Kuliah Ibnu Khaldun

Siri Ke-6

Wacana Intelektual Ibn Khaldun Ke-6

Dr. Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

بسم الله الرحمن الرحيم
نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Beberapa Pecahan Ilmu Tafsir:

 Ilmu-ilmu berkenaan dengan bahasa atau percakapan menjadi perbincangan-perbincangan yang bersifat kemahiran dan teknikal (“sina’iyyah”) (atau “sina’ah”), berkenaan dengan makna kata-kata, peraturan-peraturan tentang baris akhir, (“i’rab”), stail (“balaghah”), dalam penggunaan susunan kata-kata; dulunya ini menjadi kemahiran yang terbiasa (“malakat”) di kalangan Orang Arab, dan kemudian timbul tulisan-tulisan teratur berkenaan dengan ini semua; dulunya tidak ada keperluan untuk merujuk kepada tradisi tulisan atau lisan dalam hal ini.

 Sekarang berlaku perubahan: jadilah subjek-subjek ini dipelajari dari kitab-kitab ahli bahasa atau ahli filologi. Mereka diperlukan untuk penafsiran Qur’an: Qur’an dalam bahasa Arab, dan mengikut teknik stail bahasa Arab (“minhaj balaghatihim”).


 Maka penafsiran Quir’an berpecah dua: satunya tafsir naqli berdasarkan maklumat-maklumat yang diterima dari generasi Salaf; berkenaan dengan nasih dan mansukh, asbab al-nuzul, maksud-maksud bagi ayat-ayat yang berkenaan.

 Semua ini boleh diketahui hanya melalui nukilan-nukilan riwayat daripada para Sahabat dan Tabi’in (yaitu mereka yang mempelajari daripada para Sahabat). Ulama zaman awal dahulu (al-mutaqaddimun) telah pun menghimpunkan maklumat-maklumat yang lengkap dalam kitab-kitab mereka tentang subjek itu; bagaimanapun ada perkara-perkara yang penting bercampur dengan yang tidak penting dalam teks-teks mereka; maklumat yang boleh diterima dan yang tertolak (al-ghathth wa al-thamin, wal-maqbul wal-mardud). Ini kerana Orang Arab bukan terbiasa dengan buku-buku atau kesarjanaan (lam yakunu ahla kitabin wa la ‘ilmin) (Teks II.786; DBP.557; Rosenthal,2.445).

 Bila mereka mahu mengetahui perkara-perkara yang biasa manusia ingin mengetahuinya mereka bertanya kepada ahl al-kitab; (asal kejadian, rahsia kejadian dan sebagainya) dan mereka mendapat maklumat daripada mereka itu. Dan Yahudi yang hidup di kalangan Arab itu badwi juga (berlainan daripada golongan ahbar mereka).


 Antara mereka yang menjadi punca-punca maklumat sedemikian: Ka’b al-Ahbar, Wahb ibn Munabbih, ‘Abd Allah ibn Sallam, dan yang sepertinya. Banyak maklumat-maklumat demikian datang daripada mereka; itu semua tidak ada hubungan dengan hukum-hukum agama yang manusia wajib mengamalkannya.

 Para ulama kemudian melakukan kaedah tahkik dan penelitian yang kritis (al-tahqiq wa al-tamhis), antaranya muncul Abu Muhammad ibn ‘Atiyyah (481 H. –lebih kurang 542 M) yang datang dari Maghribi, yang meringkaskan tafsir-tafsir, dan memilih apa yang paling dekat dengan yang sahih antara itu semua; itu terhimpun dalam kitab yang baik, tersebar di Maghribi dan Andalusia. Al-Qurtubi menggunakan kaedahnya dalam kitabnya di sebelah Timur.

 Satu lagi ialah tafsir yang merujuk kepada ilmu bahasa, seperti perkamusan, dan masalah penentuan baris dan bentuk akhir kata (i’rab), dan stail bahasa yang baik (balaghah), yang digunakan untuk menyampaikan makna melalui cara dan kedah yang sesuai. Ini terasing daripada penafsiran cara pertama.

 Tafsir terbaik dalam disiplin ini ialah “Tafsir al-kashshaf” karangan az-Zamakhshari, dari Khawarizmi di Iraq. Ia beraliran Mu’tazilah dari segi akidahnya, berhujah mempertahankan mazhab mereka yang salah itu (‘ala madhahibihim al-fasidah) (Teks.II.788; DBP.558; Rosenthal.2.447) bila ia percaya pandangan itu ada terdapat dalam ayat-ayat Qur’an.


