Pemikiran Al-Qaradawi

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi

Ciri Pertama : Penggabungan antara Fiqh dan Hadis;

Al-Qaradawi menggabungkan antara Fiqh dan Hadis. Al-Qaradawi  mampu menggabungkan antara fiqh dan hadis dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapinya. Setiap fatwa yang dikeluarkan akan diwarnai dengan pandangan yang kontektual dan sangat mendalam berdasarkan sikapnya yang sederhana. Penggabungan antara ilmu fiqh dan hadis menyebabkan fatwa-fatwanya selalu sederhana. Al-Qaradawi melihat bahawa umat Islam mengalami penderitaan apabila adanya ahli fiqh yang kerjanya hanya mengumpulkan pendapat para ulamak tanpa mengetahui tentang dalil yang mereka bicarakan.  Mereka berdalilkan kepada hadis-hadis daif dan palsu. Mereka mengeluarkan fatwa-fatwa berdasarkan kepada hadis-hadis daif dan palsu. Dalam hal ini, al-Qaradawi menyeru agar keperluan menggabungkan antara fiqh dan hadis kerana beliau melihat ramai fuqaha yang melibatkan diri dalam bidang hukum tidak memahami secara mendalam ilmu-ilmu hadis bahkan mereka sangat jahil dalam bidang ini sehingga tidak mengetahui rujukan-rujukan dalam bidang ini  dan tidak juga mengetahui sumber-sumber penting dalam bidang ini. Mereka  juga menggunakan hadis-hadis  yang lemah dan tidak diketahui sumbernya. Begitu juga terdapat ramai ahli hadis  yang tidak mendalami ilmu fiqh  dan usul fiqh. Mereka tidak berusaha untuk memahami maksud-maksud syariat. Oleh itu beliau menyarankan agar umat Islam kini menggabungkan antara kedua-dua sumber tersebut dan berusaha menyaring hadis-hadis  hukum yang bersifat umum dalam kerangka ilmu Usul hadis dan Usul Fiqh dan juga dalam kerangka maksud-maksud syariat.  Di samping itu, hadis-hadis tidak wajar diterima  kecuali yang sahih  atau hadis hasan yang lebih dekat kepada yang sahih untuk dijadikan sebagai dalil syar’i.

Al-Qaradawi menyebutkan bahawa menjadi kewajipan menghilangkan jarak antara fiqh dan hadis yang terjadi sejak berkurun yang lalu. Sudah menjadi tradisi yang mengakar  bahawa ahli feqah tidak menyibuk diri dalam bidang hadis.Sebaliknya, orang-orang yang sibuk dalam bidang hadis pula tidak menyibukkan dalam bidang fiqh. Keadaan seperti ini amat berbahaya dalam memahami Islam yang sebenar. Oleh itu, seseorang yang memahami hadis perlu juga belajar feqah dan usulnya dengan pengajian perbandingan, Dia harus memahami illat-illat hukum dan maksud-maksud syariat sehingga ia dapat memahami teks-teks al-Quran dan al-Sunnah dengan mendalam. Begitu juga menjadi satu kewajipan ahli fiqh untuk merujuk  kepada sumber-sumber muktabar al-Sunnah , keterangan-keterangan dan usulnya yang demikian luas bagi memahami hadis yang sahih dan hadis yang tidak sahih, antara hadis yang boleh yang diterima dan hadis yang tertolak, antara yang mutlak dan terikat, antara yang umum dan khusus. Dia harus memahami perawi-perawi hadis itu.
 
Beliau juga  mengambil pendapat dari generasi awal Islam yang lebih memahami bila dan di mana teks  itu diturunkan iaitu saat agama Islam masih jernih.Dia selalu membawa pendapat para sahabat dan fiqhnya dalam setiap perbahasan dan masalah yang beliau hadapi, sebab beliau yakin para sahabat adalah generasi yang telah mengaplikasikan wahyu dengan sebaik-baiknya di samping  menggabungkan antara yang lama dan yang baru. Beliau bukan orang yang hanya membanggakan 'masa lalu' dan bukan pula orang 'moden' yang menganggap segalanya serba moden dan tidak menoleh  masa lalu. Dia sering melihat  masa lalu dengan pandangan masa kini. Dia mengambil manfaat daripada hal-hal yang telah lalu dan akan menyesuaikan dalam bentuknya yang baru.  


Ciri Kedua : Kesederhanaan.

Antara ciri fiqh al-Qaradawi ialah pandangan sederhananya dalam berfatwa dan berdakwah. Al-Qaradawi menyebutkan bahawa antara manhaj yang digunakan semasa berfatwa  ialah beriltizam dengan semangat kesederhanaan di antara golongan yang terlalu keras dan golongan yang terlalu liberal, antara orang yang ingin melepaskan diri daripada ikatan hukum-hukum yang telah pasti dengan alasan kemajuan. Mereka ini adalah golongan yang menyembah semua yang bersifat moden dan baru. Di satu pihak yang lain pula,terdapat  golongan yang sentiasa berpandukan fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat  lama dengan alasan bahawa apa yang dilakukan oleh ulamak-ulamak dahulu merupakan satu kekudusan.  

