Pemikiran Al-Qaradawi

MAQASID SYAR'IAH DARI PERSPEKTIF AL-QARADAWI (SIRI 2)

Aliran Menggugurkan Teks Atas nama Maslahah dan Maqasid Syariat.

Aliran ini melupakan teks-teks bahkan sengaja menolak atas alasan melihat kepada maslahah dan maqasid syariat. Mereka dikenali aliran orang yang menggugurkan nas (ta'thil al-Nusus)  Mereka melawan teks-teks agama yang maksum dan menolak teks-teks tersebut tanpa peduli dan membekukan  teks-teks tersebut tanpa ilmu. Atas nama maqasid syariat, mereka ingin menghapuskan seluruh fiqah dan ilmu usul fiqah serta memadai dengan maqasid syariat sahaja.

Di bawah falsafah seperti itu mereka mengubah hukum-hukum keluarga, mengharamkan talak dan poligami, membolehkan seorang muslimah untuk menikahi laki-laki bukan Islam serta menyamakan warisan harta pusaka anak lelaki dan wanita atas nama maslahah yang menjadi tujuan maqasid Syari’ah. (al-Qaradawi, 2006: 85)

Aliran ini bangga dengan diri mereka dan memandang rendah terhadap tradisi dan ulama Islam. Mereka mendewa barat dan tradisinya. Golongan ini sombong dan merasa dirinya lebih mengetahui tafsir daripada al-Tabari, Hadith daripada al-Bukhari dan Usul Fiqah daripada al-Syafi'i. Padahal, orang-orang tersebut merupakan imam dan ilmuan akal dan naqli.

Antara ciri -ciri aliran ini ialah : 


1.Dangkal kefahamannya terhadap Syariat
Golongan ini dangkal kefahamannya tentang syariat baik sumbernya, dasar dan fiqah syariat. Mereka tidak mengetahui ulum al-Quran, malah tidak boleh membaca al-Quran, kedudukan Hadith, Usul fiqah dan pengetahuan ilmu lain yang berkaitan Islam.

2.Berani berpendapat tanpa ilmu
Dengan kebodohan dan kesombongan terdasar dasar-dasar dan sumber-sumber syariat, mereka berani mengeluarkan pendapat dengan tanpa ilmu. Mereka berbicara dan menulis buku-buku tentang Islam seolah-olah mereka ulama besar atau seorang mufti. Padahal dosa yang paling besar di sisi Allah adalah orang yang berbicara tanpa ilmu.

3.Mengikut barat
Mereka ini mengikut telunjuk barat  malah menjadi hamba kepada barat. Mereka mengikut kapitalis dan marxisme. Mereka memaksakan falsafah barat dalam kehidupan, pandangan barat terhadap agama, konsep barat terhadap sekularisme serta teori barat tentang hukum, sosial, politik,bahasa dan kebudayaan kita. (al-Qaradawi, 2006: 96-98)

Aliran ini mempunyai landasan pemikiran sebagai tiang asasi dalam membentuk teori pemikiran mereka iaitu :

1.    Meninggikan akal dari wahyu
Aliran ini menjadikan akal sebagai asas dalam menentukan sesuatu dan digunakan dalam kehidupan dan kemaslahatan mereka. Bagi aliran ini, apabila berlaku pertentangan antara akal dan teks maka akal yang patut didahulukan. Mereka mendahulukan kemaslahatan yang ditunjukkan oleh akal dari wahyu.

2.Mendakwa bahawa Umar menggugurkan teks atas nama maslahah

Mereka menyangka menggugurkan teks ketika bertentangan dengan maslahah. Sikap Umar bin al-Khatab yang mereka sebutkan seperti ketika dia tidak memberikan bahagian zakat kepada muallaf. Namun tuduhan yang ditujukan kepada Umar adalah batil dan tidak benar. Mereka juga mendakwa bahawa Umar tidak melaksanakan hukum hudud di tahun kelaparan. Padahal Umar tidak pernah memberhentikan hudud terhadap orang yang telah mencukupi syarat-syaratnya. Umar tidak melaksanakannya disebabkan ia tidak mencukupi syarat dan hudud akan gugur dengan adanya syubhat. (al-Qaradawi, 2006: 99-101)


3. Pemikiran Najmuddin al-Tufi
  Aliran ini menyandarkan pemikiran mereka kepada ahli fiqah bermazhab Hanbali, Najmuddin al-Tufi (w.716). Mereka mendakwa al-Tufi berpendapat bahawa jika nas yang qat'iy bertentangan dengan maslahah, maka kemaslahatan itu mesti didahulukan dan nas itu harus digugurkan atau dibekukan. Mereka berhujahkan bahawa syariat datang untuk kemaslahatan manusia. Dengan demikian, tidak boleh dibayangkan jika kemaslahatan harus ditolak dan dibatalkan.