 Ulama Ahlis-Sunnah yang mendalam ilmunya (al-muhaqqiqin min Ahl al-Sunnah) tidak menerima kitabnya dan memberi peringatan kepada orang ramai tentang kesilapan-kesilapan di dalamnya; bagaimanapun mereka mengiktiraf “beliau berada atas dasar yang teguh dalam semua perkara berhubungan dengan bahasa dan stail yang baik” (ma’a iqrarihim bi-rusukhi qadamihi fima yata’allaqu bi al-lisani wa al-balaghah).

 “Kalau peneliti ilmu kitab itu mengetahui benar tentang mazhab Ahlis-Sunnah dan mengetahui hujah-hujah mempertahankannya, maka tidak syak lagi ia terselamat daripada kepalsuan-kepalsuannya; maka hendaklah ia mengambil peluang menelaahnya kerana ia mengandungi maklumat-maklumat yang luar biasa dan pelbagai dalam ilmu bahasa” (“wa idha kana al-naziru fihi waqifan ma’a dhalika ‘ala al-madhahibi al-sunniyyah, muhsinan lil-hijaji ‘anha fala jarama annahu ma’mumun min ghawa’ilihi , fal-yaghtanim mutala’atahu li-gharabati fununihi fi al-lisani”).(Teks.II.788; DBP.558-559; Rosenthal.2.447).

 Sharaf al-Din al-Tibi dari Tabriz menulis komentar tentang tafsir Zamakhshari; dari segi ilmu bahasa beliau mengikuti Zamakhshari tetapi ia menentang pegangan Mu’tazilahnya dan hujah-hujahnya; penulisannya sangat baik dan ia mempunyai disiplin-disiplin dalam bidang stail bahasa yang baik (al-balaghah).

 (Perhatian: Ibn Khaldun memberi penekanan kepada kedalaman ilmu pengetahuan serta kemampuan seseorang ahli ilmu memerhatikan mana pegangan yang benar dan mana yang tidak benar, mana maklumat yang tepat dari segi pengetahuan yang perlu dimanfaatkan, dan mana maklumat-maklumat tentang pegangan yang tidak benar, yang perlu ditolak, dan penekanan juga diberi kepada disiplin yang perlu tunduk kepada fahaman ilmu

 (Boleh dibuat tambahan sekarang: asalkan aliran Sunni: tafsir isyari seperti al-Qusyairi dengan “Lata’if al-Isyarat”, tafsir yang memberi penekanan kepada hadith dan sejarah seperti al-Tabari, tafsir ayat al-ahkam seperti al-Sabuni, dan seterusnya).

 Bahagian ini ibn Khaldun akhiri dengan ayat yang bermaksud: “Dan Ia (Tuhan) Maha Mengetahui mengtatasi mana-mana ahli pengetahuan”(Q.12.76).

Ilmu Berkenaan Dengan Hadith Nabi s.a.w.

 Ilmu-ilmu berkenaan dengan hadith banyak dan berbagai-bagai cawangannya, antaranya berbicara tentang : hadith yang memansukhkan yang lain, dan hadith yang dimansukhkan oleh hadith lain pula.Dalam Syari’at memang ditetapkan ada keharusan berlaku pemansukhan sebagai kasihan belas Allah kepada makhlukNya dan keringanan untuk mereka dengan mengambil perhatian tentang kemaslahatan mereka yang dijamin oleh Allah. Ada ayat Qur’an yang bermaksud:”Bila Kami mansukhkan satu ayat ataupun lupakannya, Kami mendatangkan apa yang lebih baik , atau yang sama baiknya”(Q.2.106).

 Pengetahuan berkenaan dengan nasakh dan mansukh ada untuk Quran dan hadith; berkenaan dengan nasakh Qur’an itu ada dalam tafsirnya, yang berkenaan dengan hadith ada termasuk ke dalam cawangan ilmu hadith.

 Bila ada percanggahan antara dua hadith, maka hadith yang datang kemudian menasakhkan yang terdahulu daripadanya. Dinukilkan pendapat az-Zuhri tentang bidang ini, maksudnya: “Perkara yang membingungkan fuqaha dan melemahkan mereka ialah untuk membezakan antara hadith-hadith yang menasakhkan yang lain dan yang dimansukhkan oleh yang lainnya. Dalam bidang ini Imam Syafi’I mempunyai kedudukan yang teguh (fihi qadamun rasikhatun)”(Teks II.789; DBP.560; Rosenthal.2.448).