Faktor-faktor yang mempengaruhi sikap kesederhanaan al-Qaradawi ialah :

1. Faktor agama yang sememangnya adalah sederhana dan seimbang dalam semua hal dan melarang daripada melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam apa jua keadaan.
2. Faktor peribadi yang cenderung kepada kesederhanaan dalam melihat pelbagai persoalan dan ini merupakan kurniaan Allah.
3. Peranan Hassan al-Banna dan Ikhwan yang sentiasa menyeru kepada kesederhanan dalam pemikiran dan tindakan.
4. Pengaruh dengan tafsir al-Manar dan pengarangnya Rashid Rida. Al-Qaradawi sering kali mengambil pendapat dalam buku ini sebagai bukti dan hujahnya.
5. Ulamak al-Azhar yang sederhana  seperti Muhamad Abu Zahrah, Abdul Halim Mahmud, al-Bahi al-Khuli dan Mahmud Syaltut.
6. Pemikiran Ibn  Taimiyah dan Ibn Jauziyyah yang memiliki pemikiran yang sederhana.
7. Pengalaman dan penguasaan yang mendalam dalam pelbagai mazhab dan kemampuan mengimbangi  perbezaan pendapat yang terdapat dalam pelbagai mazhab dengan pandangan yang menyeluruh.

 
Ciri ketiga : Kemudahan dalam Fiqh.

Menurut al-Qaradawi, manusia  kini sangat memerlukan kepada kemudahan fiqh. Kewajipan fiqh masa kini adalah untuk menjawab pertanyaan masyarakat umum kerana setiap masalah yang terjadi dalam kehidupan manusia pasti mempunyai aturan hukum dalam syariat Islam. Fiqh yang mudah ini adalah sesuatu yang dituntut  syariat, bukan hanya sebagai reaksi terhadap tekanan dan tuntutan keadaan atau upaya untuk menyelaraskan diri dengan zaman seperti yang disangka oleh sebahagian orang. Syariat Islam berdiri di atas dasar kemudahan, bukan kesulitan dan kesukaran. Anjakan kepada Islam berdiri atas landasan memberi khabar gembira bukan membuat ketakutan. Al-Qaradawi membawa hujah dari al-Quran dan hadis yang menggambarkan syariat Islam ditegakkan atas dasar kemudahan seperti firman Allah yang bermaksud : " Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu" (al-Baqarah 185)
 
Yang dimaksudkan dengan kemudahan fiqh itu adalah dalam dua hal :

1. Mempermudahkan kefahaman bagi seorang muslim  kini yang sibuk dengn urusan kehidupan yang dipenuhi dengan ledakan maklumat dan ilmu pengetahuan.
2. Mempermudahkan hukum-hukumnya itu sendiri agar mudah dilaksanakan dan diamalkan sambil menghindari sikap memberatkan dan mempersulitkan serta memilih pendapat yang ringan dan mudah.

Al-Qaradawi menyakini bahawa manhaj kemudahan ini merupakan manhaj Islam itu  sendiri. Menurutnya, syariat Islam itu sendiri dibangunkan atas kemudahan dan menghapuskan kesulitan-kesulitan dalam ibadat. Di samping itu, pada zaman sekarang ancaman pemikiran dan kebejatan moral begitu tinggi yang memerlukan pendekatan yang mudah.
 
Memudahkan fiqh untuk difahami

Dalam kategori ini, al-Qaradawi menggariskan beberapa perkara yang diperlukan untuk memudahkan pemahaman iaitu :

1. Memilih untuk memberi kemudahan dan bersikap sederhana dengan  menulis bahasa yang mudah, menghindari istilah-istilah yang membingungkan dan berusaha untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa  yang mudah difahami oleh orang awam dan padat. Hendaklah ia menulis secara sederhana di antara yang sangat ringkas dengan sangat panjang. Sekiranya tulisan terlalu pendek ia tidak akan memberi gambaran yang jelas dan jika terlalu panjang pulam ia akan membosankan pembaca.

2. Berbicara mengikut kesesuaian akal fikiran semasa. Oleh itu, fiqh harus berbicara dengan orang zaman sekarang kerana ilmu pengetahuan dan keadaan hidup  telah berubah. Kita tidak perlu  membuka masalah-masalah yang tidak diperlukan oleh masyarakat kini.

3. Menggunakan ilmu pengetahuan semasa dan istilah-istilahnya dalam menghuraikan hukum syarak. Kemudian, menterjemahkan ukuran-ukuran atau timbangan-timbangan ke dalam ukuran dan timbangan masa

4. Mengaitkan fiqh dengan realiti iaitu membuang keterangan dalam kitab-kitab fiqh yang menjelaskan tentang hukum yang  sudah tidak ada lagi masa kini seperti masalah perhambaan. Ia harus melihat realiti terutama tentang permodalan, saham, dan sebagainya. Di samping itu, meluaskan aspek zakat harta perusahaan, perniagaan dan sebagainya. Ahli fiqh perlu menggabungkan masalah fiqh  dengan sesuatu yang masih  menjadi realiti dan membuang yang tidak perlu dan tidak menjadi perbincangan umum.