Dalam hal ini, majoriti ulama mengingkari perkara tersebut,  Malah ada yang berpendapat bahawa al-Tufi tidak membataskan nas itu sama ada perkara itu zanni atau qat'iy.Al-Qaradawi berpendapat bahawa nas pada pendapat al-Tufi itu adalah al-zanni. Demikian juga jika sebuah teks itu ahad dan tidak jelas petunjuknya, maka ia tidak qat'iy. Hal yang tidak ada perdebatan dikalangan ulama adalah bahawa kemaslahatan yang pasti (qat'iy tidak akan bertentangan dengan nas yang qat'iy) atau sebaliknya. Inilah yang ditegaskan oleh para ulama dahulu dan kini.

Jika ternyata ada pertentangan maka ia disebabkan dua kemungkinan iaitu pertama, kemalahatan itu adalah kemaslahatan yang diada-adakan seperti menghalalkan arak kerana menarik pelancongan, kemaslahan zina dengan alasan untuk memberi hiburan kepada orang-orang bujang. Kedua, teks yang dibicarakan itu bukan qat'iy. Hal ini yang disalahfahami oleh para pengkaji terutama orang-orang yang tidak memiliki keahlian dalam ilmu-ilmu serta rahsia-rahsia syariat. (al-Qaradawi, 2006: 109)

4.Kaedah "di mana ada kemaslahatan di sanalah ada syariat Allah".
Aliran ini menggunakan kaedah yang didakwanya dari Ibn Qayyim. Kaedah tersebut adalah "dimana ada kemaslahatan di sanalah ada syariat Allah". Perkara yang sebenarnya Ibn Qayyim menyebutkan tentang keadilan bukan mengenai kemaslahatan. Kaedah itu menyebutkan "Jika tampak tanda-tanda keadilan dan terbuka wajahnya dengan cara apa pun, maka di sanalah syariat dan agama Allah berada."  Dengan demikian, menyandarkan kaedah itu kepada Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah adalah tidak benar.

Padahal mereka adalah orang yang sangat keras memegang teks dan selalu menyeru untuk mengikutinya. Kaedah tersebut boleh digunakan dan diterima dalam keadaan yang tidak ada nas atau nas yang mengandungi pelbagai penafsiran yang mana salah satu cara untuk menguatkannya adalah dengan kemaslahatan. (al-Qaradawi, 2006: 115)

Hasil Fiqah Aliran Menggugurkan Teks

1. Membuang teks qat'iy dan mengambil mustasyabihat
Mereka menggugurkan teks yang qat'iy seperti pengharaman arak  dan meragukan al-Sunnah. Mereka juga menghalalkan riba dengan menggunakan pelbagai dalih kerana menurut mereka riba sekarang bukan riba jahiliah. Mereka sentiasa megikut teks-teks mustasyabihat dan menganggapnya sebagai muhkamat. Mereka ingin menjadikan seluruh ajaran Islam lentur hingga boleh dibentuk sesuai dengan pandangan barat.

2.Melawan Hukum Islam dan Hudud atas nama kemaslahatan.
Golongan ini berani melawan teks-teks qat'iy dengan nama kemaslahatan yang tidak benar. Bahkan mereka melawan rukun-rukun Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji. Mereka menganggap solat akan mengganggu kerja, puasa mengurangi produktiviti dan haji membazirkan wang yang masih sangat kita perlukan.

Mereka juga berpendapat bahawa maksud dari ibadat adalah menyucikan diri dan maksud tersebut boleh dicapai tanpa beribadat sekalipun,membolehkan arak kerana pelancongan dan membolehkan riak dengan pelbagai alasan. Mereka juga menolak hukum hudud atas alasan maslahah sedangkan hukum hudud jelas disyariatkan oleh Allah dan wajib dilaksanakan mengikut kaedah dan syarat-syaratnya. (al-Qaradawi, 2006: 119-123)

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.