 Termasuk ke dalam ilmu-ilmu hadith: ilmu tentang penyelidikan berkenaan dengan rangkaian periwayat-periwayat (al-asanid) dan juga pengetahuan berkenaan dengan hadith-hadith yang seseorang itu mesti beramal dengannya, kerana ia ada sandaran yang sempurna (al-sanad al-kamil) yang memenuhi syarat-syaratnya (tentang paling boleh dipercayai periwayatnya itu);

 Ini kerana wajib seseorang beramal dengan hadith-hadith yang pada berat sangkanya adalah benar-benar daripada hadith Rasulullah s.a.w. untuknya maka diusahakan sungguh-sungguh mengikut jalannya yang membawa kepada hasil sangkaan yang berat itu: penelitian berkenaan dengan ‘adalah (dalam peribadi ) dan ketepatan para perawi (dalam riwayat-riwayat mereka) yang ditetapkan melalui maklumat yang terdapat dari otoritas para pemimpin dalam ilmu agama (min a’lam al-din) yang menentukan seseorang periwayat itu boleh dipercayai dan sunyi daripada kecederaan atau kelupaan dalam riwayatnya (bi ta’dilihim wa bara’atihim min al-jarh wa l-ghaflah) (Teks.II.790;DBP.560; Rosenthal.2.449) yang menunjukkan kita perlu menerima (hadithnya) atau menolaknya.

 Demikian pula: ilmu tentang para periwayat hadith termasuk mengetahui dan membezakan antara martabat-martabat para periwayat itu terdiri daripada kalangan sahabat dan Tabi’in, dengan membezakan mereka satu demi satu.

 Isnad-isnad itu pula ada perbezaan kedudukannya: tentang kesinambungannya atau kurang kesinambungannya atau terputusnya, dalam erti seseorang periwayat tidak mengenali secara peribadi periwayat yang ia nukilkan hadith daripadanya itu; kedudukan itu berlainan juga dari segi sunyi daripada kelemahan yang mengurangkan martabatnya, dan perbezaan-perbezaan ini menimbulkan (istilah) dua jenis sandaran : hukumnya ialah sandaran yang “tertinggi” diterima, dan yang “paling rendah” tidak diterima;

 Tentang “yang menengah”nya ada perbezaan pendapat para ahlinya (a’immah al-sha’n); ada istilah-istilah teknikal yang membuat pembahagian klas tentang boleh dipercayainya riwayat itu seperti :”sahih”, “hasan (baikj)”, “daif”, “mursal”, “munqati’”, mu’addal”, “shadhdh”, “gharib”, dan lain-lain panggilan yang digunakan di kalangan mereka. Tiap-tiap istilah diulas satu persatu, dan dicatitkan perbezaan-perbezaan pendapat antara mereka yang ahli.
 Pengetahuan berkenaan bagaimana transmisi itu berlaku; mungkin melalui “pembacaan” (qira’ah), dengan menulis (kitabah), atau dengan meminta keizinan otoriti yang berkenaan untuk bahan tuliswan (munawalah), atau dengan mendapat keizinan mengajarkan hadith-hadith tertentu (ijazah), dan dipelajari tentang perbezaan darjah pada cara-cara transmisi begini, juga dipelajari perbezaan pendapat ulama tentang apa yang diterima atau ditolak dalam perkara yang demikian. (Teks.II.790;DBP.561;Rosenthal.2.452).

 Diikuti dengan ilmu berkenaan dengan matan hadith ( yaitu kata-kata Nabi s.a.w. itu sendiri misalnya) adakah ianya ganjil (“gharib”, atau sukar (“mushkil”), atau berlaku ejaan yang tidak tepat (“tashif”), atau beralaku ejaan kalimat yang sama seperti kalimah yang lain dan sebutannya mungkin seperti itu (“muftariq”), atau berlaku ejaan kalimah seperti kalimah lain yang maknanya berlainan (“mukhtalif”), atau sesuatu yang seperti ini. Ini bahagian terbanyak dalam penelitian sarjana hadith.