5. Menjelaskan hikmah syariat sehingga akal manusia menjadi puas dan hatinya menjadi tenang. Setiap ibadat itu mempunyai hikmat yang tersirat seperti hikmat bersolat, hikmat mengeluarkan zakat.

6. Mengaitkan satu hukum dengan lainnya dan memahami tujuan-tujuan syariat kerana Islam adalah satu kesatuan yang tidak boleh dipecah-pecahkan. Hukum-hukum saling berkait rapat antara satu sama lain. Hendaklah menghubungkan antara hukum-hukum yang bersifat cabangan dengan tujuan syariah yang bersifat universal dan umum dalam syariat Islam, sebab Islam itu agama yang tidak mengenal pemisahan. Sebagai contoh orang yang membicarakan tentang diat (pampasan nyawa dan harta) juga perlu memperjelaskan tentang masalah hukum waris supaya ia berada dalam gambaran yang menyeluruh dan jelas.

7. Mengurangkan sikap memperbanyakkan perkara tambahan terutama dalam ibadat. Penjelasan dan tambahan yang membuatkan seseorang bertambah sulit untuk memahami ibadat tersebut.Ia hendaklah tidak memuatkan  banyak tambahan dan cabang-cabang yang mengandung banyak perkara terperinci yang mengubah ajaran Islam dari mudah  menjadi sulit seperti perilaku ahli fiqh yang  menyebutkan lebih dari sepuluh syarat sahnya takbiratul Ihram agar solat seseorang menjadi sah. Semua itu tidak pernah diajarkan dan tidak pernah ada di dalam al-Quran dan sunnah.

8. Memanfaatkan tulisan-tulisan pada era moden dalam segenap bidang fiqh terutama dalam fiqh perbandingan dan hasil kajian lembaga-lembaga fiqh, tesis sarjana dan Ph.D yang ditulis dalam bidang fiqh.Begitu juga fatwa-fatwa yang datang dari majlis fatwa atau lembaga penasihat badan ekonomi atau lembahga syariah bank.

9. Menulis buku-buku fiqh dengan tingkatan-tingkatan intelektual yang berbeza supaya mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat seperti yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali  yang mengarang buku-buku fiqh  berjudul Khulasah (intisari), al-Wajiz (ringkasan) kemudian al-Wasit (Pertengahan dan al-Basit (bahasan yang panjang). Kesemua buku-buku tersebut adalah dikarang mengikut kesesuaian dan tahap intelektual seseorang.

10. Menggunakan sistem dan format penulisan yang terbaik terutama dalam menulis teks al-Quran dan hadis dengan jelas seperti nombor dan surah dan periwayatan hadis. Di samping menggunakan kaedah moden seperti grafik, foto, carta, peta dan indeks. Ahli fiqh dituntut untuk mengunakan sarana-sarana moden agar pemahaman syariat bertambah jelas.

Perkara-perkara di atas merupakan kemudahan dalam mengajukan fiqh dan pendekatannya kepada masyarakat umum. Hal ini merupakan bahagian pertama dalam kemudahan fiqh. Bahagian kedua adalah berkaitan dengan kemudahan hukum fiqh itu sendiri iaitu dengan memudahkannya untuk dilaksanakan dan dipegang oleh setiap muslim dalam urusan ibadat, muamalat, politik dan sosial.

Kemudahan fiqh yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;

1. Melihat aspek keringanan (rukhsah) dalam syariat dan tidak harus melayani kesemua manusia dengan satu tahap. Kita tidak boleh meminta  kepada orang yang lemah sepertimana tuntutan terhadap orang yang kuat atau orang yang baru masuk Islam atau orang yang baru bertaubat dengan tuntutan seperti yang kita berikan kepada orang yang tekun menjalankan ajaran agama.

2. Memperhatikan darurat dan keadaan yang meringankan hukum seperti keadaan darurat yang membolehkan hal-hal yang sebelumnya dilarang dengan membatasi bahawa apa  yang dibolehkan dalam keadaan darurat hanya sesuai  dengan kadar keperluan saat itu sahaja.

3. Memilih yang termudah selagi mana ia tidak termasuk dalam perkara yang haram. Jika terdapat dua pendapat yang seimbang  atau berdekatan dalam suatu masalah, hendaklah memilih  pendapat yang mudah yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat.

4. Mempersempitkan bidang kewajiban dan pengharaman iaitu meneliti dengan cermat sesuatu hukum . Ruang ini tidak boleh diperluaskan kecuali dengan dalil yang kuat sama ada dalam perkara penghalalan atau pengharaman. Kalangan ulamak amat menghindari sikap mengharamkan  sesuatu atau mewajibkan sesuatu kecuali ada dalil yang jelas. Jika tidak ada mereka menurunkan sesuatu yang fardu kepada wajib dan dari haram kepada makruh.

