiyyah). Akan tetapi, tidak seperti surah-surah Makkaiyyah yang lain, struktur ayat dalam surah Yusuf tidak bersifat konfrontatif serta kombatif. Sebaliknya ayat-ayat dalam surah Yusuf lebih lembut serta indah.
 
3.Diturunkan ketika ‘am al-huzn ataupun tahun duka, iaitu pada ketika Rasullulah S.A.W sedang bersedih atas kematian isterinya Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib, serta meningkatnya tekanan oleh kaum Quraisy ke atas dakwah baginda.
 
4.Kisah Yusuf A.S amat mengesankan kerana ia adalah peristiwa nyata yang dicatatkan dalamsejarah menerusi Al-Qur’an. Sebarang pengkisahan Qur’ani pada hakikatnya adalah pengungkapan sunnatu’llah , iaitu hukum sejarah ketetapan Illahi yang tidak pernah berubah.

5.Menurut Dr Siddiq Fadzil, penderitaan yang dihadapi oleh Nabi Yusuf yang meliputi dibuang oleh abang-abangnya, dijual sebagai hamba, difitnah sebagai lelaki penggoda, serta dipenjarakan kerana fitnah, menggambarkan seolah-olah derita merupakan harga yang perlu dibayar untuk martabat Nubuwwah yang mulia. 

 
6.Dr Siddiq menambah, Surah Yusuf mengungkapkan hakikat pahitnya hidup berprinsip dan getirnya istiqamah dalam perjuangan demi kemuliaan hakiki, sekaligus meniupkan angin segar dalam kehidupan Nabi s.a.w pada ketika itu dan membuahkan keyakinan bahawa segala kegetiran yang dilaluinya akan berkesudahan dengan kejayaan.
 
7.Surah Yusuf juga menyerlahkan kekuasaan Allah s.w.t untuk merubah nasib seseorang, dengan menggangkat martabat Nabi Yusuf dari seorang banduan menjadi sesorang yang amat berkuasamenerusi kemampuannya untuk mentafsir mimpi.
 
8.Nabi Yusuf tidak menjadikan kemampuannya mentadbir sebagai modal  untuk dirinya membuat proses tawar menawar. Sebaliknya baginda menawarkan khidmat nasihat dengan mentafsir mimpi tersebut di samping mencadangkan langkah-langkah susulan untuk menghadapinya.
 
9.Surah Yusuf menyerlahkan akan keperluan intergriti untuk seseorang itu beroleh kepercayaan daripada masyarakat sebelum menjalankan tugasnya, melalui tindakan Nabi Yusuf yang tidak mahu keluar dari penjara selagi namanya tidak dibersihkan terlebih dahulu (kemudian isteri Al-Aziz akhirnya mengaku salah serta meminta maaf dengan Nabi Yusuf).
 
10.Kewibawaan Nabi Yusuf terserlah apabila rancangan ekonominya telah berjaya menyelamatkan Mesir dari berhadapan dengan kebuluran  di samping mengembangkan ekonominya sehingga dapat membantu daerah-daerah di sekitar Mesir termasuk abang-abangnya yang membuangnya dahulu.
 
11.Nabi Yusuf  melakukan semua ini berbekalkan kelayakan selaku hafizun alim, pengurusan yang kompeten dan berkesan, ilmu serta pemantauan yang dilakukannya sendiri secara berterusan.
 
12.Surah Yusuf telah menyerlahkan legasi moral yang ditonjolkan oleh Nabi Yusuf A.S yang berbentuk; bahawa pada saat paling susah, masih ada sifat pemurah; bahawa ketika meratanya kesengsaraan,masih ada kemanusiaan serta kesusahan bukan alas an meninggalkan kepedulian.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.