 Hal ehwal para periwayat hadith zaman salaf terdiri daripada generasi Sahabat dan Tabi’in, diketahui oleh negeri-negeri mereka. Ada mereka di Hijaz, Basrah, Kufah (Iraq), Syam, Mesir. Semuanya terkenal di zaman mereka. Mereka yang di Hijaz dalam zaman awal dalam sanad yang lebih tinggi daripada yang lainnya dan lebih meyakinkan dari segi kesahihannya: kerana penekanan mereka yang lebih terdapat syarat-syarat keadilan peribadi (‘adalah) dan ketepatan (al-dabt) dalam periwayatan dan penukilan; mereka tidak bersedia menerima sebagai periwayat yang dipercayai orang-orang yang tidak diketahui halnya dalam perkara tersebut. (Teks.II.791;DBP.56Rosenthal.2.452-453).

 Diikuti dengan perbincangan tentang Imam Malik sebagai “penghulu tradisi Hijaz” (sayyid al-tariqah al-hijaziyyah), orang alim Madinah, kemudian disebut para sahabat beliau seperti Imam Syafi’i rd, Ibn Wahb, Ibn Bukayr,. Al-Qa’nabi, Muhammad b.al-Hasan dan selepas mereka Ahmad bin Hanbal dan ulama yang kemudian (Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya).

 Diikuti dengan perbincangan berkenaan: bagaimana ilmu Syariat (‘ilm al-Shari’ah) zaman ini berjalan melalui tradisi nuklilan sahaja (dari al-Qur’an dan Sunnah Nabi s.a.w.) tidak melibatkan spekulasi, penggunaan pendapat diri, dan penggunaan kias yang sulit. Muslimin awal menggunakan kaedah ini dan memiliki bahan yang sahih dan akhirnya menyempurnakannya.

 Imam Malik rd menghimpunkan “al-Muwatta’ “ mengikut jalan Hejaz, menulis tentang dasar-dasar hukum mengikut apa yang sahih, dan disepakati tentangnya, menyusun bahannya mengikut bab-bab fiqh.

 Para huffaz melibatkan diri dengan usaha memahami jalan-jalan riwayat dari para perawi yang berlain-lainan, seperti para perawi Hejaz dan Iraq ; boleh ada hadith yang diketahuyi dengan satu cara sahaja, atau dengan bebarapa jalan, dan boleh diulang-ulang dalam bab-bab berlainan, kerana ia berbicara berkenaan dengan bebera tajuk.

 Kemudian dating Imam al-Bukhari (Muhammad b.Isma’il al-Bukhari) , ahli hadith paling terkemuka zamannya; dalam “Musnad al-Sahih” beliau perluaskan bidang hadith dan mengeluarkan hadith-hadith dalam kalangan Ahl al-Sunnah (fa kharraja ahadith-al-Sunnah) (tk.II.792; DBP.563; Ros.2.454) mengikut bab-babnya, dengan menggabungkan semua jalan-jalan yang berlainan cara Hejaz, Iraq, dan Syria, dengan menerima bahan-bahan yang disepakati, dan mengecualikan bahan-bahan yang ada perselisihan pendapat tentang kesahihannya.

 Diikuti dengan sebutan tentang pengulangan hadith-hadith dalam setiap bab yang ada kaitan dengan isi kandungan hadith berkenaan; dengan itu ada hadith-hadith yang sama dalam beberapa bab kitabnya; kitabnya ada mempunyai 7,200 hadith, 3,000 daripadanya diulang-ulang.

 Kemudian dating Imam Muslim, (Allah memberi rahmat kepadanya), yaitu Muslim b.al-Hajjaj al-Qushairi, yang mengarang kitab “Musnad al-Sahih”nya , dengan mengikut cara al-Bukhari, memilih hadith-hadith yang disepakati kesahihannya, dengan tidakj membuat ulangan-ulangan, menyusun bahan-bahan mengikut kategori fiqh dan nama-nama bab-bab mengikut fiqh. Bagaimanapun kedua-duanya tidak habis mengambil kira hadith-hadith sahih semua sekali.

 Maka para ulama membetulkan mereka berdua dan memasukkan hadith-hadith yang sahih yang tidak termasuk ke dalam gubahan mereka berdua; disebutkan hadith-hadith yang mengikut syarat-syarat kedua mereka itu sepatutnya sudahpun dicatitkan.