5. Membebaskan diri daripada ta’asub kepada mazhab tertentu. Walau bagaimanapun ia bukan bermaksud mencela mazhab tersebut atau menjatuhkan taraf imam-imam mazhab. Ia bermaksud  agar setiap muslim berusaha untuk memilih dalil yang paling kuat dan paling unggul. Tindakan seperti ini, akan meberikan keluasan bagi umat, memberikan kemudahan besar baginya dan membuka tempat yang luas untuk memilih pendapat yang terkuat sesuai dengan tujuan syariat dan kepentingan manusia.

6. Mempermudahkan dalam hal-hal yang terjadi secara umum (Umum al-balwa) atau sesuatu masalah yang menimpa semua orang sama ada dalam bidang ibadat mahupun muamalat seperti bab najis dan kebersihan. Imam Malik berpendapat bahawa setiap haiwan yang dagingnya boleh dimakan maka kencing dan kotorannya adalah suci dan air hanya menjadi najis jika najis air itu berubah oleh sebab najis yang lain. Di samping itu, para ulamak memilih pendapat yang paling berat, ia juga harus menunjukkan pendapat yang lain.

7. Ia tidak membebankan manusia hanya dengan satu pendapat sehingga mengakibatkan berlakunya fitnah.

8. Memperhatikan tujuan syariat dan perubahan hukum. Dalam hal ini para ahli fiqh harus melihat tuuan-tujuan syariat keseluruhannya dalam mewujudkan kepentingan manusia dalam hidupnya dan menolak keburukan daripada mereka. Di samping itu, para ahli fiqh harus  mengaplikasikan kaedah perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat, keadaan dan tradisi. Syariat memberikan kita fleksibiliti, keluasan dan kemudahan dengan hak untuk berijtihad.

Al-Qaradawi berharap dengan faktor-faktor tersebut fiqh dapat dimudahkan untuk kemudahan umat Islam yang mana syariat Islam ditegakkan atas prinsip kemudahan, fleksibiliti dan keluasan. Islam bukan agama yang menyusahkan umatnya atau menyulitkan seseorang. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyokong prinsip tersebut. Buku “Halal dan Haram” yang ditulis oleh al-Qaradawi merupakan buku yang terlaris dan dicetak sehingga kini lebih dari 20 kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Ia merupakan respons daripada masyarakat kerana al-Qardawi menggunakan pendekatan yang mudah dalam bahasa dan fatwa. Begitu juga dengan buku al-Fatawa al-Mu’asir (Fatwa-Fatwa Semasa) yang mengandungi penjelasan yang padat dan ringkas serta memberi pengantar yang cukup memuaskan sebelum ia menetapkan sesuatu hukum. Hal ini menyebabkan fatwa beliau dapat diterima dan tidak menyulitkan pembaca memahaminya.

Antara orang yang merintis fiqh kemudahan ini ialah gurunya Hassan al-Banna. Hassan al-Banna menyeru murid-muridnya  supaya menulis fiqh yang mudah difahami oleh semua golongan dalam majalah Ikhwan yang diterbitkan pada tahun 1933. Kemudian Sayyid Sabiq menulis Fiqh al-Sunnah  atas arahan Hassan al-Banna. Beliau membahaskan perkara ini dengan cara yang sangat mudah supaya mudah difahami oleh semua golongan umum. Al-Qaradawi menyebutkan salah satu bencana yang menimpa Islam masa kini adalah adanya orang yang menyeru kepada kesulitan-kesulitan dalam segala urusan, seakan-akan dalam Islam itu tidak ada kemudahan. Mereka mempersulitkan dalam perkara berwuduk, solat, berpakaian, bergaul dengan orang lain dan jual beli. Begitu juga dalam bidang dakwah mereka menyukarkan dan menyulitkan padahal sebenarnya apa yang mereka lakukan itu adalah bertentangan dengan manhaj Rasulullah.  Tindakan mereka ini telah menyempitkan ruang Islam yang luas, membekukan keluasan agama Islam. Dan lebih daripada itu, mereka membuatkan manusia lari dari agama dan sangat jelek dengan perkara yang mereka lakukan.

Kemudahan fiqh ini tidak bermaksud mengurangkan atau tidak mempedulikan dan melanggar perintah Allah dan teks-teks al-Quran yang pasti. Ia adalah kecenderungan kepada yang lebih mudah bagi orang Muslim mengamalkan. Perkara ini berlaku jika masalahnya berada dalam ruang ijtihad  atau ada teks yang masih terbuka untuk tafsiran. Yang demikian itu, sudah tentu tidak bertentangan dengan syariat bahkan penafsiran itu sebenarnya merupakan penerapan ruh syariat.

Kemudahan yang diutarakan oleh al-Qaradawi ini menyebabkan beliau dituduh sebagai seorang yang suka meringan-ringankan hukum oleh orang yang ekstrem sehingga mengatakan buku al-halal wa al-haram fi al-Islam (Halal dan Haram dalam Islam) ditukar tajuk menjadi al-halal wa al-halal fi al-Islam

(Halal dan Halal dalam Islam). Al-Qaradawi pernah menjawab  mereka yang ingin mengubah tajuk buku tersebut dengan satu syarat yang harus mereka penuhi : " iaitu hendaklah kamu mengarang satu buku dengan judul al-Haram wa al-Haram fi al-Islam).(Haram dan Haram dalam Islam).

Ciri Keempat : Realiti (waqi’iyyah)

Fiqh al-Qaradawi semuanya tertumpu kepada fiqh realiti (fiqh al-Waqi’i). Fiqh realiti bermaksud fiqh yang berdasarkan kepada pertimbangan antara maslahah dan mudarat. Perkara ini amat penting bagi ahli fiqh memahaminya. Fiqh realiti ini adalah lawan dari sesuatu yang khayal. Oleh itu hendaklah seorang ahli fiqh memahami  dan hidup dengan realiti yang ada. Hendaklah ia melihat dan memfokuskan perbahasannya kepada pertimbangan antara maslahah dan mudarat dan mengambil nas-nas dan meletakkannya bersesuaian dengan realiti.Dalam hal ini, al-Qaradawi menggariskan fiqh realiti iaitu :

1. Pertimbangan antara maslahah anatara satu sama lain dari segi keluasan, kedalamannya dan pengaruhnya dan kekekalannya. Dia harus melihat yang mana harus didahulukan dan mana yang harus dikemudiankan dan ditinggalkan.

2. Pertimbangan antara keburukan dengan keburukan yang lain dari segi yang disebutkan tadi yang mana harus didahulukan dan yang mana harus dikemudiankan dan ditinggalkan.

3. Pertimbangan antara maslahah dan keburukan jika kedua-duanya berada dalam bertentangan sehingga kita mengetahui bilakah seseorang harus mencegah keburukan daripada mengambil maslahah dan bila keburukan dilakukan demi memperoleh maslahah.


Dengan demikian mempelajari fiqh realiti ini dan memberi tumpuan semasa mengeluarkan fatwa merupakan sesuatu yang amat penting. Ilmu ini sangat penting bagi seorang faqih agar fatwa yang dikeluarkan ini ada hubungan dengan realiti. Ulama salaf ada menyebutkan bahawa Allah akan selalu melimpahkan rahmatNya kepada seseorang yang memahami zamannya dan istiqamah jalannya. Mereka juga berkata, “ Adalah menjadi kewajipan ahli fiqh untuk berinteraksi dengan masyarakat sekelilingnya.” al-Qaradawi mentakrifkan fiqh al-waqi’i sebagai sesuatu yang dibina atas pembelajaran kehidupan semasa dengan pembelajaran yang mendalam memenuhi segenap tajuk berdasarkan maklumat-maklumat yang tepat, keterangan dan penyelidikan yang teliti. Ubaid Hasanah pula mentakrifkannya sebagai turun  ke medan lapangan dan melihat realiti masyarakat yang ada dan memahami permasalahan-permasalahan serta membantu mereka dengan apa yang mereka timbulkannya. Dia hendaklah mengetahui nas-nas yang digunakan dalam realiti tersebut dan dalam peringkat-peringkat tertentu dan perkara yang perlu didahulukan untuk menyempurnakan bantuan kepada mereka. Hal inilah yang dinamakan fiqh al-waqi’i dan kefahaman realiti di samping memahami fiqh nas. Ahmad Bu’ud mentakrifkan fiqh al-Waqi’i sebagai kefahaman yang mendalam terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kehidupan manusia dan perkara yang dibangkitkan  mereka. Fiqh al-Waqi’i ini ialah pemerhatian atas medan lapangan dan bukan atas kertas semata-mata. Ia merangkumi pemerhatian seluruh aspek kehidupan manusia sama ada positif atau negatif dan   faktor-faktor yang mempengaruhinya, jauh daripada sifat  imaginasi dan berusaha untuk memusatkan perkara dengan bersandarkan kepada dalil syarak.Dalam hal ini, beberapa kaedah seperti perubahan hukum kerana perubahan kemashalatan yang merentasinya seperti pandangan fuqaha yang mewajibkan perbezaan pakaian antara orang Islam dengan orang ahli dhimmah. Hal ini dilakukan kerana kemungkinan bahawa  pada zaman dahulu tidak ada identiti diri sehingga menyebabkan ahli dhimmah disolat dan dikebumikan di tempat orang Islam. Namun  membezakan pakaian adalah sukar untuk dilaksanakan dalam konteks zaman kini. Di samping itu, perbezaan identiti boleh ditentukan melalui kad pengenalan dan hal itu lebih baik dan efektif daripada membezakan pakaian. Begitu juga kaedah yang ditetapkan oleh fuqaha iaitu perubahan hukum disebabkan perubahan uruf (tradisi dan tempat) yang merentasinya seperti pengguguran kesaksian bagi orang berjalan  di jalan-jalan raya dengan tidak menutup kepala atau memakai kopiah atau songkok, minum di tepi-tepi jalan atau mencukur janggutnya atau orang yang suka mendengar lagu-lagu dan lain-lain iaitu uruf tersebut telah berubah dan pada zaman  yang diwarnai dengan pelbagai tentangan dan penyimpangan.