 Kemudian datang Abu Daud al-Sijistani , Abu ‘Isa al-Tirmidhi, dean Abu ‘Abd al-Rahman al-Nasa’i yang menggubah kitab-kitab “sunan” yang memasukkan ke dalam karangan-karangan mereka bukan hanya hadith-hadith sahih, yaitu hadith-hadith yang sepatutnya menjadi amalan

 Inilah kitab-kitab hadith yang menjadi rujukan dalam Islam…yang merupakan kitab-kitab hadith dalam Ahlis-Sunnah (ummahat kutub al-hadith fi al-sunnah); himpunan-himpunan lain ditambah lagi kepada yang lima ini seperti “Musnad” Abu Daud al-Tayalisi, al-Bazzar, ‘Abd al-Humaid, ad-Darimi, Abu Ya’la al-Mawsili, dan Imam Ahmad…

 Walaupun banyak kitab-kiktab hadith kemudiannya, rujukan dibuat kepada apa yang disebutkan itu

 Diikuti dengan perbincangan berkanaan dengan Abu ‘Abd Allah al-Hakim dalam hadith dan jasa-jasanya, juga kelebihan-kelebihan kitab al-Bukhari dan Muslim dan lainnya.

Berkenaan Dengan Ilmu Fiqh dan Hukum Tentang Pesaka:

 Tentang fiqh; “al-fiqh”: iaitu ilmu berkenaan dengan mengenali hukum-hukum Allah dalam hubungan dengan amalan-amalan orang-orang mukallaf (ma’rifah ahkam Allah Ta’ala fi af’al al-mukallifin) tentang yang wajib, haram, sunat, makruh dan harus atau mubah.

 Bersumberkan Qur’an, Sunnah, dan dalil-dalil yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang membawa Syari’at Islam. Hukum-hukum yang disimpulkan daripada daliul-dalil itu dipanggil “fiqh”; ulama Salaf menyimpulkan hukum-hukum daripada dalil-dalil itu dengan ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka.

 Dalil-dalil daripada nas-nas itu dalam Bahasa Arab: terkenal perbezaan pendapat di kalangan mereka dalam hubungan dengan memahami makna-makna dalam nas-nas itu; tentang Sunnah nabi s.a.w. pula ada kelainan pada jalan-jalan riwayatnya , dan hukum-hukum daripadanya ada yang berlain-lainan dan ada yang bercanggah antara satu dengan lainnya. Maka diperlukan “tarjih” untuk mendapatkan hukum, dan di sana ada kelainan pendapat pula.

 Dalil-dalil yang datang selain daripada nas-nas ada perbezaan pendapat tentangnya juga; ini ditambah pula dengan perkara-perkara baharu yang berlaku yang tikdak ada dalam nas secara terang. Dengan ini timbullah perbezaan pendapat yang tidak boleh dielakkan dalam hal demikian ini.

 Di kalangan para Sahabat bukan semua mereka itu ahli fatwa; dan hukum agama pun bukannya diambil daripada semua mereka itu. Kedudukan yang demikian khusus bagi para Sahabat yang benar-benar memahami al-Qur’an, dan mengetahui dengan baiknya tentang nasikh dan mansukhnya, ayat-ayat mutashabihatnya dan muhklamatnya, serta dalil-dalil lainnya yang diterima daripada nabi s.a.w., atau mereka yang mempelajarinya daripada para Sahabat yang mulia, yang telah mempelajarinya daripada nabi s.a.w. Kerananya mereka dipanggil dengan nama “al-qurra’ “,iaitu para pembaca Qur’an; dalam kalangan bangsa Arab yang buta huruf kedudukan mereka sangat mulia. Demikianlah pada zaman awal itu.

 Kota-kota Islam berkembang, dan pembacaan Qur’an, menjadi meluas; timbul pula ilmu fiqah yang menjadi perhatian sehingga ia menjadi satu kemahiran dan ilmu (sina’atan wa ‘ilman) maka timbullah ‘ulama dan fuqaha’. (Teks.II.798-799; DBP571). Dan fiqh pula muncul dengan dua pendekatan atau golongan (tariqatain): golongan ahli ra’y dan qiyas di Iraq dan golongan ahlil-hadith di Hejaz. Golongan ahli qiyas itu banyak menggunakan qiyas dan mahir mereka di dalamnya.

Wallahu a’lam.
More in this category: « Siri ke-5 Siri Ke-7 »

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.