Dalam hal ini, al-Qaradawi memberi fatwa bahawa berdamai dengan Israel adalah haram sedangkan Syeikh Ibn Baz membolehkannya.Al-Qaradawi berdalilkan kepada nas-nas dan fiqh realiti yang berlaku yang memungkinkan berlakunya perdamaian. Menurutnya, orang-orang Yahudi tidak condong untuk berdamai setelah mereka merampas tanah kaum Muslimin dan telah menumpahkan darah mereka dan mengusir mereka dengan kasar dari tanah air mereka senfiri. Realiti yang berlaku bukanlah sekadar mereka ingin mengadakan genjatan senjata namun mereka telah mengisytiharkan Palestin sebagai negara mereka dan Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka. Mereka mengakui bahawa negara tersebut sebagai negara Yahudi Zionis Israel dan tidak  menganggap orang-orang Islam mempunyai hak di situ.Inilah perbezaan al-Qaradawi dengan Ibn Baz. Sepatutnya Ibn Baz perlu memahami sama ada pihak Yahudi itu condong untuk berdamai  atau ia hanya sebagai satu taktik untuk menggugurkan hak-hak orang Islam dan merampas bumi Palestin keseluruhannya.

Kelima: Bebas dari fanatik Mazhab.

Fiqh al-Qaradawi  bebas daripada fanatik mazhab tertentu. Perkara ini bererti dalam fatwa-fatwanya dan perbahasan feqahnya ia tidak bersandarkan kepada mazhab-mazhab tertentu tetapi bersandarkan kepada dalil-dalil di mana-mana sahaja. Pandangannya yang bebas daripada mazhab itu bukanlah bermaksud beliau memiliki mazhab tersendiri atau tidak menyukai mazhab atau imam-imam mazhab. Beliau sentiasa menyeru agar kita sentiasa mengambil manfaat daripada rujukan-rujukan dalam mazhab-mazhab tersebut, mengembangkannya dan menggunakannya sesuai dengan konteks zaman sekarang. Beliau mengkritik golongan yang ingin membubarkan mazhab. Al-Qaradawi seorang yang bermazhab Hanafi namun ia tidaklah fanatik terhadap mazhab tersebut. Antara yang menyebabkan sifat tersebut ialah pembabitannya dalam Ikhwan al-Muslimun  yang tidak bersandarkan gerakannya pada satu mazhab tertentu. Gerakan ini melihat kepada setiap mazhab dengan pandangan yang adil dan menjauhkam diri daripada mencela mazhab-mazhab dan individu-individu. Menurutnya, seorang ahli fiqh harus berpegang kepada dalil-dalil yang lebih kuat kerana pendapat yang berdasarkan sanad dan hujah yang lemah tidak boleh dipertanggungjawabkan. Di samping itu, ia memberi kemudahan kepada umat Islam kerana berpegang kepada satu mazhab akan menyempitkan masalah sedangkan syariat Islam mempunyai keluasan yang menyelesaikan persoalan manusia.  

Ciri Keenam : Memahami nas yang juz’iy dalam kerangka maksud syariah yang menyeluruh.

Ciri fiqh al-Qaradawi ialah kefahaman nas yang juz’iy dalam kerangka kefahaman maksud syariah yang menyeluruh. Beliau sentiasa menyeru agar kefahaman nas syariah sesuai dengan maksud syariah (maqasid al-syariat). Beliau mengingkari  orang-orang yang  hanya mengambil  makna secara zahir dan literal semata-mata tentang sesuatu nas  tanpa mahu mengambil maqasid syariah, pada masa  yang sama beliau mengkritik orang yang mengambil maqasid syaruah tanpa mempedulikan nas-nas.

Kelalaian  memahami maqasid syariah akan menyebabkan kekeliruan yang besar  dalam feqah bahkan ia berkemungkinan menyebabkan Islam dianggap tidak sesuai dengan zaman dan tempat. Kefahaman literal ini diguna pakai oleh Ibn Hazam  seperti seorang wanita yang belum berkahwin yang diam merupakan tanda ia reda dan jika ia berkata-kata itu adalah lebih baik dan meyakinkan. Tetapi bagi Ibn Hazm sekiranya perempuan itu berkata-kata  maka tidak boleh diakad nikah kerana menyalahi hadis. Begitu juga kini ada golongan yang tidak mahu  menentukan nilai dalam zakat harta, zakat fitrah dan kaffarat dan lalu menganggap bahawa penggunaan wang kertas masa kini bukanlah mata wang Islam. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak diwajibkan mengeluarkan zakat dan tidak dianggap sebagai riba. Golongan ini muncul di Lebanon dengan nama golongan al-ahbash. Oleh itu, al-Qaradawi menyeru agar setiap fuqaha memahami dan mendalami maqasid syariah dari nas-nas yang ada dan membuat penelitian dan menyelami maksud-maksud serta menghubungkan antara juz’iy dengan kulli, mengembalikan yang furu’ (cabang) kepada usul (pokok) dan mengukuhkan antara hukum dengan hukum yang lain sehingga semua serba teratur dan saling mengisi antara satu dengan yang lain. Kesemua itu disertai dengan keyakinan bahawa syariat Islam tidak membezakan antara dua hal yang sama dan menyamakan dua hal yang berbeza. Dalam hal ini, al-Qaradawi mengharuskan seorang wanita bermusafir seorang diri dengan syarat perjalanan itu memberi keamanan kepada perempuan tersebut. Fatwa ini bertentangan dengan hadis nabi yang melarang wanita bermusafir tanpa mahram. Hadis itu diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah bersabda  bermaksud : Tidak harus seorang wanita bermusafir kecuali dengan mahram dan tidak masuk kepadanya seorang lelaki kecuali  bersamanya ada mahram.” (HR al-Bukhari)  Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud : “ Seorang wanita tidak boleh bermusafir sehari semalaman kecuali bersamanya seorang mahram.”(HR Syaikhan , Abu Daud, al-Turmizi dan Ibn Majah)

Menurut al-Qaradawi, para fuqaha telah membahaskan perkara ini ketika membahaskan kewajipan haji bagi seorang wanita sedangkan Rasulullah melarang seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Para fuqaha  terbahagi kepada empat pendapat iaitu :

1. Segolongan yang berpegang teguh dengan zahir hadis yang disebutkan di atas. Golongan ini mengharamkan wanita bermusafir tanpa mahram walaupun untuk menunaikan ibadat haji. Hal ini termasuk semua bentuk perjalanan.

2. Golongan yang mengecualikan wanita yang telah tua yang tidak memiliki syahwat.

3. Golongan yang mengecualikan wanita yang bermusafir dengan wanita-wanita yang dipercayai. Bahkan ada yang berpendapat memadai seorang wanita yang dipercayai menemaninya.

4. Golongan yang berpendapat wanita boleh bermusafir  jika perjalanan tersebut itu adalah aman dan tidak berbahaya. Hal ini merupakan pendapat Ibn Taimiyah, Ibn Muflih dan al-Karabisi dari al-Syafi’i yang mengharuskan  hal ini dalam haji sunat dan perjalanan yang tidak wajib seperti ziarah dan berniaga.

Al-Qaradawi juga membawa hujah ulamak-ulamak lain seperti pandangan Ibn Sirin, al-Awza’iyy, Imam Malik dan al-Syafi’i.

Al-Qaradawi memberi dua kaedah iaitu  pertama, asal dalam hukum-hukum muamalat  adalah melihat kepada makna dan maksudnya, berbeza dengan hukum dalam ibadah. Asal hukum dalam ibadah adalah pengabdian, ketundukan dan menjalankan perintah tanpa melihat  makna dan maksud syariat. (iaitu melihat kepada hikmah dan rahsianya). Kedua, sesuatu yang secara zat diharamkan maka ia  tidak boleh ditukar menjadi harus kecuali adanya darurat. Sesuatu yang diharamkan disebabkan sadd al-zara’i, maka ia akan menjadi harus  ketika ada keperluan yang mendesak. Perjalanan seorang wanita tanpa mahram adalah sesuatu yang diharamkan untuk tindakan sadd al-zara’i. Al-Qaradawi berhujah lagi bahawa bermusafir zaman sekarang berbeza dengan bermusafir pada zaman dahulu yang perjalanannya penuh dengan bahaya dan rintangan yang berat dengan melalui lembah dan gurun yang berkemungkinan berlakunya rompakan dan samun di tengah jalan. Perjalanan zaman kini adalah dengan kenderaan yang dapat menghimpunkan sekian ramai di dalamnya seperti kapal terbang dan bas. Dengan demikian akan muncullah rasa aman dan selamat  dan terhindarlah rasa ketakutan. Oleh itu, al-Qaradawi berfatwa bahawa adalah harus seorang wanita bermusafir untuk menunaikan haji dan perjalanan yang lain dengan syarat ia memberi keamanan dan selamat.

Pandangan al-Qaradawi ini mendapat kritikan yang keras dan menimbulkan reaksi yang pelbagai. Mereka beranggapan bahawa al-Qaradawi telah menyalahi jumhur ulamak padahal ini bukanlah pendapat al-Qaradawi seorang sahaja.  Dan ciri ini juga mempunyai satu kaedah yang amat penting iaitu menetapkan hukum syariah yang juz’i berdasarkan kepada hukum syariah yang menyeluruh. Maksud kulli ialah yang ditetapkan oleh syariat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah seperti konsep amanah, keadilan, menunaikan janji  dan ihsan. Juz’i adalah  dalil-dalil khusus yang memperkatakan masalah-masalah yang tertentu. Dalam hal ini, al-Qaradawi  berpendapat bahawa orang muslim yang membunuh kafir zimmi juga wajib dihukum bunuh. Perkara ini dilihat sebagai menghormati hak manusia dan memenuhi keadilan Islam tanpa mengira agama. Pendapat beliau ini menyamai pendapat Muhammad al-Ghazali yang bersandarkan kepada mazhab Hanafi. Perkara ini bersandarkan kepada hadis yang menyebutkan bahawa orang Islam yang membunuh kafir zimmi tidak dikenakan qisas sedangkan ayat al-Quran dalam surah al-Maidah  ayat 45 jelas menyebutkan jiwa dibalas dengan jiwa.

Ciri Ketujuh : Membezakan antara  Qat’iyy dan Zanni.

Ciri fiqh Al-Qaradawi yang ketujuh ialah membezakan yang qat’iy (pasti) dengan zanni (dugaan). Al-Qaradawi menegaskan bahawa masalah yang bersifat qat’iy  tidak mempunyai ruang untuk berijtihad. Ijtihad hanya boleh dilakukan dalam perkara-perkara zanni. Al-Qaradawi menentang orang  yang menjadikan masalah-masalah feqah  yang sebenarnya bersifat zanni menjadi masalah feqah yang bersifat qat’iy atau sebaliknya. Oleh itu, seseorang itu harus meletakkan hukum itu sebagaimana keadaan asalnya iaitu yang qat’iy harus diletakkan sebagai qat’iy dan zanni harus diletakkan sebagai zanni. Dalam hal ini, al-Qaradawi mengharuskan seorang wanita yang baru masuk Islam  namun suaminya tidak masuk Islam, maka si isteri boleh kekal bersama suaminya. Perkara ini berbeza dengan pandangan yang diterimanya di al-Azhar bahawa isteri yang masuk Islam hendaklah dipisahkan daripada suaminya yang belum masuk Islam. Beliau mengambil pandangan Saidina Ali  yang menyebutkan bahawa suami wanita itu lebih berhak  selama dia berada dalam wilayahnya atau isteri itu tidak keluar dari wilayah tempat dia tinggal.

Ciri Kelapan : Gabungan antara Salafiah dan Tajdid

Ciri fiqh al-Qaradawi kelapan ialah  menggabungkan antara salafiah dan tajdid atau antara turath dan moden. Menurut al-Qaradawi salafi dan tajdid tidaklah bertentangan kerana salafi yang hakiki selalu memperbaharui dirinya supaya boleh menyesuaikan dengan zaman dan tidak selalu terkongkong dengan masa silam semata-mata. Al-Qaradawi menjelaskan salah tanggapan terhadap salafi. Menurutnya salafiah yang sebenar adalah perbuatan yang mengikuti apa yang dilakukan  oleh para salaf yang beragama serta komitmen  dengan kefahaman mereka  yang murni berasaskan sumber-sumber muktabar iaitu al-Quran dan al-Sunnah serta meninggalkan semua perkara  yang bertentangan  dengan apa yang menjadi keyakinan  para salaf dari perkara-perkara yang bersifat bid’ah. Pemikiran salafi ialah kaedah pemikiran  yang merangkumi pemahaman bahawa sebaik-baik kurun  ialah kurun para sahabat dan sesiapa yang mengikut jejak langkah mereka dengan cara yang paling. Ini adalah kerana  mereka mendapat hidayah al-Quran dan hidayah nubuwwah. Antara intipati metode golongan salafi ialah :

1. Menjatuhi hukuman berdasarkan kepada nas-nas yang qat’i bukannya berdasarkan kepada kata-kata pemimpin.
2. Mengembalikan perkara-perkara yang meragukan kepada muhkamat dan perkara yang samar-samar (zanni) kepada yang menyakinkan (Qat’iy)
3. Memahami perkara-perkara  juzu’ dan cabangan berdasarkan  kerangka asas dan dalil yang menyeluruh.
4. Menyeru kepada ijtihad dan tajdid dan mencela kejumudan dan taklid.
5. Menyeru kepada iltizam dan komitmen, bukan kepada maki-makian dalam bidang akhlak.
6. Menyeru kepada kemudahan bukannya kesulitan dalam bidang feqah.
7. Menyeru kepada kegembiraan bukannya ketakutan dalam bidang dakwah.
8. Menyeru kepada keyakinan bukannya perdebatan dalam bidang akidah.
9. Memperhatikan ruh dan isi bukannya hanya memperhatikan bentuk atau formaliti dalam bidang ibadah.
10. Mengikuti ajaran dalam bidang agama dan melakukan inovasi dalam urusan dunia.

Al-Qaradawi juga menegur golongan yang mendakwa salafiah tetapi mereka menyempitkannya dalam bidang ilmu tauhid, ilmu feqah dan ilmu tasawwuf. Mereka sentiasa menyerang orang yang tidak bersetuju dengan mereka dalam apa jua permasalahan yang ditimbulkan daripada permasalahan tersebut. Perkara ini menyebabkan sebahagian orang ramai  menganggap bahawa pendekatan  golongan salafi ini  adalah pendekatan  pertengkaran  dan perbalahan dan menumpukan kepada perkara-perkara  sampingan daripada perkara pokok, sentiasa berbalah daripada bersepakat dan melebihkan penumpuan kepada bentuk dan gambaran  berbanding isi dan ruh. Oleh itu, beliau menyarankan agar kita mengambil manhaj salafi tanpa mengik" t membuta tuli percakapan golongan salafi mengenai perkara-perkara sampingan " Umat Islam hendaklah beriltizam dengan manhaj salafi dengan ruh dan maksud-maksudnya walaupun kita berbeza dengan mereka dalam beberapa hal  mengenai pendapat dan ijtihad mereka.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.